السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
قال الله تعالى :
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ ٱلَّذِينَ
كَفَرُوا۟ ثَانِىَ ٱثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِى ٱلْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَـٰحِبِهِۦ لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ ٱللَّهُ سَكِينَتَهُۥ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُۥ بِجُنُودٍۢ لَّمْ
تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلسُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ ٱللَّهِ هِىَ ٱلْعُلْيَا ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٤٠﴾
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah
telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari
negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka
berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah
Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah
menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya
Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah
menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya),
dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Al-Taubah:
40]
Pengajaran ayat:
1. Hijrah Nabi
s.a.w. dari Makkah ke Madinah al-Munawwarah adalah merupakan kemenangan besar
bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat serta Islam . Ini jelas di sebut
dalam ayat di atas (فَقَدْ نَصَرَهُ ٱللَّهُ) , iaitu " Maka
sesungguhnya Allah telah memenangkan Nabi Muhammad s.a.w." .
2. Walaupun Nabi
s.a.w. dan para sahabat pada zahirnya di halau keluar dari tanah air mereka,
terpaksa meninggalkan sanak saudara, harta benda dan Baitullah, tetapi
sebenarnya mereka akan pergi ke suatu tempat yang lebih selamat dan aman. Di
Madinah mereka akan dapat beribadat kepada Allah dengan lebih baik dan sempurna
tanpa di halang atau di ganggu oleh musyrikin Makkah dan musuh-musuh Allah.
3. Semasa tempoh berdakwah
di Makkah Nabi s.a.w. dan para sahabat sentiasa di tekan, di hina, di seksa dan
sebahagian sahabat di bunuh seperti Sumayyah, Yaasir dan lain-lain. Nabi dan
para sahabat juga di boikot dari segi sosial dan ekonominya yang mana mereka
(Bani Hasyim dan Bani Al-Muttalib) di
halang dari bernikah kahwin, berjual beli, bercampur-gaul, bercakap dan masuk
ke rumah puak musyrikin Makkah selama tiga tahun bermula awal Muharram tahun ke
tujuh selepas perlantikan Nabi sebagai Rasul.
4.
Tempoh boikot ini
adalah antara kemuncak kepada keperitan dan penderitaan yang di hadapi oleh
Rasululah s.a.w. dan para sahabat. Suara tangisan anak-anak kecil dan
wanita-wanita kedengaran dari penempatan
Bani Hasyim dan Al-Muttalib di sebabkan kelaparan sehinggakan ada di kalangan mereka yang
terpaksa makan daun-daun kayu dan kulit-kulit binatang.
5.
Inilah harga
bayaran yang telah di bayar oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat untuk
mendapat kemenangan dengan berhijrah ke Madinah. Ini juga merupakan pra syarat
bagi setiap kemenangan, tanpa kesusahan dan penderitaan seperti ini tidak
mungkin kemenangan akan datang dengan mudah.
6.
Hijrah ini juga
sebagai petanda bahawa Islam akan tertegak dengan sepenuhnya dengan tertegaknya
Negara Islam di Madinah.
7.
Untuk
melaksanakan apa-apa perancangan mestilah di dahului oleh perancangan yang
teliti dan betul. Rasulullah s.a.w. sebelum berhijrah telah merancang dengan
penuh teliti dan berhati-hati agar perancangan berjalan dengan sempurna dan
jaya. Baginda telah melantik:
i. Abdullah bin Abu
Bakar sebagai perisik yang akan membawa berita-berita dari musyrikin Makkah
kepada baginda selama berada di Gua Thur.
ii.
Asma' binti Abu
Bakar sebagai pembawa makanan ke Gua Thur. Wanita di pilih supaya tidak dapat
di kesan atau di syaki membawa sesuatu.
iii. Aamir bin Fuhairah
yang merupakan pengembala kambing, tugasnya memadamkan kesan tapak kaki
Abdulllah yang berulang alik dari Makkah ke Gua Thur. Beliau juga membekal susu
dari kambingnya untuk di minum oleh Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar.
iv.
Abdullah bin
Uraiqit seorang musyrik (kafir) tetapi boleh di percayai. Beliau pakar dalam
selok belok jalan-jalan alternative ke Madinah. Tugasnya memandu perjalanan
Rasullullah s.a.w. dan Abu Bakar ke
Madinah setelah keluar dari Gua Thur.
8.
Rasulullah
berhijrah dengan perintah Allah untuk mendirikan sebuah masyarakat Islam yang
harmoni dan sejahtera dan kesejahteraan dan keamanan tidak mungkin tertegak
tanpa keredhaan Allah. Oleh itu sebaik sampai di Madinah, projek pertama yang di laksanakan oleh baginda
ialah membina masjid. Walaupun berhijrah dalam keadaan sehelai sepinggang dan
tanpa rumah untuk di diami atau berehat tetapi yang lebih penting dari itu
ialah hubungan manusia sebagai hamba dengan penciptanya sebagai Tuhan.
9. Kemudian baginda
membina hubungan ukhuwwah iaitu mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin
sehingga terbina satu ikatan ukhuwwah yang kuat bahkan lebih kuat dari ikatan
pertalian darah.
10. Unsur ketiga
terpenting yang di bina oleh Rasulullah dalam membentuk masyarakat yang harmoni
dan sejahtera ialah ekonomi. Baginda membina pasar-pasar dan mendorong para
sahabat agar berniaga sehingga lahirlah peniaga-peniga yang kaya raya di
kalangan sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan.