السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
عَنْ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ - رضى الله عنه -
قالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ:
((إِنَّمَا
الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى ، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ
إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ
امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ )). ]متفق عليه[
Daripada ‘Umar bin
Al-Khattab RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
setiap amalan itu bergantung pada niat (seseorang itu), dan sesungguhnya bagi
setiap manusia apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada
Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah pada Allah dan Rasul-Nya. Dan
barangsiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin mendapatkan habuannya,
atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah pada apa yang dia
hijrahkan.” [Muttafaqun ‘alayh]
Pengajaran hadith:
1. Hadith
ini merupakan isyarat bahawa setiap amalan yang tidak dibuat untuk mendapat
keredhaan Allah, maka ianya adalah batil, dan tidak akan mendapat sebarang
ganjaran di dunia mahupun di akhirat.
2. Diriwayatkan
daripada al-Syafi’iy, dia berkata: Hadith ini merupakan satu pertiga cabang
ilmu, dan termasuk dalam 70 bab daripada bab Fiqh.
3. Imam
Ahmad berkata: Usul Islam berpaksikan pada 3 hadith - Hadith ‘Umar: “Setiap amalan itu bergantung pada niat.”; Hadith
‘A’ishah: “Barangsiapa yang berkata
tentang urusan kami (Islam) tetapi bukan dari kami, maka ianya tertolak.”; Dan
hadith Nu’man bin Basyir: “Perkara yang
halal adalah jelas, dan perkara yang haram juga jelas.”
4. Abu
Dawud pula berkata: Aku telah menulis 500,00 hadith tentang Rasulullah SAW, dan
aku hanya memilih 4800 hadith untuk dimuatkan di dalam kitab ini – iaitu kitab
al-Sunan. Bagiku, cukuplah agama seseorang itu terpelihara dengan berpegang
pada empat hadith: Sabda Rasulullah SAW: “Setiap
amalan itu bergantung pada niat.”; Sabda Rasulullah SAW: “Antara tanda kebaikan Islam seseorang itu
adalah dia meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.”; Sabda
Rasulullah SAW: “Seseorang Mu’min itu
tidak akan menjadi Mu’min yang sebenarnya sehinggalah dia tidak redha kepada
saudaranya melainkan apa yang dia redha pada dirinya sendiri.”; Sabda
Rasulullah SAW: “Perkara yang haram
adalah jelas, dan perkara yang haram juga jelas.”
5. Para
ulama’ berbeza pendapat tentang sabda baginda, “Setiap amalan itu bergantung pada niat.” Kebanyakan mereka
berpegang pada pendapat yang mengatakan bahawa setiap amalan yang betul, dikira
atau diterima adalah bergantung kepada
niat seseorang.
6. Mengikut
riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, dia berkata: Aku suka kepada orang yang berniat
terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu amalan, sama ada solat, puasa,
sedekah, atau apa-apa sahaja kebaikan. Kerana itulah Nabi SAW bersabda: “Setiap amalan itu bergantung pada niat.”
Maka perintah ini merangkumi semua perkara yang ingin dilakukan.
7. Sabda
baginda, “Setiap amalan bergantung pada
niat.” juga membawa maksud: Syarat untuk menentukan amalan yang dilakukan
itu betul atau rosak, diterima atau ditolak, diberi ganjaran atau tidak, adalah
berdasarkan niat seseorang itu. Jikalau baik niatnya, maka baiklah amalannya.
Tetapi jika rosak niatnya, maka rosaklah amalannya.
8. Niat
pada perbahasan para ulama’ terbahagi
kepada dua:
a. Membezakan
sesuatu ibadat dengan ibadat yang lain, seperti membezakan solat Zohor dengan
solat Asar dan membezakan puasa Ramadhan dengan puasa yang lain. Ataupun
membezakan ibadat dengan adat, seperti membezakan mandi junub dengan mandi
biasa. Inilah maksud niat yang banyak terdapat dalam kitab-kitab feqah.
b. Melakukan
setiap amalan kerana apa? Iaitu adakah betul-betul ikhlas kerana Allah
semata-mata? Atau kerana Allah dan juga kerana selain Allah atau kerana selain
dari Allah sahaja? Bahagian ini di sebut sebagai ikhlas.
9. Niat
mengikut hadith Nabi SAW dan salaful Ummah ialah kehendak, dan ini dijelaskan
lagi dengan banyak dalam al-Qur’an. Antaranya:
a. “Di
antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di
antara kamu ada yang menghendaki akhirat.” [Ali Imran, ayat 152]
b. “Kamu
menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki
(untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.” [Al-Anfal,
ayat 67]
c. “Barangsiapa
yang menghendaki (dengan amal
usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan
pada faedah yang dikehendakiNya; dan barangsiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata,
Kami akan berikan kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami
tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” [Al-Syura: 20]
10. Sesungguhnya
perkara yang ma’ruf, bersedekah, dan mendamaikan antara manusia adalah perkara
yang baik. Sekiranya ianya dibuat untuk mencari keredhaan Allah SWT, ianya
adalah baik baginya dan ia akan diberikan ganjaran. Tetapi sekiranya ia tidak
dibuat untuk mencari keredhaan Allah, itu adalah tidak baik baginya dan ia
tidak akan diberikan sebarang ganjaran. Firman Allah SWT: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali
(bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau
mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud
mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat
besar.” [Al-Nisa’, ayat 114]
11. Sabda Nabi SAW: “Semua manusia akan dibangkitkan
pada hari kiamat kelak berdasarkan niat-niat mereka.” [Riwayat Ibnu Majah]
12. Daripada Zayd bin Tsabit, daripada Nabi SAW,
baginda bersabda: “Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya,
Allah akan sulitkan urusannya (di dunia), menjadikan kefakiran di depan
matanya, dan dia tidak akan mendapat dunia melainkan apa yang telah ditulis
baginya. Tetapi barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-citanya, Allah
akan mengumpulkan (memudahkan) urusannya (di dunia), menjadikan hatinya penuh
dengan kekayaan, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk.” [HR
Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban mensahihkannya]
13. Ibnu
‘Ijlan menyebut: Setiap amalan tidak akan menjadi baik melainkan setelah adanya
tiga perkara: Taqwa kepada Allah, niat yang baik dan bertepatan dengan syara’.
14. Syeikh
al-Fudhayl berkata tentang firman Allah Ta’ala: “Supaya dia menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik
amalannya.” [Al-Mulk, ayat 2] Dia berkata, iaitu: Yang paling ikhlas dan
paling bertepatan dengan syara’. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan
dengan ikhlas tetapi tidak bertepatan dengan syara’, ianya tidak akan diterima.
Dan apabila ianya bertepatan dengan syara’ tetapi tidak ikhlas, ianya tidak
akan diterima juga sehinggalah amalan tersebut betul-betul dilakukan dengan
ikhlas dan bertepatan dengan syara’.
15. Sabda
Rasulullah s.a.w. : “…Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan
Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa
yang berhijrah kerana dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka
hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrahkan (niatkan).”
16. Maksud ayat ini ialah hijrah para sahabat ke
Madinah berbeza mengikut perbezaan niat mereka. Siapa yang berhijrah kerana
Allah, maka itulah orang yang berhijrah kerana cintakan Allah dan Rasul.
Sebaliknya barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana wanita, maka dia
adalah ahli dunia.
17. Daripada Abu Hurayrah RA, aku mendengar Nabi SAW
bersabda: “Sesungguhnya orang yang pertama diadili dan dihukum pada hari
kiamat:
a. Lelaki
yang mati syahid. Lalu ia dibawa di hadapan Allah, maka ditunjukkan
nikmat-nikmat ke atasnya dan dia mengakui nikmat-nikmat tersebut. Kemudian
ditanyakan kepadanya: ‘Apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat
tersebut?’ Ia menjawab: ‘Aku telah berperang kerana Engkau sehingga aku mati
syahid.’ Lalu dijawab kepadanya: ‘Engkau berdusta, tetapi engkau telah
berperang supaya engkau digelar seorang yang gagah perkasa. Dan memang orang
ramai telah menyebut engkau sebegitu. Lalu diperintahkan kepadanya, maka
mukanya diheret lalu dihumbankan ke neraka Jahannam.
b. Lelaki
yang mempelajari ilmu dan mengajarnya, serta membaca al-Qur’an. Maka ia dibawa
dan diperkenalkan nikmat-nikmat kepadanya sehingga ia mengakuinya. Kemudian
ditanya kepadanya: ‘Apa yang kamu telah lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?’
Jawabnya: ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca
al-Qur’an kerana Engkau.’ Lalu dikatakan kepadanya: ‘Engkau berdusta, tetapi
engkau mempelajari ilmu supaya dikatakan engkau seorang yang alim dan engkau
membaca al-Qur’an supaya dikatakan engkau seorang Qari’. Dan memang orang ramai
telah menyebut engkau sebegitu.’ Kemudian ia diperintah lalu diheret mukanya
sehingga dicampakkan ke dalam neraka.
c. Lelaki
yang diberi harta yang banyak. Maka ia dibawa dan ditunjukkan nikmat-nikmat
yang dimilikinya. Maka apabila dia mengakui nikmat-nikmat tersebut, ia ditanya:
‘Apa yang kamu telah lakukan pada nikmat-nikmat tersebut?’ Dia menjawab: ‘Aku
tidak meninggalkan satu jalan pun yang Engkau suka untuk menginfaqkan harta
melainkan semua telah aku infaqkannya kerana Engkau. Lalu dijawab: ‘Engkau
berdusta, tetapi engkau melakukan itu supaya engkau dikatakan sebagai seorang
yang pemurah. Dan memang orang ramai telah menyebut engkau sebegitu. Kemudian
diperintahkan kepadanya lalu mukanya diheret sehingga dia dicampakkan ke
neraka.” [HR Muslim, al-Nasa’ie
dan Ahmad]
18. Sesungguhnya
Mu’awiyah setelah mendengar hadith ini, ia menangis sehingga pengsan. Setelah
dia sedar, dia berkata: ‘Benarlah Allah dan Rasul-Nya sebagaimana Allah telah
berfirman:
“Sesiapa Yang keadaan usahanya
semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak
disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan
hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah
orang-orang Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab
neraka, dan pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batallah
apa Yang mereka telah kerjakan.” [Surah Huud, ayat 15-16]
19. Nabi SAW telah memberi ancaman yang keras kepada
sesiapa yang menuntut ilmu tetapi bukan kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa
yang menuntut ilmu yang sepatutnya dia menuntut untuk mencari keredhaan Allah,
tetapi ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat habuan dunia, maka dia
tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat.” [Hadith Sahih,
riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban]
20. Amalan bukan kerana Allah terbahagi kepada beberapa
bahagian:
a. Dilakukan kerana riya’ semata-mata sebagaimana
orang munafiq. Firman Allah Ta’ala:
“…Apabila mereka berdiri untuk solat,
mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan
sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang
beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan
sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [Surah
al-Nisa’, ayat 142]
b. Beramal kerana Allah tetapi masih ada sifat riya’.
Sekiranya riya’ itu daripada asal sebelum beramal, maka amalannya itu sia-sia
walaupun sedikit. Sekiranya riya’ itu datang kemudian, kemudian dia menolaknya
maka amalannya itu akan diterima dan tidak sia-sia. Tetapi sekiranya riya’ itu
datang kemudian dan dia tidak menolaknya, amalannya akan dibalas mengikut
niatnya yang asal. Ini pendapat Imam Ahmad dan Ibnu Jarir al-Tabariy.