Pages

Tuesday, 19 March 2013

Huraian : أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

[Peringatan untuk diri ini yang selalu lupa]


Firman Allah ta'ala:

سُوۡرَةُ النّحل

فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ (٩٨)


Maksudnya: oleh itu, apabila Engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah Engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan Yang kena rejam.                                                                     
 [Al-Nahl:98]

Siapakah Syaitan? Kenapa kita wajib berlindung daripada syaitan?

Pendahuluan
Dalam surah Yasin yang lazim dibaca, terdapat sebuah ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 A060

Maksudnya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”   
[Yasin 36:60]



Hakikat syaitan sebagai musuh manusia diulangi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala beberapa kali di dalam al-Qur’an. Semuanya bagi memperingatkan kita tentang musuh yang nyata ini:

 A208


Permusuhan syaitan kepada kita, manusia, bukanlah sesuatu yang berlaku secara sekali sekala. Ia adalah sesuatu yang berterusan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ... 

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…[1]                                                  [HR Muslim (2033)]





Maka permusuhan syaitan ditujukan kepada kita dalam semua suasana dan perbuatan seperti tidur, mandi, makan, perbualan, pemandangan, pendengaran, pekerjaan, gerak hati, pemikiran, wudhu’, solat, puasa, haji dan pelbagai lagi. Bahkan ketika saya sedang menulis buku ini dan ketika anda sedang membaca buku ini, syaitan ada bersama untuk mengganggu tumpuan atau menabur keraguan.
 

Oleh kerana itulah kita diperintahkan untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan. Tidak sekadar itu, kita juga diperintahkan untuk mengarahkan permusuhan kepada syaitan:



A006

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu,maka jadikanlah dia musuh;sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. [Fatir 35:06]

 
Untuk berwaspada terhadap permusuhan syaitan dan pada waktu yang sama mengarahkan permusuhan kepada syaitan, kita perlu mengetahui dari A hingga Z berkenaan syaitan. Kita perlu mengetahui asal usulnya, sebab-sebab permusuhannya, ciri-cirinya, tipu dayanya dan menyusun strategi bagi melawannya. Ini sebagaimana jika kita memiliki musuh dalam satu peperangan, kita perlu mengkaji segala-galanya berkenaan musuh itu. Jika kita tidak kenal musuh, amatlah mudah bagi musuh tersebut untuk mengalahkan kita.  
.


BAB PERTAMA: ASAL USUL SYAITAN.
Secara umumnya terdapat tiga jenis makhluk yang setiap darinya memiliki asal usul ciptaan yang berbeza:


1. Malaikat yang dicipta dari cahaya
2. Jin yang dicipta dari api
3. Manusia yang dicipta dari tanah.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan tentang tiga (3) jenis makhluk ini dalam sabda baginda:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.

Maksudnya: Diciptakan malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam (manusia) dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian.[1]
  
Di antara tiga makhluk ini, manusia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala selepas Dia mencipta malaikat dan jin. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


 A026

 

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.
[al-Hijr 15:26]



 A027
 
Maksudnya: Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma (نار السموم).
[al-Hijr 15:27]



 A028

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”           
 [al-Hijr 15:28]




Setakat ini tidak ditemui nas yang sahih lagi jelas yang menerangkan antara malaikat dan jin, siapakah yang dicipta terlebih dahulu. Apabila Allah dan Rasul-Nya mendiamkan persoalan ini, bererti ia bukanlah sesuatu yang bermanfaat untuk kita memikirkannya atau mencari jawapanya.

Antara tiga makhluk tersebut, syaitan adalah dari jenis makhluk jin sebagaimana jelas Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat berikut:

 A050




Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:“Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis;ia adalah berasal dari golongan jin.          
 [al-Kahf 18:50]

Dalam ayat yang lain diterangkan bahawa syaitan berasal dari api, menunjukkan mereka berasal dari jenis jin:

 A012
 

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku memerintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”                                              
 [al-A’raaf 7:12]

Ada pun iblis, maka ia adalah salah satu nama syaitan. Tidak ditemui petunjuk sahih apakah iblis ketua syaitan atau syaitan yang pertama. Yang penting ialah kita mengetahui bahawa iblis adalah salah satu nama syaitan. Oleh itu iblis dan syaitan adalah dari jenis jin dan bukannya malaikat.



 

BAB KEDUA: ASAL USUL PERMUSUHAN SYAITAN KEPADA MANUSIA.

Pada mulanya syaitan sudah sedia dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana syaitan adalah dari jenis jin dan makhluk jin pula telah sedia ada sebelum Adam ‘alaihi salam dicipta oleh Allah. Kemudian Allah mencipta manusia:

 A028

 Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:28]

Setelah mencipta manusia, Allah memerintahkan para penghuni langit yang terdiri daripada para malaikat dan jin untuk sujud kepada Adam. Termasuk dari kalangan para penghuni langit ialah iblis. Akan tetapi memandangkan penghuni langit majoritinya ialah malaikat, maka mencukupi perintah sujud ditujukan kepada para malaikat sahaja. Maka bersujudlah para penghuni langit semuanya kecuali iblis:

 A035



Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.

 
Takbur ialah sikap ujub.
Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut:

 A012





Maksudnya: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”        
  [al-A’raaf 7:12]




Takbur ialah sikap menghina orang lain.
Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia:

 A033


Maksudnya:  “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”
[al-Hijr 15:33]




Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.
Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.

Setelah dinilai, iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada sesuatu yang dicipta dari tanah?

 A061


Maksdunya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:“Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”                                                     
[al-Isra’ 17:61]




Takbur ialah mempersoal perintah dan larangan Allah.
Setelah menilai bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya! Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:


 A013

Allah berfirman: Maksudnya; “Turunlah engkau dari (langit) ini, kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”          
   [al-A’raaf 7:13]



Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain, tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.

Permusuhan iblis kepada manusia tidak berhenti dengan sikap takburnya, tetapi dilanjutkannya dengan permusuhan yang berkekalan sehingga Hari Kiamat. Setelah enggan sujud kepada manusia, iblis bertekad:
  
A014



Maksudnya: Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”
[al-Isra’ 17:62]

Demikian empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar dari langit:



Maksudnya: Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”  
   [al-A’raaf 7:14]

Dalam tempoh tersebut, iblis secara khusus dan syaitan secara umum, berjanji akan bertungkus lumus mengganggu manusia dengan objektif utamanya:

                    i.            Agar manusia menjadi sesat:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
(Iblis  berkata): Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya). [al-Isra’ 17:62]

                 ii.            Agar manusia menjadi kafir:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

(Demikian) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” [al-Hasyr 59:16]

               iii.            Agar manusia syirik kepada Allah:
 Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkhutbah:

Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku menyuruhku untuk mengajar kalian apa yang kalian tidak tahu dan Allah telah mengajarku pada hari ini, iaitu setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal dan sesungguhnya Aku mencipta hamba-hamba-Ku semuanya dalam keadaan (fitrah yang) cenderung kepada agama yang lurus (Islam).Akan tetapi syaitan-syaitan mendatangi mereka dan memalingkan mereka dari agama mereka (Islam) dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka. Dan syaitan-syaitan itu menyuruh mereka mempersekutukan Aku dengan apa yang tidak Aku berikan keizinan kepada mereka.[2] 


               iv.            Agar manusia memasuki neraka:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.    [Fatir 35:06]

Dalam ayat keenam surah Fatir di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa syaitan adalah musuh kita dan dengan itu Allah memerintahkan kita untuk menjadikannya sebagai musuh juga. Untuk menjadikan syaitan sebagai musuh, kita perlu mengetahui ciri-cirinya agar dengan itu kita dapat mengetahui sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak. Ciri-ciri ini akan kita dedahkan dalam bab seterusnya insya-Allah.



Penjelasan Tambahan: Sebab sebenar syaitan menjadi sesat.
Dalam penjelasan di atas, kita mengetahui bahawa iblis enggan sujud kepada Adam kerana sikap takbur yang dimilikinya. Seterusnya kita juga telah memperincikan apa yang dimaksudkan dengan sikap takbur tersebut.

Akan tetapi dalam ayat 39 surah al-Hijr, iblis berkata bahawa yang sebenarnya menyebabkan dia tersesat ialah Allah dan bukannya sikap takbur. Perhatikan perkataan iblis di akhir ayat berikut:

Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”  Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”  Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke Hari Kiamat.” Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (Hari Kiamat).” Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari - masa yang termaklum.”  Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:32-39]

Dalam perenggan terakhir di atas, iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…”, seolah-olah iblis menyandarkan segala kesalahannya dari awal (enggan sujud) hinggalah yang terkini (diusir dari langit) berpunca dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kemudian, perkataan iblis itu tidak pula dibantah oleh Allah. Tanpa adanya bantahan dari Allah, apakah dengan itu perkataan iblis adalah benar dan ia bukan tuduhan semata-mata? Adakah sememangnya Allah yang sengaja menjadikan iblis takbur dan sesat sehingga diusir dari langit?

Persoalan ini dijawab bahawa kesalahan iblis secara keseluruhannya berpunca dari dirinya sendiri. Kesalahan tersebut bermula dari iblis yang memilih untuk bersikap takbur sehingga melawan perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Atas pilihan iblis inilah Allah menyesatkannya. Ini kerana merupakan peraturan Allah (sunnatullah) bahawa sesiapa yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah dari perintah-Nya, maka Allah akan memaling orang tersebut dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia orang yang sesat. Ayat berikut menjadi rujukan:

Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah memalingkan hati mereka (dari mendapat hidayah);
dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik - derhaka.   [al-Saf 61:05]

Peraturan ini tidak saja berlaku terhadap perintah Allah tetapi juga berlaku kepada orang yang memilih untuk berpaling, melawan atau membantah perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya. [al-Nisa 4:115]

Maka apabila iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…”, ia merujuk kepada tindakan Allah yang memalingkan iblis dari hidayah-Nya, mengusir iblis dari langit dan melaknatnya terus menerus hingga Hari Kiamat. Akan tetapi semua ini berlaku bukan kerana Allah tetapi kerana sikap iblis sendiri yang pada awalnya menentang perintah Allah.

Perkataan iblis “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat…” tidak dibantah oleh Allah kerana merupakan peraturan-Nya bahawa sesiapa yang melawan perintah-Nya, Allah akan menjadikan orang tersebut sesat.

Apa yang berlaku kepada iblis hendaklah dijadikan iktibar yang penting oleh kita semua. Apabila sampai ke pengetahuan kita “Firman Allah” atau “Sabda Rasulullah”, hendaklah serta merta merendahkan diri dan taat kepadanya. Jangan berpaling, melawan atau membantahnya kerana mungkin sahaja Allah akan memaling hati kita dari hidayah-Nya sehingga menjadilah kita dari kalangan orang-orang yang sesat.

Mutakhir ini telah menjadi satu kelaziman orang yang apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah yang tidak selari dengan logiknya, mazhabnya, ajaran tok gurunya atau amalan kebiasaannya, dia berpaling, melawan dan membantah dengan alasan-alasan yang tidak munasabah.

Ada yang cuba berdalih dengan menyalah-gunakan kaedah-kaedah usul fiqh, konon ayat tersebut terbatas kepada Asbab al-Nuzulnya (sebab-sebab turunnya), hadis tersebut terbatas kepada Asbab al-Wurudnya (sebab-sebab lahirnya), konon ‘illat (sebab) di sebalik perintah larangan ayat atau hadis itu telah hilang pada masa kini dan konon yang penting ialah tujuan syari‘at (maqasid) dan bukannya firman Allah mahu pun sabda Rasulullah.

Semua ini adalah sesuatu yang amat merbahaya kepada orang itu sendiri kerana mungkin sahaja dengan sikap sedemikian, Allah akan memalingkan hatinya dari hidayah-Nya sehingga menjadilah dia dari kalangan orang-orang yang sesat.

Sebaliknya orang yang apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu ayat al-Qur’an atau hadis Rasulullah lalu dia terus berpegang dengannya, Allah menambahinya dengan hidayah-Nya. Oleh kerana itulah, anda akan mendapati orang yang pada awalnya hanya berpegang kepada beberapa ayat al-Qur’an yang ditemuinya, Allah menambahinya dengan puluhan lagi ayat al-Qur’an. Orang yang pada awalnya hanya berpegang kepada beberapa hadis yang ditemuinya, Allah menambahinya dengan puluhan lagi hadis. Sehingga akhirnya menjadilah orang tersebut pakar al-Qur’an dan hadis sekali pun dia baru mengenal agama dalam masa yang singkat.

Al-Qur’an dan hadis yang sahih merupakan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dan merupakan peraturan-Nya (sunnatullah) bahawa sesiapa yang akur menerima hidayah tersebut, Allah akan menambahinya dengan hidayah demi hidayah: 

Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima hidayah), Allah menambahi mereka dengan hidayah, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.      
[Muhammad 47:17]

Dan Allah akan menambahi hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah; dan amal-amal yang baik yang tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.
[Maryam 19:76]


[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2865 (Kitab al-Jannah wa Shifati…, Bab sifat-sifat yang dapat dikenali dengannya di dunia akan ahli syurga dan ahli neraka).







No comments:

Post a Comment