Pages

Thursday, 28 March 2013

Konsep Pelaku Dosa Besar Dalam Ulama Kalam



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




1.0       Pengenalan

Akidah bagi setiap muslim merupakan tunjang utama dalam aspek ajaran Islam yang wajib diyakini. Dalam al-Qur’an, akidah disebut dengan al-Iman (percaya) yang sering digandingkan dengan al-Amal (perbuatan baik) tampaknya kedua unsur ini menggambarkan dua komponen yang menjadi sendi utama dalam ajaran Islam.

Dasar-dasar akidah Islam telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW melalui pewahyuan al-Qur’an dan al-Hadith untuk umat manusia generasi muslim pada awal dakwah Rasullullah SAW yang telah meyakini dan menghayati akidah ini meskipun pada peringkat itu ilmu tauhid belum diformulasikan sebagai suatu cabang ilmu kerana rumusan tersebut tidak diperlukan pada ketika itu. Ini kerana ilmu tauhid adalah disampaikan sendiri oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Pada peringkat seterusnya, persoalan akidah secara ilmiah dirumuskan oleh sarjana muslim yang dikenal dengan nama mutakallimun, hasil rumusan mutakallimun itu disebut kalam, secara harfiah disebut sabda Allah ilmu kalam yang bermaksud pembahasan tentang kalam Allah (al-Qur’an). Perkataan kalam diertikan dengan kata-kata manusia, ini kerana manusia itu sering berhujah dengan menggunakan lidah dan berdebat dengan kata-kata untuk mempertahankan pendapat masing-masing.

Kata kalam berkaitan dengan kata logos dalam bahasa Yunani yang bermaksud alasan atau argumen. Ahmad Mahmud Shubhi mengutip definisi ilmu kalam versi Ibnu Khaldun bahawa ilmu kalam ialah ilmu yang membahas tentang persoalan-persoalan dasar keimanan dengan menggunakan dalil akal dan menolak unsur-unsur bid’ah.

Dari definisi dapat difahami bahawa perbahasan ilmu kalam adalah untuk mempertahankan akidah. Dasar-dasar akidah yang termaktub di dalam al-Qur’an dianalisa dan dibahas lebih lanjut dengan menggunakan ilmu logik untuk mendapatkan keyakinan yang lebih kukuh.


2.0       Konsep Pelaku Dosa Besar Dalam Ulama Kalam

Persoalan ilmu kalam yang sering menjadi bahan perdebatan di antara aliran-aliran kalam antara lainnya adalah masalah pelaku dosa besar, iman dan kufur, serta perbuatan tuhan dan perbuatan manusia.

Ketika sibuk menyoroti siapa yang masih dianggap beriman dan siapa yang kafir diantara pelaku tahkim, dan bagaimana nasib para pelaku dosa besar, para ulama kalam kemudian mencari jawapan atas pertanyaan siapa sebenarnya yang mengeluarkan perbuatan manusia, apakah Allah sendiri atau manusia itu sendiri atau boleh jadi kerja sama antara keduanya. Masalah ini kemudian memunculkan aliran-aliran yang berbeza pendapat tentang hal itu, dan berbagai persoalan-persoalan yang masing-masing mereka memberikan dalil-dalil yang kuat dan bertanggung jawab. Dengan itu, kertas kerja ini akan cuba mengupas beberapa konsep perbezaan pendapat tentang pelaku dosa besar dalam aliran-aliran ulama kalam.


3.0       Perbandingan Antara Aliran Terhadap Pelaku Dosa Besar

Persoalan kalam yang pertama kali terjadi adalah persoalan tentang iman dan kafir seseorang, dalam pengertian bahawa siapa yang masih beragama Islam dan siapa yang sudah keluar dari agama Islam itu sendiri. Menurut perkembangannya maka terjadi perdebatan dan persoalan antara fahaman tiap-tiap aliran tentang pelaku dosa besar, dalam hal ini status mereka di dalam dunia bahkan status mereka di akhirat kelak. Berikut adalah sedikit tentang pandangan aliran untuk status seseorang yang melakukan dosa besar:

3.1       Aliran Khawarij

Aliran Khawarij yang dikenal adalah kelompok ajaran dalam Islam yang timbul ketika peristiwa tahkim. Mereka berpendapat bahawa orang-orang yang terlibat pada peristiwa itu adalah kafir. Adapun orang-orang yang terlibat adalah Saidina Ali, Muawwiyah, Amr bin Ash, dan Musa Al-Asy’ari. Berdasarkan surah Alqur’an Surah Al-Maidah ayat 44 yang berbunyi:

ومن لم يحكم بما انزل الله فاولئك هم الكافرون (الما ئدة)
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang kafir”. [1]

Pandangan mereka yang ekstrem adalah salah satu perkara yang menonjol dari fahaman aliran Khawarij ini di dalam memutuskan persoalan-persoalan kalam. Hal ini mungkin disebabkan oleh watak kerasnya di gurun padang pasir yang panas. Ataupun mungkin juga bersendikan kepada atas dasar pemahaman secara tekstual (harfiyah) ke atas nas-nas Al-Qur’an dan Hadits.

Semua pelaku dosa besar (murtabb al-kabirah), Menurut semua aliran khawarij kecuali najdah pula, pelaku dosa besar adalah kafir dan akan di siksa di neraka selamanya, bahkan salah satu sub aliran khawarij yang ini adalah Azariqah, berpendapat bahawa pelaku dosa besar bukan hanya kafir melainkan musyrik, yang menurutnya musyrik itu lebih mengerikan dari pada kafir.

Menurut sub aliran Najdah mereka berpendapat musyrik kepada siapa pun yang secara berkesinambungan mengerjakan dosa kecil. Akan halnya dengan dosa besar, bila tidak dilakukan secara langsung, pelakunya tidak dipandang sebagai musyrik tetapi hanya kafir. Namun apabila dilakukan secara terus menerus maka akan menjaadi dosa musyrik.

Walaupun secara umum sub aliran aliran Khawarij berpendapat bahawa pelaku dosa besar dianggap kafir, masing-masing berbeza pendapat tentang pelaku dosa besar yang dilabel kafir. Menurut sub aliran Al-Muhakimat, Ali, Muawiyah, kedua pengantarnya (Amr bin Al-Ash dan Abu Musa Al-Asy’ari dan semua orang yang menyetujui peristiwa tahkim itu adalah bersalah dan menjadi kafir. Hukum ini pun mereka luaskan ertinya sehingga orang yang berbuat dosa besar, berbuat zina, membunuh sesama manusia tanpa sebab, dan dosa besar lainnya menyebabkan pelakunya keluar dari agama Islam.

Lain halnya dengan subsekte  Azaqirah mereka menghukumkan kafir tidak sahaja kepada orang yang berbuat dosa besar melainkan juga terhadap orang yang tidak sealiran dengan mereka. Pandangan yang berbeza juga dikemukakan oleh sub aliran Najdah, mereka berpendapat bahawa orang yang melakukan dosa besar akan menjadi musyrik dan akan kekal di dalam neraka bagi orang yang tidak sealiran dengan pendapat mereka, tetapi bagi orang yang melakukan dosa besar dari kalangan kelompoknya tetap mendapatkan siksaan di dalam neraka tetapi akhirnya nanti akan masuk ke dalam syurga. Sementara itu sub aliran As-Suriah membahagi dosa besar menjadi dua bahagian, iaitu dosa yang ada saksinya di dunia, seperti membunuh dan berzina, dan dosa yang tidak mempunyai saksi di dunia, seperti meninggalkan solat dan puasa. Orang yang berbuat dosa kategori pertama tidak dipandang sebagai kafir sedangkan yang kedua dipandang kafir.

3.2       Aliran Murji’ah

Aliran Murji'ah berbeza pendapat mengenai pelaku dosa besar. Menurut murjiah yang bersifat ekstrim pelaku dosa besar tidak kafir dan tidak akan di siksa di dalam neraka kerana menurutnya perbuatan maksiat tidak dapat menggugurkan keimanan sebagaimana keta'atan tidak dapat membawa kekufuran. Di antara kalangan Murji’ah yang berpendapat serupa di atas adalah Al-Jamiyah, As-Salihiyah, dan Al-Yunusiyah. Mereka berpendapat bahawa iman adalah tasdiq secara kalbu bukan secara lafaz atau dengan perbuatan, baik dalam ucapan maupun tindakan. Menurut murjiah dari golongan yang sederhana pula,  pelaku dosa besar tidaklah menjadi kafir. Meskipun disiksa di neraka pelaku dosa besar  tidak kekal didalamnya, bergantung pada ukuran dosa yang dilakukannya. Di antara yang masuk dalam kategori ini adalah Abu Hanifah dan pengikutnya. Pertimbangannya, pendapat Abu Hanifah tentang pelaku dosa besar dan konsep iman tidak jauh berbeza dengan kelompok Murji’ah aliran sederhara yang lainnya. Ia berpendaat bahwa pelaku dosa besar masih tetap mukmin tetapi dosa yang diperbuatnya bukan bermaksud tidak membawa apa-apa kesan (balasan) kepada pelakunya. Seandainya masuk neraka, kerana Allah menghendakinya, ia tak akan kekal di dalamnya.


3.3       Aliran Mu’tazillah

Aliran ini tidak menentukan status atau pendekatan yang pasti bagi pelaku dosa besar, apakah mereka tetap mukmin atau kafir. Menurutnya pelaku dosa besar berada di al-manzilah bain al-manzilatain atau berada di posisi tengah antara mukmin dan kafir. Menurutnya pelaku dosa besar yang meninggal dan tidak sempat bertaubat, dia akan kekal di neraka. Akan tetapi siksaan yang di terima lebih ringan dari pada siksaan pada orang kafir. Dalam perkembangannya, beberapa tokoh Mu’tazillah, seperti Wasil bin Atha dan Amr bin Ubaid memperjelas sebutan itu dengan istilah fasik bukan mukmin atau kafir.

Mu’tazillah berpandangan bahawa dosa besar itu adalah sesuatu perbuatan yang ancamannya tersebut di dalam nas, sedangkan dosa kecil adalah sebaliknya. Tampaknya Mu’tazillah menjadikan ancaman sebagai kriteria dasar bagi dosa besar maupun kecil.


3.4       Aliran Asy’ariyah

Walau bagaimanapun, bagi pelaku dosa besar bagi aliran Al-Asy’ari sebagai wakil ahli As-Sunnah, tidak mengkafirkan orang-orang yang sujud ke Baitullah walaupun melakukan dosa besar, seperti berzina dan mencuri. Menurutnya, mereka masih tetap sebagai orang yang beriman dengan keimanan yang mereka miliki, sekalipun berbuat dosa besar.

Menurut aliran ini, para pelaku dosa besar tidak kafir melainkan tetap mukmin akan tetapi jika dosa besar itu dilakukan dengan anggapan bahawa hal itu dibolehkan dan tidak meyakini keharamannya, maka dia telah di pandang kafir. Adapun balasan bagi mereka di akhirat kelak bergantung pada kekuasaan dan kebijaksaan Allah SWT yang maha berkehendak mutlak yang boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka.


3.5       Aliran Maturidiyah

Aliran Maturidiyah, baik yang bertapak di Samarkand mahupun Bukhara (sekarang terletak di Uzbekistan), sepakat menyatakan bahawa pelaku dosa besar masih tetap sebagai mukmin kerana adanya keimanan di dalam dirinya. Adapun balasan yang diperolehnya kelak di akhirat menurut apa yang dilakukannya di ketika di dunia. Segala keputusan diserahkan hanya kepada Allah SWT.

Aliran ini berpendapat bahawa pelaku dosa besar tidak kafir dan tidak kekal di dalam neraka walaupun si pelaku dosa itu mati sebelum bertaubat. Hal ini karena tuhan telah menjanjikan akan memberikan balasan kepada manusia sesuai dengan perbuatannya. Kekal di neraka merupakan balasan bagi orang kafir.


3.6       Aliran Syi’ah Zaidiyah

Menurut aliran, ini pelaku dosa besar akan kekal di neraka jika dia mati sebelum bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya. Dalam hal ini, Syi’ah Zaidiyah memang dekat dengan Mu’tazillah. Ini bukan sesuatu yang aneh sebab, diceritakan bahwa Wasil bin Atha salah satu pemimpin Mu’tazillah, mempunyai hubungan dengan Zaid Moojan Momen. Dikatakan bahawa Zaid pernah belajar kepada Wasil bin Atha.


4.0       Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, Ilmu kalam berkembang dengan berbagai permasalahannya yang menyangkut berbagai aspek kehidupan manusia, bermula dari permasalahan pelaku dosa besar, penentuan iman dan kufurnya manusia, dan juga tentang perbuatan Tuhan dan manusia yang aliran-aliran dalam Ilmu Kalam mempunyai pendapat yang berlainan. Aliran-aliran dalam Ilmu Kalam masing-masing mempunyai pendapat yang berlandaskan kepada dalil-dalil Naqli dan Aqli, oleh sebab itu masing-masing mereka tidak dapat disalahkan atau bahkan mencap salah satu mereka adalah aliran sesat. Siapa yang benar dan salah, hanyalah Allah yang tahu semuanya, dan kita akan mengetahui semuanya itu kelak di negeri akhirat.







Rujukan

1.      Al-Quran dan Terjemahan

2.      Ab. Latif Muda & Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Perbahasan Akidah Islam, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2007

3.      Dr Umar Sulaiman al-Asyqar, Iman Kepada Allah, Serial Aqidah Islam-1, Menurut al-Quran dan Hadits, (Terjemahan Shalahuddin abdul Rahman Yajji Lc), International Islamic Publishing House, Riyadh, 2008

4.      Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Darul Makrifah, Kuala Lumpur, 2000

5.      Ustaz Haji Osman Bin Jantan, Pedoman Ilmu Tauhid (Lengkap), Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 2009





[1] Surah Al-Maidah :44


No comments:

Post a Comment