Pages

Wednesday, 6 March 2013

Isu Pemindahan Dan Pendermaan Organ Manusia Dan Kaitannya Dengan Kaedah-Kaedah Fiqh



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




PENDAHULUAN

Pemindahan organ manusia kepada manusia lain merupakan kaedah baru dalam dunia perubatan dan telah berkembang di abad ke dua puluh  Oleh itu hukum-hukum mengenainya tidak terdapat secara jelas dalam nas-nas al Quran dan al Sunnah dan tidak pernah dibincangkan oleh ulama-ulama terdahulu. Dari perspektif Islam hukumnya adalah harus berdasarkan ijtihad yang dibuat oleh ulama-ulama kontemporari di seluruh dunia. Di Malaysia pula ia bermula sejak tahun enam puluhan dengan keluarnya fatwa dari Mufti Perlis pada tahun 1965. 



LATARBELAKANG

Pemindahan organ adalah satu pembedahan bagi menggantikan organ yang bermasalah atau berpenyakit dengan organ yang baru.[1] Organ yang digunakan datang dari dua sumber iaitu penderma yang masih hidup dan penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan organ pula ialah suatu prosedur  pembedahan  yang melibatkan pemindahan organ dari penderma kepada penerima organ.[2] Pendermaan organ terdiri dari pendermaan kadaverik atau dari orang yang telah meninggal dunia dan pendermaan organ semasa hidup.[3] Pemindahan organ dari penderma yang masih hidup mempunyai kelebihan berbanding dengan pemindahan organ dari penderma yang telah meninggal dunia. Ia boleh dilakukan pada masa yang sesuai dan pembedahan dapat dilakukan secara elektif di mana penderma dan penerima organ berada pada tahap kesihatan yang sesuai dan pada masa yang sesuai. Organ dari penderma hidup juga berfungsi lebih baik dan lebih lama.

Pada kebiasaannya pemindahan organ dari penderma hidup hanya dibenarkan dari ahli keluarga yang ada pertalian darah atau hubungan suami isteri. Seseorang yang masih hidup boleh menderma salah satu dari buah pinggang atau sebahagian hatinya. Di samping kesesuaian organ penderma dengan tubuh penerima, penderma organ juga mestilah seorang yang mempunyai taraf kesihatan yang baik dari segi mental dan fizikal.[4] Pendermaan organ ketika masih hidup mempunyai risiko tertentu akibat pembedahan termasuk kematian dan juga kesan negatif dari segi psikologi. Risiko pembedahan termasuk kesakitan di kawasan pembedahan, jangkitan, pendarahan, darah beku dalam salur pembuluh kaki, komplikasi ubat bius, kecederaan tisu dan organ lain, hernia di kawasan luka dan sebagainya. Gejala psikologi yang negatif pula boleh berlaku semasa  atau selepas pendermaan dilakukan seperti penyesalan, dendam dan kemarahan sebab pembedahan yang dilakukan. Organ yang didermakan juga berkemungkinan tidak berfungsi sebagaimana yang diharapkan oleh penerima di samping parut luka pembedahan boleh menjejaskan penampilan  penderma.[5] Rawatan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan ini memerlukan masa yang lama di samping kemungkinan menerima kesan sampingan dari ubat-ubatan yang diambil. Walau bagaimanapun risiko adalah berbeza di antara penderma dan juga bergantung kepada organ yang didermakan.

Pemindahan organ dari penderma kadaverik pula dilakukan selepas penderma meninggal dunia dengan mendapat keizinan dari waris atau ahli keluarga sekiranya si mati tidak membuat ikrar  derma organ. Organ yang boleh didermakan setelah mati  termasuklah buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan juga tisu iaitu kornea (mata), kulit, injap jantung dan tulang.[6]

Mengikut laporan dari Utusan Melayu hanya terdapat 0.7 peratus penduduk Malaysia membuat ikrar derma organ berbanding dengan pesakit yang menunggu pendermaan organ sebanyak 15,552 orang.[7]  Dari jumlah yang membuat ikrar ini 53 peratus terdiri dari kaum Cina, 24 peratus kaum India dan 17 peratus kaum Melayu.[8] Perangkaan dari Kementerian Kesihatan pula menunjukkan jumlah pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis telah meningkat tiga kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun iaitu daripada 7,837 orang dalam tahun 2001 kepada 22,932 orang dalam tahun 2010 dan dijangka terus meningkat  dari tahun ke tahun.[9] Kebanyakan pesakit ini sesuai untuk menjalani pemindahan buah pinggang tetapi tidak dapat dilakukan kerana kadar penderma yang sangat rendah.  Mengikut pihak Kementerian, punca utama keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh tanggapan kurang tepat mengenai pandangan agama terutamanya dari orang-orang Islam.

Di Malaysia, fatwa-fatwa telah dikeluarkan berkaitan dengan isu ini dengan dimulakan dari negeri Perlis pada tahun 1965, Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970, Sarawak pada tahun 1996, Selangor pada tahun 2000, Johor pada tahun 2001 dan Pulau Pinang pada tahun 2010.[10] Pada umumnya fatwa yang dikeluarkan dari Malaysia dan negara-negara lain di serata dunia mengenai pemindahan dan pendermaan organ manusia adalah harus dari segi hukumnya kerana ia bertujuan untuk  memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada tuntutan Maqasid Syar’iyyah.  Penentuan hukum ini dibuat berdasarkan bahawa rawatan ini merupakan pilihan terakhir untuk menyelamatkan nyawa manusia akibat kegagalan organ peringkat akhir dan berada dalam keadaan terdesak dan mustahak di mana nyawa pesakit  bergantung kepada organ yang dipindahkan kepadanya dan pemindahannya dijangka akan membawa kejayaan. Bagi pemindahan jantung, penderma mesti disahkan telah mati sebelum pemindahan dijalankan.

Berdasarkan kepada fatwa-fatwa yang ada, keharusan hukum pemindahan dan pendermaan organ ini tertakluk kepada syarat-syarat  yang  tertentu. Pemindahan organ ini disyaratkan  tidak menyebabkan penderma yang masih hidup menanggung kemudharatan kepada dirinya seperti kematian  dan kecacatan termasuk cacat anggota, penglihatan dan pendengaran. Pendermaan juga mesti berlaku dengan izin di mana penderma mempunyai kelayakan penuh untuk melaksanakannya. Oleh itu tidak boleh diambil kira keizinan yang diberi oleh kanak-kanak dan orang gila serta orang yang dipengaruhi oleh tekanan perasaan dan kekeliruan. Bagi penderma yang telah meninggal dunia keizinan mesti telah diberikan dalam bentuk wasiat atau ikrar derma organ dan bagi kematian akibat kemalangan keizinan dari ahli waris adalah diperlukan. Pendermaan yang dibuat mestilah atas dasar keizinan dan pendermaan semata-mata serta tidak mengandungi sebarang unsur jual beli. Di samping itu juga para doktor yang terlibat dalam perawatan ini disyaratkan mempunyai ilmu dan kebolehan yang mencukupi untuk membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap penderma dan penerima selaras dengan prinsip maslahah dan mafsadah dalam syariat Islam.[11]

Di Malaysia, organ yang mula dipindahkan ialah mata (kornea). Bagi rawatan pemindahan ginjal ianya telah bermula pada bulan Disember 1975 apabila seorang ahi perniagaan dari Sarawak menerima ginjal dari adiknya. Pemindahan hati telah dmulakan pada bulan Mac 1995 dan pada Disember 1997 satu pembedahan jantung telah berjaya dijalankan di Institut Jantung Negara.[12]



KAEDAH-KAEDAH FIQH YANG BERKAITAN

Terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh diguna pakai dalam menentukan keharusan hukum mengenai  isu pemindahan dan pendermaan organ  kepada pesakit yang mengalami kegagalan fungsi organ peringkat akhir ini. Tujuan utamanya ialah untuk memenuhi salah satu tuntutan maqasid syar’iyyah iaitu menjaga nyawa manusia disamping mempertingkatkan kualiti hidup penerimanya.    

Antara kaedah fiqh yang dikenal pasti dalam mengharuskan pemindahan dan pendermaan organ adalah, “Kaedah Maslahah Al-Mursalah” iaitu mendatangkan segala bentuk kemanfaatan atau menolak segala kemungkinan  kemudharatan yang merosak. Kemaslahatan ialah perkara yang mendatangkan kebaikan yang tidak didukung oleh dalil syariat atau nas yang terperinci, namun ia mendapat sokongan kuat dari makna secara tersirat sejumlah nas yang ada. Ianya juga termasuk dalam  Maqasid Syar’iyyah  iaitu maslahah yang dikehendaki Allah S.W.T  untuk hambanya yang terdiri daripada memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta secara mutlak. Oleh itu maslahah ini adalah satu keadaan di mana tiada dalil khusus daripada syara’ yang menerangkannya dan tidak ada hukum yang telah dinaskan oleh syara’ yang menyerupainya, yang mana boleh dihubungkan hukumnya melalui dalil Qiyas. Tetapi pada perkara tersebut terdapat satu sifat yang munasabah untuk diletakkan hukum tertentu kepadanya kerana ia mendatangkan maslahah atau menolak mafsadah (perkara yang mendatangkan kerosakan).

Di dalam Maslahah Al-Mursalah beberapa kriteria ditetapkan agar tidak terjadi penetapan hukum berdasarkan nafsu. Syarat-syarat yang perlu dipatuhi ialah maslahah mestilah selari dengan tujuan syariat, tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip dasar, dan tidak terpesong dari garis ketentuan dalil-dalil yang qat’ie. Selain dari itu kemaslahan tersebut adalah kemaslahan yang rasional, maksudnya secara logik terdapat tuntutan wujud kemaslahatan terhadap penentuan hukum. Maslahah yang menjadi acuan penentuan hukum haruslah bersifat universal atau menyeluruh, bukan untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu kerana hukum-hukum syariat dilaksanakan untuk semua manusia. Dari segi aplikasi kaedah ini, pemindahan organ sebagai langkah untuk menyelamatkan nyawa boleh dikategorikan sebagai  maslahah daruriyat di mana penerima organ boleh sembuh dan kembali hidup seperti normal. Ia juga dapat menghilangkan kesakitan dan keperitan yang harus ditanggung penerima organ dan mengurangkan kos rawatan dan perbelanjaan berkaitan dengan rawatan. Tambahan pula kesan sampingan pada penderma dipastikan pada tahap minimal. Di samping itu ia juga boleh dilakukan pada siapa saja tidak kira umur, jantina, bangsa ataupun agama (universal). Oleh itu kaedah pemindahan organ ini  adalah bertepatan dengan hadith Rasululllah (saw) yang menjanjikan adanya penawar bagi setiap penyakit kecuali tua dan mati (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Kaedah الأصل فى الاشياء الاباحة حتى يدل الدليل على التّحريم    iaitu “Asal pada kebanyakan perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan ianya haram” adalah juga antara kaedah yang boleh digunakan dalam isu ini.  Pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara spesifik di dalam al-Quran mahupun Sunnah kerana kaedah ini merupakan perkembangan yang baru dalam dunia perubatan. Para ulama telah bersepakat bahawa pemindahan organ adalah diharuskan. Di samping itu tiada persepakatan sama ada isu ini diterima atau ditolak berdasarkan daripada sumber nas yang qat’ie.  Namun begitu keharusan pemindahan organ ini adalah apabila tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit. Ianya juga diharuskan  sekiranya tidak mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (yang masih hidup).

 الأمور بمقاصدها  iaitu  “Segala perkara itu bergantung kepada tujuan” adalah satu lagi  kaedah yang boleh diguna pakai  dalam isu ini.  Tujuan pemindahan organ adalah bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka yang menderma organnya untuk menyelamatkan nyawa manusia lain adalah dianggap sebagai membuat kebajikan sepertimana mereka yang mendermakan harta. Rasulullah (saw) bersabda yang bermaksud :

انما الأعمل بالنيات. وانما لكل امرئ ما نوى
Maksudnya;
“Sesungguhnya amalan-amalan  itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang diniatkan”
(Hadith sahih diriwayatkan oleh imam-imam Muhadithin yang 6)

Islam mensyaratkan pendermaan dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang yang sakit semata-mata kerana Allah SWT. Ia bukannya bertujuan untuk jual beli ataupun mendapat ganjaran.

Kaedah  الضّرر يزال   iaitu “Kemudharatan hendaklah disingkirkan”  adalah satu lagi kaedah yang boleh digunakan. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 32:

ومن احياها فكأنّما احيا النّاس جميعا
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya”

Ganjaran yang Allah SWT janjikan dalam menyelamatkan nyawa manusia adalah amat besar. Sehubungan dengan itu pemindahan dan pendermaan organ adalah merupakan bentuk usaha yang diharuskan untuk menyelamatkan  nyawa seseorang daripada kebinasaan.

Yusuf al Qaradhawi berpendapat  bahawa walaupun diri manusia itu adalah amanah Allah, namun manusia diberikan kuasa untuk menguruskan dirinya. Ia sama seperti harta, meskipun ia suatu amanah Allah tetapi pemiliknya berhak menguruskan hartanya termasuk mendermakannya kepada orang lain. Cuma bezanya ialah seseorang itu boleh mendermakan semua hartanya tetapi tidak semua anggota tubuh badannya.[13]

Kaedah    اذ تعارض مفسدتان روعى اعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما                  iaitu “Apabila bertembung dua kemudharatan, hendaklah diberi perhatian kepada mudharat yang terbesar di antara  keduanya dengan memilih kemudharatan yang lebih ringan” adalah antara kaedah lain yang boleh diguna pakai dalam isu ini. Pemindahan organ yang bertujuan  untuk menyelamatkan nyawa pesakit merupakan tindakan   mengambil  kemudharatan yang lebih ringan iaitu pemindahan organ untuk menggelakkan kemudharatan yang lebih besar iaitu kematian. Ia tidak bertujuan untuk menghina atau menyiksa mayat, kerana apa yang dilakukan  adalah semata-mata untuk menyelamatkan nyawa. Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 71:

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض
   Maksudnya:
“ Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain .”
 

Adalah menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim untuk meringankan beban kesakitan yang dialami oleh pesakit-pesakit berkenaan lebih-lebih lagi jika mereka beragama Islam. Namun terdapat  garis panduan kepada siapa kita boleh mendermakan organ kita. Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi pendermaan yang dibuat hendaklah bukan kepada tentera yang bukan Muslim yang memerangi orang-orang Islam dan juga ke atas Islam, bukan kepada seorang yang murtad dan keutamaan hendaklah diberi kepada orang Islam ke atas yang bukan Islam.[14]

Kaedah     المشقة تجلب التّيسير         iaitu “Kesukaran yang munasabah  menjadi sebab kepada   kemudahan” adalah satu lagi kaedah Fiqh yang boleh digunakan di dalam isu ini. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185:

يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر
 Maksudnya:
“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Allah  menghendaki manusia sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi dalam kehidupan di dunia ini dengan mencari kemudahan dan menyelesaikan segala permasalahan hidup dengan sebaik-baiknya. Oleh itu kesukaran yang dihadapi oleh pesakit kegagalan organ peringkat akhir perlu diatasi dengan memberikan rawatan yang sesuai iaini pemindahan organ sebagai satu kemudahan kepadanya. Namun begitu  Rasulullah (saw) bersabda yang bermaksud:

“Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”.

Oleh itu pemindahan dan pendermaan haruslah menepati syarat-syarat tertentu sebelum boleh dilaksanakan seperti  tidak memudharatkan penderma organ, dilakukan dengan izin penderma, penderma mempunyai kelayakan penuh dan sebagainya.

الضرورة تبيح المحظورات   iaitu “Darurat mengharuskan yang dilarang” adalah antara kaedah fiqh yang agak penting dalam isu ini. Islam memberi kelonggaran atau rukhsah  kepada mereka yang berada dalam keadaan dharurat dari pandangan syarak, melakukan perkara yang haram untuk menghilangkan kemudharatan dengan syarat tidak ada pilihan lain yang halal. Misalnya seseorang yang sangat kelaparan dan tidak menemui makanan halal ditempat terpencil maka dia dibenarkan makan makanan haram seperti daging  babi sekadar  untuk menjaga nyawa iaini  menghilangkan kemudharatan  bagi dirinya. Jadi bagi pesakit kegagalan organ peringkat akhir yang  tidak lagi mampu menanggung  kesusahan  dan pilihan lain yang halal tidak ada,  maka melakukan pemindahan organ  menjadi sebagai ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan nyawanya. Dalam ayat 173 surah al Baqarah, Allah berfirman maksudnya; 

“…maka sesungguhnya terpaksa (kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”

Berdasarkan kaedah ini prosedur pemindahan organ yang hendak dijalankan mestilah menepati syarat-syarat yang digariskan oleh ahli muzakarah jawatankuasa Fatwa seperti dilakukan dalam keadaan mendesak dan mustahak, nyawa bergantung pada pemindahan organ berkenaan dan prosedur itu mempunyai peluang besar untuk berjaya.

Terdapat di kalangan ulama yang tidak mengharuskan pembedahan ke atas mayat kerana menganggap ianya bertentangan dengan syarak, tidak mempunyai unsur-unsur simpati serta tidak pula mendatangkan rahmat. Pendapat ini mungkin merujuk kepada sebuah hadith Rasulullah (saw) yang bermaksud:-
“Memecahkan tulang mayat samalah dengan memecahkannya semasa ia hidup”
(Riwayat Ibn Majah)

Bagaimanapun ulama mutakhir telah mengharuskan pembedahan ke atas mayat dengan tujuan penyelidikan, rawatan bagi suatu penyakit atau bagi menentukan sebab-sebab jenayah dan ini dibuat berdasarkan prinsip darurat.[15]  Sehubungan dengan itu pengambilan organ dari orang yang telah mati tidak boleh dikatakan menganiayakan si mati kerana ianya tidak dilakukan tanpa sebab yang munasabah sebaliknya untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Tanpa organ yang baru, pesakit boleh meninggal dunia dan hal ini boleh dianggap sebagai situasi darurat. Di samping itu prosedur mengambil organ yang penting dari mayat dilakukan oleh doktor yang mempunyai kepakaran di peringkat yang tinggi oleh itu kemungkinan untuk berlakunya kecuaian, kezaliman atau pencabulan kehormatan mayat adalah rendah. Malah Arab Saudi yang dianggap sebuah negara Islam yang konservatif sebenarnya telah mendahului negara-negara lain dalam prosedur rawatan pemindahan organ manusia berbanding negara-negara Islam yang lain.[16]



PERKARA-PERKARA BERBANGKIT DAN ULASAN


Perkara yang ingin dibangkitkan mengenai isu ini bukan untuk mempersoalkan fatwa yang telah dibuat tetapi persoalannya setakat mana syarat-syarat mengenai keharusan hukum itu dipatuhi oleh mereka yang terlibat. Oleh kerana fatwa yang dibuat ini adalah berdasarkan ijtihad dan qiyas, maka ia masih boleh dibincangkan dan tidak perlu bertaqlid kepada pendapat ulama semata-mata.    

Keharusan hukum pemindahan dan pendermaan organ ini adalah untuk memenuhi tuntutan maqasid syar’iyyah iaitu untuk menyelamatkan nyawa manusia dan rawatan yang dilakukan merupakan pilihan terakhir dan dalam keadaan mendesak dan mustahak serta nyawa pesakit bergantung kepada pemindahan berkenaan. Pemindahan yang dilakukan ini juga diyakini akan mendapat kejayaan. Persoalannya adakah benar ia merupakan sebagai pilihan terakhir kerana ia masih boleh diubati  dengan ubat-ubatan, penggunaan alatan dan rawatan di hospital. Pernyataan bahawa nyawa pesakit bergantung kepada pemindahan organ juga sangat mengelirukan kerana pada kenyataannya ribuan pesakit  yang menunggu untuk menjalani pemindahan ini adalah masih dalam keadaan hidup walaupun tidak selesa kerana terpaksa berulang alik ke hospital. Pada hakikatnya pemindahan organ bertujuan meningkatkan kualiti hidup pesakit kerana ajal maut telah ditentukan sejak azali dan tidak mungkin dapat dilambatkan atau dipercepatkan. Di samping itu dari segi tuntutan maqasid syar’iyyah,  menyelamatkan nyawa orang yang dizalimi dan teraniaya yang dalam keadaan terdesak tidak sama kedudukannya dengan ikhtiar untuk merawat orang sakit yang boleh menggunakan berbagai-bagai kaedah perawatan.     

Keadaan dharurat dalam isu pemindahan organ adalah tidak sama dengan keadaan dharurat yang dibolehkan memakan benda haram untuk mengelakkan kematian. Ini kerana keterpaksaan memakan benda haram  akan pasti dapat menyelamatkan nyawa manakala pemindahan organ tidak dapat dipastikan kejayaannya sedangkan syarat keharusan adalah pemindahan yang hampir pasti berjaya. Pada kenyataannya tidak semua pemindahan organ dapat menyelamatkan nyawa penerimanya bahkan pembedahan yang berjaya juga tidak dapat dipastikan tempoh masa organ pindahan dapat berfungsi dengan baik. Kemudharatan yang terpaksa ditanggung oleh penderma hidup dalam  bentuk kesan-kesan sampingan  akibat pembedahan yang dilakukan adalah pasti dan mengambil masa yang lama untuk pulih. Oleh itu setakat mana   pemindahan  organ  memenuhi syarat dharurat  untuk menyelamatkan nyawa manusia dan  setakat mana ianya memenuhi tuntutan maqasid syar’iyyah memerlukan penjelasan yang lebih terperinci.

Hajat yang tidak dipenuhi membawa kerosakan dan kesulitan sementara dharurat yang tidak dipenuhi membawa kebinasaan kerana hajat menepati dharurat juga, sama ada umum atau khusus hajat.  Dalam isu pemindahan organ, hajat adalah dalam bentuk khusus untuk pesakit.  Perlaksanaan pembedahan organ yang berjaya sememangnya memberi manfaat  di mana kualiti hidup penerima organ dapat ditingkatkan, tetapi  dalam keadaan pembedahan yang tidak memenuhi matlamatnya, maka ia berkemungkinan memberi lebih kemudharatan kepada pesakit dan penderma bagi penderma hidup, dan menjadi sia-sia bagi penderma mati.  Jadi ada kalanya kaedah ini mempunyai kaitan dengan isu yang dibangkitkan tetapi ia tidak berlaku secara umum dalam semua kes pemindahan organ. Oleh itu pemindahan organ sepatutnya dibenarkan bagi pembedahan yang dipastikan kejayaannya oleh pakar. Bagi pemindahan kornea mata pula, ia merupakan rawatan untuk tujuan  ta’siniyyah atau untuk keselesaan kerana buta bukan merupakan penyakit yang berkaitan dengan hidup mati manusia.   

Pendermaan perlu dilakukan dengan niat menderma secara sukarela tanpa paksaan, desakan dan tidak di dalam kekeliruan. Kebanyakan penderma membuat keputusan tanpa memikirkan risiko sebenar yang akan ditanggung sebagai penderma hidup atau sesudah mati. Sesetengah penderma juga tidak jelas tentang isu ini dan membuat ikrar derma organ melalui kempen yang dijalankan. Perkara ini boleh dilihat dengan tingginya kadar  penderma di kalangan belia iaitu sebanyak 60 peratus yang mana kebanyakannya belum faham mengenai isu ini dan sekadar ghairah untuk memberi bantuan atau terpengaruh dengan ajakan rakan.[17] Oleh itu dari segi amalan ada kalanya kempen-kempen yang dibuat juga merupakan satu desakan. 

Syarat keharusan pemindahan dan pendermaan organ adalah berdasarkan niat untuk menyelamatkan nyawa pesakit semata-mata tanpa adanya lain-lain niat sampingan. Niat   melibatkan tiga pihak iaitu penerima, penderma dan pihak pakar yang menjalankan pemindahan. Ini bermakna semua pihak yang berkenaan perlu ikhlas  untuk memenuhi tuntutan menyelamatkan nyawa pesakit semata-mata tanpa ada lain-lain niat  dan pesakit sendiri perlu ikhlas menerima ketentuan yang akan berlaku. Dalam kenyataan hidup hari ini adalah sukar untuk dipastikan adanya keikhlasan sebenar dari setiap pihak khususnya dalam isu ini kerana niat penderma mungkin ikhlas tetapi jelasnya pihak pakar tentunya bertujuan untuk mendapat keuntungan dari segi kewangan serta  juga nama baik dan kemasyhuran.       

Unsur perdagangan adalah diharamkan dalam mendapatkan rawatan pemindahan kerana penentuan keharusannya adalah berdasarkan pendermaan semata-mata. Disebabkan adanya permintaan yang tinggi maka ada pihak yang tidak bertanggungjawab  akan mengambil kesempatan membekalkan organ manusia, misalnya buah pinggang untuk mereka yang memerlukannya dengan bayaran yang tinggi. Penyelewengan seperti ini sememangnya  berlaku di mana ada pesakit mendapatkan rawatan di luar negara dengan menggunakan organ yang dibeli.  Jadi pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan perkara ini difahami oleh orang Islam supaya ianya tidak berlaku dengan berleluasa.

Orang yang masih hidup adalah berhak ke atas tubuhnya secara syar’i berdasarkan hukum orang yang dicederakan boleh menerima diyat  dan oleh yang demikian boleh mendermakan sebelah atau sebahagian organnya secara rela dan ikhlas tanpa adanya tekanan dan desakan. Dia perlu memahami dengan jelas ke atas risiko yang perlu ditanggungnya akibat pembedahan pemindahan organ tersebut supaya tidak berlaku penyesalan di hari kemudian. 

Tidak ada dalil yang menunjukkan orang yang telah meninggal dunia boleh mewasiatkan tubuhnya.  Jadi orang yang mati tidak berhak berwasiat menderma organ tubuhnya kerana apabila seseorang itu mati maka tubuhnya bukan menjadi miliknya lagi. Hak orang mati yang menjadi tanggungjawab orang hidup ialah mayat perlu diuruskan dengan baik dan sempurna iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Ahli waris tidak berhak  untuk menderma organ si mati kerana mereka hanya berhak mewarisi harta dan bukan tubuhnya. Berbeza  dengan keharusan mewasiatkan harta dengan kadar tidak melebihi sepertiga bahagian, ia boleh dilakukan kerana dalilnya jelas dari hadith yang sahih.

Keharusan  pemindahan organ dari penderma yang telah meninggal dunia berasaskan kepada kaedah menghindari kerosakan iaitu pemindahan organ kepada pesakit  lebih utama daripada mencari kemaslahatan iaitu memelihara mayat. Perkara ini ada perkaitannya dengan hak pemilikan tubuh, menjaga kehormatan mayat dan penganiayaan ke atas mayat. Mayat juga perlu dijaga kehormatannya serta tidak boleh dianiayai dan disakiti atas apa-apa alasan sekali pun. Hadith dari Rasulullah(saw) dengan jelas menyatakan bahawa menganiayai mayat sama dosanya dengan  menganiaya orang yang hidup. Ini bermakna kemaslahatan mayat perlu dipelihara sama seperti memelihara kemaslahatan orang yang masih hidup. Penyeksaan mayat mempunyai nas yang jelas tentang pengharamannya manakala pemindahan organ bukanlah kerosakan yang perlu diutamakan kerana tiada nas jelas untuk membolehkannya diberi keutamaan. 

Masyarakat Islam di negara ini kurang menerima konsep derma organ dan boleh dilihat dengan rendahnya peratusan orang Melayu  yang membuat ikrar derma organ. Kekurangan sambutan dari orang Islam di negara ini terhadap pendermaan organ berbanding dengan  negara-negara Islam yang lain adalah disebabkan oleh perbezaan budaya di mana orang Melayu sangat menghormati mayat. Tambahan pula penggunaan kaedah fiqh dalam membincangkan isu ini tidak difahami oleh orang awam. Masyarakat Islam perlu terlebih dahulu  berpuashati dalam isu menjaga kehormatan dan kebajikan mayat sebelum mereka dapat menerima budaya derma organ yang ingin dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan kerana isu pemeliharaan mayat mempunyai kepentingan kepada orang Islam.

Walaupun fatwa-fatwa yang ada menentukan bahawa hukum pemindahan dan pendermaan organ adalah harus iaitu bermakna boleh dibuat atau ditinggalkan, namun publisiti yang dikeluarkan di media massa serta kempen-kempen yang dijalankan seolah-olah hukumnya sebagai sunat yang sangat dituntut . Terdapat juga ulama yang mengeluarkan kenyataan yang semakin mengelirukan orang awam seolah-olah pendermaan organ sangat dituntut oleh syarak  sambil mendesak orang ramai menyertai kempen derma organ yang dijalankan sehingga tergamak menyatakan bahawa  pendermaan organ boleh menjadi sebagai bekalan di akhirat bagi orang kurang amalannya.



KESIMPULAN


Mengikut fatwa yang ada, pemindahan dan pendermaan organ ditentukan sebagai harus dengan syarat-syarat tertentu. Walau bagaimanapun masyarakat Islam di negara ini tidak didedahkan dengan syarat-syarat yang ditentukan menyebabkan dalam amalannya keharusan hukum dianggap sebagai tanpa syarat. Oleh yang demikian syarat-syarat keharusan fatwa perlu disertakan setiap kali perkara  ini dirujuk.

Memandangkan hukum pemindahan dan pendermaan organ ini difatwakan sebagai harus, maka sepatutnya tidak perlu dijadikan isu kerana ia boleh dibuat atau ditinggalkan tanpa mengakibatkan dosa dan pahala. Walau bagaimanapun oleh kerana ia melibatkan nyawa manusia dan mayat  orang Islam yang perlu dipelihara kehormatannya, maka hukum-hukum yang ditentukan perlu lebih terperinci dengan mengambil kira masalah-masalah yang mungkin akan timbul berkaitan dengan perkara ini. Oleh itu para ulama bukan sahaja bertanggungjawab membuat fatwa, bahkan perlu memperincikan dengan jelas setiap hukum masalah yang mungkin akan timbul berkaitan dengan perkara ini.



PENUTUP


Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa seberat mana mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Penderitaan  dan kesulitan yang ditanggung hanya di fahami oleh mereka yang terlibat sahaja. Namun dalam usaha untuk membantu pesakit berkenaan, perlu dipastikan tidak ada pihak lain pula yang mendapat kemudharatan sama ada yang masih hidup atau yang telah mati. Para ulama perlu lebih berhati-hati dalam isu ini supaya segala hukum-hukum yang dikeluarkan difahami oleh masyarakat awam dan diamalkan mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan. 




BIBLIOGRAFI


1.    Al-Quranul Karim dan terjemahannya.
2.    Asma Hanim Mahmood (2012), Wanita Ramai Ikrar Derma Organ, Utusan Malaysia.
3.    Hizbut Tahrir Malaysia (2007), Hukum Derma Organ, www.mykhilafah.com.
4.    http://mohamadsofee.blogspot.com/2011/05/realiti-derma-organ.html
5.    Ismail Hj Ibrahim, Dr. Mohamed Ali Albar, Dr. Zaki Morad b. Mohd. Zaher, Dr. Abdul Monir bin Yaacob dan Mohd Fauzi bin Mustaffa, Islam dan Pemindahan Organ (2010), Ed. 2 Institut Kefahaman Islam Malaysia: Kuala Lumpur.
6.    Jabatan Mufti Negeri Selangor (2011), Pendermaan Organ dari Perspektif Islam, MAIS News Disember 2011.
7.    Kementerian Kesihatan (2011), Pemindahan Organ dari Perspektif Islam
8.    Prof. Madya Saleh Hj. Md@Ahmad, IYD 601 Qawaid Fiqhiyyah, Pusat Pendidikan Berterusan, Universiti Malaya.
9.    Unit Perkhidmatan Transplan, Pendermaan Organ Semasa Hidup - Maklumat Untuk Anda, Kementerian Kesihatan Malaysia.




[1] Unit Perkhidmatan Transplan,Pendermaan Organ Semasa Hidup - Maklumat Untuk Anda. Kementerian Kesihatan Malaysia
[2] Ibid
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Asma Hanim Mahmood (2012), Wanita Ramai Ikrar Derma Organ, Utusan Malaysia
[8] Ibid
[9] Kementerian Kesihatan(2011), Pemindahan Organ dari Perspektif Islam

[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Dr. Zaki Morad b. Mohd. Zaher, Rawatan Pemindahan Organ-Status Semasa dan Isu-Isu Berkaitan, Islam dan Pemindahan Organ (2010), Ed. 2 Institut Kefahaman Islam Malaysia: Kuala Lumpur.Hal.8.
[13] Jabatan Mufti Negeri Selangor (2011), Pendermaan Organ dari Perspektif Islam, MAIS News Disember 2011.

[14] http://mohamadsofee.blogspot.com/2011/05/realiti-derma-organ.html
[15] Dr Abdul Monir bin Yaacob dan Mohd Fauzi bin Mustaffa, Konsep Asas Rawatan Pemindahan Organ Menurut Islam, Islam dan Pemindahan Organ (2010),  Ed. 2 Institut Kefahaman Islam Malaysia: Kuala Lumpur, Hal.49.

[16] Ismail Hj Ibrahim (2010), Islam dan Pemindahan Organ, Ed. 2 Institut Kefahaman Islam Malaysia: Kuala Lumpur. Hal. (vii)

[17] Asma Hanim Mahmood (2012), Wanita Ramai Ikrar Derma Organ, Utusan Malaysia





1 comment: