Pages

Wednesday, 21 November 2012

Pembacaan Al-Quran Dan Adabnya




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم



[Artikel ini disusun sebagai hadiah untuk seorang sahabat karib yang menunaikan fardu haji tahun 1433H bagi memenuhi keperluan subjek Pendidikan Akhlak - semoga mendapat haji yang mabrur Ya Ukhti]




1.0              Pendahuluan

Segala puji-pujian hanya untuk Allah yang menurunkan al-Quran sebagai hidayah dan rahmat. Allah SWT mengangkat martabat manusia menjadi mulia menerusi pembacaan dan penghafalan al-Quran. Allah SWT membimbing manusia agar sentiasa mencari keredhaan-Nya. Allah memanggil dan memotivasikan seluruh umat Islam agar bangun, bangkit dan bergerak mendirikan solat serta membaca al-Quran. Firman Allah SWT:

 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡمُزَّمِّلُ (١) قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬ (٢) نِّصۡفَهُ ۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلاً (٣) أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلاً (٤) إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً (٥) إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِىَ أَشَدُّ وَطۡـًٔ۬ا وَأَقۡوَمُ قِيلاً (٦)
 Maksudnya: Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, (3) Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (4) (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (5) Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (6) [1]

Dengan kasih sayang Allah SWT memanggil Rasul-Nya dan seluruh umat Islam yang sedang nyenyak tidur untuk bangun tampil supaya meninggalkan sikap bermalas-malas untuk menunaikan solat tahajud dan untuk meraih kebahagiaan dunia dan akhirat. Untuk membina gerakan dan membangun potensi sumber daya manusia yang dicita-citakan harus ada kerelaan dan keikhlasan untuk meninggalkan tempat tidur dan mencari petunjuk Allah SWT. Ayat di atas juga menyeru umat Islam agar membaca al-Quran dengan tartil yang betul. [2]

Bacaan al-Quran yang dirasmikan oleh Allah hanya bacaan tartil sahaja iaitu bacaan cantik (bertajwid, bertahsin dan bertazyin). Mengikut keterangan Abdullah bin Mas’ud bahawa syarat-syarat mentartilkan bacaan al-Quran itu hanya 5 perkara sebagaimana berikut:[3]

                                i.            Bertajwid (berkaedah tajwid)
                              ii.            Ma’rifatul wuquf (mengetahui tempat waqaf)
                            iii.            Bertazyin (berkaedah tarannum)
                            iv.            Bertahsin (berkaedah kecantikan suara)
                              v.            Berlahjah Arab (berkaedah bahasa Arab)

Allah SWT telah mengurniakan ke atas hamba-hambaNya dengan mengutuskan Nabi-Nya (Muhammad SAW dan menurunkan kitab-Nya (al-Quran) yang tiada didatangi kebatilan dari hadapan atau dari belakang, sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil iktibar atau contoh tauladan daripadanya; iaitu ianya mengandungi banyak cerita dan berita. Dengan adanya al-Quran, nyata dan teranglah bagi umat manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus yang harus dilalui, kerana di dalam al-Quran itu terdapat berbagai-bagai hukum yang membezakan di antara yang halal dengan yang haram. Al-Quran itu laksana cahaya yang menerangi dan manusia akan terselamat daripada kemegahan diri, dan sebagai penawar yang mengubati segala jenis penyakit yang bersarang di dalam hati. Barang siapa berpegang teguh dengan al-Quran, nescaya ia akan terbimbing untuk mendapat petunjuk dan barangsiapa mengamalkan kandungannya nescaya dia akan berjaya dan bahagia. Berfirman Allah di dalam al-Quran:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ (٩)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.” [4]

2.0       Al-Quran

Pengertian al-Quran menurut Abu Mardhiyah ialah al-Quran merupakan kalam Allah berupa Mukjizat[5] yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab [6]dan ditulis dalam beberapa mushaf bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah al-Nas dan diriwayatkan secara mutawatir serta membacanya merupakan satu ibadah.[7]

2.1       Kelebihan al-Quran

Al-Quran adalah kitab suci yang mempunyai banyak kelebihan dan peranannya. Abu Mardhiyah mencatatkan 4 kelebihan al-Quran adalah seperti berikut[8]:
a)      Al-Quran sebagai pensyafaat dan penghujah. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Al-Quran adalah memberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran dihadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka. [9]

b)      Al-Quran sebagai sumber menghampirkan diri kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
 إنَّكُم لاَ تَرْ جِعُونَ إلَى اللهِ بِشَيْءٍ أفْضَلُ مِمَّا خَرَجَ مِنْهُ يَعْنِى القُرْءَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kembali kepada Allah (menghampiri diri kepadaNya) melainkan dengan sesuatu yang terlebih utama datang terus daripadaNya yakni al-Quran.[10]

c)      Al-Quran sebagai cahaya (nur) kehidupan dan bekalan ke akhirat sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zhar r.a:

Maksudnya: Abu Zhar berkata beliau telah meminta Rasulullah SAW memberikannya satu pesanan (yang berpanjangan). Rasululullah SAW bersabda “Semaikanlah rasa takut kepada Allah sesungguhnya takut kepada Allah itu kepala (sumber) bagi segala amalan kebaikan. Abu Zhar meminta supaya Rasulullah SAW menambah lagi. Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah kamu membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya kamu di bumi (dunia) dan bekalan untukmu di langit (akhirat). [11]

d)     Al-Quran sebagai kemegahan bagi Umat Islam. Sabda Rasullullah SAW:
إنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا يَتَبَاهُونَ بَهِ وَإنَّ بَهَاءَ أُمَّتِي وَشَرَفَهَا القُرْءَانُ
Maksudnya: Bagi setiap sesuatu ada kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya. Dan yang menjadi kemegahan dan kebanggaan umatku iaitu al-Quran.[12]

2.2       Kelebihan Membaca al-Quran Dan Mendengar al-Quran

Terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menceritakan tentang kelebihan membaca dan mendengar bacaannya, antaranya adalah seperti berikut:
Maksudnya: Barangsiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh seumpamanya. Tidak aku katakana [Alif Lam Mim] itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.[13]

Dalam hadith yang lain pula, Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا القُرْ ءَانَ فَإنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ القِِيَا مَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Makdsunya: Bacalah olehmu akan al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari qiamat memberi syafa’at kepada pembacanya.[14]

Nabi SAW juga ada bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik ibadat (sunat) umatku iaitu membaca al-Quran.[15]


Manakala ganjaran pahala bagi orang yang mendengar bacaan al-Quran pula, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa mendengar satu ayat dari kitab Allah (al-Quran) maka ia akan menjadi cahaya untuknya pada hari qiamat.[16]


2.3       Kelebihan Belajar Dan Mengajar al-Quran

Terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kelebihan belajar dan mengajarnya kepada orang lain, antaranya seperti berikut:

خيركم من تعلم القرأن و علمه :قال رسول الله صلى الله عليه و سلم

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya” [17]

Hadith Nabi SAW yang menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama ialah:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
Maksudnya: Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."[18]

Hadith Nabi SAW yang menyuruh belajar dan mengajar ilmu agama dan amaran akan hilangnya ilmu agama tersebut ialah:
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي والدارقطني)

Dari Ibnu Mas'ud ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;  pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".[19]


2.4       Keutamaan Menangis Semasa Membaca al-Quran

Menangis dikala bertilawah dan berzikir itu merupakan satu sifat atau cirri-ciri kalangan ‘Aarifin (si hamba yang mengenali Allah).[20] Juga merupakan suatu lambing hamba-hamba Allah yang soleh dimana Allah berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ مِن قَبۡلِهِۦۤ إِذَا يُتۡلَىٰ عَلَيۡہِمۡ يَخِرُّونَ لِلۡأَذۡقَانِ سُجَّدً۬ا (١٠٧) وَيَقُولُونَ سُبۡحَـٰنَ رَبِّنَآ إِن كَانَ وَعۡدُ رَبِّنَا لَمَفۡعُولاً۬ (١٠٨) وَيَخِرُّونَ لِلۡأَذۡقَانِ يَبۡكُونَ وَيَزِيدُهُمۡ خُشُوعً۬ا ۩ (١٠٩)
Maksudnya: …. sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); (107) Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. (108) Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk. (109)[21]

Imam al-Qurtubi r.a di kala menjelaskan ayat 109 di atas, menulis : ini merupakan suatu gambaran yang memuncak dalam menyifati ahli-ahli ilmu dan memuji mereka; dan merupakan suatu milik yang tampak bagi setiap tokoh ilmu di mana dia dapat menghasilkan sesuatu yang dapat menyampaikan ke martabat ini, maka insan demikian akan takut dan tunduk serta merendah diri di kala mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Menurutnya lagi, dalam ayat ini terdapat dalil yang mengharuskan menangis dalam solat ekoran takutkan Allah SWT atau takutkan terjerumus dalam maksiat. Menangis sedemikian tidaklah pula memebatalkan solat dan tidak pula memudaratkannya. [22]

Menurut Abdullah Al-Qari di dalam bukunya “Mari Membaca al-Quran Dengan Menangis” menyatakan bahawa terdapat beberapa jenis tangisan semasa membaca al-Quran iaitu[23]:

                                                        i.            Menangis sebab takut dan gerun akan seksa Allah SWT;
                                                      ii.            Menangis sebab gembira dan sukacita akan balasan dan ganjaran syurga;
                                                    iii.            Menangis sebab cinta dan rindu akan ayat-ayat al-Quran; dan
                                                    iv.            Menangis sebab rasa lemah dan dhaif berbanding sifat dan zat Allah SWT

Sifat tangisan Nabi SAW adalah berdasarkan hadith berikut:
Maksudnya: Abdullah bin Mas’ud ra pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya: “Bacakan al-Quran kepadaku!” Maka saya menjawab, “Wahai Rasulullah (wajarkah) saya membaca al-Quran, sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada tuan? Jawab Rasulullah “Ya, sesungguhnya saya gemar mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain” Maka saya pun membaca Surah An-Nisaa’ sehingga ayat ini…”

فَكَيۡفَ إِذَا جِئۡنَا مِن كُلِّ أُمَّةِۭ بِشَهِيدٍ۬ وَجِئۡنَا بِكَ عَلَىٰ هَـٰٓؤُلَآءِ شَہِيدً۬ا
Maksudnya: Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini? [24]

Lalu tiba-tiba Rasulullah bersabda: حسبك الآن (Maknanya: cukuplah (bacaan) engkau, sekarang!). Ibnu Mas’ud menceritakan: Tiba-tiba dua kelopak mata Baginda SAW mengalirkan air mata”.[25]

Adalah sifat menangis Nabi SAW termasuk dalam sifat ketawanya. Baginda tidalah menangis tersedu-sedu dan tidak pula dengan mengangkat suara, iaitu sebagaimana sifat ketawa beliau yang tidak pernah ketawa terbahak-bahak. Akan tetapi Baginda SAW menangis dalam bergenang dua kelopak matanya sehingga dia mengalir berhamburan dan dapat pula didengar bunyi menggelegak dalam dada beliau. [26]


3.0       Pembacaan Al-Quran Dan Adab-Adabnya

Sebagaimana firman Allah seperti mana yang dinyatakan dihalaman 5 di atas, di antara sebab-sebab yang menentukan terpeliharanya al-Quran di dalam hati sanubari dan di dalam mashaf-mashaf, ialah mengamalkan pembacaannya selalu dan mendalami maksud-maksudnya terus-menerus dengan memerhatikan adab-adab dan syarat-syaratnya, kemudian menurut segala arahan yang terkandung di dalamnya tentang amalan-amalan kebatinan dan tata kesopanan yang lahir. Yang demikian itu amatlah penting sekali untuk diterangkan dan diperincikan seperti berikut:

3.1       Adab-Adab Pelajar al-Quran

Berikut adalah diperturunkan beberapa adab pelajar al-Quran:
a)      Ikhlaskan hati kerana Allah SWT. Sabda Nabi Muhammad SAW:

مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أوْ يُكَاثِرَبِهِ العُلَمَاءَ أوْ يَصْرِفَ بِهِ
وَجُوهَ النَّاسِ إلَيْهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِِنَ النَّارِ
Maksudnya: Barangsiapa menuntut ilmu kerana mahu bertelagah dengan orang bodoh atau bertanding untuk dari segu banyaknya ilmu dengan para ulama ataupun untuk memalingkan perhatian orang ramai terhadapnya maka hendaklah dia sediakan tempat duduknya daripada api neraka. [27]


b)      Merendah diri dengan guru dan bersopan dengannya walaupun guru lebih muda, kurang masyhur dan sebagainya. Kata Ibnu Abbas:

ذَلَلْتَ طََالِبًا فَعَزَزْتَ مَطْلُوبًا
Maksudnya: Kamu hina ketika menuntut (memerlukan) tetapi kamu mulia ketika dituntut (diperlukan).[28]


c)      Belajar daripada guru yang sempurna keahliannya dan diyakini ilmunya. Telah berkata ulama’ salaf antaranya Imam Malik dan Ibnu Sirin:[29]

هذا العلم دين فانظروا عمن تاخذون دينكم
Maksudnya: Ilmu ini sebagai agama, maka lihatlah daripada siapa yang kamu akan mengambil agama kamu.

d)     Belajar bersungguh-sungguh berdasarkan kemampuan dan mengambil berat terhadap pelajaran. Sabda Nabi Muhammad SAW:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقَا يَاتَمِسُ فِيهِ عَلْمًا سَهَّلَ اللهُ بِهِ طَرِيقَا إلَى الجَنَّهِ
Maksudnya: Barangsiapa (bersusah payah) merintis jalan kerana menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.[30]

e)      Sepatutnya pelajar datang menemui gurunya dan beradab ketika menemuinya serta memandangnya dengan pandangan yang penuh hormat. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Ditimbangi dakwat ulama’ dan darah para syuhada’ maka lebih berat pahala dakwat ulama’ daripada pahala darah para syuhada’. Barangsiapa menziarahi orang alim maka seolah-olah ia menziarahiku dan barangsiapa yanag berjabat tangan dengan para ulama’ maka seolah-olah ia berjabat tangan denganku. Dikatakan kepada orang alim berilah syafa’at pada pelajar-pelajarmu walaupun bilangan mereka sejumlah bintang dilangit.[31]

Namun begitu terdapat juga beberapa adab lain sebagai pembaca a-Quran yang boleh penulis ringkaskan seperti di jadual 1 di bawah:

Adab sebelum membaca
Al-Quran
Adab semasa membaca
al-Quran
Adab selepas membaca
Al-Quran
§  Berwuduk
§  Berpakaian bersih dan menutup aurat
§  Duduk dengan tertib
§  mengadap kiblat
§   ikhlas kerana Allah S.W.T.

§  Memohon perlingungan  dari gangguan syaitan. Dengan membaca :

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم

§  Membaca "Basmallah"
§  Membaca dengan bertajwid 
§  Membaca dengan khusyuk : Ddgn memberi tumpuan ,  pemikiran dan perasaan kepada ayat yang  dibaca
§  Sujud tilawah selepas membaca ayat  sajadah

§  Menutup Al Quran dengan cermat  &  berdoa

§  Mencium dan mengucup Al Quran

§  Membawanya dengan  penuh hormat

§  Meletaknya  di tempat yang  sesuai

Jadual 1: Ringkasan Lain-Lain Adab Berkaitan Dengan Pembacaan al-Quran


3.2       Adab-Adab Guru al-Quran[32]

Manakala adab-adab guru al-Quran terhadap muridnya menurut Abu Mardhiyah adalah seperti berikut:

a)      Ikhlaskan niat kerana Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

إنما الأعمال بانيات وإنما لكل امرئ مانوى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap amalan seseorang itu mengikut apa yang diniatkan. [33]


b)      Menjauhi perasaan bermegah-megah dengan ramainya bilangan murid. Imam Syafie pernah berkata:
Maksudnya: Aku ingin semua makhluk yang telah belajar ilmu ini (ilmu dan kitab-kitabnya) agar tidak disandarkan kepadaku walaupun satu huruf daripadanya.[34]

c)      Menjauhi perasaan membenci murid yang pergi belajar kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:
أوثق عرى الإيمان الحب فى الله عز وجل والبغض فى الله

Maksudnya: Tali hubungan keimanan yang paling kuat iaitu cinta (sayang) kerana Allah dan marah (benci) kerana Allah.[35]

d)     Berakhlak dengan akhlak terpuji. Sabda Nabi Muhammad SAW:
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.[36]

e)      Berlembut dengan pelajar. Sabda Nabi Muhammad SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya manusia akan menjadi pengikut bagi kamu dan sesungguhnya beberapa lelaki akan datang kepada kamu dari merata pelusuk bumi untuk memahami agama, maka apabila mereka datang kepada kamu maka hendaklah kamu menerima pesananku agar kamu berbuat baik kepada mereka.[37]


f)       Menasihati pelajarnya supaya berbuat kebaikan. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: bagi siapa? Beliau bersabda bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasulNya dan bagi imam-imam kaum muslimin serta bagi orang awam di kalangan mereka. [38]


g)      Mengajar mengikut kemampuan murid dan mendidik secara beransur-ansur. Kata Ibnu ‘Abbas:
أمرت أن أكلم الناس على قدر عقولها
Maksudnya: Aku disuruh bercakap dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal fikiran mereka. [39]


h)      Mendahulukan pelajar yang datang dahulu dan sebaliknya serta mengambil berat terhadap pelajaran mereka

i)        Tidak patut menolak seseorang untuk belajar dengannya dengan alasan hatinya tidak ikhlas.



4.0       Kesimpulan

Wajib bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya. Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya. Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya. Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat, dijauhi syaitan, selesa kehidupan ahli rumah tersebut, banyak kebaikan, kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan, dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Sebenarnya segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu."

Selain pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.






Rujukan


1.      Al-Quran dan Terjemahan

2.      Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim – Riwayat Toriq al-Syatibi, Jilid 1 & 2, Al-Jenderaki Enterprise, Kuala Lumpur, 2012

3.      Abdullah Al-Qari bin Hj Salleh, Mari Membaca Al-Quran Dengan Menangis, Al-Hidayah Publications, Kuala Lumpur, 2010

4.      Dato’ Sheikh Haji Ismail bin Muhammad al-Hafiz, Imej dan Penampilan Diri Para Huffaz, Jurnal Al-Quran, Bil 10, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Lumpur, 2006

5.      Mohd Nor bin Besar, Kepentingan Tilawah Dan Tajwid Dalam Pengajian Tahfiz, Jurnal Al-Quran, Bil 10, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Lumpur, 2006

6.      Mohd Salleh Abdul Razak, Sehingga Al-Quran Terpahat Di Hati, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2011


[1] Surah al-Muzzammil 73: 1-6
[2] Dato’ Sheikh Hj Ismail bin Muhammad al-Hafiz, Imej Penampilan Diri Para Huffaz, Jurnal Darul Quran, hlm 2
[3] Mohd Nor bin Besar, Kepentingan Tilawah dan Tajwid Dalam Pengajian Tahfiz, hlm 83
[4] Surah al-Hijr 15:9
[5] Apabila disebut “kalam Allah berupa Mukjizat”, maka terkeluarlah daripada Hadis Qudsi
[6] Apabila disebut “yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab, maka terkeluarlah daripadanya kitab-kitab yang terdahulu iaitu kitab Taurat, Zabur dan Injil.
[7] Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim – Riwayat Toriq al-Syatibi, Jilid 1 & 2, hlm 2
[8] Ibid, hlm 43
[9] Hadith Riwayat Ibnu Hibban
[10] Hadith Riwayat al-Hakim
[11] Hadith Riwayat Ibnu Hibban
[12] Hadith Riwayat Abu Na’im
[13] Hadith Riwayat al-Tirmidzi
[14] Hadith Riwayat Muslim
[15] Hadith Riwayat al-Tirmidzi
[16] Hadith Riwayat Ahmad
[17] Hadith Riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ahmad, Ibn ‘Asakir

[18] Hadith Riwayat Abu Zhar
[19] Hadith Riwayat Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni
[20] ‘Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh, Mari Membaca al-Quran Dengan Menangis, hlm 6
[21] Surah Al-Israa’ 17: 107-109
[22] Al-Akhaam al-Quran 10:341
[23] ‘Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh, Mari Membaca al-Quran Dengan Menangis, hlm 9 - 10
[24] Surah An-Nisaa 4: 41
[25] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim
[26] ‘Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh, Mari Membaca al-Quran Dengan Menangis, hlm 10
[27] Hadith Riwayat al-Tirmidzi
[28] Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim – Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi, hlm 56
[29] Beliau adalah Abu Bakar Muhammad bin Sirin al-Bashri. Dilahirkan pada 33H dan meninggal dunia pada 110H
[30] Hadith Riwayat Muslim
[31] Hadith Riwayat al-Dailami
[32] Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi, hlm 58
[33] Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
[34] Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi, hlm 58
[35] Hadith Riwayat al-Tabrani
[36] Hadith Riwayat al-Bazzar
[37] Hadith Riwayat al-Tirmidzi
[38] Hadith Riwayat Muslim
[39] Abu Mardhiyah, Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Aashim Riwayat Hafsh Toriq al-Syatibi, hlm 60

No comments:

Post a Comment