Pages

Monday, 3 December 2012

Beberapa Aspek Akhlak Dalam Surah Luqman



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




1.0       Pendahuluan

Pendidikan keibubapaan adalah kombinasi antara melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan memiliki keperibadian ibu bapa yang baik. Corak pendidikan yang dilaksanakan oleh ibu bapa sangat mempengaruhi perkembangan pendidikan anak-anak pada masa hadapan. Ibu bapa juga dianggap sebagai pemberi contoh yang awal kepada anak-anak. Hal ini disebabkan segala pengajaran dan pengalaman yang mereka terima melalui interaksi dengan ibu bapa bermula sejak hari pertama kelahiran lagi. Pendidikan dan pengalaman ini bersemadi dalam jiwa sebelum mereka keluar berinteraksi dengan individu lain. Kesempurnaan pendidikan yang diterima akan melahirkan insan yang baik serta bertanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara. Justeru Islam telah menyediakan kaedah pendidikan yang mantap dan sesuai untuk sepanjang zaman seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran.

Di dalam penulisan esei ini, penulis akan cuba membentangkan beberapa aspek akhlak oleh Luqman Al-Hakim kepada anaknya dan keutamaan akan diberi daripada ayat 12 hingga 19 daripada Surah Luqman. Sebagaimana firman Allah SWT:

 A034


Maksudnya: Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. [1]

Begitulah fiman Allah SWT yang telah menukilkan kisah-kisah dalam al-Qur’an adalah sebenar-benarnya kisah. Berdasarkan firman Allah Ta’ala dalam ayat 34 surah An-Nur di atas Allah SWT telah mengangkat kisah-kisah kaum yang terdahulu untuk kita mengambil iktibar.[2].

Gaya bahasa Al-Quran dalam mendidik merupakan gaya bahasa yang spesifik, iaitu gaya bahasa yang tidak hanya menggunakan bentuk atau susunan tunggal, tetapi menggunakan susunan yang bervariasi. Penyampaiannya dapat di mengertikan oleh akal fikiran dan dapat menyentuh qalbu tanpa adanya unsur pemaksaan kehendak. Seseorang yang membaca Al-Quran akan menemukan berita-berita baru di dalamnya, gaya bahasa yang indah dan sarat dengan ilmu pengetahuan dan pemikiran ilmiah.[3]

Pengetahuan dan peradaban yang terkandung di dalam Al-Quran adalah ilmu pengetahuan yang bersifat “multi-disipline” yang melibatkan akal dan qalbu manusia dalam perolehannya[4]. Ini kerana kisah-kisah tersebut pasti sesuai dengan dan relevan sepanjang zaman.Justeru itu, kisah-kisah tersebut merupakan kisah-kisah terbaik untuk kita jadikan pedoman dan tauladan. Semoga kita dapat meningkatkan iman serta dapat memperbaiki hati, amal dan akhlak. Insyaallah.



2.0       Latarbelakang Surah Luqman

Surah Luqman merupakan surah yang ke 31 mengikut susunan di dalam al-Quran dan mengandungi 34 ayat[5]. Surah ini dinamakan Luqman kerana terdapat kisah tentang Luqman al-Hakim yang telah diberikan oleh Allah SWT permata hikmah iaitu kebijaksanaan, dikurniakan dengan makrifat tauhid yang menyebabkan beliau menjadi seorang yang abid. Beliau juga memiliki akhlak yang terpuji dan sentiasa menjauhkan diri daripada perkara-perkara buruk serta mungkar [6].

Surah Luqman termasuk dalam kumpulan surah-surah Makkiyyah kecuali ayat 27, 28 dan 29 ayat Madaniyyah. Manakala ayat 34 turun selepas surah al-Saffat[7]. Surah Luqman menjelaskan tentang Luqman al-Hakim dengan wasiat yang kekal untuk anaknya. Anaknya bernama An’am atau Mushkam[8] dan Tharan[9].


2.1       Asbab Al-Nuzul

Nadh Ibn al-Harith telah membelanjakan hartanya kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan. Beliau telah pergi ke Parsi untuk mendapatkan pelbagai kisah-kisah dongeng dan berbentuk humor. Kemudian dia menemui kaum Quraisy lalu menceritakan hikayat-hikayat yang beliau perolehi kepada kaum Quraisy tersebut.

Lalu Nadh Ibn al-Harith berkata, “Sesungguhnya Muhammad menceritakan kepada kamu tentang kaum ‘Ad dan Thamud, dan aku menceritakan kepada kamu tentang Rustum, Isfindiyar dan golongan bangsawan”.

Kaum Quraisy menjadi asyik dengan cerita dongeng tersebut sehingga tidak mahu mendengar al-Quran.[10]


2.2       Siapakah Luqman Al-Hakim

Al-Quran tidak menjelaskan tentang biodata Luqman Al-Hakim, sebaliknya hanya sekadar memperincikan kata-kata hikmahnya yang begitu murni dan amat bernilai. Seandainya biodata Luqman merupakan sesuatu yang penting, sudah tentu ianya sudah dipaparkan di dalam Al-Quran[11].

Meskipun demikan penulis berpendapat tidak salah jika kita menghimpunkan maklumat yang terdapat di dalam kitab-kitab para ahli mufasirin tentang Luqman Al-Hakim.

Terdapat riwayat yang mengatakan bahawa anak Luqman Al-Hakim tidak memeluk agama Islam. Justeru itu, beliau menyeru supaya anaknya mengEsakan Allah SWT dan tidak mensyirikkanNya. Luqman terus memberi nasihat sehinggalah anaknya memeluk agama Islam. Demikian juga halnya dengan isteri Luqman. [12] Diriwayatkan bahawa seorang yang berkulit hitam telah datang kepada Sa’id Ibn Musaiyib dan bertanya kepada beliau. Lalu beliau menjawab : Janganlah bersedih lantaran kulitmu berwarna hitam. Sesungguhnya terdapat tiga orang (berkulit hitam) yang berada dalam golongan manusia yang terbaik iaitu Bilal, Muhajji (hamba kepada Umar Ibn Al-Khattab) dan Luqman Al-Hakim.[13]

Jumhur ulama mengatakan bahawa Luqman Al-Hakim bukannya nabi tetapi menyatakan bahawa beliau seorang yang bijaksana. Diberikan hikmah kepadanya iaitu kelebihan pada akal, kecerdikan dan perkataan atau kata-kata yang memberi kesan mendalam kepada manusia. [14]


3.0       Konsep Penekanan Pendidikan Oleh Luqman Al-Hakim

Di bab ini, penulis akan membentangkan konsep pendidikan yang dilakukan oleh Luqman Al-Hakim sebagaimana yang telah diangkat oleh Allah SWT akan kisahnya di dalam Al-Quran.

3.1       Prasyarat Menjadi Ibu bapa Yang Berkualiti

Prasyarat untuk menjadi ibu bapa yang berkualiti ialah:

a.            Berhikmah (ilmu agama)
b.            Bersyukur (bertaqwa)
c.            Contoh tauladan yang baik.

Proses mendidik anak-anak dengan ilmu akidah, ibadah dan akhlak sangat bergantung rapat dengan keperibadian ibu bapa. Para ibu bapa mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang persoalan tersebut sebelum mendidik anak-anak mereka. Islam meletakkan pra-syarat supaya ibu bapa mempunyai ilmu dalam mendidik anak-anak. Ini telah diungkapkan dalam ayat 12, firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا لُقۡمَـٰنَ ٱلۡحِكۡمَةَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan hikmat kebijaksanaan kepada Luqman.

Hikmah ialah berpegang teguh kepada kebenaran ilmu dan beramal dengan ilmu
tersebut. Hikmah daripada Allah SWT ialah mengetahui sesuatu perkara dan beramal bersungguh-sungguh. Rentetan daripada itu sesetengah manusia mendapat hikmah atau makrifat tentang hakikat kewujudan sesuatu perkara yang menyebabkannya mengerjakan amal kebaikan sahaja. Hal ini demikian yang disifatkan kepada Luqman al-Hakim di dalam ayat ini.[15]

Pada pendapat Qatadah r.a. hikmah dalam ayat di atas ialah menguasai ilmu-ilmu Islam[16]. Hikmah juga bermaksud melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ketuhanan dan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik.[17]


3.2       Menggunakan Pendekatan Kasih Sayang

Pendidikan hendaklah berterusan dan menggunakan pendekatan kasih sayang. Firman Allah SWT melalui Luqman yang mendidik anaknya: 

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُ ۥ يَـٰبُنَىَّ  (١٣)

Maksudnya: " dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku,…..[18]

Ini menunjukkan bahawa Islam amat menekankan pendekatan yang lemah lembut dalam proses pendidikan anak-anak. 


3.3       Aspek Akidah

Hubungan manusia dengan Allah SWT adalah sangat penting. Hubungan tersebut juga dikenali sebagai hubungan hamba dengan Penciptanya. Luqman al-Hakim menekankan pendidikan hubungan dengan Allah SWT mencakupi pendidikan tentang akidah yang berkaitan dengan larangan syirik, kepercayaan kepada hari akhirat, gesaan melaksanakan taubat dan mendirikan solat. Firman Allah SWT di dalam surah Luqman: 

 A012

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)". Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.[19]

Persoalan akidah diungkapkan melalui larangan Luqman al-Hakim kepada anaknya agar jangan menyekutukan Allah SWT Takrif syirik ialah sebarang pernyataan atau ungkapan yang meletakkan kedudukan Allah SWT setaraf dengan makhluk sama ada pada zat, sifat, mengingkari kewujudan Allah SWT atau menyifatkan Allah SWT dengan sesuatu sifat kekurangan. Justeru janganlah mempersekutukan Allah SWT di dalam ibadat, percakapan, perbuatan sebaliknya ikhlaslah kamu semua terhadap tuhan yang menciptakan kamu iaitu Allah SWT. 

 A013
  
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".[20]

Al-Syahid Syed Qutub menyatakan: Ini adalah suatu nasihat yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Seorang ayah sudah pasti mahukan kebaikan untuk anaknya. Perkara yang terungkap adalah semata-mata nasihat. Luqman al-Hakim menegah anaknya daripada syirik di samping menjelaskan sebabnya; syirik adalah kezaliman yang besar. Untuk menguatkan lagi perkara ini, Luqman telah mengulangi kalimah syirik sebanyak dua kali. Inilah suatu hakikat yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW bersama kaum Quraisy. Misi dakwah Nabi Muhammad SAW telah diprotes. Ramai yang mempersoalkan matlamat sebenar dakwah Rasulullah SAW. Mereka khuatir dan bimbang kemungkinan berlakunya rampasan kuasa demi meninggikan dan melebihkan martabat diri Baginda mengatasi orang lain. Inilah hakikat silam yang berlaku ke atas lisan sesiapa sahaja yang Allah SWT berikan hikmah. Matlamat sebenar yang diinginkan ialah semata-mata kebaikan, bukan suatu yang lain. Inilah sentuhan kejiwaan yang kita inginkan.[21]

Mesej besar yang Allah SWT sampaikan di dalam ayat di atas adalah asas utama dalam pendidikan iaitu mengenal Allah dan tidak mensyirikkanNya. Firman Allah SWT melalui Luqman sebagai seorang pendidik yang terbaik. Contoh-contoh syirik kepada Allah ialah melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan bukan kerana Allah Azza wajalla.

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya dia mempelajarinya untuk mendapat keredhaan Allah, tetapi ia tidak belajar melainkan hanya untuk mendapat habuan dunia, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga. [22]
            

3.4       Aspek Ibadah

Pemangkin kepada pendidikan Islam setelah mengenal Allah ialah mendirikan solat dan menyuruh yang ma'aruf serta mencegah kemungkaran. Firman Allah SWT melaui pendidik terbaik Luqman al-Hakim :

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ‌ۖ
إِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (١٧)

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.[23] 

            3.4.1    Solat

 Kedudukan ibadah solat dalah sangat tinggi dan agung dalam Islam. Di antara dalil-dalil yang membuktikan bahawa solat adalah ibadah yang paling utama dalam kehidupan insan ialah:

رَأسُ الأمْر اْلأِسْلآمُ:عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ الّلهُ عَنْهُ أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللّهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ قَالَ,  
 وَذَرْوَة سَنَامِهِ اَلْجِهَادُ , الصَّلآهْ وَعَمُوْدُهُ

Maksudnya: Daripada Muaz r.a. bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad. [24]

Oleh itu kedudukan solat sangat tinggi “rankingnya” dalam kehidupan umat Islam, maka diwajibkan kepada semua umat Islam agar mendirikan solat lima kali sehari sebagai ibadah harian dan ianya dilakukan secara berulang-ulang kali. 

Solat adalah hubungan di antara hamba dan PenciptaNya. Ianya berlaku secara langsung sebanyak lima kali sehari semalam. Solat juga diperintahkan kepada ibu bapa di dalam proses pendidikan awal anak-anak seawal umur tujuh tahun. Sabda Rasulullah SAW menerapkan pendidikan rohani kepada anak-anak dengan ibadah solat:        

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ

Maksudnya: Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah SAW: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.

Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa ibadah menurut Islam tidak terbatas kepada empat perkara ini sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara halal haram sejak mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa yang beragama yang dapat mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menunjuk ajar anak-anak kita perbezaan baik dan buruk, masalah halal dan haram, antara hak dan batil. Di samping itu, ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti melakukan apa yang dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. [25]

Mesej besar yang Allah SWT sampaikan kepada kita melalui surah Luqman ini ialah Islam menekankan pendidikan rohani iaitu ibadah solat semenjak kita kecil iaitu semasa berusia tujuh tahun agar makhluk insan sentiasa takut kepada Allah SWT, meninggalkan apa yang dilarang dan solat menjadi benteng kepada manusia.


            3.4.2    Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar

Hukum melaksanakan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah wajib.  Kewajipan ini merupakan satu daripada kewajipan asas dalam Islam.  Terdapat banyak dalil Al-Quran dan Hadis Nabi tentang kewajipan ini.  Dalam karya fiqh klasik, istilah Amar Makruf Nahi Mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam Al-Quran, perkataan Amar Makruf dan Nahi Mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali[26]. Firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٠٤)

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. [27]

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُم‌ۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ (١١٠)

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (110) [28]

Perbuatan meninggalkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar akan mengundang murka dan azab Allah di dunia dan di akhirat dalam bentuk laknat dan dijauhkan dari rahmat Allah seperti doa orang yang baik tidak lagi dimakbulkan Allah, seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat  Al-Quran dan  hadith-hadith berikut :

لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ (٧٨)

Maksudnya: Telah dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israel melalui lisan Daud dan Isa Ibn Maryam, kerana mereka tidak melarang kemungkaran yang mereka lakukan...’[29]


3.5       Aspek Akhlak

Akhlak atau budi perkerti yang mulia merupakan pancaran kepada prinsip ajaran Islam yang sangat dituntut kepada setiap individu muslim. Akhlak yang baik adalah himpunan nilai-nilai dan sifat-sifat yang terpuji pada seseorang. Ia menjadi asas perhubungan manusia yang dapat menjamin keselamatan, keamanan, kebahagiaan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.  Beberapa penekanan dari sudut akhlak yang Allah SWT angkat di dalam surah Luqman adalah seperti berikut:

3.5.1    Berbuat baik kepada Ibu bapa

Pengiktirafan Allah SWT terhadap pengorbanan para ibu bapa terbukti melalui ayat-ayat Al-Quran yang menekankan perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Hal ini demikian dapat dilihat dalam ayat-ayat Al-Quran yang mengaitkan perintah berbakti atau berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan ibadah tauhid kepadaNya seperti yang tercatat dalam surah Luqman ayat 14:

 A014
 
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).[30]

Allah SWT telah memerintahkan agar manusia berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. Disebut dalam sebuah hadith yang bermaksud: “Siapakah manusia yang lebih berhak untuk kita berbuat kebajikan? Baginda menjawab: “Ibumu”. Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian barulah Baginda SAW menyebut: “Bapamu”.

Ini kerana sifat dan tabiat wanita adalah lemah. Di sudut yang lain, mereka juga dianggap lemah kerana bebanan mengandung, melahirkan dan menyusukan anak dalam keadaan yang menyeksakan. Selain itu, mereka juga lemah berdasarkan apa yang berlaku ke atas diri mereka setiap bulan iaitu ketika datangnya haid. [31]

Namun begitu, menurut Imam Al-Qurtubi: “tidak perlu mentaati ibu bapa dalam perkara yang melibatkan dosa besar dan perkara yang meninggalkan kefarduan, sebaliknya kita hanya wajib mentaati mereka dalam perkara yang harus semata-mata. Manakala hukumnya menjadi sunat ketika menunaikan perkara sunat dan fardu kifayah. [32]

Malahannya terdapat banyak pengulangan ayat-ayat al-Quran yang menuntut umat Islam agar berbuat baik kepada ibu bapa umpamanya dalam surah Al-Isra ayat 17, surah Al-Ahqaf ayat 15 dan surah Al-Nisa ayat 36.

Peranan anak untuk berbakti kepada ibu bapa adalah sangat tinggi seperti yang dinukilkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 
Maksudnya: Tidak membalas jasa baik seorang anak terhadap bapanya melainkan jika ia mendapatinya menjadi hamba lalu ia membelinya kemudian membebaskannya. [33]

Di dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan daripada Buraidah bahawa bapanya berkata:

 
Maksudnya: Terdapat seorang lelaki mengusung ibunya ketika tawaf, lelaki itu bertanya kepada Nabi SAW, “Adakah aku telah melaksanakan hak ibuku (dengan apa yang aku lakukan ini)?. Rasulullah SAW menjawab, “Sama sekali tidak, tidak walaupun dengan kadar satu hembusan nafas”.[34]

Begitulah beberapa hadith Nabi Muhammad SAW dan ayat-ayat Allah SWT berkenaan dengan tuntutan umat Islam untuk memuliakan ibu bapa yang melahirkan dan memelihara kita. Jelas bahawa kebahagiaan sesebuah keluarga dan wujudnya kemesraan apabila setiap individu keluarga tersebut saling hormat menghormati dan tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.


3.5.2    Jauhi Sifat Sombong dan Takbur

Seterusnya Luqman al-Hakim menasihati anaknya supaya mengawasi sifat ego ketika bergaul dengan masyarakat. Iaitulah:

a)    Larangan berpaling Muka
b)    Larangan Berjalan Dengan Sombong

Firman Allah SWT:

 A018
 Maksudnya: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.[35]

Perkataan Mukhtal disifatkan kepada orang yang berjalan dengan gaya sombong dan takbur termasuklah gaya berjalan yang melenggang-lenggok kerana kegembiraan mendapat nikmat yang banyak. Manakala, fakhur bermaksud orang yang selalu memuji-muji diri sendiri dan menghina orang lain yang tidak sama seperti dirinya.[36]

Perkataan Fakhur juga merupakan sifat buruk yang dinisbahkan kepada orang yang berpaling muka kerana sombong[37]. Perkataan Fakhur bermaksud orang yang merasa besar diri dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya seperti harta kekayaan dunia dan kemegahan malah dalam masa yang sama ia enggan bersyukur kepada Allah SWT. [38]

Istilah sombong dapat ditakrifkan sebagai memperkecilkan orang lain dan menolak kebenaran yang berpunca daripada kekaguman pada diri sendiri.[39]

Seburuk-buruk sifat takbur ialah takbur kepada Allah SWT dan para rasulNya. Firman Allah ayat 14, surah al-Naml:

 A014

Maksudnya: Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakkan.[40]

Menurut Syed Qutub, Al-Sa’r (الصعر) adalah penyakit yang dihidapi oleh unta menyebabkan ia memalingkan tengkoknya. Ia merupakan gambaran dan perumpamaan yang dilukiskan oleh al-Quran dalam tegahan وَلاَ تُصَعِر. Ini adalah perumpamaan bagi muslim yang menyeru kepada Allah SWT dalam keadaan berbangga-banga, bergerak-geri yang mengambarkan sifat angkuh dan sombong. Memalingkan muka daripada manusia lain dalam keadaan takabbur dan kagum dengan diri sendiri dan tidak prihatin dengan orang lain. Ini semua boleh menimbulkan kemarahan manusia dan telah pun jelas membuktikan bahawa mereka menghidapi penyakit.[41]

Syed Qutub menerangkan lagi bahawa maksud firman Allah SWT di atas ialah tidak tergopoh-gapah dan tidak mencari jalan untuk bersifat bongkak, langkah sederhana menuju kepada matlamat mulia, tidak sambil lewa dan sombong. Mengatur langkah menuju cita-cita dengan ceria dan progresif. [42]

Ini dapat dijelaskan lagi dengan hadith Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah Nabi SAW bersabda:
 
 Maksudnya: Berjalan tergopoh-gapah menghilangkan haibah seseorang mukmin.[43]

Sifat takbur adalah tingkah-laku batin yang membuahkan perilaku zahir pada diri seseorang iaitu sesuatu sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain atau penciptanya iaitu Allah SWT. Allah SWT menggambarkan dua keadaan yang menjadi petunjuk kepada orang yang mempunyai sifat takbur iaitu memalingkan muka ketika bercakap dengan seseorang kerana memandang rendah kepadanya dan berjalan dengan gaya yang angkuh dan sombong. Justeru Luqman al-Hakim melarang anaknya bertingkah laku angkuh dan sombong dalam menunaikan kewajipan terhadap masyarakat iaitu larangan memalingkan muka dan berjalan dengan gaya sombong.


3.5.3    Kesederhanaan Dalam Pergaulan Dan Tingkahlaku

Luqman al-Hakim mendidik anaknya agar mengutamakan sifat sederhana dalam menunaikan setiap tanggungjawab dan lain-lain urusan dunia. Titik fokus pendidikan Luqman dalam usaha menanamkan sifat sederhana dalam jiwa anaknya dapat dilihat melalui penekanan terhadap gaya berjalan dan perintah merendahkan suara apabila berinteraksi dengan masyarakat. Ini seperti mana yang dirakamkan oleh Allah SWT:

A019
Maksudnya: Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. [44]

Daripada ayat di atas, Allah SWT melarang kaum musyrikin daripada meninggi-ninggikan suara. Mereka sentiasa bermegah-megah dengan ketinggian suara. Oleh kerana setiap tuntutan atau tegahan terhadap orang-orang kafir dan musyrikin dalam al-Quran turut menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk diambil iktibar. [45]

Merendahkan nada suara agar tidak menyebabkan orang lain menjadi berserabut dan menyakitinya serta tidak membingitkan telinga akibat kuatnya bunyi suara tersebut. Suara yang kuat boleh mengakibatkan kerosakan pada gegendang telinga. Meninggikan suara adalah tanda seseorang itu tidak terdaya, hanya mementingkan diri dan tidak prihatin terhadap orang lain. Apa yang dimaksudkan di sini ialah tidak melantangkan suara hingga boleh menimbulkan kemarahan orang lain dan tidak pula terlalu perlahan sehingga langsung tidak kedengaran. Sebaik-baik perkara ialah mengambil jalan pertengahan atau bersederhana. Menurut pendapat Syed Qutub pula, berlidah tajam, bercakap kasar dan suka menengking merupakan adab yang buruk dan keji. Pada kebiasaanya orang yang bersikap sedemikian meragui nilai perkara yang dituturkannya itu atau tidak menyakini dengan nilai diri sendiri. Maka ia cuba menyembunyikan keraguan tersebut dengan ragam yang sedemikian.[46]

Dalam sunnah Nabawiyah juga terdapat arahan yang menunjukkan bahawa perlunya menghindarkan diri daripada suasana kebingitan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda: 

 
Maksudnya: Apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka pohonlah daripada Allah limpahan rahmatNya kerana dia melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar suara himar maka mintalah perlindungan daripada Allah agar dijauhi daripada syaitan, kerana ia melihat syaitan. [47]





4.0       Kesimpulan
Keseluruhan pendidikan Luqman mempunyai isi, gaya persembahan dan pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga pada masa kini. Antara kesimpulan yang yang dapat diambil ialah:

  1. Anak-anak merupakan anugerah yang tidak ternilai pada pandangan Islam. Justeru pendidikan anak-anak yang sempurna tidak boleh diabaikan oleh para ibu bapa. Pendidikan juga mesti dilaksanakan dengan penuh hikmah dan bijaksana agar selaras dengan kehendak serta syariat Islam.

  1. Luqman adalah contoh peribadi seorang bapa mithali yang dikurniakan hikmah oleh Allah SWT. Kaedah pendidikan Luqman merupakan panduan yang sangat baik kepada para ibu bapa.

  1. Hikmah merupakan satu pemberian yang sangat berharga daripada Allah SWT kepada hambaNya yang terpilih. Ia menjadi petunjuk kepada pengetahuan yang sebenar ke arah kebaikan dan kebenaran.

  1. Kaedah terbaik dalam mendidik anak-anak ialah mengadakan pengawasan serentak dengan pendidikan dan nasihat yang diberikan kepada mereka. Ibu bapa juga tidak boleh jemu atau putus asa dalam menunaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.

  1. Syirik kepada Allah SWT seperti mematuhi perintah selain daripada Allah SWT, menyembah berhala dan menyekutukan Allah SWT dalam ibadat merupakan kezaliman yang besar. Perkataan syirik juga merupakan perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap penciptanya yang memberi rezeki dan kehidupan.

  1. Manusia akan dibangkitkan semula daripada kubur. Mereka akan kembali kepada Allah SWT untuk diberi pembalasan ke atas segala hasil perbuatan mereka semasa hidup di dunia. Sekalipun kebaikan dan kejahatan yang dilakukan sangat sedikit. Sesungguhnya Allah SWT akan menilai dan membalas segala perbuatan baik dan buruk, taat dan maksiat walau sebesar biji sawi pada hari akhirat kelak.

  1. Manusia hendaklah berhati-hati dengan segala tindak tanduknya kerana setiap perbuatan diketahui dan akan dinilai oleh Allah SWT sama ada perbuatan yang zahir atau tersembunyi daripada pandangan manusia umum.

  1. Konsep inabah mengajar manusia agar kembali kepada Allah SWT selepas melakukan sesuatu kesalahan melalui taubat, menunaikan perkara taat dan ikhlas.

  1. Solat sangat penting dalam kehidupan seseorang mukmin kerana ibadat solat yang sempurna mampu mendekatkan seseorang dengan Allah SWT dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

  1. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati di dalam perkara-perkara kebaikan dan bukan maksiat merupakan kewajiban kepada setiap orang Islam. Suruhan Allah SWT supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa secara umum merangkumi ibu bapa yang Islam dan kafir. Ketaatan anak kepada kedua ibu bapa yang menganut sebarang agama adalah wajib.

  1. Ketaatan anak kepada perintah ibu bapa supaya melakukan syirik kepada Allah SWT atau meninggalkan kewajipan seorang Islam, tidak dibenarkan kerana tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara-perkara maksiat kepada Al-Khalik.

  1. Ketaatan kepada ibu melebihi daripada taat kepada bapa kerana tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang ibu. Pengorbanan ibu melebihi bapa kerana tiga perkara iaitu mengandung, menyusu dan mendidik. Ketiga-tiga tahap pengorbanan ini diiktirafkan Allah SWT sebagai pengorbanan penting yang melayakkan seseorang anak mentaati ibu melebihi bapa. Manakala ketaaatan anak kepada bapa berada pada tempat yang keempat.

  1. Lama masa penyusuan yang dibenarkan syarak ialah dua tahun. Syarak telah mengkhususkan tanggungjawab penyusuan kepada ibu manakala bapa pula bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak dan ibu (isteri).

  1. Syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat iman dan kurniaanNya merupakan anugerah yang sangat besar. Manakala syukur kepada ibu bapa pula memberi layanan yang baik semasa berintraksi dengan keduanya seperti bercakap dengan sopan santun, memohon keampunan Allah SWT kepada keduanya dan memenuhi hajat yang dipinta mereka.

  1. Bersahabat secara baik kepada keduanya di dunia menunjukkan harus menghubungkan silaturahim dengan ibu bapa yang kafir seperti memberi nafkah harta jika mereka miskin dan berusaha berdakwah agama Islam kepada mereka dengan lemah lembut.

  1. Mendirikan solat dan melaksanakan amar al-makruf dan nahi mungkar merupakan dua tugas yang dituntut oleh Allah SWT Tambahan pula kedua-dua perintah ini sering berhadapan dengan kesusahan dan kesukaran. Justeru kesabaran yang sangat tinggi diperlukan semasa menunaikan tanggungjawab tersebut.

  1. Sabar hanya diperolehi daripada pendidikan ilmu dan makrifat. Sabar juga berjaya membentuk tatasusila yang tinggi dan akhlak yang teguh. Sabar merupakan sifat orang yang beriman. Hanya orang yang sabar sahaja akan mendapat rahmat daripada Allah SWT

  1. Tanda sifat sombong ialah memalingkan muka daripada manusia lain dan berjalan dengan angkuh. Sesungguhnya Allah SWT sangat benci kepada manusia yang sombong dan takbur malah  mengiktiraf mereka sebagai musuhNya dan bersedia untuk diperangi.

  1. Sederhana ketika berjalan dan melunakkanlah suara merupakan cerminan orang yang baik. Manakala sifat suka meninggikan suarasangat buruk pada pandangan Allah SWT yang diibaratkan seperti suara keldai.


Intipati pendidikan yang diberikan oleh Luqman menepati kehendak dan garis panduan Islam. Pedidikan beliau menjelaskan tentang cara untuk berintraksi dengan Allah SWT dan sesama manusia. Kedua-dua hubungan ini menjamin kesejahteraan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.








Rujukan:

Buku Rujukan:


1.    Al-Quran dan Terjemahan

2.    Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman Al-Hakim, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2009

3.    Al-Imam Abil Hassan Ali Ibn Ahmad al-Wahidiy al-Naisaburiy, Asbab al-Nuzul, Darul Kutub al-illiyyah, Beirut, Lubnan, 1991

4.    Amru Khalid (Terjemahan: H. Muhammad Zulhirsyan), The Power of Akhlak, Jasmin Publication, Selangor, 2009

5.    Moh. Quraish Shihab, Wawasan Al-Quran: Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, Mizan, 1996

6.    Muhammad Alamuddin, Manisnya Iman, Penerbit Buku Islam Rahmatan, Jakarta, 2002

7.    Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid, Didik Anak Cara Rasulullah SAW, Nur Prima Sdn Berhad, Kuala Lumpur, 2006

8.    Sayyid Qutb. Fi Zilal al-Quran (Juzu’ 5). Beirut : Dar al-Syuruk, 1988.

9.    Suhid, Asmawati, Pendidikan dan Adab Islam: Konsep dan Amalan, Utusan Publication dan Distribution Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2009



Kertas Projek/Kertas Ilmiah:

1. Rosnaaini Hamid,Suhanim Abdullah, Syahrul Faizaz Abdullah, Pendidikan Keibubapaan Berdasarkan Surah Luqman, Fakulti Sains Kognitif Dan Pendidikan, Universiti Utara Malaysia, Kedah, 2004

2.    Wan Nurulhuda binti Wan Jusoh, Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman, Fakulti Pendidikan (Pengajian Islam) Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, 2010/2011


[1] Surah An-Nuur 34: 24
[2] Lihat Wawasan Al-Quran : Tafsir Maudhu’i Atas Pelbagai Persoalan Umat, hlm 8
[3] Muhammad Alamuddin, Manisnya Iman, hlm 102 - 103
[4] Ibid
[5] Al-Quran dan Terjemahnya, 1412H
[6] Wahbah al-Zuhaili, 1991 dan Sayyid Qutb, 1988
[7] Jalal al-Din Muhammad bin Ahmad al-Mahali dan Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Sayuti, 1996
[8] Abi Muhammad Husini 12 bin Mas’ud al-Fira’ al-Baghawi al-Shafie, 1993
[9] Dr Wahbah al-Zuhaili, Tafsir Al-Munir, 1991
[10] Al-Imam Abil Hassan Ali Ibn Ahmad al-Wahidiy al-Naisaburiy, Asbab al-Nuzul, hlm 294
[11] Ahmad Hassan Mohd Nazam, Wasiat Luqman Al-Hakim,  hlm 1
[12] Ruh al-Ma’ani : 7, hlm 128
[13] Tafsir al-Tabari: 20, hlm 26
[14] Al-Bidayah wa al-Nihayah : 2, hlm 124
[15] Nasr al-Din Abi Abbas Ahmad bin Muhammad al-Maliki al-Iskandarani al-Makruf bi Ibn al-Munir, 1994.
[16] al-Sayuti, 2000
[17] Wahbah al-Zuhaili, 1991
[18] Luqman:13
[19] Surah Luqman  31: 12 
[20] Surah Luqman  31: 13
[21] Syed Qutub, Fi Zilal al-Quran, Jilid 5, hlm 2788
[22] Hadith sohih- Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban
[23] Surah Luqman, ayat 17
[24] Hadith Riwayat Tirmizi No. 2616 : hasan sahih
[25] Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul Fikr, Bab Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlm 123.
[26] Rujuk Riyadhus Shalihin (bab 23), hlm 239
[27] Surah Ali-Imran Ayat 104
[28] Surah Ali-Imran, ayat 110
[29] Surah Al-Maidah, ayat 78
[30] Surah Luqman 31: 14
[31] Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al-Hakim, hlm 58 & 59
[32] Tafsir Al-Qurtubi: 13/60
[33] Hadith Riwayat Muslim
[34] Tafsir Ibn Kathir
[35] Surah Luqman 31: 18
[36] Wahbah al-Zuhaili, 1991
[37] Abi al-Fadhil Shihab al-Din Al-Sayyid Mahmud al-Alusi al-Baghdadi, 1994.
[38] Shaykh Hud bin Muhakkam al-Hijri, 1990
[39] Said Hawwa, 2001
[40] Surah Al-Naml 27:14
[41] Syed Qutub, Fi Zilal al-Quran: 5/2790
[42] Ibid
[43] Hadith Riwayat Abu Naim
[44] Surah Luqman 31: 19
[45] Ahmad Hasan Mohd Nazam, Wasiat Luqman al-Hakim, hlm 121.
[46] Syed Qutub, Fi Zilal al-Quran: 5/2790
[47] Hadith Sahih Muslim, Tafsir al-Munir: 21/152



No comments:

Post a Comment