Pages

Monday, 12 November 2012

Tadabbur Hadith: Kemanisan Iman & Ibadah Yang Menyeronokkan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم





1- قَالَ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الإِِيْمَانِ مَنْ كَانَ اللَّهَ وَرَسُولَه أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْء لاَ يُحِبّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَه أَنْ يَعُود فِي الْكُفْر بَعْد أَنْ أَنْقَذَهُ اللَّه مِنْهُ كَمَا يَكْرَه أَنْ يُقْذَف فِي النَّار .
Maksudnya:
Sabda Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam-: Tiga perkara, barangsiapa yang memilikinya, dia telah mendapati dengan tiga perkara itu kemanisan iman. (Iaitu) barangsiapa yang adalah Allah dan Rasulnya lebih dicintai olehnya dari selain kedua-keduanya. Dan bahawa dia menyayangi seseorang hanya semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kepada kekufuran setelah di selamatkan Allah darinya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam neraka.
[HR Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa'ei]



2- قَوْله صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :  ذَاقَ طَعْم الْإِيمَان مَنْ رَضِيَ بِاَللَّهِ رَبًّا وَبِالْإِسْلاَمِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولاً .   [رواه مسلم]
Maksudnya:
Sabda Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam-: Telah merasai kemanisan iman barangsiapa yang telah reda Allah sahaja sebagai Tuhannya, dan Islam sebagai peraturan hidupnya dan dengan Nabi Muhammad  – sallalhu alyhi wasallam- sebagai Rasul.                                                                                               
 [HR Muslim]





Pengajaran hadis:
1.      Hadis yang pertama adalah asas yang besar kepada asas-asas Islam. Kata ulama : Halawatul Iman ialah kemanisan Iman iaitu kelazatan ketika melakukan ketaatan kepada Allah, dan seseorang yang memiliki halawatul iman akan menanggung segala kesusahan demi untuk mendapat reda Allah serta reda Rasulullah  – sallalhu alyhi wasallam-. Ia juga bermakna mengutamakan semua ini lebih daripada segala-galanya.

2.      Cinta hamba kepada Tuhannya hendaklah mengatasi cintanya kepada diri sendiri, keluarga, harta benda dan kerehatannya. Ini dapat di buktikan dengan dia sentiasa mendahulukan perintah Allah dalam kehidupanya daripada agenda dirinya sendiri. Bahkan ia akan merasa seronok dan gembira apabila dapat melaksanaka perintah Allah lebih dahulu dari kehendaknya.

3.      Begitu juga cinta hamba kepada Rasullulah – sallalhu alyhi wasallam- hendaklah mengatasi (selepas cintanya kepada Allah) cintanya kepada dirinya sendiri, keluarganya, orang lain dan harta benda. Bahkan ia juga akan merasa seronok dan gembira apabila dapat melaksanakan sunnah dan ajaran Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam-  dalam seluruh kehidupannya.

Sabda  Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam- : Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih di kasihi daripada anaknya, bapanya dan orang lain. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Dalam riwayat lain : ….dari ahli keluarganya, harta bendanya dan orang         lain.

4.      Maksud cintakan Allah juga ialah mencintai apa-apa sahaja yang di sukai oleh Allah dan membenci apa-apa sahaja yang di benci oleh Allah.

5.      Kata Maalik: Cintakan Allah adalah antara kewajipan agama.

6.      Maksud hadis kedua ialah dia tidak mencari selain dari Allah, dan dia tidak berusaha melainkan pada jalan Islam, dan  tidak beramal melainkan apa yang selaras dengan dengan syariat dan sunnah Muhammad  – sallalhu alyhi wasallam-. Maka tidak syak lagi bahawa sesiapa yang memiliki sifat-sifat ini, ia akan merasai kemanisan iman di hatinya.

7.      Kata ulama makna "Aku reda dengan sesuatu" ialah aku yakin dan puas hati serta mencukupi dengan perkara itu sahaja, dan aku tidak minta selain dari itu.

8.      Kata Al-Qaadi I'yaad- rahimahullah-  Maksud hadis ialah: Iman itu benar-benar  memberi ketenangan dalam dirinya dan sudah sebati dengan batinnya. Barangsiapa yang reda dengan sesuatu, maka segala perkara akan menjadi mudah baginya. Begitu juga bagi seorang mukmin, apabila iman telah masuk kedalam hatinya, maka segala perintah dan ketaatan kepada Allah menjadi mudah dan senang baginya. Bahkan ia akan merasai kelazatan dan keseronokan khususnya ketika beribadah.

9.      Antara sebab untuk mendapat kemanisan iman ialah kita menyayangi saudara kita semata-mata kerana Allah. Bukan kerana kepentingan duniawi.

10.  Kemanisan iman juga tercapai dengan kita membenci kepada kemaksiatan dan kekufuran. Bahkan kita merasa terlalu tidak suka kepada kekufuran sama seperti kita tidak suka dicampak kedalam api.

11.  Dari Abi Razin al-Uqaily: Telah berkata: Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah iman? Jawab baginda: Bahawa engkau bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Esa Tidak ada sekutu baginya, dan Muhammad itu hamba-Nya dan rasul-Nya, dan bahawa Allah dan rasul-Nya lebih dicintai kepada engkau  daripada selain kedunya, dan bahawa engkau terbakar dalam api lebih engkau sukai daripada engkau mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Dan engkau menyayangi seseorang yang bukan keturunan (keluarga)  engkau dan engkau tidak cintai dia melainkan kerana Allah semata-mata. Maka apabila engkau dalam keadaan demikian , sesungguhnya telah masuk kemanisan iman dalam hati engkau  sebagaimana masuknya kelazatan air kepada orang yang dahaga di hari yang panas terik. [HR Ahmad]  






Antara tanda-tanda iman telah meresap masuk  dalam hati seseorang:

1.      Solatnya khusyuk, iaitu  solatnya memberi ketenangan dalam jiwanya dan menyejukkan hatinya. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:  "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam sembahyangnya. [Al-Mukminun;23:1-2].

Sabda Rasulullah -– sallalhu alyhi wasallam- : Aku dijadikan (secara fitrah) cintakan dunia daripada wanita dan wangian, (akan tetapi) penyejuk hatiku ialah pada solat. [Hadis hasan-Riwayat Ahmad dan al- Nasai'e]

2.      Apabila mendengar nama-nama Allah, hatinya gementar kerana merasai dan menjiwai kebesaran dan keagungan Allah. Firman Allah ta'ala yang bermaksud:  "Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka …." [Al-Anfaal; 8;2]

3.      Apabila membaca atau mendengar ayat-ayat al-Quran, imannya semakin kuat dan meningkat. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:       "……. dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman…". [Al-Anfaal;8 :2]

4.      Banyak berzikir dan berzikir diwaktu pagi dan petang. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: ". Wahai orang-orang Yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah Dengan ingatan serta sebutan Yang sebanyak-banyaknya" [Al-Ahzab; 33:41]

5.      Apabila berzikir, hatinya menjadi tenang dan jiwanya tenteram. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: 28. "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. [Al-Ra'adu ; 13:28]

6.    Setiap kali melakukan kebaikan, maka ia akan gembira dan seronok dan setiap kali melakukan kejahatan, maka hatinya rasa gelisah dan bersalah. Dari Umar –radiyallahu anhu:

Dari Nabi – sallalhu alyhi wasallam- telah bersabda : Barangsiapa yang kebaikannya megembirakannya dan kejahatannya menjadikannya gelisah dan rasa bersalah, maka dia adalah mukmin. [Hadis sahih –Riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ahmad]

7.      Orang yang beriman sentiasa beriman, tidak ragu-ragu dan sentiasa berjihad dengan harta benda dan nyawanya untuk agama Allah. Sabda Rasulullah– sallalhu alyhi wasallam- : Orang-orang beriman di dunia tiga bahagian: Beriman dengan Allah dan rasul-Nya, kemudian tidak ragu, dan berjuang dengan harta benda serta nyawanya pada jalan Allah. HR Ahmad]

8.      Sentiasa ada perasaan malu untuk melakukan maksiat. Sabda Rasulullah – sallalhu alyhi wasallam- : Malu adalah sebahagian daripada iman.[Muttafaqun alaih]


Cara untuk mendapat kemanisan iman dan khusyuk dalam solat:
1.      Tinggalkan  hubbuddunia (cintakan dunia). Kata Jundub bin Abdullah al-Bujali: "Cintakan dunia adalah punca kepada segala dosa".

2.      Segera bertaubat dan tinggalkan segala dosa yang dilakukan. Ini kerana setiap dosa yang dilakukan akan meninggalkan titik hitam dalam hati dan sekiranya tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan semakin membesar seterusnya menyebabkan hati keras dan mati.

3.      Barangsiapa yang berharap kepada rahmat dan keampunan Allah tetapi terus melakukan maksiat dan dosa , maka ia adalah orang yang degil, bodoh dan hina.

4.      Dosa-dosa sama seperti bebanan yang berat yang akan memberatkan tuan punya dosa dari melakukan ibdah dan kebaikan. Kata al-Hasan : Sesungguhnya seseorang hamba itu akan melakukan satu dosa, maka ia akan di haramkan dari solat malam.

5.      Kata Sufyan al-Thauri: Sesungguhnya aku telah di haramkan dari berpuasa (sunat)  dan mendirikan solat malam selama lima bulan dengan sebab satu dosa yang aku telah lakukan. Lalu beliau ditanya: Apakah dosa itu? Aku melihat seorang lelaki menangis, lalu aku berkata dalam diriku: Itu adalah riya'.

6.      Kata  para solihin: Berapa banyak makanan yang menghalang seseorang dari bangun solat malam?, dan berapa banyak dari pandangan mata yang menghalang dari membaca surah al-Quran? Atau dia melakukan sesuatu kesalahan, maka akibatnya dia diharamkan dari qiyamullail selama setahun.

7.      Kata para solihin : Apabila engkau tidak mampu berpuasa (sunat) di siang hari dan qiyamullail, maka ketahuilah bahawa engkau telah terhalang (dari kebaikan), yang menghalangnya ialah dosa-dosa engkau.

8.      Ali Karz bin Wabrah telah menangis pada suatu hari. Lalu di tanya apakah yang menyebabkan engkau menangis? Adakah disebabkan kematian ahli keluarga kamu? Jawab beliau: Lebih daripada itu. Adakah kerana kesakitan yang menimpa engkau? Jawab beliau: Lebih daripada itu? Apa dia? Jawab beliau: Pintu bilikku dah tertutup, kain langsir (kelambuku) telah di labuhkan, tetapi aku tidak membaca semalam satu hizib dari al-Quran, tidak berlaku demikian itu melainkan disebabkan satu dosa yang aku lakukan.

9.      Kesemua salafussoleh –ridwanullah alaihim- kerana ketakuatan mereka, mereka mendakwa bahawa diri-diri mereka sendiri dan dosa-dosa merekalah punca kepada setiap kekurangan ibadah atau kemalasan mereka untuk beribadah.

10.  Kurangkan makan.  Di riwayatkan  bahawa Iblis telah muncul di hadapan Nabi Yahya -alaihissalam- dan di atas bahunya ada bekas yang di sangkut di belakang, lalu Nabi Yahya bertanya: Apakah dibelakang kamu? Jawab Iblis: Ini adalah syahawat yang aku guna untuk menipu daya anak Adam. Kata Nabi Yahya:Adakah engkau mendapati sesuatu padaku? Jawab Iblis: Ya, semalam engkau telah kenyang, lalu kami telah menjadikan engkau berat dari melakukan solat malam. Kata nabi Yahya: Sudah pasti lepas ini aku tidak akan kenyang selama-lamanya. Jawab Iblis: Sudah pasti selepas ini aku tidak nasihatkan seorang pun selama-lama.

No comments:

Post a Comment