السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.1 Pengenalan
Perang Badar ialah peperangan yang pertama
dalam dunia Islam yang diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat.
Matlamat peperangan dalam Islam bukan untuk membunuh tanpa ada belas kasihan.
Menurut Haron Din (2007) peperangan dalam Islam adalah satu jalan yang terpaksa
dihadapi demi mempertahankan diri dan maruah daripada pencerobohan mana-mana
pihak, mempertahankan akidah dan agama, mempertahankan kemanusiaan dan kedamaian,
mempertahankan kesejahteraan umat manusia serta tamadunnya. Peperangan yang
diistilahkan dengan perang jihad ialah peperangan di jalan Allah atau fi
sabillah iaitu sebagai tanda pengabdian muslim hanya kepada Allah s.w.t yang
Esa (Haron Din
2007).
Perang Salib merupakan perang
suci yang diseru oleh pihak Gereja daripada mazhab Katolik ke atas Daulah
Islamiyyah dan umat Islam untuk membebaskan Jerusalem dan tanah suci di
sekitarnya ataupun untuk memerangi musuh-musuh gereja, seperti kaum bid’ah
(heretic) dan lain-lain. Biasanya ia bermula dengan pidato dan seruan Paus
Katolik. Perang Salib biasanya mengangkat sumpah, mengambil simbol salib dan
meletakkannya pada baju mereka. Kepada mereka yang menyertai Perang Salib, pihak
gereja menjanjikan pengampunan dosa (Alwi Alatas
2012).
Perang Salib I diserukan oleh
Paus Urbanus II (w. 1099) dalam sidang gereja di Clermont, Perancis, pada
November 1095. Hal itu dilakukan setelah adanya permintaan bantuan dari Kaisar
Byzantium untuk menghadapi orang-orang Turki di Asia Minor dan Syria. Pidato
Paus mendapat sambutan yang luar biasa dan mendorong ribuan orang untuk
menyertai Perang Salib. Angkatan pertama Perang Salib I bergerak dari Perancis
dan Jerman pada awal tahun 1096. Mereka terdiri dari masyarakat rakyat jelata
dan dipimpin oleh seorang pendeta bernama Peter si Pertapa (Peter the Hermit).
Setelah beberapa kali konflik dengan penduduk Bulgaria dan Byzantium serta
melakukan penjarahan selama di perjalanan, pasukan yang tidak berpengalaman ini
akhirnya dihancurkan oleh pasukan Kilij Arslan (w. 1107) di Asia Minor.
Angkatan pertama ini dikenali sebagai People’s Crusade atau Popular Crusade (Alwi Alatas
2012).
Rombongan berikutnya yang
berangkat pada pertengahan tahun 1096 terdiri dari pasukan yang lebih terlatih
dan dipimpin oleh golongan bangsawan Perancis dan Norman, seperti Raymond of
Saint-Gilles (w. 1105), Godfrey de Bouillon (d. 1100), Baldwin (w. 1118),
Bohemond of Taranto (d. 1111), dan Tranced (w. 1112). Pasukan ini berhasil
mengambil alih Nicaea (Iznik) dari tangan Kilij Arslan pada bulan Jun 1097,
Antioch pada Jun 1098, Jerusalem pada Julai 1099 serta beberapa kota umat Islam
yang lain di Syiria dan Palestin. Kejayaan pasukan tentera Salib dalam Perang
Salib I ini kemudian telah mewujudkan Kerajaan Latin (Latin Kingdom) yang
berpusat di Jerusalem. Kerajaan ini memiliki empat wilayah utama, iaitu Jerusalem,
Tripoli, Antioch, dan Edessa. Wilayah kekuasaan orang-orang Frank (Perancis) di
Syria dan Palestin dikenali oleh orang-orang di Eropah Barat (Romawi Barat)
sebagai Outremer (tanah) di seberang lautan.(Alwi Alatas
2012).
Menurut catatan sejarah, Edessa
kembali ditawan semula oleh umat Islam semasa Perang Salib II yang dipimpin
oleh Imaduddin Zanki (w. 1146) pada tahun 1144. Perang ini diserukan oleh Paus
Eugenius III (w. 1153) sejak Desember 1145. Paus kemudian memujuk Bernard of
Clairvaux (1090-1153) untuk melancarkan kempen Perang Salib. Kempen beliau ini membuahkan
hasil sehingga ribuan orang bersumpah untuk menyertai Perang Salib II. Bahkan
Raja Perancis, Louis VII (1120-1180), dan Raja Jerman, Cornad III (1093-1152),
memimpin Perang Salib II.
Bermula daripada Perang Salib II,
telah lahir tokoh-tokoh dikalangan umat Islam untuk bangkit mempertahankan
daulah Islamiyyah daripada kekejaman tentera Perang Salib sehingga dapat
menawan semula wilayah yang ditawan oleh tentera Perang Salib seperti Jerusalem,
Tripoli, Antioch, dan Edessa serta memperluaskan wilayah Islam di Barat (Rahman
Abdullah 2016). Maka, artikel ini akan membicangkan tentang
kerajaan Zanki dan peranannya dalam Perang Salib. Kajian ini juga memperihalkan
tentang latarbelakang keluaga Zanki, sorotan kehidupan mereka dan peranan serta
perjuangan keluarga Zanki ini dalam Perang Salib.
1.2 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mencapai tiga (3) objektif
seperti berikut:
i.
Menjelaskan peranan dan sumbangan Kerajaan Zanki dalam
Perang Salib
ii.
Mengenalpasti sumbangan dan peranan setiap tokoh-tokoh
pemimpin Islam yang lahir daripada Kerajaan Zanki
iii.
Mengambil pengajaran yang boleh dipelajari daripada
sumbangan dan peranan Kerajaan Zanki dalam Peperangan Salib
1.3 Metodologi Kajian
Dalam penyusunan
kajian ini, penyelidik mengambil data, dari pendapat para ahli sejarah yang telah
menghasilkan buku-buku atau jurnal tentang peranan dan sumbangan Kerajaan Zanki
dalam Perang Salib. Kajian ini menggunakan kaedah
kajian perpustakaan dengan mengambil dan menganalisis maklumat dari jurnal dan
buku-buku ilmiah. Sumber di dalam penulisan kajian ini ialah melalui
penyelidikan di Perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia
(PTSL, UKM) dan Perpustakaan Negara. Istilah ini lazim disebut library research
iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku atau karya ilmiah yang
terdiri dari sumber primer dan sekunder. Kajian literatur juga turut
menggunakan sumber-sumber rujukan seperti kertas kerja penyelidikan, tesis,
buku, jurnal dan prosiding sebagai panduan.
2.1 Keluarga
Zanki
Latarbelakang sejarah tentang keluarga Zanki
ialah bermula dengan Aaq Sunqur bin Abdullah Aalu Targhan termasuk dalam
kabilah As-Sabayu At-Turkmani. Ayahnya Abu Said yang bergelar Qasim Ad-Daulah
dan dikenali sebagai nama al-Hajib mendapat perhatian besar daripada para
sejarawan kerana peranan beliau di pentas politik dan ketenteraan Kerajaan Saljuk.
Sementara itu, Aaq Sunqur adalah seorang individu yang dekat dengan Sultan
Malik Syah I. Bahkan Aaq Sunqur adalah tokoh yang menjadi teman istimewa kepada
Malik Syah I. Ini kerana, mereka berdua berkawan sejak muda sehingga dewasa.
Ketika Malik Syah menaiki tahkta beliau terus melantik Aaq Sunqur sebagai orang
kanannya. Bahkan dekatnya hubungan kedua-dua sahabat itu sehingga Malik Syah
bersedia memberitahu semua rahsia dirinya kepada Aaq Sunqur serta sering
melibatkan Aaq Sunqur dalam segala hal yang penting. Apatah lagi Aaq Sunqur
adalah seorang panglima yang paling kanan kedudukannya. Bukti paling penting
tentang kedudukan Aaq Sunqur di hadapan Sultan Malik Syah I adalah apabila Sultan
itu memberi gelaran Qasim Ad-Daulah kepada Aaq Sunqur yang bermaksud sekutu.
Sedangkan pada ketika itu, sesuatu gelaran tidak diberikan kecuali hanya kepada
orang-orang yang benar-benar layak. Jelas sekali Aaq Sunqur menjadi sekutu
Malik Syah dalam kekuasaan dan pemerintahan. Selain itu, Aaq Sunqur juga
memiliki kedudukan sebagai orang kanan sultan (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
Rajah
1 di bawah menerangkan salasilah Keluarga Zanki yang juga sebagai pendiri
Dinasti Zanki.
Rajah 1 : Salasilah Keluaga Zanki
Sumber: Biografi Agung Salahuddin Al-Ayyubi :
Penakluk Tentera Salib (Syed Alwi Alatas 1974)
Keluarga Zanki adalah suatu
keturunan juga turut dikenali asal usulnya pertama pada zaman Sultan Bani
Saljuk iaitu Malik Syah. Keluarga Zanki juga adalah berketurunan Turki (Waskito AM
2013). Asal usul yang dimaksudkan adalah Qasim
al-Daulah Aqansaqar, di mana beliau termasuk di antara salah seorang hamba
Malik Syah dan termasuk sahabatnya juga, Sejak kecil beliau dididik bersama
Malik Syah. Sewaktu Malik Syah menjadi Sultan, beliau telah memilih Qasim
sebagai salah seorang panglima perang dan sebagai salah seorang gabenornya,
kerana Qasim memang memiliki ciri-ciri kebolehan kepimpinan dan istiqomah. Dengan
adanya usulan daripada Nizham al-Malik yang menjawat sebagai menteri, Qasim
ditugaskan menjadi gabenor di Halab oleh Sultan Malik Syah. Qasim terus
bertugas sebagai Gabenor di Halab sehingga terjadi pertempuran di antaranya
dengan Taj al-Daulah Tatasy bin Alip Arslan di mana di dalam pertempuran inilah
mangkatnya Qasim. Beliau meninggalkan seorang anak yang berumur 10 tahun iaitu
Imaduddin (Muhammad
al-’Arusiy al-Matwiy 1998).
Rajah 2 : Kerajaan Kesultanan Saljuk
Sumber: (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015)
2.1.1 Imaduddin
Zanki al-Atabik
Kemunculan Imanuddin Zanki dan anak-anaknya
pada 521 H meninggalkan catatan-catatan penting dalam lembaran sejarah Islam
khususnya Perang Salib. Menurut Qasim Ibrahim di dalam bukunya Sejarah Islam
memetik kata-kata Ibnu al-Atsir mengenai Imaduddin Zanki, “seandainya saja
Allah tidak memberi umat Islam seorang tokoh seperti Imaduddin Zanki, bangsa
Perancis pasti sudah menguasai seluruh dataran Syam” (Qasim A
Ibrahim & Muhammad A Saleh 2014). Berikut
diperturunkan serba sedikit latarbelakang Imaduddin Zanki.
Imaduddin
Zanki telah menghabiskan masa kanak-kanaknya bersama para pengasuh dan
penjaganya serta bersama sahabat-sahabat ayahnya sendiri, di antaranya yang
paling menonjol ialah Karbugha salah seorang penguasa Mausil. Semasa beliau
masih remaja, beliau pernah mengikuti sebahagian pertempuran dan peperangan
yang dilancarkan ke atas kerajaan-kerajaan Salib. Pemuda ini telah membuktikan
kecekapan dan keberaniannya di mana hal ini telah mendapat perhatian Bani
Saljuk dan Khalifah Abbasiah pada masa itu. Akhirnya pada tahun 516 H, Imaduddin
ditugaskan untuk memerintah bandar Wasit dan untuk menjadi petugas keamanan di
Basrah. Pada tahun 521 H beliau dilantik sebagai Gabenor di Mausul, Iraq.
Dengan demikian, pemimpin dan pejuang ini mendapat peluang yang baik untuk
membuktikan kreativiti dan kecemerlangannya. Dengan kekuasaan yang beliau ada,
beliau telah mempelopori usaha-usaha kebangkitan dan pembaharuan (Muhammad
al-’Arusiy al-Matwiy 1998).
Imaduddin
hidup di zaman pencerobohan pasukan tentera Salib ke atas Wilayah Syam, lalu
tentera Salib berjaya mendirikan beberapa Kerajaan Kristian. Kaum Salib berasal
daripada Eropah (Perancis) dan bukan dari Konstantinopel (Rome Timur). Tentera
Salib berkuasa di Syam dan mengawal Baitul Maqdis. Tujuan utama Imaduddin ialah
untuk membebaskan negeri Syam dan Baitul Maqdis dari cengkaman kaum Salibis.
Strategi Imaduddin sangat sederhana, tetapi realisasi benar-benar memerlukan
perjuangan dan pengorbanan besar. (Waskito AM
2013). Untuk mengusir tentera Salib dari bumi
Islam, Imaduddin memerlukan satu pasukan tentera yang kuat dan kukuh benteng
pertahanan.
Imaduddin
mempunyai wawasan dan semangat perjuangan yang tinggi. Matlamat beliau hanya
satu sahaja iaitu menciptakan satu Kerajaan Islam yang bersatu dan mampu untuk
menciptakan satu kerajaan untuk menentang tentera Salib serta menghindarkan
bahaya ke atas umat Islam termasuklah menghapuskan pengaruh tentera Salib ke
atas wilayah Islam. Menurut Waskito AM, misi beliau yang pertama ialah dengan
menyatukan semua wilayah-wilayah di negeri Syam dibawah kepimpinannya. Langkah
pertama ialah dengan mendapatkan semula Alleppo daripada tentera Salib dan menggabungkannya
ke Mosul. Kemudian Imaduddin menguasai Hammah, Sarja, Dara dan Benteng Atsarib.
Seterusnya beliau merebut semula Benteng Shur, Diyar Bakir dan Jabal (Waskito AM
2013) (Qasim A
Ibrahim & Muhammad A Saleh 2014).
Sebagaimana
yang tercatat di dalam lipatan sejarah sama ada daripada perspektif Islam dan
Barat, Imaduddin adalah di antara salah seorang nama tokoh besar yang telah
menggemparkan dunia Barat terutama peranan beliau yang telah berjaya menawan
Edessa pada tahun 539 H/1144 M daripada penguasa bandar itu iaitu Jesselin II (Corliss K.
Slack 2013) (Muhammad al-’Arusiy
al-Matwiy 1998). Imaduddin ketika itu merupakan pemerintah
di Mosul dan Aleppo telah mencetuskan bibit-bibit Perang Salib II kerana
Edessa merupakan bandar penting bagi
penganut Kristian kerana di dalam bandar tersebut terdapat banyak tempat-tempat
para rahib dan gereja. Terdapat juga kepercayaan bahawa di dalam salah satu
gereja di Edessa ini terdapat sapu tangan Nabi Isa a.s. Daripada perpektif Islam pula, Edessa juga
merupakan salah satu tempat yang dihormati oleh umat Islam kerana adanya sebuah
masjid yang di dalamnya terdapat makam Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ayub a,s. Di
samping itu, terdapat juga makam-makam para sahabat antaranya ialah Jabir
al-Anshari, Abi Ubaidah bin Jarrah dan Badi’u al-Zaman al Hamazani (Muhammad
al-’Arusiy al-Matwiy 1998).
Kemenangan Imaduddin Zanki sangat
mengagumkan ketika dia berhasil merebut wilayah Edessa (Ruha) dengan strategi
perang yang sangat bijak terhadap pemimpin Edessa iaitu yang bernama Jocelyn.
Peperangan untuk mendapatkan Edessa berlaku pada Jamadil Akhir 114 M.
Kemenangan ke atas Edessa telah meningkatkan motivasi dan moral kaum Muslimin
yang mana sebelum ini telah hampir berputus asa untuk mengusir tentera Salib.
Dengan itu, mitos bahawa pasukan tentera Salib tidak dapat dikalahkan sudah
berakhir dikalangan umat Islam. Barat merujuk peristiwa Edessa jatuh ke tangan
keluarga Zanki ialah satu kegagalan dan memetik sebagai berkata, “the
crusade’s failure made its mark on both the Latin Kingdom and European
enthusiasm for future expenditions. The challenges facing Baldwin III extended
well beyond those of the regency” (Corliss K.
Slack 2013).
Oleh kerana kegagahan dan
kekuatan Imaduddin Zanki, kaum Salib telah merancang untuk menjatuhkannya. Kaum
Salibis telah menggunakan orang-orang dari penganut Bathiniyah ke perkhemahan
Imaduddin dan membunuhnya ketika sedang tidur. Tentera Salib dan kaum Kristian
tidak mampu untuk berdepan dengan Imaduddin secara terang-terangan, lalu
menggunakan jalan ini untuk membunuhnya. Imaduddin meninggal dunia pada usia 64
tahun dan kemudiannya dimakamkan di Shiffin. Salah seorang anak Imaduddin ialah
Nuruddin Mahmud. Seperti bapanya, beliau seorang yang gagah berani, ahli
politik, panglima perang dan juga mempunyai keperibadian yang soleh (Waskito AM
2013) (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
2.1.2 Nuruddin
Mahmud Zanki
Nuruddin Mahmud bin Imanuddin Zanki
dilahirkan pada 17 Syawal 511H. Beliau adalah anak kedua kepada Imanuddin Zanki
selepas Saifuddin Ghazi. Pada anak-anak Imaduddin, semua sifat dan keutamaan
ayah mereka membekas dalam diri mereka. Anak-anak itu kemudian membesar menjadi
mujahid-mujahid hebat walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam diri
masing-masing. Selepas Imaduddin Zanki meninggal dunia, kedua-dua anaknya
saling bekerjasama dalam hal-ehwal pentadbiran dan pemerintahan. Saifuddin
memerintah Mosul manakala Nuruddin memerintah Aleppo. Sempadan pemerintahan
mereka dipisahkan oleh sungai Khabur yang terletak di dalam semenanjung Eurat.
Uniknya kedua-dua tokoh ini
memliki kemahiran yang berbeza. Saifuddin Ghazi adalah seorang ahli strategi
manakala adiknya Nuruddin seorang mujahid yang tulus hati serta memiliki azam
untuk mengusir musuh dari wilayah Islam. Nuruddin juga berasa memiliki
tanggungjawab bagi meneruskan perjuangan bapanya iaitu jihad memerangi tentera
Salib. Keazaman itu disemai ketika beliau masih kecil lagi kerana gemar
mendampingi bapanya dalam berjihad. Tambahan pula Aleppo adalah sangat
berdekatan dengan wilayah pemerintahan Salib. Oleh itu, Nurudddin amat arif
tentang selok belok dalam menghadapi bahaya pasukan tentera Salib (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
Nuruddin Zanki selaku pemerintah Aleppo yang dilantik
menggantikan bapanya untuk meneruskan misi bapanya terdahulu iaitu memerangi
kaum Salib (Burhan Che
Daud 2006). Justeru sesuai dengan tugasnya, beliau
telah menyerang Antakya yang masih berada di bawah kekuasaan pasukan Salib.
Tindak balasnya itu adalah untuk menggagalkan usaha Juslin II yang cuba
menduduki al-Ruha kembali, lantaran kekalahan yang dideritai pasukan Salib di al-Ruha
lebih hebat daripada kekalahan yang mereka terima sewaktu cuba menakluki
al-Ruha buat pertama kalinya dahulu. Kematian Imaduddin disangkakan dapat
meringankan beban pasukan Salib, malangnya sangkaan mereka meleset sama sekali.
Ternyata, semangat dan keberanian Nuruddin menyamai bapanya, sekalipun baru mencecah
usia 29 tahun (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
Di dalam konteks di atas,
sejarawan kontemporari iaitu Prof Dr Ali Muhammad As-Shalabi memandang tinggi
Nuruddin Mahmud Zanki lebih utama berbanding Salahuddin al-Ayyubi. Untuk itu,
beliau mungkin mempunyai alasan yang tersediri. Nuruddin Mahmud Zanki meninggal
dunia akibat serangan sesak nafas pada hari Rabu 11 Syawal 569 H. Jenazahnya
telah dimakamkan di dalam Kubu Damsyik, namun kemudiannya dipindahkan ke
Turubah bersebelahan dengan madrasah yang pernah beliau dirikan untuk para
sahabat Imam Abu Hanifah sebelah barat Kota Damsyik.
3.1 Perang
Salib Dan Perjuangan Umat Islam
Pada dasarnya perang Salib tidak seperti
dipersepsikan sebagai konflik teologi di antara Islam dan Kristian. Akan
tetapi, persitiwa tersebut merupakan tragedi konflik politik yang disandarkan di
atas nama agama (Moh. Salman
Hamdani 2013). Sebagaimana catatan sejarah, peperangan Salib
itu dimulai dengan tanggapan Paus Urban II terhadap permohonan Raja Alexius.
Pada tahun 1095, Urban II menyeru pembebasan tanah suci dari orang kafir, dan
mengadakan perang suci yang sudah menjadi tradisi. Seruan tersebut, bagi Paus
Urban selain menjadi sebuah panggilan jihad dari perspektif Barat demi membela
Agama Kristian dan Jerussalem, disamping demi memperoleh pengakuan atas autoriti
beliau sebagai Paus dan peranannya untuk mengabsahkan pemerintah. Di samping
itu, seruanya juga adalah demi untuk mempersatukan kembali Gereja-Gereja Timur (Yunani)
dan Barat (Latin) (Karen
Amstrong 2003).
Catatan sejarah juga turut
memaparkan bahawa perang Salib ini telah berlangsung selama hampir dua abad
iaitu di antara tahun 1096 hingga 1270 M. Selain daripada itu, peperangan kecil
turut sering terjadi menyelangi jeda enam peperangan besar yang terjadi secara
bergelombang itu. Pada era pertama Perang Salib ini terjadi antara tahun
1096-1099 dengan kekalahan di pihak tentara Muslim, yang terutama diwakili oleh
pasukan Bani Saljuk, dinasti Turk yang baru saja menguasai Persia dan Asia
Barat. Kekalahan tersebut menyebabkan tentera Salib dapat menduduki Jerusalem.
Orang-orang Islam dan Yahudi yang menjadi penduduk Palestin ketika itu dibawa ke
tempat penyembelihan dan yang selamat berjaya melarikan diri serta bertempiaran
ke banyak negeri di sekitarnya. Pasukan tentera Salib pada masa ini didukung
oleh 300.000 tentara yang terdiri daripada rakyat biasa yang direkrut dari
seluruh Eropah (Karen
Amstrong 2003).
Pada Perang Salib pertama ini,
tentera Salib yang di pimpin oleh Godfrey, Bohemod dan Raymond ini memperoleh
kemenangan besar pada 18 Jun 1097, mereka berhasil menakluki Nicea pada tahun
1098 M dan menguasai Raha (Edessa). Setelah menguasai Raha (Edessa), pasukan tentera
Salib mendirikan kerajaan Latin I dengan Baldawin sebagai Raja. Selanjutnya,
pada tahun yang sama, pasukan Perang Salib dapat menguasai Antiochea dan mendirikan
kerajaan Latin II di Timur. Bohemond kemudian di lantik menjadi Rajanya.
Setelah menguasai Antiochea, pasukan tentera Salib juga berjaya menduduki Bait
Al-Maqdis Pada 15 Julai 1099 M kemudian mendirikan kerajaan Latin III dengan
mengangkat Godfrey sebagai Rajanya. Setelah penaklukan Bait Al-Maqdis itu tentera
Salib meluaskan jajahannya, lalu berjaya menguasai kota Akka
(1104M). Tripoli (1109 M) dan kota Tyere (1124 M), di Tripoli ini para pasukan
tentera Salib mendirikan kerajaan Latin IV, dengan mengangkat Raymond sebagai
rajanya (Carole Hillenbrand 2005).
Kemudian meletuslah Perang Salib
II. Perang Salib ini terjadi di antara tahun 1147-1149 M, di pihak Muslimin
dipimpin oleh Imaduddin Zanki iaitu Gabenor Mosul di Iraq. Imanuddin Zanki
berhasil menaklukan kembali Aleppo, Hamimah, dan Edessa pada tahun 114 M. Namun
beliau wafat tahun 1146 M. Tugasnya di lanjutkan oleh anakknya iaitu Nuruddin
Zanki. Beliau berjaya merebut kembali Antiochea pada tahun 1149 M dan pada
tahun 1151 seluruh Edessa dapat ditawan semula. Penaklukkan semula ke atas Edessa
telah membuat orang-orang Kristian melancarkan Perang Salib II. Paus Eugeneus
III menyerukan perang suci yang disambut positif oleh Raja Perancis Louis VII
dan raja Jerman Condrad II (Ahmad Shalaby
1975).
Kedua-dua raja Eropah dari pasukan
tentera Salib tersebut berusaha untuk merebut wilayah Kristian di Syiria, akan
tetapi gerak maju mereka dihalang oleh Nuruddin Zanki. Gerakan tentera Salib
tidak berhasil memasuki Damsyik. Perang Salib kedua ini menemui kegagalan,
Louis VII dan Condrad II sendiri melarikan diri pulang ke negeri masing-masing.
Nuruddin menakluki Damsyik pada tahun 1154 dan mengangkat dirinya sebagai
pemerintah kaum Muslim tertinggi di Syria. Tidak lama kemudian itu, Nuruddin
dan tentera Perang Salib kemudian mengalihkan perhatian mereka ke Mesir dan
Dinasti Fathimiyah yang menderita dan lemah akibat perpecahan dalaman. Ascalon
ditakluki orang-orang Perancis pada tahun 1153 M dan beberapa puak Fathimiyah telah
memberikan bantuan tempat tinggal untuk mereka. Sementara puak Fatimiyyah yang
lain meminta bantuan Nuruddin. Pasukan kaum Muslim telah dihantar di bawah
pimpinan komando Kurdi Syirkuh pada 1168-1169 M untuk menghalang kemaraan para
tentera Salib untuk menakluki Mesir (Carole
Hillenbrand 2005).
Setelah Nuruddin Zanki wafat pada
tahun 1174 M, tampok kepimpinan perang
kemudian dipegang oleh anak saudara kepada salah seorang menteri kanannya iaitu
Salah Al-Din Al-Ayyubi yang kemudian berjaya mendirikan dinasti Ayyubiyah di Mesir
tahun 1175 M. Hasil peperangan Salah Al-Din yang terbesar adalah merebut
kembali Jerussalem pada tahun 1187 M. Dengan demikian, kerajaan Latin Jerussalem
yang berlangsung selama 88 tahun berakhir. Salah Al-Din Al-Ayyubi selanjutnya
menjadi pemimpin kaum Muslim dalam Perang Salib. Beliau juga menjadi pemimpin paling
terkenal sekaligus membuktikan bahwa dirinya layak untuk meneruskan perjuangan Nuruddin
Zanki. Sepanjang tahun 1174 hingga 1178 M, Salah Al-Din Al-Ayyubi berupaya
untuk menundukkan lawan-lawannya dari kaum Muslim sendiri dan menubuhkan
barisan hadapan di Mesir dan Syia untuk berdepan dengan tentera Salib (Carole
Hillenbrand 2005).
Pada Era kepemimpinan Salah
Al-Din Al-Ayyubi ini, pada tahun 1189, beliau berjaya memerangi Pasukan tentera
Salib yang dipimpin oleh Raja Guy dari Lusignan dalam pertempuran besar Hattin
pada 4 Julai dan meraih kemenangan besar ke atas mereka. Namun, Penaklukan
kembali wilayah-wilayah tentera Salib yang penting seperti Acre terus berlanjutan.
Kemenangan Salah al-Din al-Ayyubi berada pada kemuncaknya ketika berjaya
merebut kembali Jerussalem pada 2 Oktober 1187. Pada akhir 1187, hanya beberapa
bahagian kecil kerajaan Latin Jerussalem yang masih dikuasai tentera Salib,
terutama Tirus. Kekalahan pada pertempuran Hattin dan jatuhnya Jerussalem ke
kekuasaan kaum Muslimin telah menjadi faktor penyebab Perang Salib berikutnya (Mohd Roslan
Mohd Nor 2012)
Uskup Agung William di Tyre, Paus
Clement III (1187-1191 M) telah menyerukan raja-raja Eropah dan orang-orang Kristian
untuk merebut kembali Jerusalem sebagai matlamat untuk mengangkat senjata
menentang umat Islam. Para tentera Salib kali ini di pimpin oleh Frederick
Barbarossa, Raja Jerman, Richard The Lion Heart, raja Inggeris dan Philip Augustus,
raja Prancis melancarkan perang Salib Ketiga antara tahun 1189-1192.
Menurut Carole di dalam bukunya
yang bertajuk “Perang Salib dari sudut pandang Islam” menulis bahawa pasukan Tentera Salib ini bergerak pada tahun
1189 M dan mendapat tentangan kuat daripada Salah al-Din, namun mereka berjaya
menawan Akka yang kemudian dijadikan ibu Kota Kerajaan Latin. Akan tetapi,
mereka tidak berjaya memasuki Palestin. Dalam perang kali ini
tentera Salib tidak berjaya merekrut tentera dalam jumlah yang besar dan
mengalami kekalahan besar. Genjatan senjata pun diumumkan pada tahun 1192 dan
raja Richard I yang memimpin pasukan Inggeris mencadangkan agar al-Malik
al-Adil, saudara Salahuddin al-Ayubi, menikahi saudaranya iaitu Putri Joanna.
Keduanya patut menerima Jerussalem sebagi hadiah pernikahan. Peristiwa ini
mengakhiri perselisihan antara Kristian dan Muslim (Carole Hillenbrand 2005).
Pada 2 November 1192 M, temeterai perjanjian di antara tentera
Salib dengan Salah al-Din yang disebut dengan Shulh al-Ramlah. Dalam perjanjian ini disebutkan bahawa kawasan persisiran pantai
menjadi milik bangsa Latin, manakala daerah pedalaman menjadi milik umat Islam,
dan para penziarah yang menziarahi ke Bait al-Maqdis tidak akan diganggu. Adalah
penting untuk dicatatkan bahawa Salah Al-Din dikenali bukan hanya sebagai
pejuang dan pahlawan yang bermazhab Sunni, beliau juga dikenali sebagai
pelindung masyarakat awam dan pelindung kepada golongan ulama serta sarjana.
Beliau juga yang menyokong pengembangan kajian teologi, membangun saluran
perairan untuk pertanian serta juga membangun sekolah dan masjid. Nama besar
Salah al-Din di Eropah adalah Raja yang dihormati bangsa Inggeris (Moh.
Salman Hamdani 2013).
Wafatnya Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1193 ketia berusia
80 tahun, hanya sebulan perjanjian damai disepakati, meletuslah kembali Perang
Salib IV pada tahun 1195-1198. Perang Salib ke IV ini terjadi setelah pemimpin
pemerintahan di Syria, Palestin dan Mesir telah meniupkan semula harapan Paus
Calestine II untuk merebut kembali Jerusalem. Dia memerintahkan Ordo St John menyusun
angkatan Perang Salib IV. Dalam perang ini kekalahan telah kembali menimpa
pasukan Salib. Perang Salib IV ini dalam rangka merebut kembali Konstantinopel
yang di duduki oleh penguasa Turki Saljuk. Peperangan yang di akhiri dengan
penguasaan para pasukan Salib ke atas Konstantinopel tahun 1204 M. Walaupun
begitu sebenarnya segala upaya untuk mengambil alih Jerusalem tetap
dilaksanakan ketika hayat Sultan Saladin masih ada, pasukan Salib pernah
menduduki Jerusalem namun sangat singkat dan pada akhirnya Jerusalem kembali
jatuh di tangan penguasa Islam. Pada tahun selanjutnya, meletuslah kembali Perang
Salib ke V pada tahun 1201-1204. Perang Salib V ini timbul atas rancangan Paus
Innocent III (1198-1216) untuk menyatukan Gereja Yunani Ortodoks ke dalam
Gereja Romawi. Oleh kerana dana kewangan untuk menampung kos perang tidak
cukup, Paus tidak dapat menyediakan tentera Salib dalam jumlah yang besar.
Bahkan sebelum bertempur melawan pasukan Islam, pasukan tentera Salib yang
dipimpin oleh raja Venezia terpaksa berperang melawan pasukan Hungary dan juga
dengan pasukan Kristian Byzantium di Konstantinopel. Perang Salib V memang
tidak dimaksudkan untuk merebut Jerusalem, tetapi membasmi raja-raja Kristian
yang dianggap menyebarkan bid‘ah di kalangan penganut Nasrani.
Perang Salib VI terjadi di antara
tahun 1217 dan 1221 M pada era Kerajaan Abbasyiah. Sasaran utamanya ialah untuk
menakluki Mesir. Namun sekali lagi tentera Salib gagal menghancurkan pasukan
Islam. Pada tahun 1211 M kedua-dua pihak yang berperang menandatangani
perjanjian damai yang dikenal dengan nama Treaty of 1221 AD. Tetapi, perjanjian
ini dilanggar tidak lama kemudian, sehingga beberapa peperangan berskala kecil
meletus secara berkala sampai akhirnya tamat pada tahun 1270 M. Ketika itu
seluruh wilayah kekhalifatan Abbasiyah, yang meliputi Iran, Iraq, Uzbekistan,
Turkmenistan, Azerbaijan, dan sekitarnya telah dikuasai oleh penguasa Mongol
keturunan Jengis Khan dan Hulagu Khan. Terhentinya Perang Salib itu
dimanfaatkan oleh penguasa Kristian untuk merancang konspirasi dengan penguasa
Mongol dalam rangka menghancurkan dunia Islam. Mereka menginginkan penguasa
Mongol memeluk agama Kristian. Usaha ini pada peringkat awalnya berjaya, tetapi
menjelang akhir abad ke-13 M penguasa dan bangsa Mongol memeluk agama Islam dan
menjadi pelindung kepada kebudayaan dan tamadun Islam (Carole
Hillenbrand 2005). Walaupun terdapat beberapa lagi siri peperangan Salib selepas perang
Sablib VI, namun skop kajian ini hanya memfokuskan perang Salib I hingga VI
sahaja kerana penglibatan dan peranan yang besar yang telah dimainkan oleh
keluarga Zanki
4.1 Perjuangan
Dan Peranan Keluarga Zanki
Perjuagan dan peranan keluarga Zanki amat
tinggi nilainya kepada sejarah dan tamadun Islam. Pada bab ini, penulis
menyenaraikan beberapa sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh keluarga
Zanki dan penglibatan mereka di dalam peperangan Salib terutamanya ketika era
Imanuddin Zanki dan Nuruddin Mahmud Zanki.
4.1.1 Imaduddin Zanki
Imanuddin Zanki seorang yang bijak menentukan
masa yang sesuai untuk melancarkan serangan ketenteraan secara besar-besaran ke
atas tentera Salib. Selain daripada menggemparkan Barat, kejayaan Imaduddin
mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia Islam dan Kristian. Antaranya
ialah:
a) Membangkitkan kekuatan
umat Islam bahawa gerakan jihad telah mencapai kematangan dalam aspek politik
dan ketenteraan. Kejayaan menawan kembali Edessa menjadi pemangkin kepada umat
Islam untuk bersatu dan bangkit menawan kota-kota yang lain seperti Tripoli,
Antioch dan Jerusalem (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
b) Kejayaan kepemimpinan
Imaduddin Zanki telah menjadi satu aras tanda bahawa pencerobohan tentera Salib
ke atas wilayah-wilayah Islam tidak akan berkekalan lama kerana umat Islam
mempunyai identiti keagamaan dan maruah diri. Pencerobohan tentera Salib ke
atas wilayah Islam telah menyebabkan wujudnya sempadan pemisahan di antara
kawasan pemerintahan Bani Saljuk di Asia Kecil dengan pemerintahan Bani Saljuk
di Parsi dan Rom (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
c) Peranan Imaduddin juga
sangat penting di dalam menyatukan semula semua wilayah-wilayah Islam yang pada
ketika itu saling bergolak kerana konflik dalaman dikalangan para pemerintah.
Keazaman Imaduddin ini jelas nampak apabila beliau telah menyatukan semua
wilayah di Syam dan langkah pertama selepas beliau menjadi pemerintah di Mosul
ialah dengan membebaskan Aleppo pada 522 H, kota Harrah pada 523 H, Dara dan
kubu al-Atharib ditangan tentera Salib (Ahmad Shalaby
1975).
d) Imaduddin juga menjadi
orang tengah semasa konflik di antara Khalifah Abbasiyyah al-Mustarsyid Billah
dan Sultan Mas’ud yang ingin merampas kuasa Khalifah di Baghdad. Imanuddin
Zanki menangguhkan usaha beliau untuk membebaskan wilayah Islam yang lain
sehingga konflik di antara Khalifah al-Mustarsyid Billah dan Sultan Mas’ud
reda. Kemudian Imaduddin dapat membebaskan al-Hamidyah, al-Hakariyah dan kubu
Tyre. Pada tahun 528 H, Imaduddin berjaya membebaskan Diyarbakir dan daerah
al-Jibal. Pada tahun 529 H, Imaduddin cuba untuk menawan Damsyik, tetapi dapat
dicapai kerana kedudukan Damsyik adalah terletak jauh daripada kawasan
pemerintahannya iaitu Mosul (Ahmad Shalaby
1975).
4.1.2 Nuruddin Mahmud Zanki
Sbagaimana bapanya iaitu Imanuddin Zanki,
Nuruddin Mahmud Zanki juga seorang yang bijak dalam aspek pengetahuan agama,
ketenteraan, politik, ekonomi dan sosial. Kebijaksanaan beliau telah dapat
meneruskan perjuagan bapanya dalam merancang dan melancarkan serangan
ketenteraan secara besar-besaran ke atas tentera Salib. Selain daripada turut
menggemparkan Barat, kejayaan Nuruddin Zanki juga turut mempunyai pengaruh yang
besar terhadap dunia Islam dan Kristian. Antaranya ialah:
a) Nuruddin Zanki semasa
tempoh pemerintahannya telah berjaya membuat serangan ke atas Antioch yang
ketika itu berada di bawah kekuasaan tentera Salib. Beliau juga berjaya menawan
beberapa buah kubu di sebelah utara Syam dan seterusnya berjaya menghapuskan
usaha Justin II yang ingin menakluki kembali Edessa. Kejayaan Nuruddin ini
telah membuat pasukan tentera Salib lebih menderita teruk akibay kekalahan
berbanding dengan semasa era bapanya Imaduddin Zanki (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015)
b) Dalam aspek diplomasi
dan politik, ketokohan Nuruddin sangat menyerlah apabila beliau menjalinkan
hubungan erat dengan wilayah-wilayah di kawasan Syam dan utara Iraq. Dengan gabungan
kekuatan anggota tenteranya dan jalinan diplomatik yang wujud di Syamd dan
utara Iraq, tentera Islam telah dapat menghadapi musuh.
Pada tahun 541
H/1147 M, Nurudddin telah memeterai perjanjian dengan pemerintah Damsyik
iaitu Mu’inuddin. Hasil hubungan yang terjalin, kedua-dua tokoh ini telah
berjaya mengarahkan pasukan tentera Islam untuk membebaskan Bushra dan Sarkhad
di sebelah selatan Syam sebelum meninggalkan Damsyik. Kesan daripada itu,
pemerintah Damsyik merasakan selamat daripada serangan tentera Salib (Didik Sapto
Anggoro 2014). Walaupun ketika peperangan Salib II di
bawah pimpinan Louis IV dan Conrad III, pasukan tentera Salib tetap gagal untuk
menawan Damsyik. Di samping itu, campur tangan Nuruddin di Mesir juga amat
bermakna kepada dunia Islam dalam menyekat kemaraan pasukan tentera Salib (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
c) Selepas Antioch,
Nuruddin berjaya membebaskan Artah, Kafir Latsa, Basharfut dan beberapa daerah
lain. Tindakan Nuruddin ini telah membimbangkan tentera Salib. Tentera Salib
menyangka dengan kematian Imadduddin Zanki telah melenyapkan semangat umat
Islam. Namun sangkaan itu meleset oleh kerana keberanian dan kebijaksanaan
serta semangat jihad Nuruddin Mahmud Zanki (Didik Sapto
Anggoro 2014) .
d) Nuruddin terus
mengungguli kehebatannya dalam memimpin pasukan tentera Islam dengan menyerang
kawasan di sekitar kubu Harim yang terletak di tepian sebelah timur sungai
Orontes. Nuruddin mengepung kubu ini sehingga memaksa Raymond de Poitiers
mengerahkan pasukannya untuk menyelamatkan kubu tersebut. Akhirnya tentera
Islam berjaya menawan kunu Harim pada 544H/1149 M. Antara tentera Salib yang
terkorban ialah termasuklah Raymond de Poitiers sendiri (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
e) Sumbangan Nuruddin yang
lain ialah peranannya yang dapat menumbangkan kerajaan Fatimiyyah Ubadiyyah
yang telah menimbulkan kekacauan politik di kawasan umat Islam yang memakan
masa lebih daripada 2 abad. Ini kerana kerajaan Ubaidiyyah yang pernah berpakat
dan membantu dengan pasukan tentera Salib untuk merampask Syam. Selain daripada
itu, Mesir juga mengalami konflik politik dalaman yang sangat teruk umpamanya
konflik di antara menteri dan khalifah yang saling berbunuhan kerana inginkan
kuasa (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015).
f) Disamping kejayaan
Nuruddin menjatuhkan kerajaan Fatimiyyah Ubaidiyyah, Nuruddin juga berjaya
mengekang penyebaran mazhab Hasyasyiyun (syiah) yang mengikut mazhab
Ismailiyyah. Mazhab yang berbeza ini telah memecahkan kesatuan umat Islam.
Dengan itu, dunia Islam dapat di satukan dengan akidah yang tunggal (sunni) dan
sesuai dengan syariat (Rahman
Abdullah 2016).
g) Sumbangan Nuruddin yang
tidak boleh dinafikan ialah berkenaan dengan perebutan Mesir di antara Nuruddin
dan pasukan tentera Salib. Ketika ini, Nuruddin telah melantik orang kanannya
iaitu Asaduddin Syirkuh dan anak saudara Asaduddin iaitu Yusuf Salahuddin
al-Ayubbi untuk menerapkan sistem politik yang berada pada landasan yang betul.
Implikasi daripada itu, kerajaan Batiniyyah lenyap daripada bumi Mesir.
Kejayaan Nuruddin ini telah menjadi titik tolak untuk pasukan Islam mendapatkan
kembali Jerusalem di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubbi (Didik Sapto
Anggoro 2014)
4.1.3 Saifuddin Ghazi
Peranan Saifuddin Ghazi iaitu anak yang
Imaduddin yang paling tua juga banyak membantu saudaranya Nuruddin Zanki dalam
menyekatan kemaraan pasukan tentera Salib ke atas wilayah Islam dan juga
menawan semula wilayah-wilayah Islam terutama sumbangan Saifuddin ke atas
negeri Syam yang sama-sama turut membantu Nuruddin adiknya di dalam peperangan
memerangi tentera Salib (Muhammad
al-’Arusiy al-Matwiy 1998).
Kejayaan-kejayaan keluarga Zanki
dan semangat jihad yang tinggi telah memberikan sumbangan yang besar kepada
dunia Islam. Wilayah Islam semakin luas di bawah kekuasaan keluarga Zanki yang
juga daripada keturunan kesultanan Saljuk Turki. Rajah 3 di bawah menerangkan
keluasan kekuasaan kerajaan keluarga Zanki di dalam menawan semula
wilayah-wilayah Islam yang telah ditawan oleh pasukan tentera Salib.
Rajah 3 : Peta Kekuasaan Keluarga Zanki
Sumber: (Sami Abdullah
al-Maghluts 2015)
5.1 Kesimpulan
Imaduddin, Nuruddin Mahmud dan Saifuddin
Ghazi merupakan nama besar dalam perjuangan Islam untuk menyatukan negeri Syam
dan Mesir dengan matlamat untuk membebaskan Daulah Islamiyyah dari tangan
tentera Salib dan kaum Kristian. Ketiga-tiga tokoh ini merupakan pahlawan Islam
yang gagah perkasa, tidak gentar menghadapi musuh-musuh Islam dari kalangan
tentera Salib dan puak Syiah Rafidhah di Mesir. Mereka menghabiskan usia mereka
untuk berjihad ke jalan Allah dan meninggikan Kalimah Allah. Kejayaan demi
kejayaan yang telah cipta oleh keluarga ini telah membuka jalan kepada pahlawan
Islam yang seterusnya iaitu Salahuddin al-Ayubbi untuk menawan semula Jerusalem
ketika pemerintahan beliau di Mesir. Peranan dan sumbangan mereka ketika
peperangan menawan Edessa dan wilayah-wilayah lain telah memberi kesan ke atas
dunia Islam, malah ke atas dunia Kristian juga.
Semoga
sumbangan dan jihad di atas jalan Allah oleh mereka dibalas dengan sebaik-baik
ganjaran oleh Allah s.w.t. Di kala ini, umat Islam di wilayah-wilayah yang sama
iaitu Iraq, Damsyik, Aleppo, Tripoli, Mesir dan Jerusalem terus bergolak. Sejarah
kembali berulang dengan umat Islam kembali ditindas. Menjadi harapan kepada
seluruh umat Islam agar ada pemimpin yang berjiwa besar dan ikhlas seperti
Imaduddin Zanki, Nuruddin Mahmud, Saifuddin Ghazi dan Salahuddin al-Ayubbi
dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam dan tamadun Islam.
Rujukan
Ahmad Shalaby. 1975. Perang Salib. Singapura:
Pustaka Nasional Singapura.
Alwi Alatas. 2012. Nuruddin Zanki dan Perang Salib. Jakarta: Zikrul
Hakim.
Burhan Che Daud. 2006. Nur al-Din Zanki and the Emergence of Jihad in 6th
Century AH/ 12th Century AD. Jurnal Yadim, 8.
Carole Hillenbrand. 2005. Perang Salib sudut pandang Islam.
(Hariadi, Ed.). Jakarta: Serambi.
Corliss K. Slack. 2013. Historical Dictionary of the Crusades
hlm.2nd Edisi . Plymouth: The Scarecrow Press Inc. Retrieved from
https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=uX8e2zU_TG0C&oi=fnd&pg=PR9&ots=0uQ0TLoTn4&sig=k8XxNpZrMNi2j29gCllvc1AEb5M&redir_esc=y#v=onepage&q&f=false
Didik Sapto Anggoro. 2014. Kebijakan Politik Nuruddin Zanki Di Syria Pada
Masa Perang Salib Ii (1146-1174 M). Retrieved from
http://eprints.uns.ac.id/20764/
Haron Din. 2007. Islam: Jihad sebagai Survival Insan. Kuala Lumpur:
PTS Millennia Sdn Bhd.
Karen Amstrong. 2003. Perang suci dari Perang Salib hingga Perang Teluk.
(Hikayat Darmawan, Ed.). Jakarta: Serambi.
Moh. Salman Hamdani. 2013. John Louis Esposito Tentang Dialog Peradaban
Islam-Barat. Jurnal Dakwah Dakwah & Komunikasi, 7(1).
Mohd Roslan Mohd Nor, N. S. M. N. 2012. Perang Salib dan Kejayaan
Salahuddin al-Ayyubi Mengembalikan Islamic Jurusalem Kepada Umat Islam. Jurnal
Al-Tamaddun, 7(1), 61–74.
Muhammad al-’Arusiy al-Matwiy. 1998. Muslihat Bangsa Eropah Untuk
Menghancurkan Islam Dalam Perang Salib Di Alam Islami. Kuala Lumpur:
Pustaka Syuhada.
Qasim A Ibrahim & Muhammad A Saleh. 2014. Sejarah Islam.
Jakarta: Zaman.
Rahman Abdullah. 2016. Peranan Nuruddin Zanki sebagai Amir Dinasti
Abbasiyah dan perjuangannya dalam melawan tentera Salib (1148-1174 M).
Institut Agama Islam Negeri Syekh Nurjati Cirebon.
Sami Abdullah al-Maghluts. 2015. Atlas Perang Salib - Sejarah Berdarah
Menyayat Hati. Kuala Lumpur: PTS Publishing House Sdn Bhd.
Syed Alwi Alatas. 1974. Biografi Agung Salahuddin Al-Ayyubi : Penakluk
Tentera Salib. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.
Waskito AM. 2013. The Power of Optimism. Jakarta: Pustaka
al-Kautsar.
No comments:
Post a Comment