السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد
لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى
آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم
الدين.
-20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ
عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
Dari Anas bin Malik r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang
wajib atas tiap-tiap seorang Islam." (Ibnu Majah
dan Lain-lainnya).
Hadis
yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan
perempuan - mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Menurut kitab Al-Furuq dan
"Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya
"Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya
"Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah sekata alim ulama,
tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia
mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang
hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari
hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa,
mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah
mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum
Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang
hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang
mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah
tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang
tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada
Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak
beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu
taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu
agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah
dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya
serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang
diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai
melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku,
lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang
kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Hadis
Kedua Puluh Satu
21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ
ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ
قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr
r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi
ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu
adalah ilmu yang lebih; - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah:
Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya;
atau "Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari
Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan
yang betul sama seimbang (dengan
kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)" ( Abu
Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini
menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi
ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1)
Ilmu-ilmu agama itu terbahagi dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah
ditetapkan Tuhan menjadi Asas.
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki
oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu
yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang
terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk
dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang
tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau
"Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya,
perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya
dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi
keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan
yang betul sama seimbang dengan
kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan
atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat
alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu
perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu
yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak
dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu
pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan
sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan
keduanya atau dengan yang difahamkan dari keduanya, atau pun
ilmu pengetahuan yang tak dapat memberi pertolongan untuk
memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan
sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak
memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon
dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang
membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir, ilmu nujum
(Astrologi) dan sebagainya.
Hadis
Kedua Puluh Dua
22- عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ
تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ
وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ
وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ
أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra., dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan
ajarkanlah dia kepada orang ramai; - pelajarilah perkara-perkara
yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai;
pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya
aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu
juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah
berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam
satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh
menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi dan
Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini
mengandungi:
(1) Perintah belajar dan
mengajar.
(2) Amaran tentang
kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1)
Perintah belajar dan mengajar:
Ilmu yang diperintahkan
belajar dan mengajarnya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ini
ialah:
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab suci,
kalam Allah yang wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan
dan pengubahan, baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya,
maka Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya
belajar dan mengajar ilmu yang tersebut untuk mengesahkan benarnya apa
yang dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr,
yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan
Kamilah yang memeliharanya."
(2)
Amaran tentang kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w.
ialah yang menyampaikan ilmu-ilmu agama dan Baginda juga seorang
manusia yang akan mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan
mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang disampaikannya, kerana
dengan kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang,
sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti mengerjakannya pun
akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak didapati orang yang boleh
menyelesaikannya.
Hadis
Kedua Puluh Tiga
23- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ
مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau
orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu
mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga
golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari)
golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa." (Al-Bazzar)
Hadis
yang kedua puluh tiga ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang
menentukan sikapnya terhadap ilmu agama.
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian,
seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan,
sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia
sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke
jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari
yang buruk dan yang hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu
yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka
mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan
yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang
salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa
orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya
dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu
tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk,
serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.
Hadis
Kedua Puluh Empat
24- عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا
يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ
تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ
خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki
Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh
fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini
hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan
sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah,
tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang
menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah
datang perintah Allah." (Bukhari dan
Muslim)
Hadis yang kedua puluh empat ini
menerangkan:
(1) Kelebihan orang yang
dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan.
(3) Sebahagian dari
umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran.
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam
perkara agama:
Di antara ilmu-ilmu agama yang
utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya
kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala
dengan dua tujuan:
Pertama: - kerana mengaturkan
hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan
Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka
adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan
saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan
bersih suci dari perasaan hasad dengki.
Kedua - dengan ilmu agama ini juga
Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh
seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai
keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di
dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah
mengetahui ilmu agama, maka sudah tentu kejahilan terhadapnya
membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan.
Hadis ini menerangkan bahawa
ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan
bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang
membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki
beroleh kebaikan, disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang
demikian, nescaya Allah jadikan dia seorang yang memahami ilmu
agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan
ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia
dan di akhirat, meliputi jasmani dan rohaninya.
(2)
Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan:
Sebagaimana yang sedia maklum,
bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan
menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu,
lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama, itupun tidak cukup melainkan
dengan adanya pertolongan dan limpah kurnia Allah
memberikan orang itu persediaan untuk memahami makna dan maksud
sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun
menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis
daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan
yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya orang-orang yang menerima
itu sama keadaannya tentang faham dan pendapatnya mengenai perkara yang
disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi apa yang telah berlaku adalah
berlainan. Demikian pula halnya alim ulama yang menjadi waris Baginda
untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya
menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka
untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham
- dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang
menerima penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum
syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan
fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang
diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.
(3)
Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W. tetap terus menjalankan
kebenaran.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w.
memberikan berita gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya
agama yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta
kebahagiaan dunia dan akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak
dihargai oleh golongan-golongan yang hanya mementingkan
kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir
ini.
Agama Islam yang demikian
keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat
bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga
datang perintah Allah `Azza wa Jalla mematikan sekalian
orang yang beriman dan tinggallah sahaja orang-orang yang tidak
tahu menyebut nama "Allah" pun, maka pada zaman mereka inilah
akan berlakunya hari qiamat.
Hadis ini juga
memberi semangat dan menjamin keselamatan orang-orang Islam yang
menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan sempurna.
Hadis
Kedua Puluh Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ
الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ
مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ
الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ
بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً
أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً
فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ
بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ
يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)
25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari
r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang
Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu
pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka
terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan
menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan
terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya
menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia
bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan
memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan
terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya
hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun),
dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman
yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang)
yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia
mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga
bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu
dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan
membawanya." (Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini
menerangkan:
Kelebihan
orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan
orang yang sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Hati manusia dengan ilmu
pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang
tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang
berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia,
ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima
kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya
dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah
sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang
tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari
meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang
lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan
tidak menumbuhkan tanaman; ia hanya dapat menumpang air untuk
faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati
manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan
menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri
tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian
kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya
kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk, kerana
ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal
menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang
tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta
tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman. Demikianlah pula hati manusia
ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu
tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah
sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai
bahagian langsung dalam kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan
atau amal perbuatan, bahkan ia seperti haiwan, bahkan
haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat
balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang
wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh
Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.
Hadis
Kedua Puluh Enam
26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ
الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ
وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا
وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا
وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ
أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ
بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ
اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ
عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ
يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a., dari
Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas
baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang
menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya
Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan
kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan
susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan
susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang
menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di
dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang
diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada
saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang
menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan memberi
kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang
membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah
satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah
dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya
sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka
pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta
mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di
sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai
kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".
(Muslim, Abu
Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam ini
menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi
pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan
pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan
mengulangkaji kitab Allah.
(4) Amalan seseorang sahajalah yang
menentukan maju mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam
alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan
kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat,
sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat
dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan
tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak
terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang
senang lenang atau yang mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara
bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara
lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang
memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar, amatlah
baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan
orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan
yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di
dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat
pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun
dapat memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang
sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong
meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana
orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya
dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu
tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada
tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada
tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau
disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi
kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh
Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang
menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada
masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki
menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari
sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain
untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang
mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki
menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu
sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang
biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau
keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis,
bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan
mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu
dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan
sesuatu maksiat, maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur
melakukan sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang
dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang
dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, kerana
perbuatan yang demikian adalah
perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal
berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat, yang tidak
menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada
apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut
membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup
kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa
syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan
itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan
pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan
oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan
maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi
saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan
orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang
memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh
pertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.
(2)
- Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan
cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang
penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca,
menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama
penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang
yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala
jalan yang menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan
sesuatu amal ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di
antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana
Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan
menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat
dalam segenap keadaan, dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan
puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di
sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat
dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia
dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan
maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan
ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah; dan sebaliknya
perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari
jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran
rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan
kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu
diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam
majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana
yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut
pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah
menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun
kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau
mempelajari ilmu agama.
Kelebihan berhimpun untuk
"Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan
Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai
Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari
kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih,
bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir
itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta
menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia.
Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka
Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi
saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya."
Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut
berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu
ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan
mereka." Allah Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang
yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa
orang yang duduk bersama-sama mereka".
(4)
Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w.
menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia
belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada
keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya:
"Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan)
disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya
yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri
dari azab seksa, dengan amal taat yang sempurna, kerana Baginda
tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi
hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup
mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau
ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah
Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah
pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan
nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang
tergamak menyanggup memberi pertolongan, pada "hari seseorang tidak
dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara
pada hari itu tertentu bagi Allah! "
No comments:
Post a Comment