Pages

Wednesday, 27 February 2013

Tadabbur Hadith: Kepentingan Niat



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم





عَنْ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ - رضى الله عنه - قالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - يَقُولُ:
((إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى ، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا ، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ )). ]متفق عليه[





Daripada ‘Umar bin Al-Khattab RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat (seseorang itu), dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah pada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin mendapatkan habuannya, atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah pada apa yang dia hijrahkan.” [Muttafaqun ‘alayh]


Pengajaran hadith:
1.     Hadith ini merupakan isyarat bahawa setiap amalan yang tidak dibuat untuk mendapat keredhaan Allah, maka ianya adalah batil, dan tidak akan mendapat sebarang ganjaran di dunia mahupun di akhirat.

2.  Diriwayatkan daripada al-Syafi’iy, dia berkata: Hadith ini merupakan satu pertiga cabang ilmu, dan termasuk dalam 70 bab daripada bab Fiqh.

3.  Imam Ahmad berkata: Usul Islam berpaksikan pada 3 hadith - Hadith ‘Umar: “Setiap amalan itu bergantung pada niat.”; Hadith ‘A’ishah: “Barangsiapa yang berkata tentang urusan kami (Islam) tetapi bukan dari kami, maka ianya tertolak.”; Dan hadith Nu’man bin Basyir: “Perkara yang halal adalah jelas, dan perkara yang haram juga jelas.”

4.   Abu Dawud pula berkata: Aku telah menulis 500,00 hadith tentang Rasulullah SAW, dan aku hanya memilih 4800 hadith untuk dimuatkan di dalam kitab ini – iaitu kitab al-Sunan. Bagiku, cukuplah agama seseorang itu terpelihara dengan berpegang pada empat hadith: Sabda Rasulullah SAW: “Setiap amalan itu bergantung pada niat.”; Sabda Rasulullah SAW: “Antara tanda kebaikan Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak penting baginya.”; Sabda Rasulullah SAW: “Seseorang Mu’min itu tidak akan menjadi Mu’min yang sebenarnya sehinggalah dia tidak redha kepada saudaranya melainkan apa yang dia redha pada dirinya sendiri.”; Sabda Rasulullah SAW: “Perkara yang haram adalah jelas, dan perkara yang haram juga jelas.”

5.   Para ulama’ berbeza pendapat tentang sabda baginda, “Setiap amalan itu bergantung pada niat.” Kebanyakan mereka berpegang pada pendapat yang mengatakan bahawa setiap amalan yang betul, dikira atau diterima adalah bergantung  kepada niat seseorang.

6.    Mengikut riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, dia berkata: Aku suka kepada orang yang berniat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu amalan, sama ada solat, puasa, sedekah, atau apa-apa sahaja kebaikan. Kerana itulah Nabi SAW bersabda: “Setiap amalan itu bergantung pada niat.” Maka perintah ini merangkumi semua perkara yang ingin dilakukan.

7.  Sabda baginda, “Setiap amalan bergantung pada niat.” juga membawa maksud: Syarat untuk menentukan amalan yang dilakukan itu betul atau rosak, diterima atau ditolak, diberi ganjaran atau tidak, adalah berdasarkan niat seseorang itu. Jikalau baik niatnya, maka baiklah amalannya. Tetapi jika rosak niatnya, maka rosaklah amalannya.

8.      Niat pada perbahasan para  ulama’ terbahagi kepada dua:

a.       Membezakan sesuatu ibadat dengan ibadat yang lain, seperti membezakan solat Zohor dengan solat Asar dan membezakan puasa Ramadhan dengan puasa yang lain. Ataupun membezakan ibadat dengan adat, seperti membezakan mandi junub dengan mandi biasa. Inilah maksud niat yang banyak terdapat dalam kitab-kitab feqah.

b.      Melakukan setiap amalan kerana apa? Iaitu adakah betul-betul ikhlas kerana Allah semata-mata? Atau kerana Allah dan juga kerana selain Allah atau kerana selain dari Allah sahaja? Bahagian ini di sebut sebagai ikhlas.


9.  Niat mengikut hadith Nabi SAW dan salaful Ummah ialah kehendak, dan ini dijelaskan lagi dengan banyak dalam al-Qur’an. Antaranya:

a.       “Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat.” [Ali Imran, ayat 152]

b.      “Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Al-Anfal, ayat 67]

c.       “Barangsiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan barangsiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami akan berikan kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” [Al-Syura: 20]

10. Sesungguhnya perkara yang ma’ruf, bersedekah, dan mendamaikan antara manusia adalah perkara yang baik. Sekiranya ianya dibuat untuk mencari keredhaan Allah SWT, ianya adalah baik baginya dan ia akan diberikan ganjaran. Tetapi sekiranya ia tidak dibuat untuk mencari keredhaan Allah, itu adalah tidak baik baginya dan ia tidak akan diberikan sebarang ganjaran. Firman Allah SWT: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” [Al-Nisa’, ayat 114]

11. Sabda Nabi SAW: “Semua manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak berdasarkan niat-niat mereka.” [Riwayat Ibnu Majah]

12.  Daripada Zayd bin Tsabit, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, Allah akan sulitkan urusannya (di dunia), menjadikan kefakiran di depan matanya, dan dia tidak akan mendapat dunia melainkan apa yang telah ditulis baginya. Tetapi barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-citanya, Allah akan mengumpulkan (memudahkan) urusannya (di dunia), menjadikan hatinya penuh dengan kekayaan, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk.” [HR Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban mensahihkannya]

13.  Ibnu ‘Ijlan menyebut: Setiap amalan tidak akan menjadi baik melainkan setelah adanya tiga perkara: Taqwa kepada Allah, niat yang baik dan bertepatan dengan syara’.

14. Syeikh al-Fudhayl berkata tentang firman Allah Ta’ala: “Supaya dia menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya.” [Al-Mulk, ayat 2] Dia berkata, iaitu: Yang paling ikhlas dan paling bertepatan dengan syara’. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak bertepatan dengan syara’, ianya tidak akan diterima. Dan apabila ianya bertepatan dengan syara’ tetapi tidak ikhlas, ianya tidak akan diterima juga sehinggalah amalan tersebut betul-betul dilakukan dengan ikhlas dan bertepatan dengan syara’.

15.  Sabda Rasulullah s.a.w. : “…Maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia hijrahkan (niatkan).”

16.  Maksud ayat ini ialah hijrah para sahabat ke Madinah berbeza mengikut perbezaan niat mereka. Siapa yang berhijrah kerana Allah, maka itulah orang yang berhijrah kerana cintakan Allah dan Rasul. Sebaliknya barangsiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana wanita, maka dia adalah ahli dunia.


17.  Daripada Abu Hurayrah RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang pertama diadili dan dihukum pada hari kiamat:

a.       Lelaki yang mati syahid. Lalu ia dibawa di hadapan Allah, maka ditunjukkan nikmat-nikmat ke atasnya dan dia mengakui nikmat-nikmat tersebut. Kemudian ditanyakan kepadanya: ‘Apa yang engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat tersebut?’ Ia menjawab: ‘Aku telah berperang kerana Engkau sehingga aku mati syahid.’ Lalu dijawab kepadanya: ‘Engkau berdusta, tetapi engkau telah berperang supaya engkau digelar seorang yang gagah perkasa. Dan memang orang ramai telah menyebut engkau sebegitu. Lalu diperintahkan kepadanya, maka mukanya diheret lalu dihumbankan ke neraka Jahannam.

b.      Lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarnya, serta membaca al-Qur’an. Maka ia dibawa dan diperkenalkan nikmat-nikmat kepadanya sehingga ia mengakuinya. Kemudian ditanya kepadanya: ‘Apa yang kamu telah lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?’ Jawabnya: ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Qur’an kerana Engkau.’ Lalu dikatakan kepadanya: ‘Engkau berdusta, tetapi engkau mempelajari ilmu supaya dikatakan engkau seorang yang alim dan engkau membaca al-Qur’an supaya dikatakan engkau seorang Qari’. Dan memang orang ramai telah menyebut engkau sebegitu.’ Kemudian ia diperintah lalu diheret mukanya sehingga dicampakkan ke dalam neraka.

c.       Lelaki yang diberi harta yang banyak. Maka ia dibawa dan ditunjukkan nikmat-nikmat yang dimilikinya. Maka apabila dia mengakui nikmat-nikmat tersebut, ia ditanya: ‘Apa yang kamu telah lakukan pada nikmat-nikmat tersebut?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak meninggalkan satu jalan pun yang Engkau suka untuk menginfaqkan harta melainkan semua telah aku infaqkannya kerana Engkau. Lalu dijawab: ‘Engkau berdusta, tetapi engkau melakukan itu supaya engkau dikatakan sebagai seorang yang pemurah. Dan memang orang ramai telah menyebut engkau sebegitu. Kemudian diperintahkan kepadanya lalu mukanya diheret sehingga dia dicampakkan ke neraka.” [HR Muslim, al-Nasa’ie dan Ahmad]

18.  Sesungguhnya Mu’awiyah setelah mendengar hadith ini, ia menangis sehingga pengsan. Setelah dia sedar, dia berkata: ‘Benarlah Allah dan Rasul-Nya sebagaimana Allah telah berfirman:

“Sesiapa Yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa Yang mereka telah kerjakan.” [Surah Huud, ayat 15-16]

19.  Nabi SAW telah memberi ancaman yang keras kepada sesiapa yang menuntut ilmu tetapi bukan kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya dia menuntut untuk mencari keredhaan Allah, tetapi ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat habuan dunia, maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat.” [Hadith Sahih, riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban]

20.  Amalan bukan kerana Allah terbahagi kepada beberapa bahagian:

a.       Dilakukan kerana riya’ semata-mata sebagaimana orang munafiq. Firman Allah Ta’ala:

…Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [Surah al-Nisa’, ayat 142]

b.  Beramal kerana Allah tetapi masih ada sifat riya’. Sekiranya riya’ itu daripada asal sebelum beramal, maka amalannya itu sia-sia walaupun sedikit. Sekiranya riya’ itu datang kemudian, kemudian dia menolaknya maka amalannya itu akan diterima dan tidak sia-sia. Tetapi sekiranya riya’ itu datang kemudian dan dia tidak menolaknya, amalannya akan dibalas mengikut niatnya yang asal. Ini pendapat Imam Ahmad dan Ibnu Jarir al-Tabariy.



No comments:

Post a Comment