Pages

Monday, 4 February 2013

Membazir Sifat Keji Yang Wajib Dihindari



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم





Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Israk ayat 27: 

                        إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. 
                                                                                                                                 [Al-Israk 17 : 27]




Pengajaran ayat:

1.   Sebagai umat Islam perlu meninggalkan sifat suka membazir kerana sebagaimana yang telah diketahui bahawa membazir adalah satu sifat yang buruk dan keji.

2.    Kita sedia maklum bahawa Islam melarang keras umatnya mengamalkan cara hidup suka membazir dalam semua urusan kehidupan kita termasuk urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta, pengurusan masa dan penggunaan tenaga. Perbuatan membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak. Mereka seolah-olah lupa bahawa rezeki yang diperolehi itu  sebenarnya kurniaan Allah S.W.T. Mereka menggunakan rezeki tersebut secara tidak wajar dan bukan pada tempat yang sepatutnya.

3.     Sehubungan dengan itu, Imam As-Syafi’e menyatakan bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta bukan pada jalan keperluan dan kebenaran, tetapi tidaklah dikatakan membazir jika dilakukan pada pekerjaan atau amal kebajikan. 

4.   Walaupun para ulama’ lebih banyak mentakrifkan bahawa pembaziran itu hanya dalam lingkungan pembaziran harta sahaja, namun ia tidaklah mustahil berlaku pembaziran dalam perkara-perkara yang lain. Islam menetapkan bahawa apa sahaja perbuatan yang mengarah kepada pengurusan atau pekerjaan yang merugikan, maka ia juga termasuk dalam erti kata melakukan pembaziran.

5.      Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, maka pembaziran boleh dibahagikan kepada tiga bahagian;
a)      Pertama : Pembaziran harta.
b)      Kedua : Pembaziran masa.
c)      Ketiga : Pembaziran tenaga. 

6.     Ketiga-tiga jenis pembaziran ini boleh berlaku tanpa kesedaran kita. Ianya berpunca daripada kelalaian kerana terlalu ghairah mengejar cita-cita atau terlalu lemah dalam mengurus atau mentadbir sumber yang ada seperti masa dan tenaga. 

7.      Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi mengatakan, terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan oleh manusia antaranya; 

a)   Pertama  : Pembaziran ilmu pengetahuan iaitu membazir jika tidak  diamalkan pada jalan kebaikan. 

b)   Kedua  : Pembaziran amalan iaitu membazir jika melakukannya  dengan hati yang tidak ikhlas. 

c)    Ketiga  : Pembaziran kekayaan iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah S.W.T. 

d)    Keempat  : Pembaziran hati iatu membazir jika hati yang kosong  kerana tidak mengasihi Allah S.W.T. 

e)   Kelima  : Pembaziran tubuh badan iaitu membazir jika tidak  digunakan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. 

f)    Keenam  : Pembaziran cinta iaitu membazir jika kita mencintai orang  atau perkara lain melebihi cinta kepada Allah S.W.T. 

g)  Ketujuh  : Pembaziran masa iaitu membazir jika tidak digunakan dan  diurus dengan sebaiknya. 

h)      Kelapan  : Pembaziran akal iaitu membazir jika memikirkan sesuatu  yang hanya untuk dunia semata-mata tanpa bermanfaat kepada agama. 

i)     Kesembilan : Pembaziran zikir iaitu membazir jika tidak menyebutnya dengan betul, hilang tumpuan, bermain-main atau sambil-lewa sahaja dan sebagainya.
 
8.  Cuba kita lihat gaya segelintir masyarakat kita yang suka berbelanja mewah dan ianya seakan-akan menjadi satu budaya, dan yang lebih menyedihkan lagi ia berlaku bukan di kalangan orang yang berpendapatan tinggi sebaliknya berlaku di kalangan mereka yang  berpendapatan sederhana dan rendah, yang cuba meniru gaya mewah sehingga lupa tanggungjawab kepada yang lebih utama. Mereka sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk hidup bermewah-mewah, berbelanja melebihi daripada keperluan, ghairah menukar atau membeli kenderaan baru bagi tujuan bermegah-megah. Sebaliknya begitu bakhil atau berhati-hati berbelanja bagi faedah anak-anak dan keluarga. Oleh yang demikian, kita sebagai individu muslim hendaklah sentiasa mempertingkatkan usaha dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam setiap bidang dan pekerjaan yang diceburi. Kita  hendaklah  sedar dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab menurut ajaran Islam.

9.  Di samping itu hendaklah kita berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan supaya tidak membawa kepada pembaziran. Islam sangat menggalakkan amalan hidup bersederhana kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan dan kebahagiaan kita. Di  samping mendorong supaya mudah membantu dan menolong orang-orang yang memerlukan sebagai tanda kesyukuran kita dengan nikmat pemberian yang  Allah SWT kurniakan kepada kita.

Firman Allah dalam surah Al-Isra’ (17) ayat 26 :
            وَآتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾

Maksudnya: ”Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang-orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau”.   [Al-Isra’ :26]

10.  Apabila kita teliti, kita dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah SWT amat murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur  di atas nikmatnya dan mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah SWT di atas kelalaian menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah SWT. Kita hanya sebagai pengurus yang pasti akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan ke mana kita belanjakan harta tersebut. Janganlah kita menganggap harta yang kita miliki itu sebagai milik kita yang mutlak dan kerana itu kita berbelanja sesuka hati. 

Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 43 yang maksudnya:
 
"Tidak syak lagi, Bahawa makhluk-makhluk Yang kamu ajak Aku menyembahNya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan sama ada di dunia ataupun di akhirat; dan Sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah kepada Allah, dan sebenarnya orang yang melampaui batas , itulah ahli neraka”.
  [Ghafir : 43]






No comments:

Post a Comment