Pages

Friday 17 February 2012

Peranan Bismack dalam menjamin keselamatan Jerman (Sejarah Eropah 1871-1890)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

1.0       Pengenalan

Di dalam esei ini, penulis akan membincangkan beberapa aspek penting tentang negara Jerman iaitu:
a.       Kerajaan Prussia secara ringkas dan bagaimana sebuah negara Jerman terbentuk;
b.      Siapakah Otto Eduard Leopold von Bismarck;
c.       Peranan Bismarck  semasa pembentukan dan proses penyatuan negara Jerman; 
d.  Usaha-usaha yang dilakukan Bismarck untuk mengukuhkan kedudukan negara Jerman terutama sekali dari segi aspek keselamatan

1.1       Kerajaan Prussia

Prussia merupakan sebuah negeri terpenting pada abad ke-18 dan ke-19. Pada abad ke-18, Prusia menjadi kuasa Eropah yang besar di bawah pemerintahan Frederick Agung (1740–86). Pada abad ke-19, Canselor Otto von Bismarck mengemukakan dasar menyatukan negeri-negeri Jerman menjadi "Jerman Kecil" yang mengecualikan Empayar Austria.
 
  Peta 1: Kawasan Prussia yang bertanda biru  di zaman kemuncak sebagai peneraju dalam pembentukan negara Jerman[1]

Kerajaan Prussia mendominasi Jerman utara dari segi politik, ekonomi, dan kependudukan, serta menjadi teras Gabungan Jerman Utara yang ditubuhkan pada tahun 1867, lalu menjadi sebahagian Empayar Jerman atau Deutsches Reich pada tahun 1871.

Berikutan tamatnya pemerintahan sisterm monarki raja-raja Hohenzollern di Jerman akibat Perang Dunia I, Prussia telah menjadi sebahagian daripada Republik Weimar sebagai  sebuah negara bebas pada tahun 1919. Namun begitu, Prussia hilang tarafnya sebagai negara secara de factor oleh Nazi pada tahun 1934 dan secara de jure oleh Kuasa Berikat Perang dunia II pada tahun 1947.


1.2       Latarbelakang Otto Eduard Leopold von Bismark

Jerman pada era 1865 – 1871 telah dipimpin oleh seorang bangsawan yang bernama Otto Eduard Leopold von Bismarck. Bismarck dilahirkan pada 1 April 1815 dan meninggal dunia pada 30 Julai 1898. Beliau berketurunan bangsawan Prussia dan keluarganya mempunyai kuasa untuk memerintah di dalam kerajaan bermula dari abad ke-14 lagi.

Menurut Denis Richards di dalam bukunya yang bertajuk An Illustrated History of Modern Europe, Bismarck telah digambarkan sebagai seorang yang pintar, mempunyai fizikal yang luar biasa, sentiasa berusaha untuk mendapatkan kuasa dan berpolitik mengikut gayanya yang tersendiri. Ciri-ciri ini merupakan penguasaan sesebuah negara secara autokratik[2].

Pada ketika itu, kebanyakan pemerintah mengamalkan pemikiran yang liberal. Revolusi liberal merasakan Bismarck merupakan ancaman terbesar bagi mereka. Ini kerana  Bismarck merasakan sebagai seorang aristokrat sepertinya tidak akan bersetuju kepada sebarang usaha ke arah demokrasi atau lebih tepat lagi keadilan dan hak yang sama rata. Beliau juga tidak suka pada pendapat pada era itu yang mengatakan bahawa Prussia yang bergabung dengan Jerman.

Usaha Bismarck untuk menghapuskan pemikiran yang liberal semakin ketara apabila beliau dilantik sebagai salah seorang ahli parlimen Prussia pada tahun 1847. Beliau telah berani mencabar kuasa mutlak raja bermonarki yang membentuk perlembagaan. Sikap Bismarck terlalu ekstrem sehingga beliau berpendapat tiada apa yang akan berjaya dilakukan kecuali dengan paksaan. Beliau telah melatih pasukan ketenteraan yang hebat untuk Perussia.

Kehebatan Bismarck digambarkan dengan kemunculan empayar Jerman pada tahun 1871 melalui tiga peperangan besar, iaitu peperangan dengan Denmark pada tahun 1864, Prussia dengan Austria pada tahun 1866 dan kemuncaknya apabila Bismarck dapat menjatuhkan Perancis yang dipimpin oleh Napoleon III pada tahun 1870-1871. Kemenangan ini telah membuatkan Jerman yang dulunya terdiri daripada negeri-negeri yang kecil dan lemah menjadi sebuah kuasa yang besar dan menjadi sebuah negara yang memainkan peranan utama dalam mewujudkan sistem hubungan antarabangsa yang baru di Eropah.[3]





2.0       Usaha-Usaha Bismarck Menyatukan Jerman

Penyatuan negara Jerman yang terdiri daripada 39 negeri adalah di bawah dominasi Prussia. Kerangka (framework) untuk menyatukan Jerman adalah dibuat semenjak tahun 1859 lagi iaitu semasa General von Roon sebagai Menteri Peperangan. General von Roon telah membuat rombakan ketenteraan dengan melantik General von Molke sebagai Chief of Staff. Pada tahun 1862, Raja William I telah melantik Otto Eduard Leopold von Bismarck untuk mengisi kekosongan jawatan Cancellor[4].  Pelbagai taktik dan usaha yang dilakukan oleh Bismarck untuk menyatukan negeri-negeri yang kecil di Jerman untuk menjadi kuasa yang besar. Paling ketara adalah melalui aktiviti ketenteraan. Usaha-usaha yang akan dilakukan bersifat konservatif. Beliau ingin menyatukan negeri-negeri di Jerman tetapi dalam pada masa yang sama mahu mengekalkan cirri-ciri tradisi dan kuasa Prussia.
           
Penyatuan negara Jerman adalah rentetan daripada kejayaan 3 siri peperangan utama yang diterajui oleh Prussia iaitu:

a.      Peperangan Prussia-Denmark pada tahun 1864
Kebanyakkan usaha yang dilakukan oleh Bismarck menjurus ke arah memastikan pihak yang ingin ditakluki tidak bersekutu dengan kuasa-kuasa besar. Peperangan dengan Denmark bermula apabila campur tangan Bismarck berkenaan pewaris takhta untuk Raja Denmark. Selepas kematian raja Denmark iaitu Frederick VII pada tahun 1863, penggantinya ialah Christian IX telah mewar-warkan cadangan menubuhkan satu gagasan yang mengintegrasikan rakyat kelahiran Denmark dengan lebih dekat.

Bismarck dengan cepat mengambil peluang sentiment etnic (perkauman) ini dengan melangar “London Protocol 1852” dengan melancarkan perang ke atas Denmark[5].  

Pada 1863, Schleswig dan Holstein adalah dibawah pemerintah Duke yang dinaungi oleh raja Denmark. Kebanyakkan masyarakat Holstein banyak mempunyai persamaan dan ciri-ciri yang sama dengan masyarakat di Jerman.[6]

Sentimen nasionalis Bismarck menebal untuk mengembalikan Schleswig dan Holstein ke tangan Jerman.  Maka berlakulah peperangan di antara Prussian dan Denmark pada 1864 dengan kejayaan milik Prussia. Kejayaan ke atas Denmark ini telah membuka ruang kepada Prussia untuk menguasai wilayah Schlleswig dan Holstein.


b.      Peperangan Prussia-Austria pada tahun 1866
Sikap Bismarck yang suka mengekploitasi dan suka mengambil peluang telah mencetuskan bibit-bibit peperangan di antara Prussia dan Austria.[7] Semasa isu Schleswig, Holstein dan Lauenburg di antara Prussia dan Denmark dan juga komplesiti berurusan dengan “London Protokol 1852” Bismarck telah mengambil kesempatan untuk meluaskan wiayahnya. Pada mulanya iaitu 1864, Prussia adalah menjadi rakan sekutu kepada Austria yang memerangi Denmark bagi merebut kawasan yang bersempadan Jerman.

Dengan taktik mengamalkan dasar yang tidak fleksible dan melambat-lambatkan rundingan damai di antara Prussia dan Denmark yang di terajui oleh London, telah menyebabkan perjanjian damai tersebut gagal. Sepertimana yang disebut di (a), berlakulah peperangan Prussia-Denmark dengan Austria telah menjadi rakan sekutu bagi Prussia. [8]

Rundingan damai yang berpanjangan telah membawa kepada “Convention of Gastein” pada Ogos 1865 yang mana hasil daripada konvension tersebut telah membahagikan wilayah Lauenburg dan Schleswig kepada Prussia dan Holstein kepada pihak Austria[9]. Ternyata Austria telah memasuki perangkap Bismarck kerana masyarakat Holstein telah bekerjasama dengan Prussia kerana faktor-faktor persamaan cirri-ciri masyarakatnya Holstein dengan Prussia. 

Oleh itu, berlakulah peperangan di antara Prussia-Austria pada 1866 kerana timbulnya perasaan tidak puasa hati Austria atas tindakan Bismarck. Namun begitu Prussia telah berjaya di dalam peperangan tersebut. Kemenangan Prussia ke atas Austria pada 1866 itu juga telah membolehkan membentuk kondeferasi Jerman Utara di bawah penguasaan Prussia.


c.       Peperangan Prussia-Perancis pada tahun 1870-1871
Perang Perancis-Perussia pada tahun 1870-1871 merupakan kemuncak kepada panyatuan kesemua negeri-negeri di Jerman. Ia berpunca daripada isu takhta Sepanyol. Queen Isabella sebagai raja Sepanyol pada ketika itu telah diturunkan takhtanya pada September  1868[10]. Kerajaan sementara Sepanyol telah sepakat untuk melantik kerabat diraja Perussia, Putera Leopold sebagai bakal pewaris takhta. Walaubagaimanapun, kerajaan Perancis tidak bersetuju dengan perlantikan itu dan mengemukakan bantahan melalui kedutaannya.

Napoleon III yang ketika itu merupakan pemerintah Perancis telah memberi amaran kepada duta Sepanyol di Paris bahawa perlantikan Putera Leopold bakal mengundang tercetusnya peperangan di antara Sepanyol dengan Perancis. Melihat kepada perkembangan itu, Raja William I bersutuju untuk menasihati Putera Leopold supaya berundur. Menteri luar Perancis masih tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan meminta supaya Raja William I memberi jaminan bertulis bahawa beliau tidak akan menyokong sebarang pelantikan Putera Leopold sebagai Raja Sepanyol pada masa akan datang. Raja William menolak permintaan tersebut.
Bismarck telah mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku. Beliau telah menyiarkan laporan mengenai perbincangan antara Raja William I dengan Duta Perancis di akhbar-akhbar Jerman dan Eropah. Ini telah menyebabkan kemarahan Perancis dan mendakwa maruah mereka tercabar dengan penyiaran tesebut. Perancis berpendapat bahawa maruah mereka hanya akan terbela dengan mengisytiharkan perang terhadap Prussia.[11]

Perang ini menjadi malapetaka bagi Perancis kerana mereka tidak dibantu oleh kuasa besar yang lain. Napoleon III gagal mewjudkan pakatan dengan Austria dan Itali. Austria tidak mahu bekerjasama dengan Perancis kerana mahu menjaga keselamatan wilayah selatannya dari ancaman Perussia. Manakal Itali tidak mahu bersekutu dengan Perancis kerana Perancis gagal untuk mengarahkan tenteranya agar keluar dari Rome.

Kuasa-kuasa besar yang lain juga enggan untuk membantu Perancis dengan mengemukakan pelbagai alasan. Antaranya, Britain dan Rusia yang mengambil sikap berkecuali di dalam peperangan Perancis-Perusia. Britain mengambil sikap berkecuali kerana Perusia menghormati kemerdekaan Belgium iaitu salah satu wilayah Britain. Bismarch menjadi lebih yakin apabila sekutunya, Tsar pemerintah Rusia memberi jaminan bahawa pihaknya akan menguasai Galicia sekiranya Austria campur tangan[12].

Perang Prussia-Perancis ini telah berlanjutan selama 2 tahun. Pada awal peperangan 1870 di Sedan, Perancis telah mengalami kekalahan teruk dengan 80,000 tenteranya menyerah kalah kepada Prussia. Peperangan di Metz juga melibatkan 150,000 orang tentera Perancis menyerah kalah kepada pihak tentera Prussia. Akihirnya pada 29 Januari 1871 gencatan senjata telah diisytiharkan dalam usaha damai selepas Paris juga turut jatuh ke tangan Prussia pada 28 Januari 1871. 
Syarat perdamaian yang diletakkan oleh Bismarck adalah sangat berat sebelah. Prussia menuntut Perancis agar menyerahkan wilayah Alsace dan Lorraine. Kedua-dua wilayah ini juga adalah sangat kaya dengan bijih besi, perusahaan tekstil dan struktur tanah tanih yang subur.

Bismark juga menuntut Kerajaan Perancis untuk membayar wang pampasan perang yang berjumlah 5,000 juta Franzsc iaitu bersamaan dengan £200,000,000.[13] Tentera Prussia juga akan ditempatkan di Perancis sehingga pampasan perang tersebut dilunaskan oleh Perancis.

Peperangan ini telah berpihak kepada Prussia iaitu Bismarck sendiri. Kemenangan disebabkan oleh kelemahan pasukan tentera Perancis yang terdiri daripada buruh dan petani yang rata-ratanya buta huruf berbanding dengan pasukan tentera Prussia dilihat lebih efisyen dan cekap berbanding pasukan tentera Perancis.

Akibat daripada kemenangan dengan Perancis, telah mempercepatkan penyatuan negeri-negeri Jerman yang terletak di kawasan selatan antaranya ialah Wutermberg dan Bavaria[14].






3.0       Usaha-Usaha Bismarck Mengukuhkan Jerman Dalam Aspek Keselamatan

Di dalam usaha-usaha Bismarck mengukuhkan kedudukan Jerman sebagai sebuah negara yang berdaulat selepas penyatuannya daripada serangan-serangan musuh terutamanya daripada serangan Perancis, Bismarck telah menyusun beberapa strategi untuk memastikan keselamatan Jerman. Antaranya adalah seperti berikut:

a.      Strategi memencilkan Perancis daripada sokongan negara-negara Eropah
Taktik Bismarck untuk memencilkan timbul apabila Bismarck menyedari bahawa Perancis sudah tentu akan bangkit menentang Jerman selepas kekalahan Perancis ke atas Prussia pada tahun 1870-1871. Ini kerana dalam peperangan tersebut Perancis telah kehilangan 2 wilayahnya iaitu iaitu Alasce dan Lorraine.

Bagi merealisasikan hasrat memencilkan Perancis tersebut, Bismarck telah mengadakan 2 fundamental polisi pertahanan yang penting iaitu[15]:

                                                          i.            Memastikan bahawa Perancis tidak mempunyai rakan sekutu di kalangan negara-negara Eropah. Ini bagi memastikan Perancis tidak membalas dendam selepas kalah dalam peperangan terhadap Jerman. Pihak British[16] ketika itu iaitu pada tahun 1872, melihat terdapat pertukaran dalam aspek keseimbangan kuasa di Benua Eropah. Ini kerana Kerajaan British berpendapat bahawa Bismarck adalah seorang yang lebih berpengaruh berbanding Napoleon III dan Odo Russell.

                                                        ii.            Bismarck telah mengambil langkah penting dengan mengadakan hubungan diplomatik pada peringkat antarabangsa yang baik di antara Jerman-Austria-Hungary dan juga negara Russia. Ini kerana apabila Perancis  ingin menyerang balas terhadap Jerman sudah tentu Perancis akan membina satu pakatan untuk menyerang Jerman terutama sekali pakatan daripada Austria-Hungary dan Russia. Dengan menjalin hubungan diplomatik yang baik terhadap Austria-Hungary dan juga Russia, Bismarck yakin bahawa usaha beliau pasti berjaya dengan menyekat Perancis daripada mendapat sokongan negara-negara di Eropah yang lain. 


b.      Meraih keyakinan negara-negara Eropah yang Jerman mempunyai aspirasi yang tinggi ke arah keamanan
Bismarck telah menonjolkan sikap “low profile” ke atas isu-isu yang membabitkan dirinya sebagai seorang yang agresif dan pencetus peperangan di kalangan negara-negara Eropah. Konsisten dengan amalan polisi luar Jerman yang mengamalkan hubungan berbaik-baik dengan negara-negara Eropah yang lain, Bismarck telah mempamerkan sikap yang Jerman inginkan perdamaian dan tidak lagi berminat untuk memperluaskan wilayah Jerman. Untuk meraih keyakinan negara-negara Eropah bahawa Jerman mempunyai aspirasi yang tinggi ke arah keamanan adalah tidak mudah.

Untuk mendapat keyakinan negara-negara di Eropah, Bismarck telah membuat beberapa langkah ke atas polisi luarnya iaitu[17]:

                                                          i.            Dalam menunjukkan sikap bertolak ansur Bismarck ke atas Perancis, pampasan sebanyak £200,000,000 yang dikenakan ke atas Perancis adalah memadai bagi Bismarck. Walau bagaimanapun beliau meletakkan syarat iaitu tentera Jerman akan ditempatkan di Perancis sehingga pampasan perang itu langsai dibayar oleh kerajaan Perancis.

                                                        ii.            Bismarck juga telah memperkenalkan skim perkhidmatan tentera jangka pendek kepada Perancis bagi Perancis mewujudkan pasukan tentera simpanan.

Pada tahun 1873, beban hutang telah berjaya dilunaskan oleh kerajaan Perancis kepada Jerman dan pada masa yang sama juga, Perancis telah mempunyai seramai 2,000,000 orang tentera simpanan.  


c.       Mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa
Selama 3 tahun berturut-turut iaitu dari tahun 1870 – 1872 Bismarck dilihat sentiasa konsisten untuk menjalin hubungan diplomasi yang baik di kalangan negara-negara Eropah terutama sekali dengan rakan sejawatnya. Beliau telah berjaya menjalin ikatan dengan William I iaitu Emperor Francis Joseph of Austria dan Czar Alexander II dari Russia. Ikatan perjanjian ini dikenali sebagai “The League of The Three Emperor[18]

Antara isi kandungan utama perjanjian tersebut adalah pernyataan kerjasama ketiga-tiga maharaja tersebut yang mewakili negara masing-masing untuk secara bersama

                                                        i.           mempertahankan institusi sistem pemerintahan beraja daripada ancaman revolusi sosialis dari Perancis;

                                                      ii.            untuk saling berhubung di antara satu sama lain bagi mengelakkan perbalahan di antara Russia dan Austria-Hungary berhubung dengan isu krisis di Balkan ataupun mana-mana wilayah dibawah naugan Kerajaan Uthmaniyah; dan

                                                    iii.            Ketiga-tiga maharaja tersebut bersetuju untuk mengadakan rundingan damai bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Eropah


d.      Menjadikan Jerman sebagai “hub” rundingan diplomasi bagi krisis di Balkan
Bismarck dilihat bijak mengambil kesempatan daripada krisis yang berlaku di semenanjung Balkan. Pada ketika itu iaitu sekitar tahun 1870-an, negara-negara yang terletak di semenanjung Balkan telah mencetuskan perbalahan dan pemberontakkan dalam menentang kerajaan Islam Uthmaniyah yang berpengakalan di Turki. Pada sekitar tahub 1875, kaum Serb telah melakukan memberontakkan di Bosnia-Herzegovina. Faktor-faktor kelemahan kerajaan Islam Uthmaniyah dalam mentadbir wilayahnya di semenanjung Balkan telah diambil kesempatan oleh Russia dan juga Austria-Hungary bagi memperluaskan pengaruh dan wilayah masing-masing. Bismarck telah mengambil langkah bijak dengan menawarkan Berlin sebagai hub rundingan dan merangka pelan damai bagi menyelesaikan konflik di semenanjung Balkan yang membabitkan kepentingan negara-negara besar di Eropah[19].

Hasil daripada usaha Bismarck menjadikan Jerman sebagai pusat rundingan bagi isu-isu yang dihadapi oleh di negara-negara Balkan, maka pada 1875 terhasillah satu pelan tindakan untuk mengatasi konflik di Balkan iaitu Reformasi Andrassy. Reformasi Addrassy ini adalah merupakan satu cadangan reformasi bagi Bosnia Herzegovina untuk dikemukakan kepada Kerajaan Islam Uthmaniyah.

Antaranya adalah: 
  •  Hak beragama kepada semua penduduk di wilayah Balkan
  •  Cadangan untuk menamatkan cukai pajakan
  •  Memperbaiki kehidupan penduduk luar bandar
  • Memberi kuasa kepada kerajaan tempatan untuk menggunakan cukai bagi pembangunan tempatan
  • Cadangan untuk melantik Suruhanjaya Bersama Muslim-Kristian bagi mengawasi pelaksanaan reformasi tersebut.
Bagaimanapun cadangan reformasi tersebut telah ditolak oleh puak Serb. Maka sekali lagi Berlin menjadi hub rundingan perdamaian di antara pihak yang bertelagah di Balkan. Pada 1876, Menteri Luar Austria telah menggubal cadangan baru yang diberi nama “Memorandum Berlin”. Memorandum Berlin itu mengandungi cadangan genjatan senjata selama 2 bulan oleh pihak yang betelagah.


4.0       Kesimpulan

Kesimpulannya, daripada tahun 1871-1890, Bismarck telah memainkan peranannya yang penting di dalam sejarah Eropah moden yang mana sumbangan besarnya adalah telah berjaya membina empayar Jerman dalam erti kata menyatukan negeri-negeri kecil untuk menjadi satu kuasa besar Jerman. Kemenangan Prussia ke atas Perancis telah merintis jalan kepada penyatuan negara Jerman.

Kredibiliti Bismarck sebagai dengan sikapnya yang opportunist dan suka mengeksploitasi daripada kelemahan musuh-musuhnya, beliau telah berjaya menyatukan negara Jerman. Keberkesanan Bismark di dalam merangka dasar luar negaranya telah membawa Jerman sebagai sebuah negara yang kuat dan selamat. Beliau bijak mentadbir uruskan Jerman di zaman pasca perang. Strategi-strategi beliau dalam memastikan Jerman terselamat daripada tindakan balas oleh kerajaan Perancis selepas kekalahan di tangan Prussia pada tahun 1870-1871 adalah amat berkesan.

Antara strategi yang telah dilakukan oleh Bismarck dengan memperkemaskan polisi luar negara antaranya ialah:

a.       Memastikan Perancis terpencil dengan tidak mendapat sokongan daripada mana-mana negara-negara Eropah;

b.      Meraih keyakinan negara-negara jiran bahawa Jerman menyokong keamanan;

c.       Mengadakan dan mewujudkan hubungan erat dengan maharaja Russia dan Austria-Hungary; dan

d.      Menjadikan Berlin sebagai “hub” rundingan damai bagi krisis di Balkan

Pada 15 Mar 1890, Otto Eduard Leopold von Bismarck telah hilang kuasanya sebagai Chancelllor Jerman akibat daripada kebangkitan socialist. Di samping itu juga kritikan-kritkan ke atas dasar-dasar yang telah dilakukan oleh Bismarck di parliament juga semakin tidak menyebelahinya. Kekurangan sokongan majoriti daripada ahli-ahli parliament juga telah mendorong kejatuhan Bismarck sebagai pemerintah Jerman. Namun kepimpinan beliau dalam penyatuan Jerman telah menjadikan Jerman sebagai salah sebuah negara yang kuat di Eropah[20].



5.0       Bibliografi

1.      Antony Wood, Europe 1815-1960, Second Edition, Longman Group UK Limited, 1984

2.      Denis Richards, M.A, An Illustrated History Of Modern Europe 1789-1945, Longmans, London, 1967

3.      Denis Richards, M.A, An Illustrated History Of Modern Europe 1789-1984, Longmans, London, 1993

4.      Gordon A. Graig,  Europe 1815-1914, Holt, Rinehart and Winston Inc, 1961

5.      H.L Peacock M.A, A History of Modern Europe 1789-1978, Sixt Edition, 1980

6.      Rene Albrececht-Carrie, Europe Since 1815: From the Ancien Regime to the Atomic Age, Harper & Row Publisher, London

7.      Nota Kuliah ME3253, Bab 2: Sejarah Dunia, Bismark dan Keselamatan Jerman


Pautan:



[1] Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Otto_von_Bismarck
[2] Lihat Denis Richards, M.A, An Illustrated History Of Modern Europe 1789-1945, hlm 167
[3] Ibid, hlm 168-169
[4] Lihat Rene Albrecht-Carrie, Europe Since 1815, From the Ancient Regime to the Atomic Age, hlm 107
[5] Ibid, 109
[6] Lihat Denis Rischards, MA, An illustrated Histroy Of Modern Europe 1789-1945,  hlm 173
[7] Lihat Rene Albrecht-Carrie, Europe Since 1815, From the Ancient Regime to the Atomic Age, hlm 109
[8] Ibid, 109
[9] Ibid, 109
[10] Lihat nota ME3253, Sejarah Dunia, hlm 24
[11] Lihat Rene Albrecht-Carrie, Europe Since 1815, From the Ancient Regime to the Atomic Age, hlm 110
[12] Lihat nota ME3253, hlm 23
[13] Lihat H.L Peacock, A History of Modern Europe 1789-1978, hlm 194
[14] Ibid, 23
[15] Lihat Antony Wood, Europe 1815-1960, hlm 271
[16] British mengambil sikap berkecuali semasa peperangan Perancis-Prussia 1870-1871. Lihat nota ME3253, hlm 23
[17] Lihat H.L Peacock, A History of Modern Europe 1789-1978, hlm 193-194
[18] Ibid, hlm 194
[19] Ibid, hlm 199
[20] Lihat Gordon A. Graig, Europe 1815-1914, hlm 388 & 390

1 comment:

  1. Kalau dia Islam dah dapat banyak pahala dah dia ni...

    ReplyDelete