السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
1.1 Pengenalan
Penulisan ini
cuba membuat analisa isi kandungan sebuah risalah yang dikarang oleh Dr
Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (kini almarhum) tentang penyerapan unsur-unsur
akidah yang mengelirukan dalam masyarakat Islam di Malaysia yang berpegang
kepada manhaj Ahli Sunnah Wa Jamaah (ASWJ) (Muhammad Uthman el-Muhammady 2011). Secara amnya, risalah ini
berhalaman 50 mukasurat dengan isi kandungannya mempunyai beberapa topik seperti
berikut:
Topik
|
Halaman
|
Mukadimah
|
4
|
Cabang Ilmu ASWJ
|
12 - 17
|
Epistemologi Sunni
|
18
|
Keperluan Kepada Ilmu-Ilmu Islam
Lain
|
48
|
Keperluan Nusantara Atau Dunia
Melayu Kepada Empat Wacana Sunni
|
49
|
1.2 Mukadimah
Dr Muhammad
‘Uthman El-Muhammady menjelaskan objektif risalah penulisannya ialah untuk
meneguhkan pendirian akidah ASWJ dikalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Dorongannya untuk menulis ialah kerana perkembangan pemikiran Islam liberal
telah mula berkembang dengan pesat sehingga boleh mengganggu gugat akidah ASWJ dalam
mazhab Imam Al-Asy’ari, dan Fiqh mengikut aliran mazhab Imam Syafie yang telah
lama diamalkan di Malaysia. Penulisan beliau di dalam buku ini adalah
berlandaskan kepada hujah-hujah dan fakta-fakta yang akan meneguhkan lagi
pendirian ASWJ melalui pemahaman ilmu epistemologi. Definisi
: (épistémologi) teori tentang pengetahuan, terutamanya yg berkaitan dgn kajian
kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop sesuatu pengetahuan (Kamus Dewan 2013).
‘Abd al-Qahir
al-Baghdadi rh. membahagikan ASWJ dalam
dalam kitabnya (al-Farqu Baina al-Firaq) (Asmadi
Mohamed Naim 2009); (Kate
Chambers Seelye 1920)kepada beberapa bahagian mengikut disiplin
ilmu dalam epistemologi ASWJ seperti: Ilmu al-Kalam atau Usul al-Din, ilmu
Tafsir Quran dan Qiraat, Ilmu Hadith dan cawangan-cawangannya, Ilmu Fiqh dan
ahliahlinya (termasuk usul al-fiqhnya), ilmu sastera dan nahu sarafnya, ilmu
lughahnya, ilmu tasawwuf dan para ahlinya. Termasuk ke dalam golongan mereka
itu orang awam yang mengikut panduan ulama ASWJ dan juga mereka yang menjaga
sempadan negeri-negeri ASWJ.
2.1 Cabang Ilmu ASWJ Dan Ciri-Cirinya
Menurut
Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, terdapat 5 cabang ilmu ASWJ dengan
ciri-cirinya seperti berikut:
a) Ilmu Tafsir
Ilmu tafsir berdasarkan al-Qur’an dan huraian-huraian
para ulama Ahli Sunnah yang muktabar dalam bidangnya seperti al-Baidawi,
al-Nasafi, al-Jalalain, a-Khazin, al-Baghwi, Fakhrul-razi dan seterusnya;
sampailah kepada para mufassirin zaman kemudian.
b) Ilmu Hadith
Berdasarkan ilmu-ilmu hadith oleh para imam yang diakui
seperti para pengumpul "kutub sittah" dan lainnya dan para pensyarah
kitab-kitab mereka seperti huraian para ulama tentang mustalah al-hadith,
huraian para ulama tentang "al-jarh wa ta’dil", huraian para ulama
tentang sejarah perkembangan hadith.
c) Ilmu Usuluddin
Ilmu usuluddin mestlah berdasarkan kepada Quran, Sunnah,
dan ijma’, huraian para ulama ASWJ yang muktabar dalam bidang ini seperti Imam
Abul-Hasan al-Ash’ari, al-Maturidi, al-Baghdadi, al-Baqillani, al-Nasafi, dan
seterusnya dalam memberi huraian tentang Tuhan, para nabi, malaikat, kitab
samawi, akhirat, dan qadha dan qadar. Juga berdasarkan kepada huraian mereka
yang menolak Mu’tazilah, Jabariah, Qadariah, Murji’ah, Khawarij, Batiniah, dan
Syiah atau Rafidah. Manakala fahaman pemikiran moden seperti materialisme,
sekularisme dan semua fahamanan pasca moden haruslah ditolak.
d) Ilmu Fiqh
ASWJ
mengiktiraf ilmu fiqh dengan detail-detail hukum Syara’ dalam Islam berdasarkan
kepada Quran, Sunnah, Ijma’ mereka yang muktabar dan Qias.
e) Ilmu Akhlak dan
Tasawuf
Keperluan kepada usaha merujuk dan mengambil panduan
daripada sistem ilmu tasawwuf yang muktabar sebagaimana yang ada dalam ASWJ
seperti Imam al-Ghazali rd dan al-Qushairi rh serta al-Junaid al-Baghdadi rh
dan lainnya serta teks-teks mereka dan perjalanan hidup mereka. Pendirian ASWJ
menekankan perlunya ilmu akhlak dan tasawuf ialah kerana untuk mengelak
daripada ciri-ciri yang tidak wajar dalam kefahaman sufiah dan
amalan-amalannya, apa lagi yang bercanggah dengan hukum Syara’ dan ciri-ciri
Batiniah yang sesat dan menyesatkan yang muncul atas nama tasawwuf atau ilmu
hakikat yang palsu dan juga keperluan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul
berkaitan dengannya.
3.1 Epistemologi Ilmu Menurut
ASWJ
Menurut
Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady terdapat 15 rukun berkenaan dengan
epistemologi ilmu sunni. Berikut adalah ringkasan rukun-rukun tersebut menurut
beliau:
a) Rukun Pertama
Rukun pertama ialah mengithbatkan hakikat dan ilmu yang
mereka ijma’kan tetapnya.mengithbatkan hakikat-hakikat dan ilmu-ilmu yang
mereka ijma’kan tetapnya ilmu-ilmu itu dengan makna-makna yang ada pada para
ulama dan dianggap sesat mereka yang menafikan ilmu dan lain-lain sifat (a’rad)
seperti yang berlaku pada golongan “Sophists” (ini boleh terkena pada pemikiran
pascamodernisme) yang menafikan ilmu dan hakikat-hakikat benda-benda yang ada. Demikian pula sesatnya mereka yang
menganggap semua pegangan dan kepercayaan sebagai sah walau pun yang saling
berlawanan dan bercanggahan.
b) Rukun Kedua
Rukun
kedua ialah tentang baharunya alam ini, yang mereka sepakati ialah alam itu
ialah sekalian yang selain dari Allah. Maka sekalian yang lain dari Allah dan
sifat-sifatNya yang azali adalah makhluk yang diciptakanNya. Pencipta alam bukan makhluk, bukan dicipta,
bukan dari jenis alam, bukan dari jenis sesuatu bahagian atau juzu’ alam.
c) Rukun Ketiga
Rukun ke-3 ialah memperihalkan tentang semua
peristiwa yang berlaku mesti ada yang melakukannya dan yang menjadikannya.
d) Rukun Ke-Empat
Rukun ke-4 ialah tentang Berkenaan Dengan
Sifat-Sifat Allah IlmuNya, QudratNya, HayatNya, IradatNya, Sama’Nya, BasarNya,
dan KalamNya, yang semuanya Sifat-Sifat Yang Azali dan Kekal.
e) Rukun Ke-Lima
Manakala rukun ke-5 ialah tentang nama-nama
Allah pada Ahli Sunnah adalah perkara tauqif, iaitu samaada ianya diambil daripada
al-Quran atau Sunnah yang sahih atau ijma’ umat tentangnya; tidak dibolehkan qias
tentangnya.
f) Rukun Ke-Enam
Rukun ke-6 pula ialah memperihalkan tentang
tentang keadilan Ilahi dan kikmat kebijaksanaanNya. ASWJ mengajarkan bahawa
Allah menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-arad yang baiknya dan yang buruknya
semua sekali (kalau sekarang boleh dikatakan Ia menjadikan semua atom-atom,
neutronneutron, proton, elektron, quark-quark, serta lain-lainnya seperti yang
ada ini semua, sama ada dalam bentuk gelombang atau zarrah, dengan
sifat-sifatnya semua sekali).
g) Rukun Ke-Tujuh
Rukun ke-7 menurut ASWJ pula ialah tentang
ajaran hakikat adanya kenabian dan kerasulan serta mereka menegaskan kebenaran
adanya para Rasul a.s.s yang diutuskan Allah kepada para hambaNya. Ini
berlawanan dengan ajaran Brahminisme (juga golongan materialis dan
pascamodernis) yang menafikan itu walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang
menjadikan alam.
h) Rukun ke-Lapan
Rukun ke-8 adalah membincangkan tentang
mukjizat dan karamah yang mana bahawa mu’jizat ialah perkara zahir yang
menyalahi adat timbul pada seseorang nabi dalam menghadapi kaumnya dan kaumnya
lemah untuk menghadapinya, dan ini membenarkan dakwaannya sebagai nabi; maka
wajib ditaati nabi yang demikian.
i)
Rukun ke-Sembilan
Rukun ke 9 pula ialah memperihalkan
tentang syariah Islam dan rukun-rukunnya. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa Islam
terdiri daripada lima rukun, iaitu syahadah, perlaksanaan sembahyang lima
waktu, pembayaran zakat, puasa Ramadhan, dan ibadat haji ke Baitullahil-Haram
j) Rukun Ke-Sepuluh
Rukun ke-10 ialah tentang amar makruf dan
nahi munkar menurut Islam. ASWJ mengajarkan bahawa perbuatan orang-orang
mukallaf terbahagi kepada lima bahagian, iaitu yang wajib, haram, sunat,
makruh, dan harus. (Diikuti dengan definisi-definisinya).
k) Rukun Ke-Sebelas
Rukun ke-11 pula membicarakan tentang hilangnya
para hamba dan hukum mereka di akhirat. ASWJ mengajarkan Allah berkuasa membinasakan
seluruh alam dan membinasakan setengah jisim dan mengekalkan yang lainnya. Mereka
mengajarkan bahawa Allah akan mengembalikan semula hayat manusia dan
makhluk-makhluk lainnya yang mati di dunia, ini berlawanan dengan golongan yang
mengatakan bahawa Allah menghidupkan semula manusia sahaja tidak yang
lain-lainnya. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa Syurga dan Neraka adalah makhluk
yang dijadikan, berlawanan dengan pendapat golongan yang mengatakan bahawa
kedua-duanya bukan makhluk. Ahli Sunnah mengajarkan bahawa ni’mat Syurga kekal
dan azab Neraka kekal atas ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang tidak
membawa iman dan yang munafik. Ini berlawanan dengan pegangan mereka yang mengatakan
bahawa Syurga dan Neraka tidak kekal, akan
fana.
l)
Rukun Ke-Duabelas
Rukun ke-12 ialah tentang imamah. Imamah atau khilafah wajib atas umat Islam supaya
pihaknya menjalankan hukum dan amanah-amanah, menjaga dan menguatkan kubu-kubu
pertahanan, serta menghantar tentera jihad, membahagi-bahagikan fay’ iaitu
harta yang didapati bukan melalui peperangan, dan menyelesaikan masalah
penzaliman ke atas mereka yang dizalimi. Diikuti dengan syarat-syarat imamah:
ilmu, keadilan dan bangsa Quraisy.
m) Rukun Ke Tigabelas
Rukun ke-13 pula ialah tentang iman dan
Islam. Mereka mengajarkan asal iman ialah ma’rifah, tasdiq (pembenaran) dengan hati.
Mereka mengajarkan wajib taat dalam perkara yang wajib dan sunat dalam perkara
yang sunat. Ahli Sunnah mengajarkan keimanan tidak hilang dengan berlakunya
dosa, tetapi hilang dengan berlakunya kekufuran. Dijauhkan Allah. Orang yang
berdosa dia mu’min, bukan kafir, walaupun ia menjadi fasik kerana dosanya. Ahli
Sunnah mengajarkan tidak halal membunuh orang mu’min melainkan kerana salah
suatu daripada yang tiga: murtad, zina selepas kahwin, atau hukum qisas kerana orang
itu membunuh orang. Ini berlawanan dengan golongan Khawarij yang mengharuskan.
n) Rukun
Ke-Empatbelas
Para wali dan imam-imam pula menjadi rukun
yang ke-14 di dalam pegangan sunni. Ahli Sunnah mengajarkan para malaikat maksum
daripada semua dosa berdasarkan ayat yang bermaksud: ”Mereka tidak derhaka
terhadap Allah tentang perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka
lakukan apa yang disuruh” ( Surah al-Tahrim ayat 6).
o) Rukun Ke-Limabelas
Rukun ke-15 ialah memperihalkan tentang
hukum para musuh Islam. Ahli Sunnah mengajarkan: Para musuhnya ada dua: yang
sebelum Islam dan yang lahir zaman Islam dan yang menunjukkan secara zahirnya
mereka orang Islam. Mereka yang sebelum Islam terdiri daripada pelbagai golongan:
para penyembah berhala dan patung. Pada Ahli Sunnah mereka yang menyembah
berhala, manusia, dan malaikat, bintang, api, dan sebagainya haram berkahwin
dengan wanita mereka. Tentang jizyah boleh diterima daripada Ahlil-Kitab dan mereka
yang ada sesuatu kitab seperti Ahlil-Kitab. Ini termasuk golongan Materialist
klasik dahriyah yang mengajarkan alam ini kadim. Termasuk juga golongan yang
mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam). Termasuk golongan ahli
falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka menolak adanya Tuhan Maha Pencipta;
antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara ahli sains moden tidak sedikit yang
materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam rohani). Muslimin bersepakat
bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan sembelihan mereka dan wanita
mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin. (Diikuti dengan pendetailan hukum
tentang jizyah dari mereka, perkahwinan dengan wanita mereka dan sebagainya).
3.2 Keperluan Ilmu-ilmu Lain
Dr Muhammad ‘Uthman
El-Muhammady dengan ringkasnya
menjelaskan bahawa keperluan ilmu lain di dalam Dunia Melayu Sunni sehingga
masa kini ditentukan sifat-sifatnya oleh beberapa ciri pokok: Akidahnya Ahli
Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd
walaupun sekarang ada pihak yang mencabarnya dan hendak menggantikannya dengan
sesuatu yang lain dengan pelbagai alasan bidaah dan sebagainya. Ini perlu diteruskan
dengan tambahan-tambahan seperlunya samaada dalam hubungan dengan
fahaman-fahaman klasik dan tradisional yang tidak benar atau aliran-aliran
baharu moden yang perlu diberi huraiannya dalam perspektif. Dari segi kefahaman
tentang Hukum Syara’ dan perlaksanaannya ianya berpandukan kepada mazhab Syafi’i.
Ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya yang terdiri daripada
keputusan-keputusan atau fatwa-fatwa baharu yang diperlukan kerana perkembangan
masa dan budaya.
4.1 Kesimpulan
Kesimpulannya bolehlah dirumuskan bahawa risalah yang
ditulis oleh Dr Muhammad ‘Uthman El-Muhammady ini ialah memperihalkan tentang
aspek epistémologi iaitu teori tentang pengetahuan, terutamanya yg berkaitan
dgn kajian kritis tentang kesahihan, kaedah, dan skop ASWJ untuk mengangkis
pahaman pasca moden yang menyerang pemikiran umat Islam yang selama ini
berpegang teguh dengan pendirian ASWJ aliran Asy’ari dan mazhab fiqh pula ialah
mazhab aliran Imam al-Syafie. Ringkasnya, Ahli Sunnah mengajarkan bahawa
orang-orang yang menunjukkan amalan dan pegangannya dalam Ahli Sunnah ialah
mereka yang bebas daripada amalan-amalan dan pegangan-pegangan golongan-golongan
yang terkeluar daripada Islam, dan yang terdiri daripada mereka yang mengikut
hawa nafsu, walaupun mereka dinisbahkan kepada Islam seperti Qadariah, Murjiah,
Syiah Rafidah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan Mujassimah.
Rujukan
Al-Qur’an dan Terjemahan
Asmadi Mohamed Naim. 2009, December 23. Golongan
Ahlussunnah menurut Imam al-Baghdadi. Utusan Malaysia,. Kuala Lumpur.
Kamus Dewan. 2013. Kamus Dewan hlm.Edisi Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa & Pustaka.
Kate Chambers Seelye. 1920. Moslem Schisms And Sects. (Richard
Gottheil, Ed.). New York: Colombia University Press.
Muhammad Uthman el-Muhammady. 2011. Ahli Sunnah Wal Jamaah Penyerapan
Unsur - Unsur Akidah yang Mengelirukan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia.
Johor Bahru: Majlis Agama Islam Johor.
No comments:
Post a Comment