السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
Dalam era milinea kini, dunia seolah-olah tiada sempadan. Maklumat
boleh dicapai dengan hanya kita klik dihujung jari. Kemajuan sains dan
teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan yang mana inovasi dan
pencapaian dalam bidang sains teknologi telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah
kerana kita dapat menyelesaikan pekerjaan yang rumit dengan cepat. Kemajuan
dalam penciptaan yang canggih melalui penghasilan manusia menerusi ilmu sains
dan teknologi bukan sahaja dapat dinikmati oleh masyarakat malahan juga negara.
Pelbagai bentuk alat dan sistem pertahanan daripada senjata sehinggalah alat
kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Sesebuah
negara seperti negara kita yang tercinta Malaysia dapat mempertahankan
negaranya daripada diceroboh dan melindungi rakyat daripada diancaman
luar.
Sains dan teknologi telah
berkembang seiring dengan corak pembangunan tamadun manusia di alam semesta
ini. Sejarah tamadun manusia memerlukan usaha manifestasi nilai dalam skop
perspektif mereka sendiri. Kenyataan di atas boleh dibuktikan dengan sandaran
yang kukuh dengan maksud sains dan teknologi itu sendiri, ia adalah nilai-nilai
dan termasuklah pandangan budaya yang dibentuk oleh manusia itu sendiri. Sains
dan teknologi telah berkembang dengan cara yang teratur berdasarkan objektif
kajian saintifik. Inovasi dan penciptaan sains dan teknologi dipengaruhi oleh
epistemologi dan metodologi (Alias Azhar, 2013).[1]
Pendidikan sains di
Malaysia bukanlah ilmu baru dalam masyarakat kita. Menurut Thamby Suhaban
(1999; 9), pembelajaran sains dipengaruhi oleh banyak faktor, antaranya
kurikulum yang mantap, kesediaan pelajar untuk belajar dan kesediaan guru untuk
membimbing pelajar. Kesediaan pelajar untuk belajar pula bergantung pada
keupayaan pelajar itu menyesuaikan konsep awal sains yang dimilikinya dengan
konsep sains yang diajar di sekolah serta dapat menggunakan teknik-teknik
belajar yang sesuai bagi memperolehi keputusan yang cemerlang. Guru-guru perlu
memahami tanggapan awal pelajar tentang sesuatu konsep sains yang bakal diajar.
Di samping itu, guru-guru juga harus memahami konsep sains dengan jelas selaras
dengan konsep sains yang diterima oleh saintis sebelum menyampaikan ilmu
tersebut kepada pelajar. Keadaan ini perlu bagi mengelakkan percanggahan antara
apa yang diajar dengan konsep yang diterima oleh pelajar. [2]
Dari konteks di atas,
penulisan ini dibuat supaya kita dapat memahami apakah itu falsafah sains dan
sumbangannya terhadap peradaban manusia. Kami juga cuba menghuraikan kaitan di
antara agama dan ilmu, ilmu dan iman, sumber sains dalam Islam dan yang paling
menarik di dalam proses penyusunan penulisan ini ialah kaitan di antara sains
Yunani kepada sains Islam serta pengaruhnya dalam pemikiran budaya sains Islam.
Kami tidak menganggap penulisan ini lengkap dan kami bersedia untuk menerima
komentar yang membina supaya penambahbaikan dapat dilakukan untuk kepentingan
bersama.
1.1.1 Ilmu
Sains dan Iman
Bahagian
ini akan menerangkan hubungkait di antara ilmu dan iman secara khususnya
bagaimana sikap kita di dalam mengagendakan ilmu sains terhadap ketauhidan
kepada Allah s.w.t. Antara pandangan sarjana dalam bidang ini ialah seperti
berikut:
Abdul
Razak Noufal (2005) mengatakan bahawa zaman yang kita hidup padanya hari ini
teristimewa dengan kemajuan ilmiah dan sains, kerana banyak penemuan padanya
rahsia-rahsia ilmu dan makrifah, dan ia lebih layak dinamakan dengan zaman
keimanan. Jika keimanan lampau disandarkan kepada keimanan terhadap alam ghaib,
maka sains pada zaman moden telah membuktikan dengan apa yang tidak dapat dibantah
dan diragukan tentang kewujudan Allah.[3]
Osman
Bakar (2008) menerangkan bahawa pentingnya sains Islam sama ada dari sudut
epistemologi dan institusinya adalah didasari dengan ajaran-ajaran agama Islam
yang intinya adalah prinsip tauhid dalam ruang lingkup pemahaman manusia atas
alam dan segenap alam semesta. Sifat dan ciri-ciri Islamik menjadi sumber
kepada pengetahuan, kandungan dan amalan yang diyakini sebagai sumber wahyu
daripada Allah. [4]
Wan
Mohd Nor Wan Daud, menekankan bahawa ilmu sains dan peranannya adalah asas
kekuatan kepada sesuatu bangsa dan tamadun. Jika iman dan agama menjadi dasar
kepada ilmu, ianya bukan sahaja akan mengukuhkan peribadi seseorang, malah akan
memberi kesejahteraan kepada manusia dan alam. [5]
1.1.2 Definisi Sains dan Teknologi
Perkataan sains (science) berasal daripada
bahasa Latin scientica yang membawa maksud pengetahuan atau ilmu (Esa Khalid,
2001).[6] Sinonim dengan perkataan scientica ialah
perkataan epistamai, episteme atau ephistemi daripada kata dasar yang membawa
maksud memahami atau pengetahuan (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011)[7].
Hairudin
Harun (2007) menerangkan bahawa secara umumnya sains boleh ditafsirkan sebagai
ilmu yang dihasilkan melalui cerapan dan fahaman atau huraian sistematis
mengenai fonemena tabii. Huraain sistematis itu merujuk kepada penglibatan
penggunaan kaedah kuantitatif dan intelek.[8]
Manakala
Osman Bakar (2008) mengatakan bahawa sains sebagai sebuah cabang pengetahuan
dan sebagai aktiviti intelektual secara berstruktur serta hanya menerima fakta
yang secara sistematis.[9]
Identiti
sains dan teknologi Islam dapat dijelaskan dalam analisis epistemologinya yang
secara langsung dapat memberikan gambaran dan matlamat serta kedudukan sains
dan teknologi dalam Islam. Begitu juga dengan analisis kritis terhadap
metodologi yang mempengaruhi cara-cara aplikasi dan adaptasi sains dan
teknologi Islam mampu menerangkan dan menjelaskan imejnya tersendiri (Alias bin
Azhar).[10]
Manakala Mohd
Koharuddin Mohd Balwi (2003) pula berpendapat dengan merujuk kepada hasil
kajian beliau menjelaskan bahawa ilmu sains dan teknologi melibatkan
pengetahuan bersistem yang diperolehi daripada cerapan, kajian dan eksperimen.[11]
Pengertian sains
yang akan diguna pakai dalam melihat pencapaian sains masyarakat Melayu adalah
pengertian sains yang luas berasaskan kepada pengertian sains sebagai ilmu
pengetahuan atau singkatnya ilmu. Perkataan sains itu berasal daripada science dalam
bahasa Inggeris atau dalam bahasa Latin scientia, yang bermaksud pengetahuan. Pengertian
pengetahuan di sini adalah pengetahuan yang khusus atau mempunyai ciri-ciri,
tanda-tanda dan syarat-syarat yang khas. Sains lebih dikenal sebagai
perbendaharaan ilmu (Wan Fuad Wan Hassan, 1996).[12]
Dalam aspek yang
lain pula, teknologi merupakan istilah yang sering disilap tafsirkan. Istilah
tersebut kerap digunakan disamping istilah sains dan sering dianggap sebagai
sinonim dengan sains. Anggapan ini sebenarnya kurang tepat. Makna sebenar
teknologi mungkin dapat difahami dengan merujuk kepada etimologinya. Istilah
teknologi berasal daripada dua perkataan Yunani iaitu techne bererti seni atau
kerja tangan dan logos bererti wacana atau kata-kata sistematis. Oleh itu
teknologi merupakan mewakili aspek pratikal berbanding teoritikal. (Hairudin
Harun, 2007). [13]
Pengertian yang lebih
tepat ialah teknologi adalah cernaan kepada sains atau melalui perkembangan
sains itu sendiri. Teknologi lebih bersifat kepada sains gunaan secara teknik
dan praktis yang membolehkan manusia menggunakannya dengan membuat perubahan
kepada dan daripada alam tabii.
1.1.3 Sejarah Tamadun Islam dan
Falsafah Sains
Fakta sejarah perkembangan sains dan teknologi telah membuktikan bahwa
majoriti di kalangan ahli sejarah dan sains Barat serta sarjana Islam yang
apologetik yakin dan percaya bahawa ahli sains masa kini bergantung kepada
sumbangan ahli sains terdahulu. Ahli sains terdahulu terdiri daripada warga
sains Greek dan Islam apabila mereka membina ilmu pengetahuan bagi kemajuan
ketamadunan. Pengenalan kepada sejarah sains oleh Sejarawan Barat telah cuba menyampaikan
serba sedikit tentang kualiti dan kuantiti sumbangan Islam dalam bidang ilmu
sains (Chejne, A., 1974).[14]
Selain itu, penterjemahan buku-buku Arab ke bahasa Latin dan Roman
daripada semua bentuk dan cabang pengajian sains giat dijalankan bagi pemantapan
ilmu sains dan teknologi Barat.[15] Secara khususnya, Newton telah menjalankan kajiannya berdasarkan hasil
kerja Al-Haitham, Harvey pula menciplak ciptaan Ibn Nafis dan Kapler mengkaji
penyelidikan al-Battani, Al-Biruni serta ahli Astronomi Islam yang lain. Namun,
perlu difahami bahawa saintis Islam yang cemerlang tersebut telah melakukan
gerak kerja dalam kerangka kefahaman dan amalan yang tersendiri (Ziauddin
Sardar, 1991).[16]
Epistemologi dan pedagogi mereka adalah berbeza dengan pengajian sains
tajaan Barat, walau pun beberapa hasil kajian dan ciptaan mereka menjadi asas
peningkatan dan pemodenan sains Barat.[17]
Kebanyakan
daripada sejarawan sains Barat berpendapat bahawa sains sebagai suatu ilmu yang
bersistematik dan rasional bermula daripada tamadun Yunani. Hujah historiografi
Islam dan bukti empirik menunjukkan bahawa sains semestinya mempunyai titik permulaan yang lebih awal. Peralatan yang
ditinggalkan oleh tamadun awal memperlihatkan kebijaksanaan tamadun tersebut
menggunakan sumber alam, bahkan juga kefahaman mereka terhadap alam tabi’i. Perkembangan
sains ini ada kaitan dengan tamadun awal manusia (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[18]
1.1.4 Ciri-ciri Tamadun Islam
Esa Khalid (2001) di dalam
bukunya Konsep tamadun Islam: sains dan teknologi, menggariskan beberapa
cirri-ciri tamadun Islam iaitu[19]:
- Negara
atau politik Islam yang maju
- Bandaraya
Islam yang maju
- Susun
lapis sosial masyarakat yang teratur rapi
- Ilmu
pengetahuan yang tinggi
- Bangunan-bangunan
yang tersergam indah dan hebat
- Kesenian
yang halus
- Ekonomi
yang mantap
Menurutnya lagi, kesemua yang disebut di atas
berpaksikan kepada ciri-ciri Rabbaniyyah (ketuhanan), Insaniyyah (kemanusian),
Dunyawiyyah (keduniaan) dan Syumulliyah (keseluruhan)
Untuk
tujuan penulisan kertas kerja ini, kami akan memfokuskan kepada peranan dan
sumbangan kerajaan Islam di Andalusia sebagai tanda aras kepada pencapaian umat
Islam terhadap sains dan teknologi sehingga mampu menjadikannya sebagai salah
satu tamadun yang agung di dunia khususnya dunia Islam.
2.1 Sains dan Teknologi Dalam Islam
Perbincangan terhadap sains dan teknologi
Islam ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti peranan dan sumbangannya kepada
ketamadunan manusia. Setiap tamadun mempunyai nilai sejarah dan kemajuan yang
dicapai. Sebenarnya Islam pernah menikmati zaman keagungan Islam Yang mana
ianya adalah berlandaskan atas dua alasan seperti berikut:
a. Untuk memahami hakikat bahawa Islam bergerak seiring dengan
perkembangan sains dan teknologi hinggalah ke hari ini. Malah orang Islam bukan
hanya sekadar berbangga dengan pencapaian terdahulu tetapi perlu berusaha
mengembalikan kegemilangan tersebut. Harus difahami dengan jelas bahawa dunia
Barat yang saintifik hari ini sebenar sama keadaannya dengan dunia Timur yang
saintifik pada masa dahulu. [20]
b. Objektif kedua adalah sebagai kaedah untuk membantu kita
menggariskan misi dan visi seterusnya membentuk imej dan identiti saintifik
Islam.[21]
Jelas di sini, bahawa di sebalik
ketamadunan manusia itu wujud satu dorongan dan ransangan positif terhadap
perkembangan sains. Sikap manusia terhadap alam semula jadi dan usaha-usaha
untuk menyelesaikan masalah-masalah serta memenuhi keperluan-keperluan tertentu
merupakan faktor pemangkin terhadap perkembangan pengajian sains dan teknologi
itu sendiri (Mohamad Abu Bakar, 1991).[22] Pengkajian terhadap sejarah perkembangan
pengajian sains dan teknologi perlu mengambil kira sumbangan dan peranan sains
dan teknologi terhadap kehidupan manusia.
Kajian sejarah sains dan teknologi di zaman
tamadun awal sehingga zaman moden menunjukkan bahawa setiap tamadun dunia telah
memberikan sumbangan terhadap perkembangan sains. Carta sejarah perkembangan
sains dan teknologi yang dikemukakan oleh Poh Swee Hiang menunjukkan dengan
jelas aliran perkembangan sains dan teknologi dalam sejarah ketamadunan
manusia.[23] Bermula sejak tahun 3500 sebelum masihi dikenali zaman tamadun awal
wujud dalam sistem kerajaan iaitu Babylon dan Mesir Purba. Pada tahun 1000
sebelum masihi wujud sains dan teknologi dalam tamadun Yunani, India dan Cina
yang diklasifikasikan sebagai tamadun klasik. Zaman tamadun moden pula terdiri
daripada tiga zaman iaitu Islam, Eropah Renaisans dan Eropah Moden pada tahun
500 masihi.
Kronologi sejarah perkembangan sains dan
teknologi dalam tamadun manusia turut direkodkan oleh George Sarton dalam karya
agungnya History Of Science sebanyak lima jilid. Beliau telah
membahagikan sejarah perkembangan ini kepada empat zaman utama secara umumnya.
Peringkat-peringkat perkembangan tersebut antaranya ialah[24]:
i.
Tahun
450 SM-500 M dikatakan sebagai zaman Plato (Tamadun Yunani)
ii.
Tahun
600 M-700 M, disifatkan sebagai keunggulan tamadun Cina.
iii.
Tahun750
M-1100 M merupakan zaman kegemilangan sains dan teknologi Muslim.
iv.
Selepas
tahun 1100M pula dianggap zaman kecemerlangan Sains dan teknologi Barat.
2.1.2 Metodologi Sains Dalam
Islam
Osman Bakar (2008) menegaskan bahawa metodologi adalah merujuk kepada
cara-cara atau metode yang dengannya manusia dapat memperolehi pengetahuan
tentang realiti sama ada secara sebahagiannya atapun keseluruhan aspeknya. [25]
Ilmu adalah teras sistem nilai agama Islam dan menduduki tempat yang
amat tinggi. Penekanan terhadap ilmu dalam ajaran Islam jelas ternyata dalam
sumber-sumber asas agama iaitu al-Qur’an dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w
(sunnah), dan semua tokoh-tokoh Islam dari dahulu hingga sekarang (Wan Mohd Nor
Wan Daud, t.th). [26]
Penekanan pada pembacaan sebagai alat penting dalam usaha keilmuan
sebagai sumber tertinggi ilmu pengetahuan manusia merupakan perkara awal
sebagaimana ternukil di dalam al-Qur’an iaitu wahyu pertama ke atas Nabi
Muhammad s.a.w yang ummi[27]:
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤)عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)
Maksudnya:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk), (1) Dia menciptakan
manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah
dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang
mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya. (5)
Tujuan kemajuan teknologi dan kejuruteraan di kalangan sarjana jurutera
Islam bukanlah semata-mata untuk faedah akademik atau mengeksploitasi
sumber-sumber kekayaan bumi untuk kemudahan dan kesenangan manusia, tetapi
adalah bagi kepentingan ibadat kepada Allah s.w.t (Dr. Baharuddin Ali, 1985).[28]
Maka, dapatlah dirumuskan disini bahawa metodologi sains dalam Islam
adalah bersendikan kepada iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Ertinya kemajuan yang
dicapai melalui inovasi sains dan teknologi bukan sahaja atas kepentingan
material semata-mata, tetapi harus mendatangkan manfaat kepada manusia dan alam
sekitar. Itulah yang menjadi teras kepada metode sains dalam Islam sehingga
mewujudkan peradaban dan tamadun manusia yang secara holistik.
2.1.3 Klasifikasi Ilmu Sains
Sebelum diteruskan kepada perbincangan berkenaan dengan tujuan utama
penulisan ini iaitu menerangkan tentang peranan falsafah Islam dan sumbangannya
kepada peradaban manusia, mari kita telusuri beberapa klasifikasi ilmu sains
sebagaimana yang telah ditulis oleh Hairudin Harun (2007) sebagaimana seperti
dibawah.[29]
A. Falsafah
Tabii
Falsafah tabii ialah konsepsi manusia terhadap alam tabii. Konsepsi
tersebut termasuk hubungan manusia dengan alam dan peranan alam tabii dalam
skema kejadian dan kewujudan. Ia juga meliputi penjelasan terhadap fenomena
alam tabii dengan merujuk kepada tabiat atau kuasa tabii. Falsafah tabii
merangkumi persoalan yang boleh dikaitkan dengan metafizik dan teologi tabii,
terutamanya apabila perbincangan tertumpu kepada peranan alam tabii dan
hubungan alam tabii dengan Khaliq.
Biasanya sebarang huraian falsafah tabii mengenai fenomena atau
perjalanan alam tabii hanya dilakukan dalam bentuk kualitatif. Dari satu segi,
falsafah tabii boleh disamakan dengan falsafah sains semasa khususnya apabila
perbincangan berkisar kepada metodologi atau kaedah kajian alam tabii. Skop
penelitian falsafah tabii meliputi juga persoalan asal usul, taksonomi[30] dan kedudukan ilmu iaitu persoalan yang berkaitan dengan bidang
epistemologi. Oleh sebab itulah dalam konteks klasifikasi ilmu moden, falsafah
tabii boleh disamakan dengan falsafah sains dan kosmologi teoritis.
Sains ialah ilmu yang dihasilkan melalui cerapan dan fahaman atau huraian
sistematis mengenai fenomena tabii. Huraiannya melibatkan penggunaan kaedah
kuantitatif dan intelek. Ini termasuklah kaedah logik dan matematik serta
segala peralatan yang diperlukan. Biasa sains daripada falsafah tabii dari segi
penekanan bidang sains kepada huraian kuantitatif dan penggunaan peralatan
cerapan. Dalam konteks moden sekarang sains adalah ilmu yang didapati melalui kaedah yang
berasaskan kaedah imperikal dan kuantitatif, dan intipati kepada kaedah ini
ialah pemerhatian (observation) dikaitkan dengan ilmu fizik, biologi dan
metamatik gunaan. Dalam konteks moden hari ini, secara ringkasnya sains boleh dibahagikan
kepada 3 kategori umum iaitu:
a.
Sains propaedeutik
Sains propaedeutik adalah terdiri daripada 9 bidang iaitu membaca,
menulis, ilmu perdagangan, timbangan, pertanian, biografi, politik dan sejarah.
b.
Sains syariah dan agama
Sains syariah dan agama adalah seperti ilmu agama yang fahami kini.
Ianya terdiri daipada 6 seperti lmu tajwid, hadis, syariah, tafsir dan
seumpamanya.
c.
Sains falsafah
Sains falsafah pula terbahagi kepada 4 bahagian utama yang merupakan
cabang pengkhususan ilmu falsafah iaitu:
- Matematik propaedeutik
- Logik
- Sains tabii
- Metafizik tabii (teologi tabii)
Keempat-empat bidang tersebut dipecahkan lagi
kepada beberapa cadang ilmu yang seperti ialah aritmetik, geometri, astronomi
dan muzik.
Dalam bidang sains tabii terdapat 7 bidang utama
(Rosenthal, 1975) [32] antaranya ialah:
i.
Fizik – termasuk kajian optik, masa, ruang, dan
pergerakan
iii.
Mineralogi
iv.
Botani
v.
Zoologi
vi.
Geologi
C. Teknologi
Falsafah tabii, sains dan teknologi sebenarnya adalah tidak lebih
sebagai sebahagian daripada aktiviti manusia. Oleh itu, ketiga-tiganya
mempunyai permulaan, dan permulaan ini semestinya dalam konteks sesuatu
masyarakat dan tamadun manusia (Hairudin Harun, 2007).[35]
Tegasnya sains ialah
ilmu teoritis manakala teknologi pula ialah ilmu praktis atau teknik yang
membolehkan manusia membuat sesuatu perubahan yang bermanafaat. Dalam falsafah
tabii, manusia cuba memahami alam tabii dalam bentuk kuantitatif, dalam
teknologi pula manusia cuba menggunakan dan kemudian mengawal alam tabii untuk
kepentingan dirinya. Tegasnya, falsafah tabii dan sains adalah aktiviti
intelektual manakala teknologi adalah aktiviti praktikal (Rosenthal, 1962).[36]
Seperti yang dijelaskan diatas, bolehlah difahami bahawa semua ilmu
tersebut adalah daripada Allah s.w.t yang dihasilkan oleh manusia yang berakal
dan menjadikan setiap ilmu itu bermanafaat untuk kegunaan bersama. Implikasi
daripada falsafah dan ilmu sains tersebut, maka wujudlah tamadun dan peradaban
manusia.
3.1 Sumbangan Sains Islam
Kepada Peradaban Manusia
Unsur material
dari alam tabii yang diadun dengan konsep keIslaman itulah yang menghasilkan
tamadun Islam. Namun demikian, menurut Malik Bennabi, unsur material adalah
bumi. Beliau tidak menghuraikan bumi daripada aspek pertanian yang sesuai
dengannya tetapi melihat dari nilai sosial yang bergantung pada nilai
pemiliknya. Tambahnya lagi, tanah sebagai sumber kehidupan amat tinggi nilainya
jika berada dalam milik orang-orang yang bertamadun dan begitulah sebaliknya
(Malik ibn Nabi). [37]
Sejarah juga telah mencatatkan tentang zaman
kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam sendiri telah membina satu tradisi
sains dan teknologi yang telah mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains dan
teknologi moden di Eropah. Sains dan teknologi Islam telah mencapai kejayan
yang cemerlang dalam semua bidang sains, daripada astronomi, sains dan hayat
dan ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalam tempoh lebih kurang
antara abad ke-7 Masihi hingga ke-16 Masihi.[38]
Penulisan pada bab ini akan membentangkan
beberapa tamaduan dan peradaban manusia yang terhasil daripada peranan falsafah
dan sumbangan sains Islam terhadap peradaban dan ketamadunan manusia
terutamanya kerajaan Islam Andalusia. Kami memilih kerajaan Islam Andalusia
ialah kerana kesan keilmuan dan ketamadunannya telah menjadi asas kepada
pencerahan dibarat.
Perkembangan sains dan teknologi di
Andalusia berkembang selari dengan kemajuan keilmuan pada zaman pemerintahan
Abdul Rahman III. Kota Kordoba dijadikan sebagai pusat keilmuan yang maju pada
zaman pemerintahan Abdul Rahman III tersebut. Beliau sendiri menggalakkan
sarjana Islam untuk melakukan aktiviti penterjemahan dari kitab-kitab tokoh
sebelumya.
3.1.1 Andalusia sebagai pusat kecemerlangan
tamadun di Eropah
Fakta sejarah menjadi bukti yang kukuh bahawa
Andalusia telah memainkan peranan yang cukup besar dan penting dalam
membawa peradaban di Eropah. Sejarawan pada umumnya mengakui bahawa sebelum
Islam membuka Andalusia, masyarakat Kristian Eropah hidup di dalam
kegelapan dan kejahilan (Lombard, 1975).[39] Hampir semua suku bangsa yang memerintah
negara-negara Eropah pada ketika itu terdiri daripada suku kaum bangsa
Barbarian yang tidak bertamadun (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[40]
Kehadiran
Islam di Andalusia merupakan suatu cahaya besar bagi seluruh masyarakat Eropah
kerana mulai dari saat itu mereka berpeluang mempelajari berbagai bidang ilmu
pengetahuan yang di kembangkan oleh sarjana-sarjana terulung Islam. Begitu juga
perkembangan dalam bidang sains dan teknologi di Andalusia, kedatangan Islam
juga telah memberi peluang kepada bidang ini untuk berkembang dan memberi impak
yang besar dalam ketamadunan Eropah (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[41]
3.1.2 Pencapaian
Sains dan Teknologi masyarakat Islam di Andalus
Berikut
adalah beberapa pencapaian dalam bidang sains dan teknologi yang dicetus oleh
masyarakat Islam di Andalusia. Antaranya ialah:
a.
Bidang Astronomi
Menurut
Imamuddin, (1961)[42],
Andalusia berjaya melahirkan ramai ahli astronomi yang terkenal. Mereka
mendapat galakan yang meluas daripada para pemerintah di dalam menjalankan
kajian dan pencerapan astronominya. Menara masjid telah digunakan sebagai
tempat untuk melakukan pencerapan angkasa lepas. Sebuah balai cerap yang di
kenali sebagai Giralda telah di bina berhampiran dengan Masjid Seville pada
tahun 1190M. Pembinaan ini telah diawasi oleh Jabir Bin Aflah yang merupakan
seorang ahli matematik terkenal di Andalusia.[43].
Beberapa aspek geografi astronomi
termasuk suatu teori yang hampir-hampir tepat mengenai sebab-musabab pasang
surut dan panjang darjah bumi yang dihasilkan Abu Mashar telah menembusi masyarakat
Barat. Perkara utama yang menarik minat masyarakat Barat terhadap kitab-kitab
Arab ialah penyediaan takwim, jadual bintang, dan
horoskop serta penafsiran mengenai
pengertian yang tersembunyi di sebalik ayat-ayat al-Quran melalui takwilan yang
merujuk kepada Aristotle. Sebahagian besar bahan saintifik ini sama ada yang
berkaitan dengan ilmu astronomi astrologi atau geografi masuk ke Barat melalui Sepanyol
dan Sicily (Afzalur Rahman, 1993). [44]
Sarjana astronomi Islam Andalusia telah
berhasil mencipta alat-alat astronomi yang terbaik yang belum diketahui oleh
dunia sebelum itu. Di kalangan ahli astronomi di Andalusia yang terkenal sekali
ialah Ma Sha’allah (m.815M) yang telah menulis mengenai Astrolobe dan meteorologi.
Astrolabe yang dihasilkan telah di gunakan oleh orang Eropah sehingga kurun ke
12M. Dengan penggunaan alat ini, mereka telah menentukan saiz bumi dengan lebih
tepat daripada yang dilakukan oleh orang Greek sebelum ini. Untuk mengukur
kemiringan garisan yang diikuti oleh matahari sewaktu mengelilingi bumi, mereka
telah menggunakan sektan iaitu sejenis alat pengukur ketinggian matahari yang
diperbuat daripada gangsa. Ali bin Khalaf yang berbangsa Andalusia abad ke-11
telah mencipta “piringan” sejagat, iaitu spera projek sistereograf di
atas satah yang bergarisan tegak dengan titik gerhana. Satah ini memotong titik
gerhana itu mengikut garisan solstis “sartanmakara”.[45]
Kemudian, pada kurun ke-9M lahir
al-Farghani yang telah menulis tentang bintang-bintang diikuti bapa dan
anak-anak Banu Syakir yang juga merupakan guru dan telah meninggalkan
karya-karya yang penting mengenai pengukuran dataran dan permukaan-permukaan
sfera. Pada masa ini telah ramai tokoh-tokoh astronomi yang lahir dengan
pelbagai ciptaan-ciptaan baru serta penulisan karya yang telah menjadi rujukan
yang penting. Kebanyakannya telah diterjemahkan dalam bahasa Latin oleh Gerald
Cremona dan lain-lain melalui Andalusia (Azizan Baharudin, 1986).[46]
Pada kurun ke 10 M, lahir lebih ramai
tokoh-tokoh ilmu astronomi di Andalusia dan terkenal dalam pelbagai bidang seperti, Ahmad bin Nasr
yang telah menghasilkan karya terkenal mengenai dimensi-dimensi yang tidak
diketahui, Maslamah bin al-Qasim sebagai ahli silap mata kerana penglibatan
beliau dalam bidang pengkajian mengenai astronomi dan astrologi (Azizan
Baharudin, 1986)[47],
Abu al-Qasim Ahmad yang terkenal kerana telah membuat pencerapan yang paling
tepat11, Jabir bin Aflah, beliau terkenal dalam bidang astronomi dan
trigonometri (O’leary, De Lacy ,1957).[48]
Secara
keseluruhannya, ahli astronomi Islam telah meninggalkan kesan yang besar dalam
bidang astronomi dan ini adalah hasil daripada usaha mereka yang dapat dilihat
pada nama-nama bintang yang ada. Kebanyakan nama-nama bintang dan istilah teknikal
dalam bidang astronomi ini adalah di dalam bahasa Eropah dipinjam daripada
Bahasa Arab seperti aqrab, algedi, altair, deneb, pherked, azimuth, nadir dan
zenith. Perkataan tersebut dalam bahasa arabnya ialah aqrab, al-jadi, al-tair, dhanab,
farqad, al-sumut, nazir dan al-sanit. Namun begitu, hanya sedikit alat-alat
astronomi ciptaan ahli-ahli astronomi Islam Andalusia yang masih kekal. Hanya
sebuah glob dan beberapa buah alat astrolab kepunyaan Ibrahim bin Said al-Sahli
yang masih kekal hingga hari ini. Glob tersebut disimpan di R.Instituto di
Studi Superiori di Florence, Perancis. Sementara alat–alat astrolab pula tersimpan
di National Archaelogical Museum di Madrid, Portugal serta di Koleksi Lewis
Evans di Oxford, England (Imamuddin, S.M, 1961).[49]
b.
Bidang Kimia
Sumbangan
sarjana Islam juga tidak kurang pentingnya dalam membincangkan tentang ilmu
kimia. Mereka telah berjaya memperbaiki pengetahuan kimia orang Greek. Abbas
bin Firnas telah berjaya menghasilkan kaca dan kristal. Beliau juga telah
membuat percubaan untuk menghasilkan guruh dan kilat di dalam makmalnya. Beliau
juga merupakan orang pertama membuat eksperimen terbang di angkasa dengan
menggunakan sayap (Azam bin Hamzah, 1991).[50]
Seorang
lagi tokoh iaitu Jabir yang juga dikenali di Barat sebagai Geber, ialah seorang
ahli kimia ulung Andalusia yang berasal dari Seville. Beliau telah berjaya
menemui asid sulfurik, asid nitrik dan asid nitro muriatik. Di samping itu,
beliau juga banyak mencipta kaedah proses-proses kimia. Ahli-ahli kimia moden
memuji ahli kimia Islam abad pertengahan ini kerana pengetahuan mereka yang
mendalam di dalam bidang berkenaan. Mereka mendapati ahli-ahli kimia Islam
telah menggunakan proses kimia di dalam melakukan kerja-kerja penulenan, pemejalwapan
dan penukaran logam menjadi oksida dengan cara pembakaran. [51]
Selain
itu, sarjana Andalusia juga telah berjaya mencipta sejenis alat yang di panggil
alambique untuk mengeksploitasikan pokok-pokok yang hidup di hutan untuk
mendapatkan susu getahnya. Kejayaan sarjana-sarjana Andalusia dalam bidang
kimia juga telah menghasilkan ciptaan dalam pelbagai jenis dadah yang baru, di
samping mereka menghasilkan farmakopi dan menubuhkan kedai-kedai apotekaris. [52] [53]
c.
Bidang Perubatan
Dalam bidang
perubatan, sarjana Islam Andalusia telah mnghasilkan kemajuan yang sangat
membanggakan. Pada kurun ke-8 M, orang-orang Islam telah menganggap bahawa
kemunculan bidang perubatan adalah sebagai suatu ilmu sains yang berdasarkan
kepada eksperimen (tajribah), taakulan (qiyas) dan pemerhatian. Walaupun pada
masa itu, masyarakat Islam tidak membenarkan pembedahan ke atas mayat manusia
dan binatang, mereka berjaya mencapai kemajuan dengan melakukan ujikaji
terhadap rangka-rangka monyet yang diimport dari Afrika. Lantaran itu,
Andalusia berjaya melahirkan sarjana-sarjana yang mempunyai kepakaran dalam
pelbagai bidang kedoktoran dan berjaya menghasilkan karya-karya dengan ilustrasi
alat-alat pembedahan (Mohd Roslan Mohd Nor, 2011).[54]
Gharib bin Said yang berkhidmat sebagai
setiausaha Khalifah Abdul Rahman III telah menghasilkan sebuah karya mengenai
perubatan. Salah satu karya beliau disimpan di Perpustakaan Escorial, Portugal.
Antara tokoh lain lagi ialah Abd Rahman Ishaq bin Haitham yang merupakan doktor
peribadi kepada Hajib al-Mansur yang telah menghasilkan karya ringkas mengenai
muntah-muntah dan ubat julap. Seorang lagi sarjana Islam di Andalusia iaitu Abu
Marwan ibn Zuhr yang dikenali di Barat dengan panggilan Avenzoar. Beliau sangat
popular di Andalusia dan Afrika Utara sebagai seorang yang berkebolehan dalam
bidang perubatan dan farmasi. Beliau juga telah menjalankan
eksperimen-eksperimen yang original dalam bidang perawatan dan menerangkan
tentang penyakit tumor. Hasil daripada ramainya pakar perubatan Islam
yang lahir di Andalusia, maka banyak hospital awam yang di bina di kawasan-kawasan
penting di Andalusia. Penggunaan istilah-istilah perubatan Islam dalam
perubatan Barat menjadi bukti bahawa terdapatnya pengaruh perubatan Islam dalam
perubatan Barat.[55]
d.
Bidang Matematik
Sarjana Islam telah memaju dan
memperkembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang matematik sehinggakan mereka
berjaya menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu daripada yang telah di
capai oleh orang-orang Yunani, khususnya dalam bidang algebra dan trigonometri.
Di Andalusia perkembangan ilmu matematik mempunyai hubungan rapat dengan
astronomi. Terdapat ramai sarjana Islam Andalusia yang menumpukan perhatian
dalam bidang ini. Usaha mereka telah mendapat galakan daripada masyarakat dan
juga pemerintah. Antara tokoh yang terlibat seperti Abu Habbah bin Ubaidah
seorang ahli matematik yang terkenal pada zaman pemerintahan Khalifah Abd.
Rahman III. Abu Ayyub iaitu sarjana terkenal dalam bidang geometri, manakala
ahli matematik yang masyhur di Andalusia ialah Alkarmani dari Cordoba. Beliau telah
memperkenalkan matematik Ikhwan al-Safa ke Andalusia (Azizan Baharuddin,
1986). [56]
Ahli matematik Andalusia juga telah memperkenalkan kepada dunia metematik
sejenis angka yang dikenal sebagai huruf al-ghubbaar. Huruf ini mempunyai
sedikit perbezaan dengan bentuk angka Hindi. Lahirnya huruf ini memudahkan
sistem penulisan angka. Sarjana Islam Andalusia juga telah berjaya
memperkenalkan trigonometri sfera yang tidak diketahui oleh orang Greek
sebelumnya.[57]
e.
Bidang Zoologi dan Botani
Saintis yang ternama dalam bidang ini
adalah Ibn Baytar yang dilahirkan di Malaga pada tahun 1197 M. Beliau telah
menjadi seorang pengkaji ilmu tumbuh-tumbuhan yang terbaik sekali. Beliau telah
belajar daripada buku-buku, pemerhatian-pemerhatian dan
eksperimen-eksperimennya sendiri. Ibn Baytar juga telah membincangkan tentang
dadah di dalam makanan dan cara ianya dibuat daripada bahan-bahan binatang, tumbuh-tumbuhan
dan mineral. Beliau juga telah mengembara dan mendaki gunung-gunung
serta ladang-ladang di seluruh Andalusia dan Afrika untuk mencari herba-herba
perubatan (Azizan Baharudin, 1986).[58]
Antara
tokoh lain yang terlibat dalam bidang ini adalah Ibn Bassal atau nama penuhnya
Abu Abdullah Muhammad Ibrahim bin Bassal yang merupakan ahli botani yang
terkenal di Andalusia. Beliau telah menghasilkan karya yang baik mengenai
Botani iaitu ”Kitab Al-Qasd wa al-Bayan”. Karya beliau telah digunakan dengan
meluasnya oleh penulis-penulis kemudian. Seorang lagi ahli botani yang terkenal
lahir di Seville pada abad ke 12M iaitu Abu Zakaria Yahya yang terkenal dengan
penggilan Ibn Hawwam. Beliau menghasilkan sebuah ensiklopedia penting mengenai pertanian
yang bertajuk ”Kitab al-Falahah”(Azam bin Hamzah, 1991). [59]
Secara
keseluruhannya, Andalusia memang masyhur dengan karya-karya tentang tumbuh-tumbuhan
pada kurun ke-11M. Pada kurun ke 12M pula, karangan dasar tentang botani telah
ditulis dengan meluasnya, bermula dengan Ibn Sarabi. Kemudian telah muncul pula
sebuah lagi karangan mengenai tumbuh-tumbuhan yang begitu berharga. Walaubagaimanapun,
ahli-ahli sarjana Islam bukan hanya menyumbangkan hasil karya sahaja bahkan
mereka turut menyumbangkan hasil intelektual mereka dalam sistem pertanian, pengairan,
pembajaan, penanaman, pengenalan pokok buah-buahan, dan tumbuh-tumbuhan yang
dibawa dari timur, pencantuman tunas-tunas pokok dan penyakit-penyakit pokok
serta cara-cara mengubatinya. [60]
4.1 Kesimpulan
Daripada
penyusunan kerats kerja ini, dapat kita ketahui serba sedikit bahawa kemunculan
sesebuah tamadun adalah berkait rapat dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian. Dari
perspektif Islam, ajaran agama dan amalan rohani hakikatnya mendorong manusia
supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci berlandaskan
al-Qur’an dan Sunnah sebagai pendorong kepada kehidupan dan peradaban bertamadun.
Sesebuah masyarakat yang menghayati kehidupan beragama akan berusaha untuk
membangunkan kehidupan mereka menuju kepada kesempurnaan kemanusiaan dan
seterusnya melahirkan ketinggian budaya menerusi akhlak yang mulia. Pembangunan
kehidupan seperti ini bermulalah bibit-bibit kehidupan bertamadun. Kemunculan
tamadun Islam misalnya begitu dipengaruhi oleh rangsangan nilai daripada
penghayatan cara hidup Islam yang kamil berserta dorongan langsung daripada
risalah wahyu.
Ilmu sains telah melahirkan ramai sarjana-sarjana
Islam dan telah mewujudkan dan peningkatan daya reka cipta sama ada dalam
penciptaan teknologi, perubatan, kimia, matematik dan pembinaan seni bina bagi
menyempurnakan lagi keselesaan kehidupan. Kelahiran dan perkembangan daya kreativiti
dalam menghayati falsafah, kesenian, kesusasteraan dan nilai estetika yang
tersendiri. Kelahiran sesebuah tamadun turut didorong oleh toleransi yang
tinggi terhadap sumbangan tamadun-tamadun yang lain. Sebagai contohnya seperti
yang dihuraikan pada bahagian definisi, kebanyakkan ilmu sains tabii pada
awalnya adalah berasal daripada tamadun Yunani. Ianya diserap masuk ke dalam
Islam melalui proses penterjemahan bahasa Greek kepada bahasa Arab. Maka
bermulalah ilmu sains di dalam sistem pembelajaran Islam. Malah ada juga yang
mengatakan bahawa ilmu sains di dalam Islam juga menerima kesan pengaruh daripada
tamadun India, Rome, Mesir, Parsi dan Cina. Walaupun bagaimanapun, sikap
keterbukaan Islam itu sendiri yang menerima sains daripada pengaruh budaya lain
telah diterjemahkan kepada sumbangan besar ilmuan Islam terhadap pencerahan
barat.
Rentetan dari itu, semangat untuk mewujudkan
interaksi antara tamadun merupakan satu rangsangan kepada pemupukan kehidupan
bertamadun. Toleransi terhadap sumbangan tamadun-tamadun yang lain
menggambarkan sikap terbuka untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada
tamadun-tamadun tersebut dan seterusnya membantu kemunculan tamadun baru. Sikap
tokoh-tokoh penting dalam tamadun-tamadun sebelum ini jelas menampakkan toleransi
dan saling hubungan antara tamadun. Tamadun Islam contohnya merupakan tamadun
yang telah bersikap terbuka untuk menerima sumber-sumber ilmu daripada tamadun
Yunani, tamadun Parsi, tamadun India dan tamadun Cina.
Seterusnya natijah kemunculan sesebuah
tamadun dapat digambarkan oleh perilaku dan budaya masyarakat yang tinggi dalam
kegiatan kehidupan mereka. Tatacara yang tersusun dalam pentadbiran dan
perekonomian memakmurkan kehidupan masyarakat yang seterusnya mendorong ke
kemuncak kegemilangan. Pada zaman kegemilangan sesebuah tamadun dapat
diperhatikan pencapaian-pencapaian yang luar biasa dalam pelbagai bidang bukan
sahaja dalam bidang sains dan teknologi, malah termasuklah kesenian,
kesusasteraan, pemikiran dan falsafah . Kegemilangan sesebuah tamadun juga
dapat dilihat dari segi penciptaan teknologi yang seterusnya berkembang dalam
tamadun-tamadun selepas itu. Hakikat ini menerangkan bahawa kegemilangan dan
kecemerlangan bukanlah monopoli sesebuah tamadun tertentu. Bagaimanapun, setiap
tamadun dalam sejarah mengalami zaman kemerosotan masing-masing. Tidak dapat
dinafikan bahawa dalam sejarah terdapat beberapa tamadun berlangsung untuk satu
tempoh masa yang begitu panjang.
Kita di Malaysia juga mempunyai
tamadun kita tersendiri. Kemajuan dan inovasi sains dan teknologi adalah
penting di dalam mencapai kemakmuran negara. Kita sebenarnya ditahap paling
hampir iaitu tidak sampai 4 tahun untuk mencapai wawasan 2020. Semoga negara
kita Malaysia juga boleh melakar sejarah sebagai salah satu bangsa yang
mempunyai peradaban dan ketamadunan yang disegani oleh dunia.
Rujukan
Abdul Razak Noufal. 2005. Allah dan sains moden. Kuala Lumpur:
Jasmin Enterprise.
Alias bin Azhar. 2013. Sains dan teknologi dalam ketamadunan Islam: analisa
epistemologi dan metodologi. Jurnal Al-Tamaddun Bil. 8 (1) 2013, 51-66.
Afzalur Rahman. 1993. Ensiklopedia sirah, perkembangan ilmu, jilid
3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Azam bin Hamzah. 1991. Sejarah dan Tamadun Islam di Andalus (711-149M).
Shah Alam : Hizbi.
Azizan Baharudin. 1986. Pengenalan tamadun Islam di Andalus.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Chejne, A., 1974. Muslim Spain, its history and culture. Minneapolis:
University Of Minnesota Press.
Esa Khalid. 2001. Konsep tamadun Islam: sains dan teknologi.
Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Hairudin Harun. 2007. Daripada sains Yunani kepada sains Islam:
peranan dan proses penyerapan sains asing dalam pembentukan sains Islam
klasikal. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Imamuddin, S.M. 1961. Some Aspects of the Sosio-economic and
Cultural History of Muslim Spain. Leiden: E.J. Brill
Lombard. 1975. The Golden Age of Islam. Netherlands:
North-Holland Publishing Co.
Malik ibn Nabi. 1969. Syuruth al-Nadhah (terj.) Umar Kamil Masqawi.
Beirut: Dar al-Fikr
Mohd Koharuddin Mohd Balwi. 2003. Ketamadunan Melayu dan sains: satu
analisis awal ke atas pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang sains. Kuala
Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia. Jurnal Teknologi 39(E) dis. 2003:
47-61.
Mohd Roslan Mohd Nor. 2011. Kewujudan sains dan teknologi di
Andalusia. Dlm: Baldatun
Tayyibah: Model Andalusia. Persatuan Ulama Malaysia, Shah Alam, Selangor, pp.
91-101. ISBN 978-983-2306-12-2
Mohammad Abu Bakar. 1991. Konsep kemajuan moden dan komitmen
kehidupan Muslim, dalam Islamika IV, Kuala Lumpur: Gateway Publishing House
Shaharir bin Mohamad Zain et al., 1985. Pengenalan tamadun Islam
dalam sains dan teknologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Sarton, G. 1967, Introduction to the history of science, V. 1,
Cambridge: The University of Cambridge Press
Sulaiman Noordin., 1979. Sains dan teknologi barat moden dan
percanggahannya dengan Islam. Selangor: Nuur Publications
O’leary, De Lacy. 1957. Scientific Influence of Andalus.Islamic Literature.no
IX
Osman Bakar. 2008. Tauhid dan sains: perspektif Islam tentang agama
dan sains. Kuala Lumpur: Arah Pendidikan Sdn Bhd
Rosenthal F.. 1975. The classical heritage in Islam. London:
Routledge & Kegan Paul Ltd
Tamby Subahan Mohd. Meerah. 1999. Dampak penyelidikan pembelajaran sains
terhadap perubahan kurikulum. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Wan Fuad Wan Hassan. 1996. Ringkasan sejarah sains. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Wan Mohd Nor Wan Daud. t.th. Budaya ilmu sebagai asas pembangunan
tamadun. Jurnal Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa
Ziauddin Sardar. 1991. Sentuhan Midas, (terj.), Rosnani Hashim
dan Abdul Karim Abdul Ghani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka
Ziauddin Sardar. 1992. Hujah sains Islam, (terj.), Abdul Latif
Samian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka
[1] Alias Azhar, 2013, Sains
dan teknologi dalam ketamadunan Islam:
analisa epistemologi dan metodologi, hlm 51
[10] Alias bin Azhar,
2013, Sains dan teknologi dalam
ketamadunan Islam: analisa epistemologi dan metodologi, hlm 56
[11] Mohd Koharuddin Mohd Balwi, 2003, Ketamadunan Melayu dan sains: satu analisis awal ke atas pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang sains, hlm 48
[16] Ziauddin Sardar, 1991, Sentuhan
midas, (terj.), Rosnani Hashim & Abdul Karim Abdul Ghani, hlm 3-15
[30] Taksonomi berasal dari kata takson yang bermaksud kelompok, dan
nomos yang bermaksud hukum. Makhluk hidup yang memiliki persamaan ciri-ciri dikelompokkan ke dalam
unit-unit (takson). Takson disusun dari tingkat tinggi ke tingkat rendah.
Makhluk hidup yang memiliki sedikit persamaan ciri-ciri dikelompokan ke dalam
tingkat takson yang lebih tinggi. Pada tingkat ini jumlah mahkluk hidupnya
banyak. Sedangkan makhluk hidup yang memiliki banyak persamaan dikelompokkan ke
dalam tingkat takson yang lebih rendah. Di sini jumlah makhluk hidupnya lebih
sedikit.
[38] Sulaiman Noordin, 1979. Sains dan teknologi barat
moden dan percanggahannya dengan Islam, hlm 6
Spain. Leiden, hlm: 156
[43] Apabila Seville ditawan oleh orang Kristian, menara Giralda ini
telah dijadikan sebagai tempat menggantung
loceng gereja
[53] Sistem jisim apotekari ialah sebuah sistem lama yang dahulu
digunakan oleh para apotekari (kini dipanggil ahli farmasi atau ahli kimia)
No comments:
Post a Comment