Pages

Thursday, 15 October 2015

Tariqat: Pengenalan, Asal Usul Dan Perkembangan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين



Kata Tariqat berasal dari Bahasa Arab: (طرق), menurut makna bahasa Arab maksudnya: 'jalan' atau 'method', atau 'cara'. Menurut istilah tasauf dalam Islam maksudnya: "suatu jalan/kurikulum kerohanian yang khusus bagi orang-orang yang berjalan menuju Allah mengharungi berbagai rintangan untuk mencapai peningkatan rohani melalui pimpinan mursyid".

Melalui praktik rohaniah dan bimbingan seorang pemimpin tariqat, calon penghayat tariqat akan berupaya untuk mencapai hakikat.

Tariqat yang ertinya ‘jalan’. Jalan yang dimaksud di sini adalah jalan untuk menjadi orang bertaqwa, menjadi orang yang diredhai Allah s.w.t. Secara praktiknya, tariqat adalah himpunan amalan-amalan taqwa (zahir dan batin) yang bertujuan untuk membawa seseorang untuk menjadi orang bertaqwa.

Tariqat adalah umpama sebuah madrasah yang mana subjek pengajian utama didalamnya ialah ilmu tasawuf, matlamatnya ialah untuk mencapai maqam ihsan. Ihsan adalah rukun agama yang ketiga yang wajib direalisasikan oleh setiap mukmin untuk menyempurnakan kehidupan agamanya.

Tariqat ialah seumpama organisasi yang menggabungkan Iman(Tauhid) dan Islam(syariat) dalam bentuk Ihsan. Hasilnya melahirkan graduan rohani atau mereka yang mempunyai hati yang selamat sejahtera dibawa pulang ke akhirat.

Walaupun pada zaman Rasulullah (saw) nama tariqat belum lagi masyhur namun asal usul perjalanan tariqat ini adalah diambil dari kehidupan Rasulullah SAW bersama para sahabat terutama golongan ahli Suffah yang telah menjalani kehidupan yang zuhud dan mursyid atau pembimbing mereka ialah Rasulullah saw. Mereka sentiasa berada didalam Masjid Nabawi untuk mendapatkan bimbingan rohani dari Rasulullah SAW.

Seperti mana perkataan tauhid, fiqh, nahu,saraf, mustalah hadis, dan lain-lain belum wujud pada zaman Rasulullah SAW , yang mana ia hanya muncul selari dengan perkembangan Islam apabila ilmu-ilmu tersebut mula dibentuk dan disusun secara sistematik oleh ulamak Islam yang hidup antara 100-200 tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Begitulah hal keadaannya dengan ilmu tariqat dan ilmu tasawuf, apabila ulama melihat perkembangan agama Islam yang semakin meluas dan semakin ramai umat Islam sudah mula mengabaikan aspek kerohanian dan kebatinan yang merupakan intipati agama ini, maka ulama seperti Imam Junaid al-Baghdadi telah mengambil intipati ajaran tasawuf dan tariqat dari al-Quran dan Hadis kemudian disesuaikan proses tarbiah dan tazkiyatun nufus(penyucian jiwa)dengan keadaan zaman, keadaan, murid dan situasi.

Penyusunan ilmu tariqat dikemaskini dengan lebih teratur oleh Syaikh Abdul Qadir al-Jailani (wafat pada 561H) yang mempunyai ribuan murid.

Metodologi tariqat yang digunakan oleh para mursyid (pembimbing tariqat) adalah berbeza namun hampir kesemuanya lebih tertumpu kepada menghubungkan hati kepada Allah setiap masa dan keadaan. Konsep yang dipakai juga berbeza-beza ,ada yang selesa dengan konsep mujahadah, ada yang lebih kepada konsep cinta, ada juga konsep syukur dan sabar, konsep puasa, dan lain-lain.

Tariqat yang asalnya untuk melahirkan mukmin sejati akhirnya telah menghasilkan mujahid-mujahid agama yang bertebaran keseluruh dunia untuk menyebarkan Islam dengan hikmah dan kasih sayang.

Sejarah membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan ahli tariqat dan tasawuf telah memainkan peranan penting dalam memberi pengaruh kepada dunia Islam dengan membawa amalan Islam dan intipati ajarannya ke seluruh pelosok alam termasuklah alam Nusantara ini.

Seperti mana dalam ilmu tauhid dan fiqah, ada saja golongan yang tersesat didalamnya kerana godaan nafsu, begitu juga nasib yang dialami oleh sesetengah ahli tariqat. Namun amat silap jika seseorang memandang sinis dan langsung meninggalkan ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf/tariqat hanya kerana segelintir mereka ada yang tergelincir.

Hakikatnya masih banyak aliran tariqat yang masih berada diatas landasan yang benar dan sahih sehingga kini dalam membawa manusia kepada merealisasikan tujuan kita dicipta Allah Taala di alam dunia ini.

Antara Aliran-Aliran Tariqat dalam Islam:

1.   Tarekat Qadariyah
2.   Tarekat Syadziliyah
3.   Tarekat Naqsabandiyah
4.   Tarekat Yasafiyah dan Khawajagawiyah
5.    Tarekat Khalwatiyah
6.    Tarekat Syatariyah
7.    Tarekat Rifa’iyah
8.    Tarekat Qadiriyah
9.    Tarekat Sammaniyah
10.  Tarekat Tijaniyah
11.  Tarekat Chistiyah
12.  Tarekat Mawlawyah
13.  Tarekat Ni’matuliyah
14.  Tarekat Sanusiyah
15.  Tarekat Alawiyyah / Haddadiyah
16.  Dan lain-lain

Mengenai pengharaman Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani di Malaysia mungkin bermaksud ianya tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia atau mungkin sudah tiba masanya untuk pihak berwajib menilai semula sebab musabab tarekat ini diharamkan supaya kebenarannya terzahir.

Meskipun begitu, pengharamannya disini tidak bermakna ia tertolak kerana di negara luar, Tarekat Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani ini tetap disambut dan diterima oleh ulama dunia Islam antaranya Syaikh Dr. Ali Jumuah (Mantan Mufti Mesir), Syaikh Muhammad Yahya al-Kattani (Ulama al-Azhar), Syaikh Muhammad Ghanim(ulama al-Azhar), Syaikh Ahmad (ulama al-Azhar), Syaikh Usamah (Naib Mufti Mesir), al-Habib Ali al-Jufri (Abu Zabi), al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman), Syaikh Muhammad al-Ya'qubi (ulama England), Syaikhul Islam Dr. Tahir al-Qadri (ulama India), Syaikh Ahmad Kuftaru (Mufti Besar Syria), Syaikh Faisal Hamid, Syaikh Yasir al-Kudmani (ulama Syria) Baba Aziz (ulama Patani), Syeikh Nuruddin al-Banjari, Syeikh Rahimuddin (Ulama Indonesia) dan lain-lain.

Usaha yang dibuat oleh Pejabat Agama Islam Negeri Sembilan menubuhkan Bahagian Pendaftaran Tarekat adalah seharusnya dipuji dan dipandang baik.

Negeri Sembilan yang mengamalkan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah mempunyai Jilsah Al Turuq al-Sufiyyah.

Apakah Jilsah Al Turuq Al Sufiyyah ? - iaitu Jawatankuasa yang terdiri daripada pengamal tareqat yang pakar mengikut landasan al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qiyas berperanan untuk menyelia, mengenalpasti tareqat-tareqat yang diamalkan benar mengikut manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan didaftarkan.

Antaranya terdiri dari Mufti Negeri Sembilan, termasuk Dr Abdul Manam, Dr Jahit Sidek, Dr Sulaiman bin Ibrahim.

Jadi tidak timbul kekeliruan akibat orang yang tidak ahli tiba-tiba bercakap mengenai tareqat dan kemudian menyesatkan pula tareqat dan ahli tasawwuf.

Info :
1. Jilsah Al Turuq al Sufiyyah : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf

2. Senarai anggota : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/611-senarai-anggota-jilsah-al-turuq-al-sufiyyah

3. Enakmen Tarekat Tasawwuf : http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/607-pengenalan-enakmen

4. Pelan Strategik : http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/610-pelan-strategik-jabatan-mufti-kerajaan-negeri-negeri-sembilan-darul-khusus-2011-2015-bahagian-tarekat-tasawuf

5. TAREQAT TASAWWUF YANG BERDAFTAR DAN DILULUSKAN :
http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/161-tarekat-tassawuf-berdaftar

6. Arkib Tarekat Tasawwuf : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf

Mengandungi senarai tokoh tarekat tasawwuf, himpunan doa dan zikir, kertas kerja dan sebagainya.

Semoga negeri-negeri lain di Malaysia mempunyai badan yang berfungsi seperti ini juga. Serahkan urusan pada ahlinya !






No comments:

Post a Comment