السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب
العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله
وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
Kata Tariqat berasal
dari Bahasa Arab: (طرق), menurut makna bahasa Arab maksudnya: 'jalan' atau 'method',
atau 'cara'. Menurut istilah tasauf dalam Islam maksudnya: "suatu
jalan/kurikulum kerohanian yang khusus bagi orang-orang yang berjalan menuju
Allah mengharungi berbagai rintangan untuk mencapai peningkatan rohani melalui
pimpinan mursyid".
Melalui praktik
rohaniah dan bimbingan seorang pemimpin tariqat, calon penghayat tariqat akan
berupaya untuk mencapai hakikat.
Tariqat yang ertinya
‘jalan’. Jalan yang dimaksud di sini adalah jalan untuk menjadi orang bertaqwa,
menjadi orang yang diredhai Allah s.w.t. Secara praktiknya, tariqat adalah
himpunan amalan-amalan taqwa (zahir dan batin) yang bertujuan untuk membawa
seseorang untuk menjadi orang bertaqwa.
Tariqat adalah umpama
sebuah madrasah yang mana subjek pengajian utama didalamnya ialah ilmu tasawuf,
matlamatnya ialah untuk mencapai maqam ihsan. Ihsan adalah rukun agama yang
ketiga yang wajib direalisasikan oleh setiap mukmin untuk menyempurnakan kehidupan
agamanya.
Tariqat ialah seumpama
organisasi yang menggabungkan Iman(Tauhid) dan Islam(syariat) dalam bentuk
Ihsan. Hasilnya melahirkan graduan rohani atau mereka yang mempunyai hati yang
selamat sejahtera dibawa pulang ke akhirat.
Walaupun pada zaman
Rasulullah (saw) nama tariqat belum lagi masyhur namun asal usul perjalanan
tariqat ini adalah diambil dari kehidupan Rasulullah SAW bersama para sahabat
terutama golongan ahli Suffah yang telah menjalani kehidupan yang zuhud dan
mursyid atau pembimbing mereka ialah Rasulullah saw. Mereka sentiasa berada
didalam Masjid Nabawi untuk mendapatkan bimbingan rohani dari Rasulullah SAW.
Seperti mana perkataan
tauhid, fiqh, nahu,saraf, mustalah hadis, dan lain-lain belum wujud pada zaman
Rasulullah SAW , yang mana ia hanya muncul selari dengan perkembangan Islam
apabila ilmu-ilmu tersebut mula dibentuk dan disusun secara sistematik oleh
ulamak Islam yang hidup antara 100-200 tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW.
Begitulah hal
keadaannya dengan ilmu tariqat dan ilmu tasawuf, apabila ulama melihat
perkembangan agama Islam yang semakin meluas dan semakin ramai umat Islam sudah
mula mengabaikan aspek kerohanian dan kebatinan yang merupakan intipati agama
ini, maka ulama seperti Imam Junaid al-Baghdadi telah mengambil intipati ajaran
tasawuf dan tariqat dari al-Quran dan Hadis kemudian disesuaikan proses tarbiah
dan tazkiyatun nufus(penyucian jiwa)dengan keadaan zaman, keadaan, murid dan
situasi.
Penyusunan ilmu
tariqat dikemaskini dengan lebih teratur oleh Syaikh Abdul Qadir al-Jailani (wafat
pada 561H) yang mempunyai ribuan murid.
Metodologi tariqat
yang digunakan oleh para mursyid (pembimbing tariqat) adalah berbeza namun
hampir kesemuanya lebih tertumpu kepada menghubungkan hati kepada Allah setiap
masa dan keadaan. Konsep yang dipakai juga berbeza-beza ,ada yang selesa dengan
konsep mujahadah, ada yang lebih kepada konsep cinta, ada juga konsep syukur
dan sabar, konsep puasa, dan lain-lain.
Tariqat yang asalnya
untuk melahirkan mukmin sejati akhirnya telah menghasilkan mujahid-mujahid
agama yang bertebaran keseluruh dunia untuk menyebarkan Islam dengan hikmah dan
kasih sayang.
Sejarah membuktikan
bahawa jasa dan pengorbanan ahli tariqat dan tasawuf telah memainkan peranan
penting dalam memberi pengaruh kepada dunia Islam dengan membawa amalan Islam
dan intipati ajarannya ke seluruh pelosok alam termasuklah alam Nusantara ini.
Seperti mana dalam
ilmu tauhid dan fiqah, ada saja golongan yang tersesat didalamnya kerana godaan
nafsu, begitu juga nasib yang dialami oleh sesetengah ahli tariqat. Namun amat
silap jika seseorang memandang sinis dan langsung meninggalkan ilmu tauhid,
fiqah dan tasawuf/tariqat hanya kerana segelintir mereka ada yang tergelincir.
Hakikatnya masih
banyak aliran tariqat yang masih berada diatas landasan yang benar dan sahih
sehingga kini dalam membawa manusia kepada merealisasikan tujuan kita dicipta
Allah Taala di alam dunia ini.
Antara Aliran-Aliran
Tariqat dalam Islam:
1. Tarekat Qadariyah
2. Tarekat Syadziliyah
3. Tarekat Naqsabandiyah
4. Tarekat Yasafiyah dan Khawajagawiyah
5. Tarekat Khalwatiyah
6. Tarekat Syatariyah
7. Tarekat Rifa’iyah
8. Tarekat Qadiriyah
9. Tarekat Sammaniyah
10. Tarekat Tijaniyah
11. Tarekat Chistiyah
12. Tarekat Mawlawyah
13. Tarekat Ni’matuliyah
14. Tarekat Sanusiyah
15. Tarekat Alawiyyah / Haddadiyah
16. Dan lain-lain
Mengenai pengharaman Tarekat
Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani di Malaysia mungkin bermaksud ianya tidak sesuai
untuk diamalkan di Malaysia atau mungkin sudah tiba masanya untuk pihak
berwajib menilai semula sebab musabab tarekat ini diharamkan supaya
kebenarannya terzahir.
Meskipun begitu,
pengharamannya disini tidak bermakna ia tertolak kerana di negara luar, Tarekat
Naqshabandiyyah Aliyyah Haqqani ini tetap disambut dan diterima oleh ulama
dunia Islam antaranya Syaikh Dr. Ali Jumuah (Mantan Mufti Mesir), Syaikh
Muhammad Yahya al-Kattani (Ulama al-Azhar), Syaikh Muhammad Ghanim(ulama
al-Azhar), Syaikh Ahmad (ulama al-Azhar), Syaikh Usamah (Naib Mufti Mesir),
al-Habib Ali al-Jufri (Abu Zabi), al-Habib Umar bin Hafiz (Yaman), Syaikh
Muhammad al-Ya'qubi (ulama England), Syaikhul Islam Dr. Tahir al-Qadri (ulama
India), Syaikh Ahmad Kuftaru (Mufti Besar Syria), Syaikh Faisal Hamid, Syaikh
Yasir al-Kudmani (ulama Syria) Baba Aziz (ulama Patani), Syeikh Nuruddin
al-Banjari, Syeikh Rahimuddin (Ulama Indonesia) dan lain-lain.
Usaha yang dibuat oleh
Pejabat Agama Islam Negeri Sembilan menubuhkan Bahagian Pendaftaran Tarekat
adalah seharusnya dipuji dan dipandang baik.
Negeri Sembilan yang
mengamalkan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama'ah mempunyai Jilsah Al Turuq
al-Sufiyyah.
Apakah Jilsah Al Turuq
Al Sufiyyah ? - iaitu Jawatankuasa yang terdiri daripada pengamal tareqat yang
pakar mengikut landasan al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qiyas berperanan untuk
menyelia, mengenalpasti tareqat-tareqat yang diamalkan benar mengikut manhaj
Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan didaftarkan.
Antaranya terdiri dari
Mufti Negeri Sembilan, termasuk Dr Abdul Manam, Dr Jahit Sidek, Dr Sulaiman bin
Ibrahim.
Jadi tidak timbul
kekeliruan akibat orang yang tidak ahli tiba-tiba bercakap mengenai tareqat dan
kemudian menyesatkan pula tareqat dan ahli tasawwuf.
Info :
1. Jilsah Al Turuq al
Sufiyyah :
http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf
2. Senarai anggota :
http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/611-senarai-anggota-jilsah-al-turuq-al-sufiyyah
3. Enakmen Tarekat
Tasawwuf :
http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/607-pengenalan-enakmen
4. Pelan Strategik :
http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/159-info-bahagian-tarekat-tasawuf/610-pelan-strategik-jabatan-mufti-kerajaan-negeri-negeri-sembilan-darul-khusus-2011-2015-bahagian-tarekat-tasawuf
5. TAREQAT TASAWWUF
YANG BERDAFTAR DAN DILULUSKAN :
http://muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/161-tarekat-tassawuf-berdaftar
6. Arkib Tarekat
Tasawwuf : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf
Mengandungi senarai
tokoh tarekat tasawwuf, himpunan doa dan zikir, kertas kerja dan sebagainya.
Semoga negeri-negeri
lain di Malaysia mempunyai badan yang berfungsi seperti ini juga. Serahkan
urusan pada ahlinya !