السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
الحمد لله رب العالمين ،
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين
Dakwah adalah satu cara pendekatan yang
perlu ada pada semua mukmin dan muslim untuk mengajak manusia mengenal dan
mencintai Allah s.w.t, serta membawa manusia mendekati ajaran Islam, supaya
mereka mendapat keberkatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Penghayatan cara hidup Islam sebagai budaya hidup akan membawa manusia mencapai
matlamat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat tersebut. Manusia
dijadikan Allah untuk mentadbir bumi ini mengikut kehendak Pencipta-Nya yang
antara lainnya dimanifestasikan melalui dakwah.
Firman Allah s.w.t:-
“Dan (ingatlah) ketikaTuhanmu berfirman
kepada Malaikat; sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata):
"Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang
akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami
sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman:
"Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".[1]
Justeru pendekatan dakwah ini perlu kepada
cara-cara yang khusus mengikut tahap golongan yang menerima, dalam proses
dakwah ini banyak golongan yang terlibat bermula dari peringkat kanak-kanak
sehingga peringkat warga tua, serta tidak terkecuali golongan yang belum
mengenal agama Islam. Setiap golongan yang disebutkan ini perlu kepada
pendekatan dakwah yang berbeza-beza. Bagi mempelajari pendekatan berkesan untuk
berdakwah kepada golongan yang telah dinyatakan sebelum ini, mereka perlu
mendalami ilmu dakwah dari guru-guru yang murshid atau boleh mencontohi
dan mempelajari kisah-kisah para anbia’ yang terdahulu, terutama para rasul ‘ulul
azmi, iaitu Nabi Ibrahim a.s, Nuh a.s, Musa a.s, Isa a.s dan Muhammad s.a.w.
Kesungguhan dan kecekalan mereka dalam menyeru umat manusia mengikuti ajaran
Allah s.w.t perlu dicontohi, dengan berbekalkan keimanan, ketaqwaan dan
kesabaran mereka menyebarkan agama Allah s.w.t akhirnya Islam berkembang luas
ke serata dunia, walaupun tidaklah semua umat mereka mengikuti agama yang
dibawa mereka kerana hidayah itu bukan milik kita, tetapi Allah s.w.t yang
menentukan kepada siapa hidayah itu akan diberikan, hanya mereka yang mencari
sahaja akan merasai nikmat hidayah Allah s.w.t.
Sebagai
contoh kita boleh mempelajari cara-cara menyampaikan dakwah melalui kisah Nabi
Ibrahim a.s, baginda juga dikenali sebagai Bapa para anbia’.
Firman Allah s.w.t:-
“Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah seorang
imam yang boleh dijadikan teladan lagi dipatuhi kepada Allah dan hanif, Dan
sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan” [2]
Pendakwah boleh menjadikan contoh dan ikutan
daripada kisah-kisah pendekatan dakwah yang dibawa oleh baginda semasa berdakwah
kepada kaumnya, malah ujian yang paling besar terhadap baginda ialah baginda perlu
berdakwah kepada ayahnya sendiri, yang ketika itu masih belum mengikuti ajaran
Allah, dakwah baginda juga tidak semudah yang disangka, ujian demi ujian menimpa
baginda sebagai tanda Allah s.w.t ingin menguji kekuatan iman baginda.
Oleh yang demikian bagi menceritakan lebih
panjang mengenai Dakwah Nabi Ibrahim a.s, akan kami huraikan pada huraian di bawah
melalui tajuk-tajuk yang akan dinyatakan pada helaian-helaian yang berikut.
1.1 Latarbelakang
Nabi Ibrahim a.s
Ibnu Kathir berkata: Baginda adalah Ibrahim bin Tarikh bin Nahuur bin
Sarugh bin Raghu bin Faligh bin 'Abir bin Syaalih bin Arfakhsyadz bin Sam bin
Nuh. Ini adalah nas Ahl Al-Kitab dalam buku-buku mereka.[3]
Usia Tarikh mencapai 250 tahun, Nahor 148 tahun, Sarugh 230 tahun, Roghou 239
tahun, Falegh 439 tahun, Aabir 464 tahun, Soleh 433 tahun, Arfahsyaz 438 tahun,
Sam berusia 600 tahun. [4]
Al-Haafiz Bin Asaakirdi dalam kitabnya
yang mengandungi sejarah hidup Nabi Ibrahim a.s ada menyebutkan riwayat yang
diperoleh dari Ishak Bin Basyar Al-Kahiliy, penulis kitab Al-Mubtadaa bahawa nama
ibunda Ibrahim Asadah Umailah. Di dalam kitab itu diterangkan secara panjang lebar
tentang kisah kelahiran Nabi Ibrahim a.s. Berbeza dengan Al-Kulabiy, menurut beliau
nama ibunda Nabi Ibrahim a.s adalah Boona Binti Karibta Bin Kartsiy. Termasuk bani
Arfakhsyaz Bin Saam Bin Nuh a.s. Ibn Asakir
dalam riwayat yang lain bersumber dari Ikrimah mengatakan bahawa Nabi Ibrahim a.s
sering dipanggil Abu Daifa.[5]
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa
Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di Ghouthan, Damsyik (Damaskus, Syiria), tempatnya
di sebuah kampung bernama Barzah. Kampung ini berada di kaki gunung Qasion. Lebih
lanjut beliau mengatakan bahawa Nabi Ibrahim as dilahirkan di Babil. Tempat itu
dikaitkan dengan beliau adalah kerana pada ketika beliau mengerjakan solat di sana
datang orang-orang yang tidak dikenali dan Luth a.s secara mendadak di mana tempat
kelahiran Luth a.s adalah di Caledonia, secara tepatnya adalah di daerah Babil,
dan terdapat lagi beberapa keterangan lain yang menguatkan lagi hujjah bahawa Nabi
Ibrahim a.s dilahirkan di daerah Babil. Mengenai bentuk tubuh baginda diriwayatkan
oleh Jabir Bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku
diperlihatkan pada para nabi-nabi, Musa merupakan seorang lelaki yang perkasa,
sepertinya dia berasal dari kaum Sanuah, juga aku melihat Nabi Isa bin Maryam
yang mirip dengan Urwah bin Mas'ud. Aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s, dan baginda
mirip dengan sahabat kamu ini (yakni maksudnya adalah baginda sallahualaihiwasallam
sendiri). [6][7]
Dari Ibnu Abbas r.a dia
berkata, "Rasulullah s.a.w telah bersabda "Sedangkan Ibrahim,
lihatlah sahabat kamu ini, Nabi Musa adalah seorang yang perkasa dan berambut ikal
dan aku melihat baginda saat sedang melalui satu lembah dengan ber-talbiyah.
[8]
Mengenai gelaran baginda yang
termaktub dalam kitab “Qishash al-Anbiyaa” karya Ibnu Kathir adalah bahawa
baginda [Ibrahim] diberi gelaran Abu Dhaifan yakni orang yang memiliki dua
tetamu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah
s.a.w pernah bersabda: “Nabi Ibrahim adalah orang yang pertama menyambut
(memiliki) tamu, dan orang pertama yang dikhatan pertama kali adalah Ibrahim
ketika baginda berusia lapan puluh tahun, dengan menggunakan kapak”.[9]
[10]
Nabi Ibrahim juga dikenali sebagai Al-Khalil yang bermaksud “Kekasih
Allah”. Nama Nabi Ibrahim a.s disebut sebanyak 69 kali di dalam Al-Quran[11].
Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk Lampiran 1 untuk
senarai ayat-ayat Al-Quran yang menyebut nama dan kisah tentang Nabi Ibrahim
a.s.
1.2 Risalah
Kenabian
Sebagai seorang yang bakal diutuskan
menjadi nabi dan rasul, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan tanda-tanda kemuliaan
dirinya ketika baginda masih diusia remaja, seperti nabi-nabi dan rasul sebelumnya,
kemuliaan tersebut dapat dilihat melalui tingkah laku dan percakapan baginda. Sehinggalah
pada saat risalah kenabian diturunkan kepada baginda, tanda-tanda kemulian itu sentiasa
terpancar pada perwatakkan baginda, begitulah mulianya seorang nabi dan rasul utusan
Allah s.w.t.
Nabi Ibrahim a.s mendapat risalah
kenabian pada suatu malam pada malam pertama pada salah satu bulan ramadhan.
Dari Watsillah bin al-Asqaa’ r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Diturunkan shuhuf kepada Nabi Ibrahim a.s pada awal di bulan
ramadhan, dan Taurat diturunkan pada hari ke-enam di bulan ramadhan, Injil diturunkan
pada hari ketiga-belas di bulan ramadhan, Zabur diturunkan pada hari ke-lapanbelas
ramadhan, dan Al-Quran diturunkan pada hari kedua-puluh empat di bulan ramadhan.”
[12]
2.0 Definisi Dakwah
Dakwah adalah tugas asasi umat Islam untuk menyeru,
mengajak, menyampaikan dan memperkenalkan kepada manusia mengenai ajaran agama
Islam. Dakwah juga adalah gerakan berterusan mengajak manusia ke jalan Allah
supaya mereka mendapat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat.
Penghayatan cara hidup Islam sebagai budaya hidup akan membawa manusia mencapai
matlamat kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat. [13]
Manakala Metodologi dakwah adalah ilmu yang bersifat kajian dan sistematik
mengenai cara dakwah, atau secara ringkasnya sebagai ilmu atau kajian tentang cara
dakwah. [14]
Di dalam konteks definisi di atas, maka penulis akan memfokuskan tentang
beberapa manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam bab yang
seterusnya.
2.1 Manhaj Dakwah
Nabi Ibrahim a.s
Nabi Ibrahim a.s sepanjang hayatnya
menyampaikan risalah dakwah kepada manusia sebagaimana yang disebut di dalam
Al-Quran. Di dalam bab 2.1 ini, kita akan menelusuri manhaj-manhaj dakwah Nabi
Ibrahim a.s. Walaupunpun dakwah baginda bersumberkan
daripada sumber yang sama seperti nabi-nabi yang lain, namun ia tetap mempunyai
keistimewaan yang tersendiri. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuklah
suasana yang melingkungi penghidupan Nabi Ibrahim a.s dan kerangka pemikiran
masyarakat pada masa itu. Manhaj dakwah Nabi Ibrahim a.s sebagaimana yang akan
dihuraikan di dalam penulisan ini dianggap penting untuk dikenalpasti supaya kita
boleh mengambil iktibar dari kisah-kisah dari Al-Quran sebagai pengajaran untuk
dijadikan sebagai panduan, motivasi dan dorongan di dalam hidup seharian.
Maka di dalam penulisan tugasan ini, kami
membahagikan dakwah Nabi Ibrahim kepada beberapa bab dan menghuraikan manhaj dakwah
baginda sebagai sub-bab di dalam bab tersebut. Iaitu pada bahagian bab, akan
dihuraikan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada golongan sasar, manakala pada
sub-bab akan dihuraikan manhaj yang digunakan olehnya.
2.2 Dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada bapanya
Allah SWT mengutuskan Ibrahim a.s sebagai nabi dan rasul kepada umatnya.
Dan gerak kerja dakwah pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim a.s ialah
dakwah kepada ayahnya sendiri. Nabi Ibrahim memilih ayahnya sebagai sasaran
dakwah yang pertama berdasarkan kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang
paling rapat dengannya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim a.s berusaha sedaya
mungkin agar orang yang rapat dengannya ini terselamat dari kesesatan yang
nyata. Al-Quran menceritakan dialog Nabi Ibrahim dengan ayahnya di dalam
beberapa tempat di dalam Al-Quran. Antaranya ialah firman Allah s.w.t [15]
2.3 Dahwah Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya
Selepas itu, Nabi Ibrahim a.s menujukan dakwah kepada kaumnya yang
merupakan terdiri daripada[16]:
Nabi Ibrahim a.s berdialog kepada kaumnya yang merupakan bentuk
perbincangan ataupun perdebatan dengan mengajak kaumnya berfikir dengan memberi
penjelasan bahawa semua makhluk angkasa yang kelihatan seperti bintang-bintang
yang terang bercahaya sama sekali tidak layak dijadikan Tuhan yang disembah
seumpamanya dengan Allah s.w.t Sesungguhnya semua makhluk tersebut adalah
dicipta oleh Pencipta-Nya dan ianya dikuasai oleh Allah dengan muncul dan tenggelam
menurut proses hukum alam.[18]
b.
Penyembah berhala
Salah satu negeri yang didakwah oleh Nabi Ibrahim a.s ialah Babil atau
Babylon kuno yang masyarakatnya menyembah berhala. Keyakinan masyarakat Babylon
kuno ini yang berpegang kuat kepada kepercayaan menyembah berhala ditegaskan
oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran:
Maksudnya: “Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya):
"Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu,
hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam
kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan
membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan
setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan
kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".[19]
c.
Penyembah raja pemerintah
Penyembah raja pemerintah iaitu merujuk golongan rakyat jelata yang
menyembah raja Namrudh yang mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Penulis
akan menghuraikan pendetailan tentang item (c) di atas di dalam bab 2.2
seterusnya iaitu dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada golongan pembesar yang
mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Maka sudah tentulah apabila Namrudh
yang juga sebagai raja yang memerintah dengan autoriti yang ada padanya sudah
tentu ada penyembahnya.
2.4 Dakwah Nabi
Ibrahim a.s kepada golongan pembesar
Golongan pembesar memainkan peranan utama dalam pelbagai institusi sosial
yang mempunyai beraneka matlamat yang berbentuk ekonomi, politik, ketenteraan,
sosial, agama dan lain-lain. Peranan yang dimainkan mereka itu sangat
dihormati, justeru mereka yang memainkan peranan ini mendapat kedudukan atau
status yang tinggi di dalam setiap institusi yang diketuai mereka.[20] Antara
golongan sasar dalam dakwah ialah golongan pembesar. Al-Quran telah
menceritakan banyak kisah konflik pertembungan antara golongan pembesar dengan
para Rasul a.s. dalam misi dakwah mereka termasuklah Nabi Ibrahim a.s. iaitu
seruan dakwahnya kepada Raja Namrudh. [21].
Nama Namrudh ialah al-Namrudh ibn Kus ibn Kan‘an ibn Salam Ibn Nuh,
dinyatakan juga al-Namrudh Ibn Falikh ibn ‘Amir ibn Shalikh Ibn Arfakhshadh ibn
Sam[22].
Menurut al-Sabuni, al-Namrudh disebut sebagai salah seorang daripada empat
orang Raja Dunia.[23]
Beliau memerintah selama 400 tahun dengan penuh kezaliman. Al-Namrudh karam
dalam kesesatan dengan ujian nikmat pemerintahan yang dianugerahkan Allah
kepadanya. Beliau terpesong dari jalan kebenaran dengan mengingkari Allah
s.w.t., tidak bersyukur dengan nikmat-Nya serta bersifat takbur malah mengaku
dirinya sebagai tuhan lalu dipuja oleh sebahagian rakyatnya[24]
Nabi Ibrahim a.s. menyeru al-Namrudh agar beriman kepada Allah s.w.t..
Namun, sifat takbur melampau telah mendorong al-Namrudh menuntut daripada
Ibrahim a.s. agar mengemukakan bukti kewujudan Allah s.w.t.. Maka berlakulah
perdebatan antara mereka berdua dalam soal ketuhanan sebagaimana yang
dinyatakan di dalam Al-Quran[25]. Mesej
dakwah yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim (a.s.) kepada al-Namrudh yang dapat
disimpulkan ialah[26]:
i.
Isbat kewujudan Allah (s.w.t.)
dengan bukti adanya proses kehidupan dan kematian, di mana tiada kehidupan dan
kematian tanpa wujudnya yang menghidup dan mematikan [27]
iii.
Menjelaskan bahawa makhluk adalah
lemah walau setinggi manapun kedudukannya. Justeru, makhluk tidak layak
disembah, sebaliknya yang wajib disembah ialah Tuhan yang menghidup dan
mematikan[29]
Berdasarkan konteks perbincangan di atas, didapati mesej dakwah kepada
al-Namrudh melibatkan kedua-kedua bentuk iaitu umum dan khusus. Mesej umum
ialah aspek akidah iaitu mengisbatkan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t.
dengan bukti adanya kehidupan dan kematian. Manakala mesej khusus ialah
menjelaskan tentang kelemahan makhluk dan tidak layaknya makhluk disembah walau
setinggi manapun kekuasaannya. Justeru Namrudh mempunyai keegoan yang sangat
tinggi hingga mengaku boleh menghidupkan orang mati maka mesej-mesej tersebut
amat tepat.
3.0 Metodologi Dakwah
Nabi Ibrahim a.s kepada golongan sasarnya
Sejarah
perjalanan dakwah tidak akan dapat lari daripada pertembungan dengan ragam
manusia yang pelbagai di samping pelbagai latar belakang mad’u (sasaran dakwah)
seperti golongan al-Mala’ (golongan elit), al-Jumhur (orang awam) dan al-Asi
(pelaku maksiat) dan juga di kalangan non-Muslim. Di dalam bab ini, penulis
akan menghuraikan kaedah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam menyampaikan
risalahnya:
3.1 Kaedah mujadalah
(dialog, debat, diskusi, wacana secara ilmiah)
Metode mujadalah (dialog, debat, diskusi, wacana dan lain-lain yang
seerti dengannya) merupakan antara kaedah popular yang digunakan para Rasul
termasuklah Nabi Ibrahim a.s. Mujadalah boleh dibahagikan kepada dua bentuk:
a.
Mau’izah Hasanah
Al-Qur’an juga menggambarkan pendekatan
mau’izah atau nasihat yang dilaksanakan Nabi Ibrahim a.s meskipun terpaksa
berhadapan dengan regim Namrudh yang keras
hati dan zalim, namun baginda diperintahkan Allah supaya berdakwah dengan
menasihati Namrudh secara berlemah lembut. Surah
As-Saaffaat ayat 84 daripada surah ini
menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim a.s dikurniakan hati yang sejahtera. Hanya
hati yang tenang dan sejahtera yang mampi untuk menyampai dakwah dengan kata-kata
nasihat yang baik.
Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan
hati yang suci murni..[30]
Nabi Ibrahim
juga berdakwah kepada kaumnya dengan menggunakan kaedah nasihat yang baik.
Dakwah melalui nasihat diisyaratkan misalnya seperti yang dinukilkan di dalam
al-Quran:
Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ibrahim, ketika ia berkata
kepada kaumnya: "Sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya; yang
demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu tahu (membezakan yang baik dari
yang buruk)”.[31]
Nabi Ibrahim a.s juga menyeru golongan sasarnya dengan lemah lembut dan
kasih sayang. Sebagaimana firman Allah yang menerangkan bagaimana Nabi Ibrahim
a.s menyantuni ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama berdasarkan
kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat dengannya. Oleh yang
demikian, Nabi Ibrahim a.s berusaha sedaya mungkin agar orang yang rapat
dengannya ini terselamat dari kesesatan yang nyata sebagaimana firman Allah:
Maksudnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu
pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan
memimpinmu ke jalan yang betul.[32]
Pendapat di kalangan ulama mufassirin. Ini kerana Allah s.w.t dengan
jelas sekali menggunakan lafaz أبيه yang
membawa makna “ayahku” dan ianya satu ungkapan kasih sayang dan penuh hormat
terhadap bapanya. Walaupun seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s ditolak oleh bapanya
ianya bukan sebagai tanda kegagalan dakwah Nabi Ibrahim a.s kerana persoalan
hidayah ialah urusan Allah s.w.t.
.
Kita biasa mendengar ungkapan “kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya
bapa membawa bahagia”. Ketika dalam proses menulis tugasan ini, penulis telah
mendapati terdapat sebuah kisah Nabi Ibrahim a.s yang bertemu dengan bapanya di
akhirat. Hadis ini membuktikan bahawa
kasih anak juga membawa hingga ke syurga. Tidak putusnya kasih anak terhadap
orang tuanya sehingga Nabi Ibrahim a.s merayu kepada Allah s.w.t agar bapanya
dimasukkan ke dalam syurga. Namun beriman kepada Allah s.w.t dengan tunduk
patuh kepada perintahnya adalah semasa hayat manusia di dunia, bukan di
akhhirat. Pendapat kasih sayang anak juga hingga ke alam akhirat berdasarkan
kepada dalil daripada hadis Rasulullah s.a.w:
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :
يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ
أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ الْقِيَا مَةِ وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ
فَيَقُولُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ : أَلَمْ
أَقُلْلَ لَكَ لَا تَعْصِنِي؟ فَيَقُولُ
أَبُوهُ : فَالْيَومَ لَا أَعْصِيكَ
َ فَيَقُولُ إِبْرَاهِيمُ : يَارَبِّ إِنَّكَ
وَعَدْتَنِي أَن لَا تُجْزِيَنِي يَوْمَ يُبْعَثُونََ فَأَيُّ خِزْيٍ أَخْزَى
مِنْ أَبِي الْأَبْعَدِ؟ فَيَقُولُ الله تَعَلَى : إِنَّي حَرَّمْتُ الْجَنَّةَ عَلَى الْكَافِرِينَ ثُمَّ يَقَالُ
: يَا إِبْرَاهِيمُ مَا تَحْتَ رِجْلَيْكَ؟
فَيَنْظُرُ فَإِذَا هُوَ بِذِيْخٍ
مُلْْتَطَخٍ فَيؤخَذُ بِقَوَائِمِهِ
فَيُلْقَى فِي الْنَّارِ
Maksudnya: “Ibrahim bertemu ayahnya, Azar pada hari kiamat, sedang wajah
Azar diliputi kegelapan dan debu. Ibrahim berkata kepadanya, “Bukankah aku
telah berkata kepadamu, janganlah durhaka kepadaku?. Ayahnya menjawab, “Pada
hari ini aku tidak durhaka padamu”. Ibrahim berdoa, “Ya Allah, Engkau telah
berjanji kepadaku untuk tidak menghinakanku pada hari mereka dibangkitkan.
Adakah kehinaan yang lebih hina dibandingkan ayahku yang jauh rahmat-Mu?”. Allah
berfirman, “Sesungguhnya Aku telah mengharamkan syurga bagi orang-orang kafir.
Kemudian dikatakan, “Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?”.
Maka Ibrahim melihatnya ternyata ayahnya menjadi serigala berbulu lebat
yang kotor, maka kaki-kakinya dipegang lalu dicampakkan ke neraka”. [33] [34]
Pada pedapat penulis, inilah sebagai satu bentuk motivasi para pendakwah
masa kini untuk menggunakan kisah yang disebut di atas kepada golongan mualaf
atau saudara baru yang sudah tentu merasa sedih tatkala mereka merasai nikmat
iman tetapi ibubapa mereka masih lagi berstatus non-muslim. Inilah indahnya
agama Islam menuntut yang agar umatnya berbuat baik kepada ibubapa walaupun
ibubapa kita itu non-muslim.
b.
Munazarah
Munazarah (debat) merujuk kepada perbahasan untuk melahirkan sesuatu
kebenaran. Menurut Abdul Aziz, tujuan Nabi Ibrahim memusnahkan patung-patung
berhala, bukanlah untuk menunjukkan kekerasan, tetapi bertujuan meransangkan
kaumnya untuk berfikir bahawa berhala-berhala itu sangat tidak berguna. Hanya
satu patung besar tidak dimusnahkan bahkan digantungnya kapak, supaya mereka
akan berfikir sejauhmana kekuatan dan kekuasaan sesebuah patung berhala. Metode
ini akan menganjurkan perbincangan yang merangsang fikiran benar.[35]
c.
Muhawarah (perbincangan
secara soal jawab)
Selain daripada kaedah yang telah dihuraikan pada bahagian (a) di atas, Allah
menyatakan kaedah dakwah yang disampaikan oleh Ibrahim a.s kepada bapanya dalam
al-Quran dengan menerapkan kaedah Muhawarah iaitu percakapan secara peribadi dan
beliau tidak jemu-jemu berbincang dengan harapan bapanya akan menerima
dakwahnya. [36] Baginda
juga bersoal jawab dengan kaumnya tentang tuhan-tuhan mereka yang tidak memberi
apa-apa kepada mereka dalam al-Quran sebagaimana firman Allah:
Bermaksud:“Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya tidak ada
Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa
azab hari yang besar Hari Kiamat)”[37]
Soal jawab ini adalah untuk melemahkan tuhan-tuhan mereka, kemudian
barulah beliau menjelaskan tentang Allah, tuhan yang layak disembah. Antara
contoh lain ialah muhawarah Nabi Ibrahim a.s dengan kaumnya ialah firman Allah:
إِذۡ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوۡمِهِۦ مَا تَعۡبُدُونَ (٧٠) قَالُواْ
نَعۡبُدُ أَصۡنَامً۬ا فَنَظَلُّ لَهَا عَـٰكِفِينَ (٧١) قَالَ هَلۡ
يَسۡمَعُونَكُمۡ إِذۡ تَدۡعُونَ (٧٢) أَوۡ يَنفَعُونَكُمۡ أَوۡ يَضُرُّونَ
(٧٣) قَالُواْ بَلۡ وَجَدۡنَآ ءَابَآءَنَا كَذَٲلِكَ يَفۡعَلُونَ (٧٤) قَالَ
أَفَرَءَيۡتُم مَّا كُنتُمۡ تَعۡبُدُونَ (٧٥) أَنتُمۡ وَءَابَآؤُڪُمُ
ٱلۡأَقۡدَمُونَ (٧٦) فَإِنَّہُمۡ عَدُوٌّ۬ لِّىٓ إِلَّا رَبَّ
ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٧٧) ٱلَّذِى خَلَقَنِى فَهُوَ يَہۡدِينِ (٧٨) وَٱلَّذِى
هُوَ يُطۡعِمُنِى وَيَسۡقِينِ (٧٩) وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ يَشۡفِينِ
(٨٠)
Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apa yang kamu
sembah?" Mereka menjawab: "Kami menyembah berhala-berhala, maka
(kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya". Nabi Ibrahim
bertanya: "Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu
menyerunya? "Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya
kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?" Mereka menjawab:
"(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat
demikian". Nabi Ibrahim berkata: "Sudahkah kamu berfikir sehingga
nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu? "(Yang sekian lama
disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu? "(Aku bertanya demikian)
kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah)
melainkan Allah Tuhan sekalian alam; "Tuhan yang menciptakan daku (dari
tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku; "Dan
Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,[38]
Nabi Ibrahim a.s memulakan hujjahnya dengan mengajak kaumnya berfikir dengan
bertanyakan soalan apakah patung-patung berhala yang disembah itu boleh
mendengar dan berupaya mendatangkan faedah ataupun mudarat kepada mereka.
Selepas mendorong kaumnya berfikir, barulah Nabi Ibrahim a.s. menyampaikan
seruan ketauhidan iaitu Allah s.w.t yang selayak-layaknya disembah.
3.2 Tabshir atau
Targhib (berita gembira) dan Indhar (berita ancaman)
Al-Qur’an juga menggambarkan dakwah Nabi Ibrahim a.s dalam yang menyeru
dan memberi peringatan kepada bapa dan kaumnya supaya menyembah Allah dan
menjauhkan penyembahan-penyembahan yang tidak berguna seperti syaitan agar
tidak ditimpa azab Allah:
Maksudnya" Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan
kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka
dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka".[39]
Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim memperingatkan bapanya bahawa baginda takut
akan azab Allah yang akan menimpa sekiranya bapa dan kaumnya tidak beriman
kepada Allah. Adam Abdullah al-Aluri ketika memberi ulasan kepada ayat ini
menyifatkan bahawa pendekatan dakwah yang digunakan Nabi Ibrahim adalah penuh
beradab, lembut dan kasih sayang disertai hujah yang jelas lagi jitu.
Pendekatan yang digunakan tersebut, iaitu tabshir, tandhir, targhib dan tarhib
dikira satu pendekatan yang perlu dan berupaya menggoncang serta melembutkan
hati manusia untuk tunduk kepada perintah-perintah Allah[40].
Gabungan pendekatan menggembirakan serta menakutkan adalah satu kaedah
al-Qur’an yang telah dilaksanakan Nabi Ibrahim a.s dan para rasul ulul azmi dan
lain-lain rasul yang boleh diaplikasi dalam konteks dakwah semasa.[41]
3.3 Bertawakal dan berdoa
Tawakal dan doa
adalah bentuk pendekatan yang sinonim dengan semua Rasul ulu al-azmi termasuk
Nabi Ibrahim a.s dalam menjalankan misi dakwah mereka. Nabi Ibrahim juga
mengambil pendekatan yang sama dengan berdoa dan bertawakal di dalam dakwah
baginda sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-An’am:
Maksudnya: "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah
yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan
bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang
lain)".[42]
Pada pendapat penulis, dakwah Nabi Ibrahim a.s. sungguhpun berdepan
dengan seorang raja yang zalim dan satu bala tentera kaumnya, tetapi hakikatnya
baginda berdepan dengan satu sistem jahiliyyah yang mengagungkan penyembahan
berhala, cakerawala malah seorang raja mengangkat dirinya sendiri sebagai
Tuhan. Untuk berdepan dengan sistem yang telah mendasari ruang lingkup
pemikiran masyakarat seperti ini bukan satu tugas yang mudah dan senang untuk
dilaksanakan. Nabi Ibrahim a.s ternyata sekali mempunyai pergantungan dan tawakkal
yang kuat apabila dengan tenaga yang ada pada dirinya sebagai seorang individu
masyarakat sanggup tampil ke hadapan untuk menyanggah tradisi dan adat yang
diamalkan oleh masyarakat turun temurun. Dalam konteks pendakwah pada hari ini,
mempunyai pergantungan dan tawakkal kepada Allah SWT adalah merupakan kunci
kejayaan. Malah jika seandainya gerakan
dakwah mempunyai tenaga-tenaga yang ramai yang mempunyai rasa takut hanya
kepada Allah, ia pastinya merupakan sebuah gerakan dakwah yang kuat.
Bagaimanapun, tawakkal ini bukanlah bererti menyerahkan segala tugas dan urusan
kepada Allah s.w.t tanpa berusaha, ia bermakna pergantungan dan rasa takut
tidak wujud kepada sesama makhluk.
3.4 Mengiktiraf
dan meraikan kedudukan mad’ui
Pemerhatian yang tajam dan sensitiviti sangat tinggi yang dimiliki oleh
Nabi Ibrahim a.s terhadap golongan sasarnya atau mad’ui, pada pandangan penulis
adalah “soft skill” yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t terhadap pesuruh-Nya.
Ini jelas sebagaimana yang ternukil di dalam al-Quran tentang ajakan Nabi
Ibrahim a.s kepada ayahnya misalnya dimulai dengan perbicaraan yang halus
sekali dengan dengan menyatakan beliau adalah anaknya yang amat mengharapkan
belas kasihan dari ayahnya. Sekalipun, ayahnya sentiasa menolak dakwahnya, Nabi
Ibrahim a.s tetap memulakan dakwahnya dengan memanggil “wahai ayahku..” (ya
abati) sebagai panggilan hormat. Sehinggalah ayahnya mengusir Ibrahim, Nabi
Ibrahim a.s tetap memohon doa hidayah dari Allah untuk ayahnya. Begitu sekali
perhatian yang tinggi dari Nabi Ibrahim a.s terhadapnya. [43]
3.5 Uslub dan gaya
bahasa yang sesuai dengan golongan sasar
Nabi Ibrahim a.s menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai apabila
berhadapan dengan sasaran dakwah yang berbeza-beza. Jika diperhatikan dakwah
Nabi Ibrahim a.s kepada ayahnya mengandungi pelbagai unsur-unsur kasih sayang
sesuai dengan sifatnya sebagai seorang anak di samping seorang rasul yang
diutuskan oleh Allah SWT. Lafaz أبت
yang bermaksud ayah kesayanganku digunakan sekalipun jelas dakwahnya
telah ditolak oleh ayahnya sendiri. Ini berbeza apabila sasaran dakwahnya
merupakan masyarakat umum, Nabi Ibrahim a.s menggunakan gaya bahasa yang sesuai
dengan sifat masyarakat yang biasanya menginginkan bukti dan hujjah yang kukuh.
Malah dalam ketika tertentu, ternyata Nabi Ibrahim a.s turut menggunakan
perkataan-perkataan yang bermaksud celaan kepada penyembah-penyembah berhala.
Perkataan أف
لكم yang bermaksud “Jijik
perasaanku terhadap kamu”[44]
nyata sekali merupakan satu celaan terhadap penyembah-penyembah berhala yang
tetap ingkar menerima kebenaran sekalipun mereka sudah kalah di dalam
perdebatan.
Dalam konteks dakwah zaman moden hari ini, suka penulis menyarankan
bahawa bahawa sekalipun uslub bahasa yang bersifat celaan ini dibenarkan di
dalam Islam, namun ia hanya boleh digunakan pada waktu-waktu yang tertentu
sahaja. Celaan dan makian yang dibiasakan di dalam usaha menyebarkan mesej dakwah
akan menyebabkan fitnah kepada gerakan dakwah sendiri. Oleh yang demikian, di
dalam menyampaikan mesej dakwah, sebaik-baiknya setiap pendakwah cuba
mengelakkan diri dari menggunakan perkataan-perkataan sebegini kecuali apabila
keadaan benar-benar krtikal mengikut suasana dan golongan sasar ketika
menyampaikan mesej dakwah.
3.6 Gerak kerja
dakwah yang tersusun dan terancang
Gerak kerja terancang Nabi Ibrahim a.s juga boleh dilihat daripada
tindakannya menghancurkan semua berhala-berhala kecuali yang paling besar[45]. Jelaslah
bahawa Nabi Ibrahim sudahpun merancang daripada awal lagi bahawa perbahasan
antara baginda dan kaumnya pasti akan berlaku. Oleh yang demikian, berhala yang
paling besar itulah yang akan dijadikan sebagai bahan hujjah apabila berdepan
dengan kaumnya nanti. Cabaran yang akan dikemukakan oleh Nabi Ibrahim a.s iaitu
supaya kaumnya mengajukan pertanyaan kepada berhala yang paling besar sudahpun
dirancang sejak daripada awal lagi. Semua ini membuktikan bahawa sebarang gerak
kerja di dalam urusan dakwah haruslah dirancang dengan teliti satu persatu
sebelum dilaksanakan.
Pengajaran seterusnya daripada kisah penghancuran berhala ini dapat
dilihat daripada kata-kata orang-orang kafir tersebut iaitu "Kami ada
mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". Kata-kata ini
membuktikan bahawa Nabi Ibrahim ketika bertindak menghancurkan berhala masih
lagi merupakan seorang anak muda. Umur baginda secara tepat tidak dinyatakan,
namun secara umumnya, seorang anak muda tentulah tidak lebih dari umur 40
tahun. Ia membuktikan bahawa pemuda sebenarnya aset penting kepada gerakan
dakwah. Umur muda Nabi Ibrahim tidak digunakan untuk berseronok tetapi
digunakan untuk melakukan sesuatu yang menjadi sebutan sejarah turun temurun.
Inilah martabat pemuda yang sebenar di dalam Islam. [46]
Iktibar dari peristiwa ini, para pendakwah masa kini perlu ada daya
pemikiran yang tajam dan visi dakwah yang jauh ke hadapan untuk menjalankan
kerja-kerja dakwah dengan mewujudkan strategi dakwah yang berkesan.
3.7 Menjamu tetamu sebagai satu uslub dakwah
Nabi Ibrahim a.s
Islam mengajar umatnya agar menghormati tetamu. Penghormatan itu tidak
sebatas pada tutur kata yang halus dalam menyambutnya, manis muka, mesra malah
kita disaran agar melayan tetamu dengan sikap yang menyenangkan tamu tersebut.
Misalnya dengan memberikan jamuan, walaupun hanya sekedarnya. Sikap memuliakan
tamu, bukan hanya mencerminkan kemuliaan hati si tuan rumah kepada
tamu-tamunya. Allah menyebut di dalam Al-Quran yang mulia bahawa tatkala Nabi
Ibrahim a.s selesai mengucapkan salam untuk para malaikat yang disangka beliau
tamu manusia biasa, beliau bersegera menghidangkan jamuan untuk mereka berupa
daging anak sapi yang dipanggang. Dan ketika para tamu tersebut tidak mau
memakannya, Nabi Ibrahim a.s merasa aneh dengan perbuatan mereka dan merasa
takut. Para tamu itupun berkata kepadanya, “Janganlah kamu takut.” Lalu
mengabarkan sesuatu kepada Nabi Ibrahim.[47]
Dalam satu kisah yang lain, seorang tua kafir meminta agar ia diundang
makan oleh Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. berkata kepadanya: “Jika engkau
masuk agama Islam, aku akan menjamumu makan.” Maka Allah s.w.t menegur kepada
Nabi Ibrahim a.s, “Wahai Ibrahim!, aku memberi rezeki kepadanya sepanjang
umurnya walaupun dia kafir. Sedang engkau hanya memberinya makan sekali saja
telah berbuat begitu kepadanya”. Nabi Ibrahim a.s yang menyedari kesalahannya
mengejar lelaki tua itu kembali untuk menjamunya. Lelaku tua itu menjawab,
“Tuhan yang menegur Nabi-Nya kerana orang kafir, maka Dialah Tuhan yang lebih
layak disembah. Akhirnya lelaki tua itu menyatakan keimanannya kepada Allah
s.w.t. [48]
Rakan-rakan dai’e yang dimuliakan oleh Allah s.w.t, marilah sama-sama
kita mencontohi akhlak mulia Nabi Ibrahim a.s yang suka menjamu tetamu. Dalam
usaha kita berdakwah, kaedah menjamu tetamu, jiran, rakan-rakan sama ada muslim
ataupun non-muslim. Di Malaysia yang masyarakatnya berbilang kaum dan berbilang
kepercayaan agama, marilah sama-sama kita mengambil peluang dan kesempatan ini
untuk mengundang mereka makan dirumah kita terutamanya semasa menyambut aidil
Fitri ataupun Aidil Adha. Jikalau kita ahli jawatankuasa masjid, metod ini amat
berkesan untuk mengajak masyarakat datang ke masjid. Ini kerana seseorang
muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhir akan mengimani wajibnya
memuliakan tamu sehingga ia akan menempatkannya sesuai dengan kedudukannya. Hal
ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ اْلأخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Barang siapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka
hendaklah dia memuliakan tamunya.”[49]
3.7 Hijrah Nabi Ibrahim a.s sebagai satu
saluran dakwah
Penentangan dari
bapa, kaum dan golongan pembesar yang dialami para Nabi Ibrahim a.s dalam
dakwah menjadi faktor keizinan untuk berhijrah dan ianya adalah satu perintah
Allah s.w.t. Malahan pendekatan hijrah dalam dakwah ini misalnya telah dilalui
oleh bukan sahaja oleh baginda a.s malahan kepada para rasul ulu al-Azmi,
tetapi juga lain-lain rasul yang bukan ulu al-Azmi.[50]
Namun demikian, dengan merujuk secara khusus kepada rasul ulul azmi,
al-Qur’an misalnya menjelaskan tentang hijrah Nabi Ibrahim a.s. ke Syria.
Firman Allah:
Dan Kami
selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat
padanya untuk umat manusia.[51]
Hijrah Nabi
Ibrahim a.s dan Nabi Luth a.s adalah menuju ke Sham (Syira). Semasa di Hiran,
baginda bertemu dengan Sarah dan berkahwin dengannya. Sebagai mengungkapkan
rasa syukur kepada Allah s.w.t, Nabi Ibrahim a.s telah melakukan upacara korban
di Baitul Maqdis. Kemudian tidak seberapa lama, baginda berhijrah pula ke
Taiman tetapi kawasan tersebut kekeringan dan penduduk setempat mengalami
kelaparan, lalu Nabi Ibrahim berpindah pula ke Mesir. Menyentuh tentang kisah
Sarah, kita tidak boleh lari daripada kisah bagaimana Sarah mendepani Rajanya,
tetapi Sarah selamat dari perbuatan jahat raja tersebut, malah dihadiahkan
seorang hamba yang bernama Siti Hajar. Kemudian Nabi Ibrahim a.s, Sarah dan
Siti Hajar berpindah semula ke Taiman iaitu sebuah kawasan yang terletak di
dalam Baitul Maqdis. Rentetan daripada itu, Nabi Ibrahim a.s berkahwin dengan
Siti Hajar dan berpindah pula ke Makkah dengan membawa anaknya Nabi Ismail a.s.
Perjalanan hijrah Nabi Ibrahim ini, penulis ringkaskan kepada “road map” dan
sila rujuk di Lampiran 2 sebagai rujukan.
Di dalam
konteks dakwah moden hari ini, para pendakwah harus berani untuk berhijrah jika
dakwah kita ditentang oleh golongan sasar. Umpamanya daripada menggunakan metod
lisan yang mungkin kurang berkesan, kita menggunakan saluran dakwah dengan
“berhijrah” kepada saluran berbentuk tulisan. Masa era ini, terdapat banyak
kemudakan ICT untuk digunakan sebagai saluran dakwah umpamanya blog, facebook
dan twitter untuk memberi mesej kesedaran, dan mengingatkan golongan
sasar.
4.0 Kesimpulan
Sebagai
penutup, jelaslah kepada kita bahawa di dalam dakwah Nabi Ibrahim a.s yang
diceritakan di dalam Al-Quran tidak hanya sekadar satu cerita dan pengkisahan
biasa sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar kepada
pembaca-pembaca Al-Quran khususnya. Manhaj-manhaj yang digunakan oleh Nabi
Ibrahim a.s dalam menyampaikan dakwahnya jelas sekali merupakan contoh yang terbaik
kepada semua individu pendakwah yang sentiasa berusaha untuk menyebarkan mesej
dakwahnya. Seandainya contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s ini
dapat dijadikan ikutan dan amalan soleh pendokong-pendokong gerakan dakwah pada
hari, gerakan dakwah pasti akan mempunyai masa depan yang lebih gemilang.
Rujukan
Al-Quran dan terjemahan
al-Aluri,
Adam Abdullah. 1979. Tarikh al-Da’wah ila Allah baina al-Ams wa al Yaum.
Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.
Al-Amiri
Ahmad al-Barak. 2000. Fiqh Da’wah al-Anbiya‟ fi al-Qur‟an al-Karim. Dimashq:
Dar al-Qalam.
Al-Sabuni
Muhammad Ali. 1980. al-Nubuwwah wa al-Anbiya‟, c. 2. T.T.P.: T.P
Al-Shawkani
Muhammad ibn Ali ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir al-Jami„ bayn Fannay
al-Riwayah wa al-Dirayah min, Ilm al-Tafsir, j. 1. Bayrut: Dar al-Ma„rifah.
Abd
Aziz Mohd Zin. 2005. Metodologi dakwah. Cet. ke-3. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.
Abdul
Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2011. Dakwah
kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu al-azmi. Jurnal Islamiyyat
33 (2011): 45-52. Penerbit UKM
Abul
Fidaa’ Ismail bin Katsir al-Quraisy. 2001. Kisah para nabi, teladan bagi
orang berakal, Jilid 1. Johor Bahru. Penerbit: Perniagaan Jahabersa
Hasan
Muhammad al-Khairun bin Gozali. 2005. Dialog para nabi dengan Allah,
malaikat & syaitan. Johor Bahru. Penerbit: Perniagaan Jahabersa
Johari
Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar. Rawang.
Penerbit: Nadi Minda Enterprise
Muhd.
Najib Abdul Kadir, Mabruri Mohammad Sai & Latifah Abdul Majid. 2013. Metodologi
dakwah kepada ibu bapa bukan muslim berdasarkan kisah Nabi Ibrahim AS.
Jurnal Islamiyyat
35(2) 2013: 57-66. Penerbit: UKM
Muhammad
Abu Zahrah (t.t), Zahrah al-Tafsir, j. 2. Al-Qahirah: Dar al-Fikr
al-„Arabi.
Muhammad
Surur ibn Nayf Zayn al-Abidin. 1984. Manhaj al-Anbiya‟ fi al-Da’wah Ila
Allah, c. 2. Al-Kuwayt: Dar al-Arqam li al-Nashr wa al-Tawzi
Syaikh Mushthafa al-Adawi. 2014. Sahih
hadiths Qudsi. Jakarta. Penerbit: Darul Haq
S. Husin Ali. 1982. Masyarakat dan pimpinan kampung di Malaysia.
Kuala Lumpur: Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd
.
Syeihk Muhammad Mutawalli Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan
Ismail a.s. Johor Bahru. Penerbit: Perniagaan Jahabersa
Wahid Haniff & Azrul Ismail. 2014.
Menyingkap kehebatan nama-nama Allah disebalik kisah hikmah. Selangor.
Penerbit: Telaga Biru
Zawawi
Yusoff. 2014. Mesej dakwah para rasul (a.s.) kepada golongan pembesar negara.
Jurnal Islam dan masyarakat kotemporari. Bil. 8 Jun 2014. Penerbit:
Universiti Sultan Zainal Abidin
Lampiran 1
Surah
|
No Surah
|
Ayat
|
Al-Baqarah
|
2
|
124, 125 (dua kali), 126, 127, 130, 132, 133, 135, 140, 258 (dua
kali), 260
|
Al-Imran
|
3
|
33, 135, 136, 140, 258 (dua kali), 260
|
An-Nisa
|
4
|
54, 125 (dua kali), 163
|
Al-An’am
|
6
|
74, 75, 83, 161
|
At-Taubah
|
9
|
70, 114 (dua kali)
|
Hud
|
11
|
69, 74, 75, 76
|
Yusuf
|
12
|
6, 38
|
Ibrahim
|
14
|
35
|
Al-Hijr
|
15
|
51
|
An-Nahl
|
16
|
120, 123
|
Maryam
|
19
|
41, 46, 58
|
Al-Anbiya
|
21
|
51, 60, 62, 69
|
Al-Hajj
|
22
|
26,43, 78
|
Alsh-Shu’ara
|
26
|
69
|
Al-Ankabut
|
29
|
16, 31
|
Al-Ahzab
|
33
|
7
|
As-saffat
|
37
|
83, 104, 109
|
Sad
|
38
|
45
|
Ash-Shura
|
42
|
13
|
Az-zukhruf
|
43
|
26
|
Adh-Dhariyat
|
51
|
24
|
Al-Najm
|
53
|
37
|
Al-Hadid
|
57
|
26
|
Al-Mumtahinah
|
60
|
4 (dua kali)
|
Al-A’ala
|
87
|
19
|
[1] Surah al-Baqarah 2:30
[2] Surah al-nahl:120
[3] Syeihk Muhammad Mutawalli Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan
Ismail a.s, hlm 2
[4] AbulFida’Ismail bin Katsir Al-Quraisyi (Ibn Kathir). 2001. Kisah teladan para Nabi teladan
bagi orang yang berakal, Jilid1, hlm 162
[5] Ibid
[6] Syeihk Muhammad Mutawalli Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan
Ismail a.s, hlm 2
[7] Diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaznya no 168, Tirmidzi no 3649
dan disahihkan dengan Al-Albani dalam sahih "Tirmidzi no 2885 dan dalam
Al-Syamil no 12, Ibnu Mundah no 729 dan Ahmad di dalam "Musnad"
(3/334)
[8] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no 3355, no 3438, no 5913, Muslim no 166 dan lafaz darinya dan diriwayatkan juga oleh Ahmad
1/245,257,259,277,374
[9] Syeihk Muhammad Mutawalli Ai-Sya’rawi. 2011. Nabi Allah Ibrahim dan
Ismail a.s, hlm 3
[10] Diriwayatkan oleh Thabraniy pada“ Al-Awail” no.10, dan isnadnya hasan dan semua periwayatnya
terpercaya dan dikenal
[11] Shauqi Abu Khalil. 2003. Atlas of the Qur’an, hlm 53
[12]Diriwayatkan oleh Thabraniy dalam “al-kabir” (22/75), no (185,186),
Baihaqi pada “al-sunan” (9/188), Thailasiy pada no (1918) dalam “Asmaa wa sifat”
[13] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @
Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu
al-azmi, hlm 45
[15] Sila rujuk surah Maryam : 41 – 47
[16] Johari Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar, hlm
257 - 264
[17] Sila rujuk surah Al-An’am ayat 75-83
[18] Ibid, hlm 258
[19] Surah Al-'Ankabuut 29:25
[21] Zawawi Yusoff. 2014. Mesej dakwah para rasul (a.s.) kepada
golongan pembesar negara, hlm 87
[22] Al-Shawkani Muhammad ibn Ali ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir
al-Jami„ bayn Fannay al-Riwayah wa al-Dirayah min, Ilm al-Tafsir, j. 1, hlm
277
[23] Al-Sabuni Muhammad Ali. 1980. al-Nubuwwah wa al-Anbiya‟, c.
2. T.T.P.: T.P, hlm 157.
[24] Muhammad Abu Zahrah (t.t), Zahrah al-Tafsir, j. 2, hlm
956-959
[25] Surah al-Baqarah ayat 258
[26] Al-Amiri Ahmad al-Barak. 2000. Fiqh Da’wah al-Anbiya‟ fi
al-Qur‟an al-Karim, hlm 200-201
[27] Ibid
[28] Al-Shawkani Muhammad Ibn Ali
Ibn Muhammad (t.t), Fath al-Qadir al-Jami„ bayn Fannay al-Riwayah wa
al-Dirayah min, hlm 277
[29] Muhammad Surur ibn Nayf Zayn al-Abidin. 1984. Manhaj al-Anbiya‟ fi
al-Da„wah Ila Allah, c. 2, hlm 112-113
[30] Surah As-Saaffaat 37:84
[31] Surah Al-'Ankabuut 29:16
[32] Surah Maryam 19:43
[33] Syaikh Mushthafa al-Adawi, Shahih Hadiths Qudsi. 2003. Himpunan
hadiths Qudsi, hlm 12
[34] Hadis riwayat al-Bukhari
[36] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @
Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu
al-azmi, hlm 49-50
[37] Surah Al-'Ankabuut 29:16
[39] Surah Maryam 19: 45
[41] Abdul Ghafar Don, Nurul Nazuha Hazizan & Razaleigh Muhamat @
Kawangit. 2011. Dakwah kepada non-muslim: sorotan pendekatan rasul ulu
al-azmi, hlm 50
[42] Surah Al-An'aam 6:79
[43] Surah Maryam 19: 45
[44] Surah Al-Anbiyaa : 69
[45] Ini disebut di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 58
[46] Johari Yaman. 2009. Kisah para nabi, pengajaran & iktibar
, hlm 264 - 265
[47] Sila rujuk Adz-Dzaariyaat 51:24 - 28
[48] Wahid Haniff & Azrul Ismail. Menyingkap kehebatan nama-nama
Allah disebalik kisah hikmah, hlm 5
[49] Hadis riwayat al- Bukhari
[50] Nabi Yunus a.s, Nabi Salleh a.s adalah antara Nabi yang bukan ulul
azmi yang berhijrah ketika berdakwah kepada kaum masing-masing
[51] Surah al-Anbiya’ 21: 71
terima kasih atas perkongsian artikel ini..
ReplyDeleteNur Farihatussolehah bt Arif Ambia ( GB 02417)
Permulaan yang baik dalam menghebahkan keprihatian kepada kanak-kanak di alam maya. Tahniah!
ReplyDeleteArtikel ini baik untuk perkongsian bersama. Tahniah, teruskan lagi perkongsian bahan-bahan ilmiah seperti ini.
ReplyDeletemohd solehhuddin b.shuid GB02397