Pages

Friday, 13 March 2015

Akidah Islamiyyah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


PENGENALAN

Perkataan akidah dalam Bahasa Arab diambil daripada perkataan aqada (عقد  )yang bermaksud ikatan atau perjanjian. Dari segi istilah pula akidah bermaksud apa yang menjadi tujuan pegangan hati seseorang. Ia merupakan suatu hukum yang tidak mempunyai ruang syak bagi seseorang tersebut dan hukum ini bersifat relatif.

            Hukum yang bersifat begini menjelaskan maksud umum tentang akidah, merangkumi akidah yang sahih dan batil. Bagi sesetengah orang merasakan pegangan mereka adalah betul walhal bagi setengah yang lain pula pegangan demikian adalah salah. Oleh kerana itu akidah yang bersifat relatif adalah batil kerana akidah ini hanya bersumberkan fahaman sendiri dan kecenderungan hawa nafsu. Dalam Bahasa Arab, akidah ini disebutkan dengan aqidah al-sayyi’ahatau aqidah al-batilahdengan maksud akidah yang buruk atau jahat kerana merosakan kefahaman dan amalan tuannya.
            Berbeza dengan Akidah Islamiyyah, ia bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Melalui wahyu Akidah Islamiyyah dijelaskan tanpa memberi sebarang ruang kepada hawa nafsu manusia menghasilkan fahaman sendiri malah memberi pedoman kepada akal mereka memilih fahaman yang baik dan menghindari fahaman yang buruk. Dengan demikian Akidah Islamiyyah disebutkan sebagai aqidah al-hasanah atau aqidah al-sahihah yang bermaksud akidah yang baik atau betul. 

KEDUDUKAN AKAL DALAM AKIDAH ISLAMIYYAH
Merujuk kepada perkara di atas, akal manusia memiliki peranan yang tertentu dalam Akidah Islamiyyah. Peranan yang memberikan hak semulajadi akal dijadikan iaitu fitrahnya mengimbangi amalan berpandukan panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

            Fitrah pengimbangan ini bermaksud menghayati perintah serta larangan Allah SWT dan kemudian melaksanakannya dalam kehidupan seharian. Akal tidak dipertanggungjawabkan dengan tugas menilai kesesuaian kandungan Akidah Islamiyyah kerana kemampuan akal adalah terbatas dan mustahil memikirkan tentang sesuatu yang berkaitan dengan wahyu. Dalam istilah Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah mereka menyebutnya:

شرع الأصول وعقل الفروع
            Yang bermaksud: syariat atau wahyu itu adalah usul manakala akal adalah cabang.
            Bukan sahaja wahyu yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia malah hal-hal yang berkaitan dengan diri mereka juga tidak mampu difikirkan. Mereka tidak mampu memikirkan bagaimana berlakunya gerakan badan mereka walaupun secara teoretikalnya adalah jelas, mereka tidak mampu menjelaskan bagaimana akal mereka berfikir dan sebagainya daripada perkara-perkara metafizik.

            Oleh itu, dalam sudut yang sempurna bagaimana Akidah Islamiyyah memberikan penghormatan kepada akal manusia, tidak membebaninya malah menyelamatkannya daripada kebinasaan dan kebatilan.

ILMU AKIDAH ISLAMIYYAH
Manusia yang dilabelkan al-Quran sebagai makhluk yang sempurna ini diciptakan daripada adunan zahir dan batin atau jasad dan ruh. Memahami ciptaan inilah manusia tidak dianggap sempurna seandainya mereka meninggalkan hak salah satu daripada dua adunan ini. Mereka wajib meraikan kedua-duanya dalam bentuk ta’bud kepada Allah SWT dan untuk meraikan ini, mereka wajib pula mengetahui hakikat kedua-duanya.

Dengan keterbatasan akal manusia mengenal dan seterusnya untuk memahami sesuatu yang bersifat ruhani (metafizik), wahyu diperlukan menjelaskan perkara ini. Akidah Islamiyyah yang datangnya daripada Allah SWT dalam bentuk yang menyeluruh merungkaikan setiap keperluan akal untuk mengenal perkara ruhani ini. Daripada perkara berkaitan dengan Allah SWT sehinggalah ruh manusia sendiri, Akidah Islamiyyah menyediakan jawapan yang jelas lagi memandu akal manusia ke arah ta’bud dan bukan hanya ta’allum (belajar). Justeru ia wajib dipelajari dengan maksud mencapai tujuan kehambaan kepada Allah SWT.

PENGENALAN ILMU AKIDAH ISLAMIYYAH
Umumnya perkataan Akidah Islamiyyah telah merujuk secara jelas kepada permasalahan iman dalam kefahaman Islam. Namun, Akidah Islamiyyah memiliki nama-nama lain berdasarkan lapangan dan peringkat dalam masyarakat Islam. Antara nama-namanya ialah:

1. Al-Fiqh al-Akbar.
Ia bermaksud faham yang paling besar atau yang paling tinggi kerana ia membicarakan tentang qasad iaitu niat atau kefahaman yang berlegar di ruang hati. Niat atau kefahaman ini memberi kesan yang besar kepada amalan, perilaku dan pekerti seseorang, jika niat atau kefahaman ini rosak atau batal maka begitu jugalah amalan dan perilakunya. Amalan dan perilaku ini dinamakan dengan al-Fiqh al-Asghar iaitu faham yang kecil yang menjadi kandungan kepada Ilmu Fekah. Penamaan ini dimasyhurkan oleh Imam Abu Hanifah bin Nu’man r.a.


2. Ilmu al-Tawhid.
Iaitu ilmu yang memperkatakan tentang keesaan Allah SWT. Tawhid bermaksud menyatukan iaitu menghimpunkan sifat-sifat yang sempurna bagi Allah SWT. Sifat-sifat ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sifat al-mutlaq, sifat al-ma’ani dan sifat al-af’al. Dengan himpunan sifat-sifat ini menyucikan Allah daripada sifat-sifat tercela yang dikenali dengan sifat al-mustahil yang menghasilkan sifat al-salbiyyah bagi Allah.

3. Ilmu al-Aqa’id.
Iaitu ilmu yang membahaskan tentang pegangan bagi orang Islam. Ia menghuraikan tentang rukun Iman secara terperinci mengikut manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

4. Ilmu al-Ma’rifah.
Ilmu yang membahaskan tentang pengenalan kepada sifat-sifat Allah SWT dan Rasul a.s. Pengenalan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sifat wajib, harus dan mustahil. Ia juga membahaskan tentang pengenalan kepada hal-hal sam’iyyat iaitu perkara ghaib yang hanya dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah saw seperti syurga, neraka, barzakh, hisab, mizan dan sebagainya.

5. Ilmu al-Kalam.
Ilmu yang membahaskan tentang sifat Kalam Allah iaitu sifat berkata-kataNya. Oleh kerana sifat Kalam ini meliputi perbicaraannya tentang al-Quran maka ia membahaskan sifat-sifat Allah yang lain yang mana dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sifat qadim dan baharu. Setengah ulama usuluddin menerangkan Ilmu al-Kalam diambil daripada kata pengantar ulama dalam memulakan tulisan mereka seperti al-kalam an ma’rifah Allah (perbicaraan tentang mengenal Allah).


SUMBER AKIDAH ISLAMIYYAH
Istimewanya Akidah Islamiyyah dengan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti Fekah, Tafsir dan sebagainya, Akidah Islamiyyah hanya bersumberkan al-Quran al-Karim dan Sunnah Nabi saw yang mutawatir iaitu yang sahih. Bahkan perbahasan-perbahasan Akidah Islamiyyah hanya berlaku pada masa Nabi saw masih hidup dan terhenti setelah baginda wafat. Ia tidak melalui sebarang perkembangan mengikut keadaan atau tempat sebagaimana Fekah yang bersifat urfi(menepati masa) dan zarfi(menepati tempat), yang meraikan adat dan kebiasaan seperti akhlak, yang mempunyai bahagian seperti Tafsir malah tidak melalui proses ijmak mahupun kias dalam konteks penyesuaian. Akidah Islamiyyah bersifat sempurna dan lengkap sebagai sebuah al-Din (agama) sesuai dengan firman Allah SWTL Al Ma idah – 3)


Yang bermaksud:
Pada hari ini Aku sempurnakan agama untuk kamu dan Aku telah lengkapkan nikmat ke atas kamu dan Aku meredhai Islam sebagai agama kamu.
            Islam yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah kesejahteraan yang terhasil daripada penyerahan dengan ikhlas kepada perintah Allah SWT, perintah yang menyeru manusia mengesakanNya. Inilah yang dinamakan dengan tauhid yang menjadi teras agama para nabi Allah bermula daripada Adam a.s sehinggalah Muhammad saw. Demikian Allah SWT menerangkan hal ini dalam al-Quran seperti:
Surah Ali Imran: 83:

A083

Yang bermaksud:
Apakah ada selain daripada agama Allah yang sesuai bagi mereka (sedangkan) semua yang berada di langit dan di bumi menyerahkan kepadaNya samada secara rela dan terpaksa dan kepadaNya mereka kembali.
Penyerahan yang bermaksud menerima keagungan Allah SWT sebagai tuhan yang tidak mampu disaingi oleh sesiapa pun malah akal manusia tidak berupaya mendatangkan hujah menolak keagungan Allah SWT tersebut.
Surah al-Baqarah: 131:

A131

Yang bermaksud:
Tatkala tuhannya berfirman kepadanya (Nabi Ibrahim a.s): Islamlah kamu (serahkanlah diri kamu), berkata (Nabi Ibrahim a.s): aku telah Islam (menyerahkan diri ku) kepada tuhan sekelian alam.
Penyerahan Nabi Ibrahim a.s yang menjelaskan keimanan baginda yang kukuh kepada Allah SWT sebagai pencipta dan pentadbir, penetap dan penentu, penguasa dan pelaksana setiap sesuatu di alam ini.
Surah Ali Imran: 19:

A019

Yang bermaksud:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNyaSesungguhnya agama (yang sebenar) di sisi Allah adalah Islam.
Agama yang dimaksudkan ialah iman yang membawa kesejahteraan. Mafhum ini telah terkandung dalam risalah para nabi Allah sebelum daripada Nabi Muhammad saw bahkan baginda melengkapkan risalah tersebut.
                       
TERAS AKIDAH ISLAMIYYAH
Akidah tauhid atau mengesakan Allah SWT merupakan intipati kepada Akidah Islamiyyah. Akidah ini juga merupakan akidah kesemua para nabi Allah. Hal ini diterangkan sendiri oleh Allah SWT seperti firmanNya:
Surah al-A’raf: 59:

A059

Yang bermaksud:
Dan Kami telah mengutuskan Nuh (a.s) kepada kaumnya, berkatalah (Nuh a.s): wahai kaumku, sembahlah Allah, tiada lagi tuhan untuk kamu semua melainkanNya, sesungguhnya aku bimbang diturunkan ke atas kamu azab pada hari yang sangat dahsyat.




Dalam surah yang sama ayat 65 Allah berfirman:
Yang bermaksud:
Dan untuk kaum Ad (diutuskan) saudara mereka Hud (a.s). Berkata (Hud a.s): wahai kaumku sembahlah Allah, tiada tuhan untuk kamu semua melainkanNya, apakah kamu tidak mahu bertaqwa?
Dalam surah al-Baqarah ayat 133 diterangkan bahawa akidah Nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Ya’kub a.s adalah mengesakan Allah SWT:
A133
Yang bermaksud:
Apakah kamu menjadi saksi ketika saat kewafatan Ya’kub a.s sedang baginda menyebut kepada keturunannya: apa yang kalian akan sembah selepas kewafatan ku? Mereka berkata: kami akan sembah tuhan mu, juga tuhan bapa-bapa mu iaitu Ibrahim, Ismail dan Ishaq (iaitu Allah SWT) sebagai tuhan yang maha esa dan kami menyerahkan diri kami kepadaNya.
            Dengan kebersamaan seruan tauhid oleh para nabi Allah menjelaskan bagaimana tidak pernah berlaku perbezaan dalam agama-agama Allah akan tetapi manusia yang ingkar mengubah agama-agama tersebut demi kepentingan diri sendiri.

SEJARAH AKIDAH ISLAMIYYAH
Konsep terminologi Akidah Islamiyyah dan pembahagiannya tidak dikenali sehinggalah di akhir kurun ke dua Hijrah selepas kemunculan nama-nama tokoh yang besar seperti Imam al-Ghazzali, Imam al-Razi, al-Shahrastani dan sebagainya daripada para ilmuan Usuluddin.


            Di zaman permulaan Islam, Akidah Islamiyyah merujuk kepada perbahasan iman yang terkandung dalam rukun iman. Orang Islam pada ketika ini dikenali dengan gelaran al-sabiqun al-awwalun iaitu golongan awal Islam yang menerima iman dan ibadah daripada Rasulullah saw sendiri. Keyakinan dan kepatuhan mereka melebihi daripada perbahasan dan persoalan, demikianlah Allah memuji mereka:

A002

Yang bermaksud:
Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih serta beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan ia (al-Quran) adalah benar dari sisi tuhan mereka, diampunkan kejahatan mereka dan dibaikkan keadaan mereka. (Muhammad: 2).
            Orang Islam ini juga merupakan golongan pasca jahiliyah yang tidak memiliki sebarang pengetahuan tentang agama-agama terdahulu melainkan hanya menuruti apa yang dianggap baik daripada orang Yahudi dan Nasrani yang tinggal di tempat mereka. Pemikiran mereka boleh dikira sebagai mentah apabila membahaskan tentang ontologi. Oleh yang demikian, apabila mereka memeluk Islam, perbahasan Akidah Islamiyyah yang diutarakan kepada mereka bersifat ringkas dan asas bersesuaian dengan pemikiran dan ilmu pengetahuan mereka. Taqdis atau pengudusan dan tanzih atau penyucian Allah SWT daripada sifat makhluk dan tercela menjadi fokus pendekatan Akidah Islamiyyah pada masa ini.

            Pendekatan Akidah Islamiyyah ini berterusan memberi peranan melahirkan mukmin yang sebenar sebagaimana seruan Islam sehinggalah munculnya zaman pemerintahan monarki yang dimulai dengan daulah Umawiyyah kemudian Abasiyyah dan seterusnya. Pemerintah-pemerintah daulah ini melancarkan pengaruh tertentu demi meraih sokongan dan dokongan rakyat,jelasnya pengaruh tersebut berkisar mengenai akidah. Terdapat dua fahaman yang masyhur pada ketika ini iaitu jabbar yang dianuti oleh mazhab Jabariyyah danqadaryang dianuti oleh mazhab Qadariyyah. Jabariyyah menyeru manusia agar menerima segala takdir yang ditentukan oleh Allah walaupun mereka hidup dalam derita dan sengsara manakala Qadariyyah menyeru manusia agar bertanggungjawab di atas perbuatan mereka walaupun di luar kemampuan. Qadariyyah menafikan Allah menghendaki dan melakukan suatu yang buruk pada hambaNya, justeru manusia pelaku mutlaq setiap yang buruk dan memudharatkan mereka. Hal ini amat bertentangan dengan firman Allah SWT:

A029
            
Yang bermaksud:
Dan Dia (Allah) mengetahui apa yang [ada dan berlaku] di langit dan di bumi, dan Allah ke atas sesuatu [memiliki] kekuasaan. (Ali Imran: 29).
Penafian Allah SWT tidak melakukan keburukan menafikan Dia mengetahui dan kekuasaanNya terhadap keburukan tersebut. Walaupun keterangan ini dilihat kekok oleh akal tetapi hakikatnya mengatasi apa yang dilihatnya.

            Mazhab Jabariyyah dan Qadariyyah berjaya mempengaruhi ramai orang Islam, ini disebabkan oleh dua faktor yang besar.Pertama, kejahilan orang Islam dengan ilmu Islam dan keduanya hujah akliyyahyang digunakan oleh mazhab-mazhab ini dalam menyebarkan fahaman mereka. Samada fahaman Jabariyyah mahupun Qadariyyah keduanya bersifat logik dan sememangnya logik menyenangkan akal walaupun logik itu menyalahi kebenaran.

            Apa yang pasti, kebenaran dalam hal yang dikaburi oleh Jabariyyah dan Qadariyyah ini ialah memutlaqkan penguasaan kudrat dan iradat Allah. Inilah usaha yang dilakukan oleh ilmuwan Islam yang menyedari ancaman Jabariyyah dan Qadariyyah kepada akidah umat Islam.
Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari r.h adalah ilmuwan Islam yang awal mendepani ancaman tersebut. Dengan menyusun iktikad yang sahih berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, mengambil kira tafwidpara Salaf al-soleh dan takwil Khalaf al-a’immah, mengadaptasikan kanun manqul dan ma’qul, beliau telah merujuk kepada Akidah Islamiyyah yang asal dan menjelmakannyadalam bentuk pendekatan yang baharu – pendekatan yang lebih komprehensif dan terperinci – sesuai dengan penerimaan dan pemahaman masyarakat Islam pada ketika itu yang terpengaruh denganakliyyah Jabariyyah dan Qadariyyah.

Di sinilah bermulanya pendekatan baharu dalam memahami Akidah Islamiyyah yang mengimbangi di antara naqli dan akli. Dan apabila kita memerhatikan situasi yang berlaku pada zaman Imam Abu Hasan al-Ash’ari ini, ia terus menerus berlaku pada zaman selepas kematian beliau dan sedang berlangsung di zaman ini malah bertambah runcing dan membimbangkan. Penjelmaan Jabariyyah dan Qadariyyah dalam bentuk maknawi dapat dirasakandalam mempengaruhi masyarakat Islam seluruh dunia. Jenama-jenama fahaman baru seperti liberalisme, pluralisme, kapitalisme, sekularisme, neo-muktazilah dan lain-lain lagi adalah biasan daripada jabbar dan qadar. Oleh itu, pendekatan Akidah Islamiyyah yang didatangkan oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dipraktikkan oleh sekian ulama zaman-berzaman dalam menjelaskan Akidah Islamiyyah. Melihat kepada usaha beliau mengembalikan Akidah Islamiyyah kepada asalnya ini, beliau dan ulama yang mengikut jejaknyaditabalkan sebagai A’immah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.


PERMASALAHAN AKIDAH ISLAMIYYAH
Terdapat tiga permasalahan utama yang dibincangkan dalam Akidah Islamiyyah. Pertamanya ialah berkaitan dengan ketuhanan (ilahiyyat), kedua kenabian (nubuwwah) dan ketiga yang hanya didengari (sam’iyyat).

Ilahiyyat merupakan permasalahan yang berkaitan dengan zat dan sifat Allah SWT. Perbincangan Akidah Islamiyyah terhadap permasalahan ini memfokuskan kepada mengenal Allah SWT, tujuannya ialah untuk menghasilkan iman yang mapan kepadaNya.Nubuwwah pula merupakan permasalahan yang berkaitan dengan ciri-ciri para nabi Allah. Perbincangan Akidah Islamiyyah terhadap permasalahan ini memfokuskan kepada mengenal para nabi, tujuannya ialah untuk menghasilkan iman yang mapan kepada mereka.Sam’iyyat pula merupakan permasalahan yang berkaitan dengan hal-hal ghaib yang tidak diketahui melainkan melalui wahyu Allah SWT seperti ruh, barzakh, syurga, neraka, jin, malaikat dan sebagainya. Perbincangan Akidah Islamiyyah terhadap permasalahan ini memfokuskan kepada mengetahui hal-hal tersebut, tujuannya ialah untuk menghasilkan iman yang mapan kepada hal-hal ghaib.

Tiga permasalahan Akidah Islamiyyah ini akan dihuraikan secara terperinci dalam segmen yang khusus.

ILAHIYYAT
Dalam membicarakan tentang zat dan sifat Allah, ulama Usuluddin telah terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama yang menetapkan Allah hanya memiliki zat tanpa sifat. Mereka adalah ahli falsafah Islam seperti Ibn Farabi, al-Kindi dan Ibn Sina, mereka juga dikenali dengan panggilan Hukama’. Selari dengan pandangan mereka ialah mazhab Muktazilah. Manakalah kumpulan kedua pula menetapkan zat dan sifat bagi Allah. Mereka adalah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah atau Asha’irah dan Maturidiah, mereka juga dikenali dengan panggilan al-sifatiyyah[i].

            Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah melihat bahawa Allah SWT memiliki sifat berpandukan banyak keterangan daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam al-Quran, antara nas yang menunjukkan keterangan sifat ini:

Yang bermaksud:
Tidakkah (Dia) mengetahui setiap ciptaan (Nya), Dialah Maha Lemah-lembut lagi Maha Mendalam IlmuNya. (Al-Mulk: 14).
Tiga sifat yang dinyatakan dalam ayat ini ialah mengetahui, lemah- lembut dan mendalam ilmu pengetahuanNya.
            Di dalam al-Sunnah pula, antara contoh nasnya ialah:
Di saat Nabi saw mendengar Abi ‘Iyyash Zayd bin al-Samit al-Zuraqi r.a berdoa:

أللهم إنى أسئلك بأن لك الحمد، لا إله إلا أنت، يا حنان، يا منان، يا بديع السماوات والأرض، يا ذا الجلال والإكرام.

Yang bermaksud:

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada Mu, demi sesungguhnya segala pujian bagi Mu, tiada tuhan selain Mu. Wahai Yang Maha Mengasihani, wahai Yang Maha Menganugerahi kemuliaan, wahai Yang Maha Menciptakan segala langit dan bumi, wahai yang Maha Memiliki ketinggian dan kemuliaan.

Mendengar doa sahabat ini, Nabi saw bersabda yang bermaksud:
Engkau telah berdoa kepada Allah dengan namaNya Yang Maha Hebat yang mana [sesiapa yang] berdoa dengannya pasti akan dimakbulkan dan [sesiapa yang] meminta dengannya pasti akan diberikan[ii].
Daripada hadis ini difahami bahawa Allah bersifat dengan sifat Maha Mengasihani, Maha Menganugerahi, Pencipta dan Maha Mulia.
            Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah melihat begini kerana memahami bahawa zat Allah dan sifatNya adalah berbeza dari sudut fungsi dan pengertiannya. Hamba hanya mampu mengenal Allah melalui sifatNya tanpa zatNya. Ini ditegaskan dalam al-Quran sendiri:
Yang bermaksud:
Tidak (mampu) sebarang penglihatan mencapaiNya (zat Allah) Dialah yang mampu mencapai penglihatan, Dialah Yang Maha Lemah-lembut lagi Maha Mendalam IlmuNya. (Al-An’am: 103).
Tidakkah janggal jika Allah menyuruh kita mengenalNya tetapi mengenaliNya itu mustahil? Jelasnya mengenaliNya melalui sifatNya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
Fikirkanlah [tentang keagungan Allah] pada ciptaanNya dan jangan kamu fikirkan tentang [zat]Nya Yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi [iii]...
            Pesanan yang menyarankan kita mengenali Allah melalui penciptaan makhlukNya iaitu dengan merenungi sifat menciptaNya yang menunjukkan kehebatan zatNya. KehebatanNya mencipta yang menggambarkan Dia juga bersifat menguasai, mentadbir, mengetahui dan selainnya daripada sifat-sifat yang agung bagiNya. Dengan kata lain, oleh kerana mustahil mengenali Allah secara zat maka Dia dikenali melalui sifatNya.


SIFAT ALLAH
Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah membahagikan sifat Allah mengikut panduan nas wahyu dan pembuktian akal kepada 4 bahagian.
i. Sifat Mutlaq atau Sifat Zat
ii. Sifat Ma’aniyyah (sifat makna)
iii. Sifat Salbiyah (sifat negatif)
iv. Sifat Af’aliyyah (sifat perbuatan)
            Dijelaskan setiap bahagian sifat di atas sebagaimana berikut.

Sifat Mutlaq atau Sifat Zat
Sifat ini merujuk kepada sifat wujud Allah SWT. Dia disifatkan wujud tanpa permulaan, tanpa sebab atau proses tertentu, tanpa tempat dan masa, tanpa tujuan, tanpa suruhan, tanpa panduan, tanpa ketetapan, tanpa ciptaan maka kewujudannya berbeza dengan kewujudan makhluk yang mempunyai setiap perkara di atas tadi. Sungguhpun mereka juga wujud tetapi kewujudan mereka mengalami perubahan iaitu tiada kepada ada, kuat kepada lemah, hidup kepada mati, kewujudan begini bersifat mungkin (mumkin). Berbeza dengan kewujudan Allah, Dia tidak mengalami sebarang perubahan maka kewujudanNya adalah wajib (wajib al-wujud).

Sifat Ma’aniyyah
Sifat ini merujuk kepada makna wujud Allah SWT. Menyifatkan Allah wujud sahaja masih lagi tidak melengkapkan kesempurnaan (kamal) bagi Allah SWT. Memahami Allah wujud juga memahami Allah Maha Hidup (حى), Maha Berkuasa(قدرة) , Maha Berkehendak(إرادة) , Maha Mengetahui(علم) , Maha Melihat(بصر) , Maha Mendengar(سمع) dan Maha Berkata-kata(كلام) . Inilah tujuh Sifat Ma’aniyyah atau sifat makna yang difahami daripada sifat wujud Allah SWT. Tujuh sifat ini masyhur di sisi mazhab Asya’irah dengan sebutan sifat tambahan ke atas zat (sifat al-za’idah ala al-dhat). Dengan Sifat Ma’aniyyah ini Allah SWT disifatkan Maha Wujud dengan sifat-sifat yang sempurna dan terhindar daripada kecelaan yang masih boleh disifatkan kepada makhluk. Mereka juga wujud tetapi tidak selamat daripada mati, lemah, dipaksa, jahil, buta, pekak dan bisu.

SifatSalbiyah
Sifat ini merujuk kepada kekurangan yang ada pada makhluk yang boleh dijadikan bandingan pada sifat Allah demi menghasilkan kesempurnaan sifatNya. Samada nas wahyu atau akal yang meneiliti bandingan sifat ini, tujuannya adalah untuk membezakan Allah SWT daripada makhluk demi menyifatkannya dengan kesempurnaan. Makhluk disifatkan baharu (حديث) iaitu wujud dalam lingkaran waktu yang tertentu maka wajib Allah bersifat qadim (قدم) iaitu wujud tanpa lingkaran waktu. Makhluk bersifat binasa (فناء)maka wajib Allah bersifat kekal (بقاء) iaitu tidak binasa sedikit pun. Makhluk bersifat menumpang (محتاج للحوادث) iaitu berhajat kepada setiap yang baharu samada dalam masa hidup atau mati maka wajib Allah bersifat dengan menyalahi perkara baharu (مخالفته للحوادث) iaitu tidak berhajat kepada sebarang perkara baharu bahkan Dialah yang menjadikannya. Makhluk tidak memiliki sebarang kuasa untuk melakukan sesuatu (قيامه بغيره) samada dalam urusan diri sendiri atau orang lain maka wajib Allah bersifat berkuasa dengan diriNya sendiri (قيامه بنفسه) tanpa mengharapkan bantuan makhlukNya. Makhluk berbilang-bilang (كثرتية) samada dari segi jenis atau bangsanya maka wajib Allah bersifat dengan tunggal (وحدانية) tanpa jenis dan bangsa. Dia tunggal samada dari segi zat, sifat dan perbuatanNya.


Sifat Af’aliyyah
Sifat ini merujuk kepada keterangan wahyu mengenai perbuatan Allah SWT. Perbuatan ini difahami daripada kaitannya dengan makhluk seperti sifat menghidupkan (محي) mematikan (مميت), memberi rezeki (رزاّق), mencipta (خالق), meluaskan (باسط), menggenggam (قابض) dan sebagainya.Sifat ini menerangkan Allah berkaitan dengan makhluk samada dalam masa baharu ataupun masa azali.

Kesimpulan tentang sifat Allah
            Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah melihat perbincangan tentang sifat Allah adalah untuk menjadikan orang Islam mengenaliNya sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah saw. Pengenalan ini bertujuan untuk menghasilkan keimanan yang telus kepada Allah dalam erti kata mentauhidkanNya. Pentauhidan dari segi lafaz dan maknawi iaitu menyebut dan memahami kesempurnaan Allah yang terhindar daripada kesyirikan, tajsim, hulul dan tasybih. Demikianlah tauhid ini dicerap ke dalam pembahagian sifat di sisi mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

            Pembahagian sifat Allah ini bukanlah rekaan akal semata-mata tetapi ia berlandaskan pedoman daripada al-Quran dan al-Sunnah. Menghayati prinsip Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang mendokong wahyu dan menghormati akal, pembahagian sifat Allah ini bertujuan memudahkan orang Islam mengenal Allah SWT. MengenaliNya bukan hanya sebagai tuhan yang disembah malah sebagai pencipta yang memiliki kesempurnaan dan mampu menjadikan hamba dekat serta mengharapkanNya.

            Selain daripada pembahagian sifat Allah ini kepada 4 bahagian, sifat-sifat yang dinyatakan di atas juga dirangkumkan menjadi satu bahagian yang dikenali dengan sifat wajib bagi Allah. Ia adalah sifat 20 yang diadaptasi daripada 3 bahagian sifat Allah di atas iaitu Sifat Zat, Sifat Ma’aniyyah dan Sifat Salbiyyah, di tambah dengan Sifat Maknawiyyah iaitu sifat terbitan daripada Sifat Ma’aniyyah sepertiqadiran, muridan, aliman, hayyan, sami’an, basiran dan mutakaliman.

Sifat Allah di sisi ulama Islam yang lain
Di sisi Ibn Taymiyyah al-harani pembahagian sifat Allah juga terbahagi kepada 3 bahagian. Beliau menyebutnya sebagai Tawhid Rububiyyah, Tawhid Uluhiyyah dan Tawhid Asma’ wa al-Sifat.







[i]Di sini tidak akan dihuraikan secara lebih lanjut perbicaraan kumpulan yang pertama memandangkannya rumit dan memerlukan kupasan yang lebih terperinci. Semoga Allah SWT memberi peluang kepada kita semua mendalaminya pada masa yang lain.
[ii]   Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad, Ibn Majah dalam Sunan beliau daripada Anas bin Malik r.a. Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud dalam Sunan beliau, Ibn Hibban dalam Sahih, al-Nassa’i dalam Sunan beliau dan al-Hakim dalam Mustadrak. Keempat-empat rawi ini menambah: Ya Hayyu Ya Qayyum dan al-Hakim menambah pada riwayat lain oleh beliau: as’aluka al-Jannah wa a`uzu bika min al-Nar. Beliau berkata: hadith ini sahih di atas syarat Muslim. Syakh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi (1997), Hayah al-Sahabah, j. 3, Kaherah: Dar al-Salam, h. 1780.
[iii]   Diriwiyatkan oleh al-Dhubaydi dalam al-Athaf, al-Muttaqi dalam al-Kanz, al-`Iraqi dalam al-Mughni dan al-‘Ajluni dalam al-Kashf. Lihat Imam Abu al-Hasan `Ali bin Isma`il al-Ash`ari (t.t), Al-Ibanah `an Usul al-Diyanah: ta`liq `Abd Allah Mahmud Muhammad `Umar, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, h. 49.

No comments:

Post a Comment