Pages

Saturday, 21 December 2013

Wanita Dan Undang-Undang

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


1.0              Pengenalan


Wanita adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan dengan fitrahnya tersendiri. Wanita berbeza dengan lelaki bukan sahaja dari segi fizikal tetapi dari segi emosi. Wanita suka pada hiasan, sama ada hiasan rumah atau hiasan diri dan kepada keindahan dan keselesaan. Di atas sifat kewanitaan inilah wanita di Malaysia telah berjaya membangunkan diri menjadi wanita terpelajar, berkarier, menjadi ibu dan isteri yang berjaya. Pada keseluruhannya kebanyakan wanita hari ini bekerja sepenuh masa tanpa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. [1]

Walau apapun pangkat, jawatan atau kelulusan seseorang wanita, secara amnya wanita hari ini masih kurang pengetahuan mengenai haknya di sisi undang-undang. Ramai wanita mengalami masalah di tempat kerja, di rumah dengan keluarga atau suami dan juga dengan jiran tetangga, persekitaran; tetapi kebanyakan masalah ini dibiarkan berlarutan atau dipendamkan begitu sahaja. Kebanyakan wanita kerana sifat kewanitaannya lebih kerap sanggup menangung derita dari membuka pekung di dada.[2]

Perkataan “hak” asalnya ialah dipetik dari perkataan Arab yang digunapakai di dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Arab hak disebut ‘haq’ (حق). Kamus Dewan menyebut antara maksud perkataan hak ialah  ‘kuasa atas sesuatu, atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain).[3] Dalam bahasa Arab, Haq mempunyai banyak maksud, antaranya apa yang disebut oleh Ibn Manzur (meninggal dunia 711H) sebagai “Sesuatu yang dikhususkan atau sesuatu yang menjadi bahagian yang mesti diberi kepada seseorang”. Bertitik tolak daripada maksud haq dari segi bahasa, maka para fuqaha menyebut perkataan haq ini kepada “sesuatu yang sabit dengan hukum dan pengakuan syarak, di atas sebab itu, maka ia dilindungi”.

“Hak wanita” bermaksud wanita mempunyai keistemewaan di dalam undang-undang, yang ianya merangkumi berbagai perkara (yang akan dipantau). Termasuklah hak sedari kecil hinggalah kepada penghujungnya. Malah ianya perlu dijaga dan serahkan kepada mereka. [4]

Kenapa perlu dijaga? Selalu ditimbulkan isu ‘wanita dan hak’, apakah kaum lelaki tidak ada hak? Ataupun hak lelaki sudah terjamin di sisi undang-undang? Ianya menjadi persoalan apakah ianya sebegitu sukar untuk dimiliki? Apakah tiada satu aturan bagi memudahkan permilihan hak-hak tersebut? Malah ianya dilihat seolah-olah satu isu yang agak sama (akan dilihat di bawah ini). Oleh kerana itu, sayugialah setiap wanita mengetahui hak-haknya bagi memudahkan setiap perbuatannya, apatah lagi dalam membuat tuntutan terhadap hak-haknya. Ianya tidak akan berbangkit jika tidak dijadikan masalah, dan masalah ini bukanlah satu perkara yang dipinta. Oleh kerana ianya satu keadaan yang tidak diketahui mungkib atau tidak berlaku kepada kita, maka perlulah ianya diambil tahu bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan terhadap hak-hak kita.

Antara peranan utama pemerintah ialah menekankan betapa pentingnya pemeliharaan terhadap hak golongan minoriti dan wanita. Golongan wanita di Malaysia telah mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki sama ada dari segi peluang pekerjaan, dalam bidang ekonomi, pemilikan harta, hak bersuara dan sebagainya. Pendek kata, golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap “istemewa” berbanding golongan wanita di negara-negara lain. Golongan wanita di Malaysia tidak didiskriminasikan dan mendapat hak yang sama dengan lelaki. Malah kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa menjelang 2020, 30% daripada pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita. Kerajaan juga telah menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di Malaysia. [5]

Hak-hak wanita yang termaktub dalam undang-undang sivil dan syariah yang ada di negara kita pada hari ini adalah cukup luas dan menyeluruh untuk membela dan menjamin hak-hak wanita. Namun, ramai kaum wanita tidak sedar dan tidak tahu kewujudan hak-hak tersebut. Disebabkan kurangnya pengetahuan ini maka kaum wanita seringkali keliru dan buntu apabila berhadapan dengan masalah dan menyalahkan undang-undang kerana menyangka bahawa undang-undang tidak dapat membela nasib mereka. Salah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan mengadakan seminar yang mana ianya boleh memberi kesedaran kepada kaum wanita khususnya dan masyarakat amnya berhubung dengan hak-hak wanita. Seperkara yang menjadi masalah dan merugikan kaum wanita adalah kurangnya pengetahuan berhubung dengan prosedur dan cara-cara untuk memperolehi hak tersebut. Adalah tidak memadai dan menjadi satu perkara yang sia-sia jika kita mengetahui akan hak kita tetapi tidak tahu bagaimanakah caranya dan kepada siapakah kita perlu merujuk untuk mendapatkan hak tersebut. [6]


2.0              Rasulluah SAW Pembela Agung Hak Wanita[7]
Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa Rasulullah SAW adalah pembela agung wanita. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jika pun ada pembelaan, hak kaum wanita adalah atas ehsan dan simpati lelaki semata-mata. Malah dalam sesetengah masyarakat menganggap wanita adalah sial dan berstatus rendah di dalam strata masyarakat.

Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya akan dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya daripada lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambing syaitan.

Sementara itu, masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu adalah lebih dahsyat lagi. Mereka membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut:

 “…Historically, Islam had been bery liberal and progressive in granting property rights to women. It is a fact that there were no property rights given to Hindu wowen until 1956, when the Hindu Code Bill was passed, whereas Islam hand granterd these rights to Muslim woen over 1400 years ago.”

Namun kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah rahmat bagi wanita. Hadith-hadith Baginda SAW membela dan mempertahankan hak mereka. Kehadiran hadith-hadith ini mengembalikan kedudukan wanita dan membuang tanggapan bahawa kaum wanita adalah golongan membawa sial, punca maksiat dan membawa bencana dalam masyarakat.

Umpamanya hadith-hadith Baginda SAW melarang orang Arab membunuh anak perempuan. Antaranya Baginda SAW menyebut:

 عَنْ اَلْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ اَلْنَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إنَّ اللهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ اَلأُ مَّهَا تِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُم قِيلَ وَقَالَ وكَثْرَةَ اَلْسُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ اَلْمَالِ

Maksudnya: Daripada al-Mughirah bin Syu’bah katanya: Sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu penderhakaan terhadap ibu, menanam (membunuh) anak perempuan, menghalang dan meminta, Allah tidak menyukai kamu bercakap banyak, banyak bertanya dan menghilangkan harta”.

Bahkan Baginda SAW menyuruh agar anak-anak perempuan dikasihi dan dilakukan kebaikan terhadap mereka. Sabda Nabi Muhammad SAW:

عَنْ عُرْةْ بْنَ اَلْزُّبَيْرِ: أَنَّ عَائِشَةَ زَوْجَ اَلْنَّبِيِّ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَتْهُ قَالَتْ جَاءَتْنِي اَمْرَأَةٌ مَعَهَا اَبْنَتَانِ تَسْأَلُنِي فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي غَيْرَ تَمْرَةٍ وَاحِدَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ اَبْنَتَيْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَ جَتْ فَدَخَلَ اَْنَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَحَدَّثْتُهُ فَقَالَ مَنْ يَلِي مِنْ هَذِهِ اَلْبَنَاتِ شَيْأً فَأَحْسَنَ إلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ اَلْنَّارِ

Maksudnya: Daripada ‘Urwah bin al-Zubair bahawa ‘Aisyah isteri Nabi SAW menceritakan kepadanya, katanya ‘Aisyah : “Telah datang kepadaku wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji kurma. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua-dua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar.”  Apabila Nabi SAW masuk, aku menceritakan kepadanya, lalu Baginda bersabda : “Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melalukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya.”


2.1              Pendekatan Sunnah Dalam Mempertahankan Hak Wanita[8]
Penelitian terhadap hadith-hadith Nabi SAW mendapati bahawa Baginda SAW dalam mempertahankan dan membela hak wanita menggunakan berbagai-bagai pendekatan. Kesemua pendekatan membawa kepada tujuan membela dan memelihara hak-hak kaum wanita. Di sini dinyatakan bentuk-bentuk pendekatan Nabi SAW dalam menghuraikan maksud ini:

                                                        i.            Melarang Kaum Lelaki Mengganggu Hak Wanita Untuk Ke Masjid
Perkara ini dijelaskan melalui hadith Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ اَلْمَسَاجِدَ إِذَا اَسْتَأْ ذَنَّكُمْ

Maksudnya: ‘Abd Allah bin Umar, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu halang wanita-wanita kamu ke masjid-masjid apabila mereka meminta keizinan kamu”.

Indahnya syiar Islam bahawa berjemaah di masjid adalah diizinkan untuk kaum wanita mendirikan solat secara berjemaah. Walaupun terdapat hadith yang mengatakan bahawa wanita lebih patut mengutamakan solat dirumah mereka sendiri. Namun, bersolat di masjid adalah hak mereka. Justeru, Rasulullah SAW melarang kaum lelaki daripada menggangu hak tersebut.


                                                      ii.            Memberi Amaran Keras Terhadap Suami Yang Tidak Berlaku Adil Kepada Isteri-Isterinya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ اَلْنَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ لَهُ امْرَ أَتَانِ يَمِيلُ لِاحْدَا هُمَا عَلَى الأُ خْرَى جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَذُ شِقَّيْهِ مَائِلٌ (أو ساقط)

Daripada Abu Hurairah r.a : Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia condong (berat sebelah) kepada salah seorang melebihi yang lain, maka dia datang pada hari kiamat dalam keadaan bahunya senget (dalam riwayat lain, bahunya jatuh).

Hadith ini memberi amaran kepada suami yang berpologami tetapi tidak menunaikan hak isteri-isterinya dalam memperolehi keadilan dan kesaksamaan. Ketidakadilan suami di dunia akan membawa kerugian di akhirat kelak. Keadilan hak di antara isteri tidak mengira umur, kecantikan, pangkat dan kedudukan.


                                                    iii.            Membuka Ruang Dan Peluang Kepada Kaum Wanita
Antara pendekatan yang diambil dalam hadith-hadith Nabi SAW dalam meninggikan nilai dan hak wanita ialah mengizinkan kaum wanita ini untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang tertentu sehingga terbukti peranan mereka. Dengan itu, maka hak penglibatan mereka dalam masyarakat akan diiktiraf dengan sendirinya. Antaranya Baginda SAW memberi peluang kepada kaum wanita untuk terlibat memberi rawatan di medan perang.

 عَنْ اَلْرُّبَيِّعِ بِنْتِ مُعَوِّذٍ قَالَتْ كُنَّا نَغْزُو مَعَ اَلْنَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَسْقِي اَلْقَوْمَ وَنَحْدُ مُهُمْ وَنَرُدُّ اَلْجَرْحَى وَاَلْقَتْلَى إِلَى اَلْمَدِينَةِ

Maksudnya: Daripada Rubaiyi’ binti Mu’awwidz, katanya: “Kami (kaum wanita) berperang bersama dengan Nabi SAW, kami memberi minum kepada tentera, berkhidmat untuk mereka dan membawa mereka yang cedera dan mati pulang ke Madinah.


3.0              Hak-Hak Wanita Dalam Aspek Undang-Undang Keluarga

Di Malaysia, hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas di dalam Undang-Undang Kekeluargaan Islam setiap negeri. Tujuan perundangan ini diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya golongan ini mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan hukum syarak. Hak-hak wanita yang termaktub di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam ialah:



a.      Hak Untuk Berkahwin
Enakmen Undang-Undang Kekeluargaan Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa hak seseorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu:

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh di akad nikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi pasangan berkahwin pada umur yang muda. Namun ia bertujuan untuk memastikan setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan. Jelas, dengan peruntukkan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes perceraiaan dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.


b.      Hak Untuk Mendapatkan Mas Kahwin
Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar terhadapnya  masa akad nikah dijalankan, bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan. Jika suami masih berhutang, maka wajib bagi suami utk menjelaskan hutang mas kahwin tersebut.  

Di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 21 dan Seksyen 59, menyebut tentang mas kahwin dan hak-hak wanita ke atasnya. Hak seseorang wanita terhadap mas kahwin tidak akan terjejas apabila perkahwinannya dibubarkan.

c.       Hak Mendapat Nafkah
Seksyen 60 hingga 72 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah tentang nafkah. Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya melainkan jika wanita tersebut nusyuz. Hak –hak tersebut:

§  Makan minum (sekurang-kurangnya 2 kali sehari)
§  Tempat tinggal (tempat kediaman yang mampu suami sediakan)
§  Pakaian (sekurang-kurangnya 2 helai setahun)
§  Perubatan
§  Keselamatan


d.      Hak Dalam Poligami
Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 23(1) telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat perlindungan daripada suami yang berpoligami. Dalam konteks ini, Akta ini telah menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah berbuat demikian. Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih di dalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.

Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi, maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1,000.00 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Selain dari itu, Mahkamah juga perlu berpuas hati tentang lima perkara sebelum kebenaran diberikan iaitu:

                                                        i.            Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandangkan kepada hal-hal keadaan yang berikut, iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

                                                      ii.            Bahawa permohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak, semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

                                                    iii.            Bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut hukum syarak;

                                                    iv.            Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ (kemudaratan) kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan;

                                                      v.            Peruntukkan tentang poligami dalam Undang-Undang Keluarga Islam jelas memberi satu bentuk keadilan dan segala perlindungan kepada kaum wanita di mana ia memberi segala hak dan kepentingan isteri yang sedia ada terjamin dan tidak tertindas. Contohnya, isteri yang sedia ada akan diserahkan satu salinan permohonan dan akuan berkanun bersama (dengan iaitu untuk hadir ke mahkamah) kepada mereka sebagai makluman awal sebelum permohonan poligami dibuat. Semua peruntukkan ini dibuat bukanlah bertujuan untuk menghapuskan terus poligami yang dibenarkan oleh Islam, tetapi ianya di adakan agar tujuan poligami sebenar tidak disalahgunakan disamping untuk mengelakkan diskriminasi terhadap kaum wanita.

  
e.       Hak Menuntut Cerai Secara Khulu’ (Tebus Talak)
Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’s atau tebus talak bagi membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah diputuskan oleh mahkamah seperti mana diperuntukkan dalam subseksyen 49(1) :

“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan talak, mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus latak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sugra atau tidak boleh dirujuk’kan.”

f.       Hak Menuntut Cerai Secara Ta’liq (Aku Janji)
Hak untuk mendapatkan perceraian di bawah takliq atau janji seperti mana diperuntukkan di bawah seksyen 50(1):

“Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku”.

g.      Hak Cerai Melalui Fasakh
Hak untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika terdapat satu atau lebih daripada alasan-alasan munasabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 53. Antara yang alasan-alasan tersebut ialah:

§  Suami meninggalkan isteri selama 1 tahun
§  Suami tidak menunaikan nafkah batin selama 1 tahun
§  Suami tidak menunaikan nafkah zahir selama 4 bulan berturut-turut
§  Suami gila atau hilang ingatan
§  Suami mendera mental dan fizikal isteri
§  Suami meringkuk di dalam penjara atau pusat serenti


h.      Hak Untuk Nafkah Iddah
Hak terhadap nafkah iddah di mana seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah iddah yang diberi oleh bekas suaminya sepanjang tempoh iddah. Dalam seksyen 60(1) menyatakan :

“Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.”

i.        Hak Untuk Tempat Tinggal
Hak untuk mendapatkan tempat tinggal sebagaimana diperuntukkan dalam sesyen 72(1):

“Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal dirumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.”

j.        Hak Keutamaan Hadhanah (Hak Penjagaan Anak)
Ini adalah bagi menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut seperti yang ternukil dalam seksyen 82(1):

“Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”

Bagi menerangkan seksyen 83 di atas, ibu berhak mendapat hak penjagaan bagi anak lelaki ialah jika anak lelaki tersebut berumur 7 tahun ke bawah dan anak perempuan pula jika anak perempuan tersebut berumur 9 tahun ke bawah.

Bagi anak-anak yang berumur lebih dari umur yang tertera di atas, anak-anak adalah diberi pilihan dan bebas untuk memilih dengan siapakah mereka ingin tinggal bersama, sama ada dengan ibu ataupun dengan bapa mereka.
Namun begitu, seksyen 83 ini menerangkan lagi bahawa hak penjagaan ibu akan gugur sekiranya si ibu tadi, antaranya ialah:

§  Murtad
§  Berkelakuan keji
§  Berkahwin semula dengan lelaki yang dilarang
§  Gila
§  Dipenjarakan atau ditahan di pusat pemulihan
§  Tidak mampu untuk memelihara dan mendidik anak dengan baik


k.      Hak Penjagaan Anak Tidak Sah Taraf
Seksyen 86 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa hak penjagaan ke atas kanak-kanak tidak sah taraf adalah semata-mata kepada ibu dan ibu saudara-mara ibu.  Hak penjagaan ibu adalah gugur jika si ibu tadi mempunyai kriteria yang sama seperti yang ditertera di (j).

l.        Hak Permohonan Isteri Yang Ditinggalkan Langsung
Seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluatrga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan bahawa:

“Jika seseorang tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh hukum syarak, isteri itu boleh kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.”

Seksyen 127 Enakmen yang sama juga menyatakan supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

m.    Perintah Tegahan
Seksyen 107 memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan mana-mana orang menahan dirinya dari menganggu atau menceroboh dengan apa-apa cara sekalipun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.

n.      Hak Isteri Jika Dianiaya Suami
Seksyen 128 menyebut bahawa suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 128 ini adalah terpakai untuk kedua-dua suami isteri bagi melindungi institusi kekeluargaan Islam.

o.      Hak Jika Tidak Mendapat Keadilan Sewajarnya
Jika seseorang tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut hukum syarak, seksyen 129 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menjadikannya suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara tiadk melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Rumusan untuk bab 3.0 ini ialah, walaupun terdapat banyak hak-hak wanita dilindungi oleh undang-undang, golongan wanita juga turut ditegah daripada melakukan sebarang perkara mengikut kehendak dan sesuka hati mereka sahaja. Ini jelas ditunjukkan di dalam beberapa seksyen yang terdapat di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Umpamanya seksyen 60 menyatakan bahawa isteri tidak berhak mendapat nafkah jika nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.





4.0       Hak Wanita Dalam Peruntukkan Undang-Undang Sivil

Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Perseketuan. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa:

“Semua orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata disisi undang-undang.”

Jelas Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama, bangsa dan jantina seseorang. Martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah. Tetapi perlu diingat bahawa Undang-Undang Sivil tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan. Apa yang penting menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunasnya.

4.1       Statut/Akta

Berikut adalah beberapa undang-undang sivil yang telah digazetkan dan diluluskan oleh Parlimen mengenai perlindungan wanita. Namun secara praktisnya undang-undang sivil ini diguna pakai untuk wanita yang bukan beragama Islam. Antaranya ialah seperti berikut:

                                                        i.            Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Perceraian), 1976
                                                      ii.            Akta Perempuan Bersuami, 1957
                                                    iii.            Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Nafkah), 1950
                                                    iv.            Akta Penjagaan Anak, 1961
                                                      v.            Akta Anak Angkat, 1952
                                                    vi.            Akta Kesahtarafan Anak, 1971
                                                  vii.            Akta Kerja, 1955


4.2       Undang-Undang Jenayah

Golongan wanita juga adalah dilindungi sebagaimana termaktub di dalam undang-undang jenayah di Malaysia. Antaranya ialah:

                                                          i.            Bunuh dan cedera
                                                        ii.            Gugurkan anak
                                                      iii.            Rogol (telah dipinda) termasuklah kes-kes rogol di dalam perkahwinan
                                                      iv.            Sumbang mahram
                                                        v.            Cabul kehormatan
                                                      vi.            Gangguan seksual

a.       Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan di mana adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu:

“….mengaibkan kehormatan seseorang dengan menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau menunjukkan apa-apa benda…”

b.      Seksyen 364 Kanun Keseksaan menyatakan:

“Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatannya.”

c.       Kod-Kod Amalan Bagi Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual Di Tempat Kerja





5.0       Kesimpulan

Secara ringkasnya ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu kelebihan dan menjaga kedudukan wanita sebagai seorang isteri dalam perkahwinan. Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam, diharapkan bahawa kaum wanita dapat berfikir dengan bijak dalam menentukan hak-hak mereka supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin. Sesungguhnya Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah. Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi hak kepada wanita. Kaum wanita perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan mereka sebagai seorang wanita. Walau apapun hak yang cuba ditegakkan atas alasan hak asasi manusia, ianya tidak boleh sama sekali melanggar hukum syarak yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kesimpulannya, hak-hak dan perlindungan ke atas wanita di Malaysia melalui proses perubahan sehingga kini iaitu:

§  Hak wanita Islam telah sedia termaktub di dalam Al-Quran dan diperjelaskan melalui hadith-hadith Nabi SAW
§  Dalam proses tersebut wanita bukan Islam mendapat pembelaan dari undang-undang sivil dan lain-lain badan
§  Proses menjadikan hak wanita undang-undang bertulis adalah satu usaha berterusan yang meningkatkan martabat kaum wanita itu sendiri
§  Undang-undang mampu membela hak wanita, namun yang lebih penting ialah penguatkuasaanya.






6.0       Rujukan


1.      Akram Diya' Al-`Umari, terj. Zainab Abdul Kadir, 2000. Masyarakat Madani Di Zaman Nabi, Kuala Lumpur; The International Institute of Islamic Thought Malaysia dan Thinker's Library Sdn Bhd.

2.      Fadhilay Asy-Syeihk Atiyah Saqar, Membentuk Keluarga Muslim Jilid 1, Jasmin Enterprise, 2005, Kuala Lumpur

3.      Haji Said bin Ibrahim [Bekas Mufti Negeri Sabah], 400 Soaljawab Nikah Kahwin, Darul Ma’rifah, 2001, Selangor

4.      Ibnu Taimiyah Majmu Fatawa tentang Nikah, [Peterjermah: Abu Fahmi Huadi Lc & Syamsuri An Naba Lc], Penerbit Buku Islam Rahmatan, 2002, Jakarta

5.      Ibnu Al-Qayyim, Zad Al-Ma’ad, Jilid 3, Percetakan Al-Matva’ah Al-Asriyyah

6.      Imam Al-Ghazali, Panduan Hidup Bahagia – Nikmatnya Alam Berumahtangga, [Diterjemah oleh: Muhammad bin Abd. Latif], Al-Hidayah Publications, 2010, Kuala Lumpur

7.      Md. Hashim bin Yahya, Kebahagian Rumahtangga Muslim, Dewan Bahasa Pustaka, 1986, Kuala Lumpur

8.      Shahih Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 2, Pustaka Ibnu Kathir, Cetakan Ke-4, 2010, Jakarta, Indonesia

9.      Sunan Abi Daud, Kitab Nikah - Bab 3, [Penterjemah Ustaz Bey Arifin dkk], Semarang, 1993




[1] Prof Madya Datin Noor Azizah Haji Mohd Awal, Pembelaan Hak Wanita Melalui Undang-Undang di Malaysia, Fakulti Undang-Undang, UKM
[2] Ibid
[3] Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Pembelaan Hak-Hak Wanita Dalah Hadith-Hadith Nabi s.a.w dan Keseimbangannya. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Nasional: Hak Asasi Manusia & Hak Wanita Dalam Islam
[5] Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim. Hak-hak Wanita Dalam Islam : Satu Sorotan Terhadap Perundangan Keluarga Islam di Malaysia. Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian Islam, UM
[6] Teks Ucapan Perasmian Brig. Jen. Prof Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj. Apom. Naib Cancelor UMS, merangkap penaung Seminar Hak Asasi Wanita 2010.
[7] Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin. Pembelaan Hak-Hak Wanita Dalam Hadith-Hadith Nabi SAW dan Keseimbangannya. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Nasional : Hak Asasi Manusia & Hak Wanita Dalam Islam
[8] Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin. Pembelaan Hak–Hak Wanita Dalam Hadith-Hadith Nabi SAW dan Keseimbangannya. Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Nasional : Hak Asasi Manusia & Hak Wanita Dalam Islam

No comments:

Post a Comment