Pages

Sunday, 27 October 2013

Tadabbur Hadith : Kepentingan Tawakkal

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين




عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم:
(( لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا )).
 ]رواه أحمد والترمذي والنسائي وابن ماجه وابن حبان والحاكم, قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ [

Daripada ‘Umar bin Al-Khattab RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Jikalau sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana seekor burung diberi rezeki. Ia pergi pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” [Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim, Kata Abu ‘Isa: Hadith Hasan Sahih]

Pengajaran hadith:
1.      Hadith ini adalah asas kepada sifat tawakkal, dan sesungguhnya  ia merupakan sebab yang paling utama untuk dikurniakan rezeki pada seseorang hamba. Firman Allah Ta’ala: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan memberikan padanya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), barangsiapa yang berserah diri bulat-bulat (bertawakkal) kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” [Al-Talak, ayat 2-3]

Dari Jabir bin Abdullah Ayat ini (di atas)  turun ke atas  A’uf bin Malik Al-Asyja’i. Beliau telah mengadu kepada Rasulullah bahawa anak lelakinya telah di tawan oleh orang musyrikin dan isterinya bersedih, lalu ia bertanya: Apakah yang patut dia lakukan? Jawab baginda: Bertaqwa dan bersabarlah dan aku perintahkan engkau dan isteri engkau agar selalu membaca :  لا حول ولا قوة إلا بالله. Lalu ia pulang kerumahnya dan berkata kepada isterinya: Rasulullah SAW telah menyuruh aku dan engkau memperbanyakkan ucapan لا حول ولا قوة إلا بالله   . Isterinya berkata: Itulah sebaik-baik apa yang diperintahkan kepada kita. Lalu kedua-duanya selalu mengucapkan zikir tersebut sehinggalah musuh melupai anaknya. Akhirnya anaknya pulang ke pangkuan ibubapanya. Maka setelah itu turunlah ayat ini (di atas).


2.      Kata Al-Qurtubiy: Nabi SAW telah membacakan ayat al-Qur’an di atas kepada Abu Zar, dan baginda bersabda: “Jikalau semua manusia berpegang dengan ayat ini, nescaya akan cukuplah bagi mereka.” Iaitu jikalau mereka bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya akan cukuplah bagi mereka dalam segala keperluan agama dan dunia mereka.

3.       Tawakkal bermaksud: Membenarkan dan membulatkan hati bahawa Allah ‘Azza wa Jalla sahajalah yang berkuasa dalam menyempurnakan keperluannya, dan menolak semua kemudharatan dalam urusan dunia dan akhiratnya.


4.      Kata Sahl bin Abdullah al-Tusturiy: Tawakkal adalah menyerahkan bulat-bulat segala urusan kepada Allah mengikut apa yang Dia sukai. Dikatakan juga tawakkal ialah sama ada sikit atau banyak, ia adalah sama sahaja bagi orang yang bertawakkal.

5.      Dalam hadith Ibnu ‘Abbas, daripada Nabi SAW: “Barangsiapa yang suka untuk menjadi lelaki yang paling kuat (di sisi Allah), maka hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.” [Riwayat Ibnu Abi Dunia]


6.      Ketahuilah bahawa hakikat tawakkal tidak menafikan faktor usaha dalam mencari kurniaan dan rezeki yang Allah telah tetapkan kepada kita, kerana Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk berusaha dan mencari kurniaan-Nya di samping  bertawakkal kepada-Nya. Firman Allah ta’ala yang maksudnya:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).  [Al-Jumuat :10]


7.      Amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba terbahagi kepada tiga:
a.       Ketaatan yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya, dan ianya merupakan sebab kepada selamatnya manusia daripada api neraka dan dapat masuk ke syurga. Amalan ini mesti di lakukan oleh setiap orang berserta tawakkal kepada Allah dan sentiasa memohon pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya tidak ada daya dan kekuatan melainkan daya dan kekuatan-Nya.

b.      Perkara yang menjadi adat dalam kehidupan dunia, dan Allah memerintahkan hamba-hambanya berusaha dan melakukannya seperti makan ketika lapar, minum ketika dahaga dan berteduh daripada panas. Barangsiapa yang cuai atau tidak melaksanakannya walaupun ia mampu sehingga memudharatkannya,  maka ia telah melakukan kesalahan dan berhak mendapat balasan yang setimpal. Tetapi sekiranya dengan meninggalkan amalan ini atau usaha, ia tidak memudharatkan, maka ia boleh ditinggalkan. Oleh itu sebahagian para salaf ada yang meninggalkan makan dan minum selama beberapa dan ia tidak memudharatkan mereka.  Abdullah bin Al-Zubair pernah berpuasa selama lapan hari. Abu Al-Jauza’ menyambung puasanya selama tujuh hari, kemudian ia memegang lengan seorang pemuda dan hampir-hampir mematahkannya. Ibrahim Al-Taymiy tinggal selama dua bulan tanpa ia memakan sesuatu pun kecuali meminum manisan. Hajjaj bin Al-Farafisah tinggal lebih sepuluh hari tanpa makanan dan minuman dan tidak tidur. Sayyidina Ali bin Abi Tolib –radiyallahu anhu-  biasa memakai pakaian sejuk di musim panas dan pakaian panas di musim sejuk dan Nabi SAW pernah berdoa untuknya agar Allah hilangkan daripadanya rasa sejuk dan rasa panas.

c.       Amalan adat  secara kebiasaan dalam urusan kehidupan dunia seperti berubat apabila sakit. Kadang-kadang manusia boleh melalui adat kebiasaan ini tanpa berusaha. Ulama juga berbeza pendapat tentang hukum orang yang ditimpa sakit, adakah ia wajib berusaha untuk berubat atau memadai dengan hanya bertawakkal sahaja kepada Allah? Pendapat Ahmad ialah sekiranya ia kuat maka afdal baginya bertawakkal sahaja. Ini berdasarkah satu hadith Rasulullah SAW: “Akan masuk syurga segolongan daripada umatku seramai 70,000 orang tanpa hisab.” Kemudian baginda bersabda:  “Mereka itulah orang yang tidak meramal perkara yang buruk, tidak berubat (dengan cara yang dilarang oleh agama) dan kepada Tuhan mereka bertawakkal.” [HR Muslim] Dalam riwayat Muslim, dalam bilangan 70,000 tersebut, setiap seorang daripada mereka akan membawa 70,000 orang lagi.


Pendapat kedua mesti berusaha untuk berubat kerana Nabi SAW sendiri berubat apabila sakit dan baginda tidak melakukan sesuatu melainkan yang terbaik.

8.      Kadang-kadang manusia diharamkan rezekinya atau sebahagian rezekinya kerana dosa yang dilakukannya, sebagaimana dalam hadith daripada Thauban, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya seseorang hamba itu akan diharamkan rezeki disebabkan dosa yang dia lakukan.” [Hadith Hasan – Riwayat Ahmad]

9.      Dalam hadith Jabir, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap jiwa tidak akan mati sehinggalah disempurnakan rezekinya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah dalam mencari (rezeki). Ambillah apa yang halal, dan tinggalkanlah apa yang haram.” [Riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan al-Baihaqi]


10.  ‘Umar berkata: Antara seorang hamba dengan rezekinya ada hijab (dinding). Maka sekiranya dia ada sifat qanaah (mencukupi) dan dirinya redha, maka rezeki itu akan datang kepadanya. Tetapi sekiranya dia tamak dan dia membuang hijab tersebut, maka rezekinya tidak akan bertambah.

11.  Kata sebahagian salaf: Tawakkal ialah rezeki-rezeki didatangkan kepada kamu tanpa penat dan tanpa susah.


12.  Kata Salim bin Abil Ja’d: Diceritakan bahawa ‘Isa – alayhissalam – berkata: Bekerjalah kerana Allah dan janganlah kamu bekerja kerana perut-perut kamu (merasa kenyang). Dan jaga-jagalah kamu daripada segala lebihan dunia, kerana lebihan dunia di sisi Allah adalah najis (dosa). Ini  burung di langit yang terbang pada waktu pagi dan petang tanpa rezeki bersamanya, ia tidak menanam dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi rezeki kepadanya. Sekiranya kamu berkata: Perut kami lebih besar daripada perut burung, maka lihatlah kepada binatang besar seperti lembu dan keldai. Ia mencari rezeki pada waktu pagi dan petang, ia juga tidak menanam dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi rezeki kepadanya. [Riwayat Ibnu Abi Dunia]

13.  Menurut riwayat daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Pada zaman dahulu ada seorang ahli ibadat yang beribadat di dalam gua, dan ada seekor burung gagak yang datang kepadanya setiap hari dengan membawa roti. Dia makan makanan tersebut hinggalah dia wafat.


14.  Barangsiapa yang kuat tawakkalnya kepada Allah serta keyakinan yang mantap terhadap Allah, maka ia akan masuk dalam kehidupannya tanpa bekalan. Ianya harus bagi sesiapa yang bersifat seperti ini. Contoh yang paling jelas dan tepat ialah Nabi Ibrahim – alayhissalam – ketika beliau meninggalkan Hajar dan anaknya Ismail di kawasan padang pasir yang tidak ada sebarang tanam-tanaman, hanya berbekalkan sebuah bekas daripada kulit yang diisi dengan kurma dan sebuah bekas air. Ketika Hajar mengikutinya, dia berkata: Kepada siapa engkau akan tinggalkan kami? Ibrahim berkata kepadanya: Kepada Allah. Hajar berkata: Aku redha terhadap Allah. Ibrahim melakukan seperti ini berdasarkan perintah Allah dan wahyunya.

15.  Kata Al-Mawarzi: Telah dikatakan kepada Abu Abdullah: Apakah yang dikatakan kebenaran tawakkal kepada Allah? Jawabnya: Iaitu seseorang bertawakkal kepada Allah dan tidak ada dalam hatinya kebergantungan dan harapan kepada seorangpun dari manusia untuk memberi sesuatu kepadanya. Jika itu berlaku maka Allah akan memberi rezeki kepadanya dan dia adalah orang yang benar-benar bertawakkal.

16.  Ahmad bin Al-Husain meriwayatkan daripada Ahmad bahawa ia ditanya tentang seorang lelaki yang keluar ke Makkah tanpa sebarang bekalan. Lalu jawab beliau: Sekiranya engkau mampu maka tidak mengapa tapi sekiranya engkau tidak mampu maka hendaklah dengan bekalan dan kenderaan. Abu Abdullah telah melakukan haji dengan hanya berbekal 14 dirham sahaja.


17.  Nabi Ibrahim –alayhissalam-  ketika akan  di campak ke dalam api ia di tawarkan oleh Jibril: Adakah kamu mempunyai apa-apa hajat? Maka jawab Ibrahim: Adapun kepada engkau, aku tiada hajat.

18.  Daripada Ibnu ‘Abbas, katanya: Perkataan terakhir yang diucapkan oleh Ibrahim – alayhissalam – ketika beliau akan dicampakkan ke dalam api ialah:


حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
   
  “Cukuplah bagiku Allah, dan Dia-lah sebaik-baik pelindung.”  
                   

19.  Sabda Nabi SAW: “Seorang Mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mu’min yang lemah. Dan dalam setiap sesuatu ada kebaikannya. Oleh itu berusahalah kepada apa yang memberi manfaat kepada engkau, mintalah bantuan kepada Allah dan janganlah kamu menjadi lemah. Maka sekiranya ada sesuatu menimpa engkau, maka jangan sekali-kali engkau berkata: Jikalau aku lakukan begini begini… Tetapi katalah: Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia kehendaki pasti akan berlaku. Kerana sesungguhnya perkataan ‘jikalau’ itu membuka ruang kepada syaitan.” [HR Muslim]

20.  Sesungguhnya orang yang sebenar-benar tawakkal ialah orang yang mengetahui dan yakin bahawa Allah telah menjamin kepada setiap hamba-Nya rezeki yang mencukupi. Rezeki telah dibahagikan kepada setiap orang sama ada baik atau jahat, Mu’min atau kafir. Firman Allah Ta’ala:


وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ
“Dan tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang 
menanggung rezekinya …” [Surah Hud: 6]


وَكَأَيِّن مِّن دَابَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّـهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ 

 “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu…” [Surah al-‘Ankabuut: 60]

21.  Selama mana seorang hamba itu hidup, rezekinya akan dijamin oleh Allah dan Allah akan mempermudahkannya sama ada dia berusaha atau tanpa usaha. Kata Muthanna al-Anbariy: Janganlah kamu memberi tumpuan kepada apa yang dijamin, tetapi berilah tumpuan kepada Penjamin itu sendiri.

22.  Ketahuilah sesungguhnya hasil daripada tawakkal ialah redha dengan takdir Allah. Barangsiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah dan redha kepada apa yang ditakdirkan ke atasnya, maka dia telah benar-benar bertawakkal. Oleh itu al-Hasan, al-Fudhayl dan selain mereka menghuraikan makna tawakkal kepada Allah ialah: Redha.


23.  Kata Ibnu Abi Dunia: Kata sebahagian para cendekiawan: Tawakkal ada tiga peringkat:
a.       Tidak mengadu atau mengeluh.
b.      Redha.
c.       Cinta/sayang.
Tidak mengadu adalah kesabaran. Redha ialah hati tenang dengan apa yang diberikan oleh Allah ke atasnya, dan ini adalah lebih tinggi daripada sabar. Cinta pula ialah seronok dan gembira dengan apa yang ditakdirkan Allah ke atasnya.
Darjat yang pertama adalah untuk orang-orang yang zuhud. Yang kedua adalah untuk golongan al-Sadiqin. Dan yang ketiga adalah untuk para Rasul.


24.  Kata ‘Umar bin ‘Abdul Aziz: Aku telah berada di pagi hari dan aku tidak gembira melainkan di tempat qada’ dan qadar.

No comments:

Post a Comment