Pages

Sunday, 20 October 2013

PLURALISME AGAMA : MUSUH AGAMA-AGAMA (Pandangan Katolik, Protestan, Hindu dan Islam terhadap fahaman Pluralisme Agama)

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

Segala puji-pujian dirafa’kan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta sekalian alam, Tuhan yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita hambaNya supaya dapat kita pergunakan masa untuk beribadah dan mengabdikan diri kepadaNya. Selawat dan salam ditujukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad , Rasul pilihan yang menunjukkan teladan akhlak mulia supaya menjadi contoh dan ikutan umatnya.

Tujuan esei ini dibuat adalah untuk mengupas dan menganalisa sebuah tulisan hasil nukilan Dr. Adian Husaini iaitu Ketua Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia yang bertajuk Pluralisme Agama: Musuh-musuh agama (pandangan Katolik, Protestan, Hindu dan Islam terhadap fahaman Pluralisme Agama).

Alhamdulillah, penulis berjaya memuat-turun (download) hasil tulisan Dr. Adian Husaini ini  dalam bentuk e-book yang boleh diakses di http://www.adianhusaini.com.

1.0       Latarbelakang Dr. Adian Husaini

Dr. Adian Husaini, M.A., (lahir di Bojonegoro, Jawa Timur pada 17 Desember 1965. Beliau adalah Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, sekretaris jenderal Komite Indonesia untuk Solidaritas Dunia Islam (KISDI) dan Komitee Indonesia untuk Solidaritas Palestina-Majelis Ulama Indonesia (KISP-MUI), Anggota Komisi Kerukunan Umat Beragama Majelis Ulama Indonesia (MUI), dan anggota pengurus Majlis Tabligh Muhammadiyah.

Beliau memperoleh pendidikan Islamnya dari Madrasah Diniyah Nurul Ilmi Bojonegoro (1971-1977), Pondok Pesantren Ar Rasyid Kendal Bojonegoro (1981-1984), Pondok Pesantren Ulil Albab Bogor (1988-1989), dan Lembaga Pendidikan Bahasa Arab, LIPIA Jakarta (1988).

Beliau merupakan graduan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Kedoktoran Haiwan dari Institut Pertanian Bogor (IPB), dan menerima Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Hubungan Antarabangsa yang diperolehinya dari Pascasarjana Program Hubungan Internasional Universitas Jayabaya Jakarta. Selanjutnya beliau dianugerahkan dengan gelaran Dortor Falsafah (PhD) selepas menamatkan pengajian di Institute of Islamic Thought and Civilization-International Islamic University Malaysia (ISTAC-IIUM) dalam bidang pemikiran dan peradaban Islam.

Salah satu aktiviti ilmiah dan organisasinya adalah sebagai peneliti di Indonesian Society for Middle East Studies (ISMES) Jakarta, Institute for the Study of Islamic Thought & Civilizations (INSIST), dan Staf di Pusat Kajian Timur Tengah dan Islam Universitas Indonesia (PKTTI-UI) Jakarta.

Dr. Adian Husaini juga pernah menjadi wartawan Harian Berita Buana Jakarta, Harian Republika Jakarta, dan analis berita di Radio Muslim FM Jakarta, serta dosen Jurnalistik dan pemikiran Islam di Universitas Ibnu Khaldun Bogor dan Pesantren Tinggi (Ma’had ‘Aly) Husnayain Jakarta.[1]


2.0       Pembahagian Bab/Topik

Buku Pluralisme Agama : Musuh Agama-Agama (Pandangan Katolik, Protestan, Hindu dan Islam terhadap fahaman Pluraslime Agama) ini mengandungi beberapa pembahagian topik dan sub-topik iaitu :

Topik/Sub Topik
Butiran Topik
I
Pluralisme Agama : Definisi dan Penyebarannya
II
Pandangan Katolik
III
Pandangan Protestan
IV
Pandangan Hindu
V
Pandangan Islam
V.1
Masalah Kebebasan Beragama
V.2
Minyak Babi Cap Unta

Buku ini mempunyai 37 halaman dan telah terbitkan oleh Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia pada tahun 2010.

Boleh penulis rumuskan bahawa penulisan Dr. Adian Husaini tentang fahaman pluralisma ini adalah bersifat tematik dan iaitu:

a.       menggunakan kaedah pengelompokan agama-agama besar dunia, dan
b.      berdasarkan lokasi tempat negara beliau iaitu permasalahan pluralisma agama di Indonesia 


3.0       Ulasan/Kupasan Setiap Topik

a.      Topik I : Pluralisme Agama : Definisi dan Penyebarannya
Pada bahagian ini Dr. Adian Husaini menjelaskan definisi pluralisma agama adalah merujuk kepada andaian bahawa semua agama adalah sama dengan meletakkan kebenaran agama-agama sebagai kebenaram relative dan menempatkan semua agama di dunia di dalam kedudukan yang setara.

Beliau ada juga merujuk beberapa tokoh yang mendokong fahaman liberal dan fahaman pluralisma yang menghuraikan definisi pluralisma itu sendiri. Antaranya ialah Moses Mendelsohn (1729-1786) yang mengkritik eksklusif agama Yahudi bahawa seluruh penduduk bumi mempunyai hak yang sah atas keselamatan dan cara untuk mencapai keselamatan tersebut bukan hanya boleh dicapai melalui agama Yahudi sahaja.

Dr. Adian juga memetik kata-kata Charles Kimball yang mengatakan bahawa salah satu cirri-ciri agama jahat ialah yang mendakwa hanya agamanya sendiri yang benar iaitu dengan lebih tepat mendakwa hanya agamanya yang memiliki kebenaran mutlak.


b.      Topik II: Pandangan Katolik
Pada bahagian ini Dr. Adian telah mendedahkan kepada pembaca bahawa fahaman Pluralisma agama ini adalah ditentang oleh pihak gereja yang bermazhab Katolik. Dr. Adian juga turut menyenaraikan beberapa tokoh teologi dikalangan Kristian seperti John Hick, Paul F. Knitter (Protestan) dan Raimundo Panikkar (Katolik) yang mendakwa bahawa fahaman pluralisma agama adalah satu fahaman yang menolak eksklusivisme kebenaran. Bagi tokoh-tokoh tersebut di atas, anggapan bahawa pluralisma agama adalah sesuai dengan zaman dan merupakan warisan falsafah pencerahan 300 tahun lalu.

Jelas bahawa semua fahaman yang dibawa oleh tokoh-tokoh yang disebut diatas adalah ditolak oleh pihak gereja Katolik. Pada tahin 2000, pihak Vatican telah menerbitkan penjelasan “Dominus Jesus” iaitu suatu bentuk penjelasan yang selain daripada menolak pluralisma agama, tetapi juga turut menegaskan kembali kepada seluruh penganut Kristian bahawa Jesus Christ adalah satu-satunya pengantara keselamatan Ilahi dan tidak ada orang yang boleh menimbulkan reaksi yang sebalikknya.

c.       Topik III: Pandangan Protestan
Dr. Adian menulis bahawa pandangan Protestan adalah berbeza berbanding dengan pandangan Katolik. Ini disebabkan oleh golongan Kristian Katolik mempunyai pemimpin yang berkedudukan dan mempunyai hiraki tinggi di gereja. Dr. Adian juga menjelaskan bahawa ramai dikalangan teologi-teologi Protetan adalah pendokong dan menjadi pelopor kepada fahaman pluralisma agama.

Pada bahagian ini, Dr. Adian hanya merujuk kepada tokoh-tokoh Kristian yang berbangsa Indonesia tetapi beragama Kristian Protestan seperti Poltak YP Sibarani dan Bernard Jody A. Siregar.

Namun menurut Dr. Adian, terdapat seorang tokoh iaitu Dr. Stevri Lumitang dari golongan Protestan telah mengkritik fahaman Pluralisma ini. Yang mana Dr. Stevri berhujah bahawa Pluralisma agama adalah sangat bahaya bagi agama Kristian kerana pluralisma bukanlah  berkenaan konsep sosiologis ataupun antropologis. Tetapi merupakan sebuah falsafah yang bertitik tolak dari fahaman yang tidak bersendikan al-Kitab iaitu Injil. Dr. Stevri juga menolaj kemajmukan di dalam beragama yang menjadi landas kepada toleransi agama.

Di dalam bahagian ini, Dr. Adian menceritakan bahawa pandangan golongan Kristian Protestan yang terdapat di Indonesia mempunyai 2 sudut pandang yang berbeza tentang fahaman Pluralisma ini. Kelompok pertama ialah yang menyokong toleransi agama, manakala kelompok kedua adalah yang menolak pluralisma dan toleransi agama.


d.      Topik IV : Pandangan Hindu
Dr. Adian menjelaskan di dalam bukunya bahawa kebanyakan penganut fahaman Pluralisma Agama seringkali merujuk atau menggunapakai ucapan-ucapan tokoh-tokoh yang beragama Hindu untuk berhujah dan menegakkan idea-idea meraka tentang pluralisma. Antara tokoh yang beragama Hindu yang seringkali disebut ialah Mahatma Ghandi yang mana menurut Mahatma Ghandi semua agama itu adalah diibaratkan seperti pohon yang memiliki banyak cabang tetapi mempunyai satu akar. Akar itulah yang menjadi asal dan orientasi semua agama. 

Dr. Adian juga turut menjelaskan bahawa fahaman Pluralisma agama dikalangan penganut agama Hindu adalah dibawa atau dipelopori golongan neo-Hindu. Antara tohok tersebut ialah Ram Mohan Roy (1772-1833). Roy adalah merupakan seorang berpendirian Brahmo Samaj yang dipengaruhi oleh ajaran-ajaran gereja Unitarian iaitu sebuah sub denominasi agama Kristian hederodoks. Selain daripada mempelajari agama Kristian, Islam dan Sansekerta, Roy juga turut mempelajari bahasa Ibrani dan Yunani dengan cita-cita untuk menterjemahkan Bibel ke dalam Bahasa Benggali. Roy juga mengaku sebagai membawa pembaharuan dalam agama Hindu dan memandang Hindu dari kacamata colonial Kristian yang telah dibengkokkan.

Pengganti Roy ialah Debendranath Tagore dan Kashub Chandra Sen yang cuba menggabungkan lebih banyak idea-idea Kristian ke dalam neo Hinduisme. Malah Sen turut memberi nafas baru dengan mencampur adukan kitab suci Brahmo Samaj dengan yang berisi ayat-ayat dari pelbagai agama yang berbeza termasuk agama Yahudi, Kristian, Islam, Hindu dan Budhis. Tindakannya itu telah menyebabkan Sen menjadi murtad Hindu.

Dr. Adian juga menegaskan bahawa agama Hindu adalah sebuah agama yang bersifat pluralistic di dunia. Ini kerana agama Hindu mengajar bahawa ada banyak jalan, banyak orang suci, banyak kitab dan tidak ada suatu agama pun yang boleh mendakwa bahawa agama tersebut mempunyai kebenaran ekslusif. Ini bermakna agama Hindu tidak mengakui sati kesatuan atas kebenaran. Sebaliknya agama Hindu mengakui satu kesatuan total dan mendalam tapi satu kesatuan yang cukup luas untuk membenarkan keberagamaan dan mengintegrasikan keseberagamaan seperti banyaknya daun dari sebatang pohon beringin yang besar.  


e.       Topik V: Pandangan Islam
Dr. Adian mengupas dengan panjang lebar pandangan Islam tentang fahaman Pluralisma agama yang melanda umat Islam dan Indonesa khasnya. Beliau memetik fatwa yang telah dikeluarkan pada 29hb Julai 2005 oleh Majelis Ulama Indonesia  (MUI) bahawa fahaman Pluralisma adalah bertentangan dengan Islam dan haram bagi umat Islam memeluk fahaman ini. MUI juga telah mendefinasikan Pluralisma agama sebagai suatu fahaman yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif. Oleh sebab itu pemeluk agama yang lain tidak boleh mendakwa bahawa agama mereka  sahaja yang benar sedangkan agama lain adalah salah. 

MUI telah mengharamkan Pluralisma agama kerana penyebarannya telah sangat meluas di Indonesia. Dr. Adian juga menyingkap bahawa fahaman ini sebenarnya telah disemai oleh penjajah Belanda dengan merebaknya fahaman thesofi. Namun istilah Pluralisma agama di Indonesia pada mulanya diungkap oleh Ahmad Wahib di dalam catatan harian beliau. Beliau adalah salah seorang perintis Islam Liberal di Indonesia selain Dawam Rahardjo dan Djihan Effendi.

Dr. Adian seterusnya menggunakan dalil daripada Al-Quran antaranya ialah Surah Al-Imran ayat 19:

A019


Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Dr. Adian juga menggunakan dalil daripada hadith Rasulullah SAW iiatu:

“Demi Zat yang menguasai jiwa Muhammad, tidak ada seorang pun baik Yahudi mahupun Nasrani yang mendengar tentang diriku dari Umat Islam ini. Kemudian dia mati dan tidak beriman terhadap ajaran yang aku bawa kecuali ia akan menjadi penghuni neraka. (HR Muslim).


f.       Topik V.1: Masalah Kebebasan Agama
Dr. Adian menegaskan di dalam sub topik ini bahawa konsep agama Islam adalah mengakui kebabasan agama iaitu:

                                            i.            Tidak ada paksaan dalam agama; dan
                                          ii.            Bagimu agamamu dan bagiku agama ku

Dua konsep telah dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran. Walaupun golongan Muslim wajib menyampaikan dakwah Islam tetapi dalam waktu yang sama umat Islam dituntut menghormati pemeluk agama lain.


g.      Topik V.2: Minyak Babi Cap Unta
Di akhir bab ini, Dr. Adian menyatakan pandangannya telah fahaman Pluralisma ini bahawa Islam mempunyai konsep yang tegas dalam soal ketauhidan dan keimanan. Tetapi Islam mengajar umatnya agar hidup saling menghormati dan menghargai antara sesama manusia yang mana mempunyai anutan yang berbeza-beza. Malah Islam menuntut agar umatnya agar sentiasa berbuat baik kepada orang tua meskipun ibubapanya bukan Muslim. Konsep Islam tidak terhad di dalam komuniti keluarga malah meluas skopnya sehingga ke jiran tetangga. Orang-orang non Muslim juga mempunyai hak di dalam konsep kejiranan Islam.

Dr. Adian juga menyatakan bahawa ajaran fahaman Pluralisma agama ini boleh menghancurkan konsep dasar pada setiap agama-agama dunia termasuklah agama Islam. Dr. Adian juga menyifatkan bahawa fahaman Pluralisma agama ini adalah berbentuk parasit yang lama kelamanaan akan mematikan pokok asal.



4.0       Kesimpulan

Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa penulisan Dr Adian ini menyeru seluruh umat Islam di Indonesia khasnya menyedari akan bahaya fahaman Pluralisma ini. Ini kerana fahaman ini jika tidak dibendung akan menyebabkan kesesatan umat Islam. Dr. Adian juga dengan nada sinis mengkritik golongan yang berfahaman Pluralisma agama bahawa semua pemeluk agama-agama di dunia akan berdampingan masuk ke syurga.

Cuba anda Bayangkan Mahatma Gandhi, Gautama Budha, Karl Mark, Margaret Teacher, Firaun dan semua penganut agama di dunia ini akan berdampingan dengan umat Islam di dalam Syurga.

Insya Allah, penulis akan berkongsi dengan pembaca pada entry yang akan datang tentang bagaimana sikap Islam terhadap kewujudan agama-agama lain di dunia seperti yang digambarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Insya Allah   



2 comments:

  1. Salam..saya tak boleh muatturun ebook dr.arian sbb blog beliau suspended. Saya merupakan siswa di sebuah kolej di shah alam. Saya telah ditugaskan untuk menyiapkan folio mengenai pluralisme menurut agama buddha dan hindu. Paparan puan mengenai pluralisme oleh dr.arian sangat membantu. Puan ada pandangan pluralisme menurut agama buddha tak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. sila beri email, saya akan emailkan ebook Dr. Adrian tentang Pluraslisme.

      Delete