Pages

Tuesday, 8 January 2013

Tadabbur Hadith: Setiap Sendi Manusia Boleh Bersedekah



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم




عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم:
(( كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ :تَعْدِلُ بَيْنَ الاِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِى دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خَطْوَةٍ تَمْشِيهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ وَتُمِيطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ )). ]متفق عليه[

Daripada Abu Hurayrah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi anggota badan manusia (boleh) bersedekah setiap hari mula dari  terbit matahari : Engkau mendamaikan  antara 2 orang (yang sedang bertelagah) adalah suatu sedekah, engkau menolong seseorang pada binatangnya dengan mengangkatnya ke atas binatang tersebut atau menolong mengangkat barangnya adalah sedekah, bercakap perkataan yang baik juga adalah sedekah, setiap langkah yang engkau berjalan ke masjid untuk solat (berjemaah) adalah sedekah, dan engkau membuang sebarang benda yang menyakitkan di jalan juga adalah sedekah.”          
                                                [Muttafaqun ‘alayh, Lafaz daripada Muslim (2382)]


Di dalam riwayat lain daripada Abu Zar RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

(( يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى )). ]رواه مسلم[
Pada setiap pagi, setiap sendi anggota badan seseorang kamu adalah sedekah. Maka setiap ucapan tasbih adalah sedekah, setiap ucapan tahmid adalah sedekah, setiap ucapan tahlil adalah sedekah, dan setiap ucapan takbir adalah sedekah. Menyeru kepada perkara yang ma’ruf adalah sedekah dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Dan akan memadai nilai sedekah semua amalan itu  dengan menunaikan 2 rakaat solat Dhuha.” [HR Muslim (1704)]



Pengajaran Hadith:

1.      Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk bersedekah setiap hari dan bermula daripada anggota badannya sendiri. Tiada suatu tulang atau sendi pun melainkan adanya kesan ciptaan Allah. Maka wajiblah ke atas setiap hamba bersyukur atas nikmat Allah ini dan memuji-Nya dalam setiap keadaan. Itulah yang dimaksudkan dengan sabda baginda s.a.w.:

Ke atas setiap muslim hendaklah bersedekah. Para sahabat bertanya: Sekiranya ia tidak memiliki apa-apa? Jawab baginda: Hendaklah ia bekerja dengan tangannya dan memberi manfaat kepada dirinya dan dia bersedekah. Sahabat bertanya lagi: Sekiranya ia tidak mampu melakukannya? Nabi bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang sangat berhajat. Sahabat bertanya lagi: Sekiranya dia tidak dapat lakukan? Nabi bersabda: Hendaklah dia menyuruh perkara yang makruf. Sahabat bertanya lagi: Sekiranya dia tidak boleh melakukannya? Nabi SAW bersabda: Hendaklah dia tahan dirinya daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya itu juga adalah sedekah.”
[Muttafaqun ‘alayh]

2.  Sabda Rasulullah SAW : “Dicipta anak Adam atas 360 sendi. Maka barangsiapa yang berzikir kepada Allah,  bertahmid ,  bertahlil, bertasbih, membuang batu, duri atau tulang daripada jalan orang-orang Islam , atau menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar sebanyak bilangan 360 sendi, maka ia telah berada pada hari itu dalam keadaan di jauhkan  dirinya daripada neraka.” [HR Muslim]

3.   Hadith ini juga menunjukkan bahawa tulang dan sendi merupakan antara nikmat Allah yang terbesar pada hamba-Nya. Maka perlulah setiap tulang dan sendi tersebut disedekahkan oleh setiap anak Adam, sebagai tanda bersyukur pada nikmat Allah yang sangat banyak. Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الْإِنسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ ﴿٦﴾ الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ ﴿٧﴾ فِي أَيِّ صُورَةٍ مَّا شَاءَ رَكَّبَكَ ﴿٨﴾

Maksudnya: (6) Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? (7) Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; (8) Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, ia menyusun kejadianmu. [Al-Infithar, ayat 6-8]

4. Mujahid berkata: Ini adalah nikmat Allah yang jelas dilihat dan dapat mendidik engkau bagaimana untuk bersyukur kepada Allah. Syeikh al-Fudhail menangis pada waktu malam ketika membaca ayat :
أَلَمْ نَجْعَل لَّهُ عَيْنَيْنِ ﴿٨﴾ وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ ﴿٩﴾

Maksudnya: 8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) 9. dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? [Al-Balad, ayat 8-9]

Lalu dia ditanya tentang apakah yang membuatkan dia menangis, dia menjawab: “Adakah engkau bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan mata untuk engkau melihat dengannya sebelum engkau tidur pada waktu malam? Adakah engkau bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan lidah untuk engkau berbicara dengannya sebelum engkau tidur pada waktu malam?”


5.  Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai daripadanya: Kesihatan dan masa lapang.” [HR al-Bukhariy]


6.   Sabda Nabi SAW: “Tidak ada daripada nafas anak Adam melainkan ke atasnya sedekah setiap hari bermula terbitnya matahari. Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, dari mana kami dapat bersedekah? Jawab baginda: Sesungguhnya pintu-pintu kebaikan terlalu banyak: Tasbih, tahmid, takbir, tahlil, menyuruh yang makruf, mencegah kemungkaran, membuang gangguan di jalan, memberi tunjuk ajar kepada orang yang pekak dan buta, memandu orang yang minta panduan untuk menyelesaikan hajatnya, dan engkau berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu orang yang sangat berhajat, engkau memimpin dengan kedua tangan engkau orang yang lemah, semua ini adalah sedekah dari engkau dan untuk diri engkau.” [HR Ibnu Hibban]


7.      Firman Allah Ta’ala:

إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا ﴿٧﴾

Maksudnya: Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. [Al-Isra’, ayat 7]


8.      Inilah nikmat yang akan ditanya kepada manusia tentang bagaimana mereka bersyukur di dunia dahulu pada hari kiamat kelak, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta’ala:

             ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ﴿٨﴾

Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! [Al-Takatsur, ayat 8]


9. ‘Aliy bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas tentang firman Allah Ta’ala sebagaimana di atas, dia berkata: Nikmat itu ialah kesihatan tubuh badan, pendengaran dan penglihatan. Allah akan bertanya pada hari kiamat kelak: Bagaimana kamu menggunakan (memanfaatkan) nikmat tersebut? Sedangkan dia lebih mengetahui tentang perkara itu daripada mereka, kerana Allah telah berfirman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦﴾

Maksudnya: 36. dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [Al-Isra’, ayat 36]

No comments:

Post a Comment