Pages

Monday, 10 December 2012

Tadabbur Hadith: Orang mukmin yang lebih kuat, lebih dikasihi Allah SWT

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم



  عن أبي هريرة: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “المؤمن القوي خير وأحب الى الله من المؤمن الضعيف، وفي كل خير، احرص على ما ينفعك، واستعن بالله ولا تعجز، واذا اصابك شيء، فلا تقل: لو أني فعلت كذا، ولكن قل، قدر الله، وما شاء فعل، فإن لو تفتح عمل الشيطان”.




Maksudnya : Daripada Abi Hurairah r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya), “Orang mukmin yang kuat  (segalanya ) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin  yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya  baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan Allah tanpa rasa lemah semangat. Kiranya  kamu telah ditimpa  sesuatu (bencana dan ujian), maka janganlah berkata: kalau  aku lakukan ia akan jadi ‘demikian–demikian’ (berangan-angan) tetapi ini (apa yang berlaku) sudah ditakdirkan Allah s.w.t. Dia lakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Sebenarnya perkataan (kalau) itu, boleh mendorong kerja syaitan.” (Riwayat Muslim)




Ulasan Hadis:
1)    Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w telah menentukan bahawa mukmin yang kuat itu lebih baik dan dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah dan menjadi bahan bebanan dalam masyarakat, lalu ditunjukkan panduan untuk mencapai keimanan yang kuat dan tinggi, terutama dengan menumpukan perhatian dan usaha ke arah kebaikan  diri sendiri di dunia dan akhirat serta sentiasa berpegang teguh kepada Allah s.w.t serta jangan sekali-kali lemah semangat dan berputusa asa.

2)    Sekiranya berlaku sesuatu kegagalan, jangan menyalahkan sesiapa tetapi terimalah  takdir Allah s.w.t itu dengan hati terbuka, kerana segala kehendak dan perancangan-Nya tetap berlaku, dan tidak pernah berubah. Oleh hal yang demikian itu, jauhilah sikap atau perkataan yang boleh membawa kepada penyesalan yang tidak berguna apa-apa lagi.

3)   Antara ciri-ciri mukmin yang dikasihi Allah ialah:
a.    Setiap mukmin perlu meningkatkan kedudukan dan prestasi dirinya.

b.    Menumpukan perhatian untuk memperbaiki dirinya.

c.    Tidak berputus asa, lemah semangat atau sebagainya.

d. Berlapang dada (redha dan sabar) apabila berhadapan dengan kegagalan dan sebarang    ujian.

e.    Tidak berangan-angan dan tidak menyalahkan sesiapa.

f.     Yakin dengan kadar dan ketentuan daripada Allah s.w.t.

g.    Tidak meratapi kesilapan dan tidak pernah menyesali nasibnya.

h.    Kuat berpegang dengan Allah s.w.t dalam hidupnya.

i.      Orang mukmin tidak rela dirinya menjadi beban kepada masyarakat mukmin yang lain.

j.      Merekalah sepatutnya menjadi pengeluar segala bahan keperluan untuk manusia lain, bukan sebagai pengguna semata-mata.


4)   Kesimpulannya, marilah kita berusahalah sedaya mungkin untuk meningkatkan prestasi diri sendiri dan bertawakallah kepada Allah dalam menentukan hasilnya, mudah-mudahan kita menjadi mukmin terbaik, lagi dikasihi Allah s.w.t.



1 comment: