Pages

Monday, 3 September 2012

Tuntutan Menghias Diri Dalam Islam



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 



1.0       Mukadimah
Untuk kesempurnaan hidup manusia, Allah SWT telah memilih sunnah-sunnah untuk para Anbiya’ s.a.w dan memerintah kita supaya mengikut mereka dalam perkara-perkara tersebut yang dijadikannya sebagai syiar atau lambang yang merupakan ciri yang banyak dilakukan untuk mengenal pengikut masing-masing; dan untuk membezakan mereka dari golongan-golongan yang lain. Sunnah-sunnah yang tersebut itu dinamakan “sunnah-sunnah Fitrah”[1]

Kita sebagai umat Islam, hendaklah mengambil berat dan mengamalkan sedaya mungkin kita segala sunnah dan arahan yang telah ditetapkan oleh agama kita, supaya dengan hal yang sedemikian, kita akan menjadi muslim yang benar-benar menghayati cara atau tata-hidup Islam yang sejati. Kita yakin segala arahan dan tuntutan yang telah ditetapkan itu banyak mempunyai hikmat atau manafaat yang kembali kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat baik dalam hidup duniawi mahupun ukhrawi. Jelas kepada kita Sunnah-sunnah Fitrah ini mengarahkan setiap individu muslim supaya sentiasa bersih, kemas dan mengambil berat tentang kesihatan diri lahir dan batin, dengan erti jika ditinggalkan Sunnah-sunnah tersebut akan lahirlah suasana-suasana yang kurang manis, kurang sopan, kurang keselesaan, lahir rasa jijik atau sebagainya menurut nilai atau kaca mata Islam yang semuanya ini bertali erat dengan aspek-aspek rohaniah bagi kesempurnaan pembentukan peribadi muslim yang sejati. Dalam tulisan ini akan disentuh beberapa aspek penghiasan diri dari segi lahiriah tanpa menyentuh aspek-aspek rohaniah seperti soal takabbur, riak, hasad dengki dan seumpamanya dengan harapan memberi kesan yang baik kepada kita sekalian. 


2.0       Dasar Perbincangan
Dasar pembicaraan tulisan ini ditumpukan kepada dua buah hadith iaitu:
 
 

مفردات ~ ٣
Membuang bulu ari-ari
Mencukur bulu ari-ari
Menggunting rambut
Mencabut bulu ketiak
Memotong kuku
Menggunting kuku
Menyimpan janggut
Bersugi; menggosok gigi
Menghisap air ke hidung
Membasuh buku-buku jari
Istinja dengan air
Berkumur-kumur


4.0       Erti Hadith
1.  Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda: Lima perkara merupakan daripada fitrah, iaitu: membuang bulu ari-ari, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan memotong kuku”.

2.    Daripada Zakaria bin Abi Za’idah bin Mus’ab bin Syaibah, daripada Talq Ibni Habib daripada Ibnuz Zubair daripada ‘Aisyah r.a, katanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sepuluh perkara merupakan daripada fitrah, iaitu menggunting misai, biarkan janggut, bersugi, menghisap air ke hidung, mengunting kuku, membasuh buku-buku jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinja dengan air. Kata Zakaria, kata Mus’ab (perawi hadith ini) aku lupa yang ke sepuluh, mungkin ialah berkumur-kumur”.



 5.0      Perkara-perkara Sunnah-Sunnah Fitrah
Hadith yang pertama menerangkan ada lima perkara daripada sunnah-sunnah fitrah. Hadith yang kedua menerangkan sepuluh perkara termasuk lima perkara yang tersebut di dalam hadith yang pertama itu. Selain daripada sepuluh perkara tersebut, Sayyid Sabiq memasukkan beberapa perkara lagi ke dalam senarai sunnah-sunnah fitrah [2] yang dapat dirumuskan ke semuanya seperti berikut:

1.    Berkhatan
2.    Membuang bulu ketiak
3.    Membuang bulu ari-ari
4.    Membuang kuku
5.    Mengandam misai
6.    Meyimpan janggut
7.    Menjaga rambut
8.    Membiarkan uban
9.    Mencelup uban
10.  Memakai wangi-wangian
11.  Bersugi
12.  Menghisap air ke hidung
13.  Membasuh jari-jari (termasuk pelipatan-pelipatan yang selalu melekat kotoran atau daki-daki)
14.  Beristinja dengan air
15.  Berkumur-kumur



6.0       Riwayat Hidup Perawi

1.    Nama sebenarnya ialah Abdur Rahman vin Sakhr (صخر بن الرحمن عبد) dari Yaman. Nama sebelum Islam ialah Abd Syams (شمس عبد). Beliau digelar oleh Rasulullah SAW “Abu Hirr- Pak Kucing” ketika beliau sedang mengendung seekor kucing di dalam bajunya. Beliau lebih suka dipanggil “Abu Hirr” kerana itulah gelaran yang diberi Rasulullah SAW tetapi Abu Hurairah itulah yang lebih terkenal sehingga mengatasi nama sebenarnya.

Abu Hurairah berpindah dari Yaman ke Madinah pada tahun ke tujuh Hijrah ketika perang Khaibar sedang berkecamuk. Beliau sentiasa berdamping dengan Rasulullah  SAW dan berani mengemukakan berbagai pertanyaan yang tidak berani orang lain bertanya kepada Rasulullah SAW sehingga beliau memperolehi banyak ilmu. Ia seorang yang wara’, kuat beribadat, berpuasa siang hari dan mendirikan solat di malam hari. Sentiasa menyeru kepada kebaikan dan menegah dari kemungkaran dengan tidak membezakan antara orang kaya dan orang miskin, antara pemimpin dan rakyat jelata.

Ia terkenal sebagai seorang miskin tetapi sabar dalam menempuh kemiskinan dan kesukaran hidup sehingga pernah ia mendampingkan batu ke perutnya untuk menahan dari lapar. Ia bersifat qana’ah dan bersyukur dengan nikmat-nikmat kurniaan Allah. Banyak bersyukur, bertahmid, bertakbir dan bertasbih di atas segala kurniaan Allah. Juga terkenal sebagai seorang pemurah, suka bersedekah walaupun dengan perkara yang sedikit.

Rasulullah SAW pernah menghantar beliau bersama Al-Ala ul Hadrami (الحضرمي العلاء) ke Bahrain untuk menyebarkan Islam dan mengajar perkara-perkara agama di sana, dan beliaulah juga bertugas sebagai mu’azzin dan imam.

Jumlah hadith yang diriwayatkan oleh beliau sebanyak 5374 buah hadith. Yang diriwayatkan bersama Bukhari dan Muslim sebanyak 325 buah hadith. Yang diriwayatkan oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 buah hadith dan oleh Muslim sendiri tanpa Bukhari berjumlah 189 buah.

Meninggal dunia pada tahun 59 H ketika berusia 78 tahun dan dimakamkan di perkuburan Baqi’ di Madinah.


2.    Aisyah Ummul Mu’minin
‘Aisyah, Ummul Mu’minin ialah puteri Abu Bakar As Siddiq. Bondanya bernama Ummu Ruman binti ‘Amir bin ‘Uwaimir. Berkahwin dengan Rasulullah SAW ketika berusia 6 tahun iaitu 3 tahun sebelum Rasulullah SAW  berhijrah. 3 tahun setelah hijrah iaitu pada bulan Syawal selepas perang Badr barulah tinggal serumah sebagai suami isteri dengan Rasulullah  SAW. Ketika Rasulullah SAW wafat, ia baru berusia 18 tahun. Ia adalah seorang gadis jelita yang cerdik, bijaksana dan luas pengetahuan. Ia adalah isteri yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Ia digelar oleh Rasulullah SAW dengan “Al-Humaira”. Dalam peristiwa Hadithul Ifk, Al-Quran sendiri membersihkan dirinya daripada tuduhan fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya oleh Ahlil Ifk sebagaimana yang tersebut dalam surah An-Nur ayat yang ke 4.[3]


  
Maknanya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Dalam peperangan Jamal yang berlaku pada tahun 36H, Aisyah memimpin satu pasukan yang tidak kurang daripada 30 ribu orang untuk membela di atas kematian Khalifah Uthman r.a dan memberi ucapan yang berkesan sekali kepada pengikut-pengikutnya. Kerana hasutan dan fitnah, pasukannya bertempur dengan pasukan Saiyidina Ali r.a yang berkesudahan pihak Ali mendapat kemenangan. 

Jumlah hadith yang diriwayatkannya ialah 2210 hadith. Yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim sebanyak 316 buah hadith. Yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim sebanyak 194 buah hadith. Yang diriwayatkan oleh Bukhari tanpa Muslim berjumlah 54 hadith. Yang diriwayatkan oleh Muslim tanpa Bukhari 68 hadith. Hadith-hadith diriwayatkan olehnya bertaburan dalam Sunan Sittah dan dalam himpunan-himpunan hadith yang lain.

Meninggal dunia pada malam Selasa 17 Ramadan tahun 58 H. Jenazahnya disembahyangkan oleh Abu Hurairah r.a dan dimakamkan diperkuburan Baqi’.



 
7.0       Ulasan
I.        Berkhatan
Berkathan adalah sunnah yang telah diamalkan dalam sejarah umat manusia. Hadith daripada Abi Hurairah menerangkan Rasulullah SAW bersabda:

 

Ertinya: Ibrahim Khalilur Rahman berkhatan setelah meningkat usia lapan puluh tahun: dan ia berkhatan dengan Al-Qadum/di Al-Qadam[4] [Riwayat Bukhari]

Berkhatan pada lelaki ialah memotong sedikit kulit penutup kemaluan bagi menghilangkan kekotoran yang terjadi dibawahnya. Pada perempuan ialah memotong sedikit hujung tunasnya. Para ulama’ berselisih pendapat mengenai hukum berkhatan yang dapat dirumuskan seperti berikut:

1.    Mazhab Syai’fi : Wajib bagi lelaki dan perempuan. Inilah pendapat sebahagian ulama.
2.    Mazhab Hanafi: Sunat bagi lelaki dan perempuan

3.    Mazhab Hanbali: Wajib pada lelaki dan sangat diutamakan pada perempuan

4.    Mazhab Maliki: Wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Menurut satu riwayat, sunat bagi kedua-duanya.

Alasan golongan yang mewajibkan khatan berdasarkan kepada beberapa hadith, antaranya:
 
 Ertinya: Daripada Abi Hurairah r.a katanya: Nabi SAW bersabda : Barangsiapa memeluk Islam hendaklah berkhatan.
 
 

Ertinya: Wahai Ummu Atiah dangkalkan sahaja, dan jangan dalamkan kerana begini lebih menyemarakkan muka dan mengasihkan suami [Riwayat Al-Hakam, AtTabararani, Al-Bahhaqi dan Abi Nu’aim daripada hadith Ad-Dahhak bin Qais]

Juga berdasarkan kepada perintah Allah SWT yang menyuruh mengikut agama Nabi Ibrahim sebagaimana firmanNya:

 
 Ertinya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.[5]


Golongan yang mengatakan khatan adalah sunat, berdasarkan hadith: 
 
 Ertinya: Berkhatan itu sunat pada lelaki dan kemuliaan pada perempuan [6] [Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi]

Begitu juga para fuqaha’ berselisih pendapat tentang waktu berkhatan iaitu seperti berikut:

1.    Jumhur ulama: Tidak ditentukan pada waktu yang tertentu dan tidak diwajibkan semasa kecil [7]

2.    Mazhab Syafi’I: Wajib bagi penjaga mengkhatankan kanak-kanak sebelum baligh dan ada pendapat yang mengatakan haram sebelum berumur sepuluh tahun.[8] Ada pendapat mengatakan sunat pada hari ketujuh dari hari kelahirannya. [9]


Khatan orang Khuntha (Khunsa)[10]

Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum khatan orang khunsa seperti berikut:

1.    Ada yang berpendapat wajib dikhatankan kedua-kedua alatnya sebelum baligh
2.    Ada yang berpendapat tidak harus dikhatankan sehingga jelas fungsinya, inilah pendapat yang azhar mengikut kata imam An-Nawawi
3.    Adapun jika seseorang itu mempunyai dua alat kelakiannya, jika kedua-duanya itu berfungsi, wajib dikhatankan kedua-duanya. Jika hanya satu saja yang berfungsi, dikhatankan yang berfungsi itu saja.

Bila seseorang manusia meninggal dunia sebelum dikhatankan, golongan syafi’I berselisih pendapat kepada tiga pendapat:

1.    Yang sahih lagi masyhur tidak dikhatankan sama ada besar atau kecil
2.    Dikhatankan
3.    Dikhatankan yang besar. Tidak pada yang masih kecil



Hikmah dan Faedah Berkhatan
1.    Menghilangkan kekotoran dan mendatangkan kesihatan
2.    Dapat menghindarkan kulit daripada mudah melecut dan berkudis
3.    Dapat menahan daripada penyakit atau kekotoran tidak mudah bersarang di situ
4.    Mendatangkan kepuasan dan nikmat yang lebih ketika perhubungan seks bagi lelaki dan perempuan
5.    Pada perempuan, dapat mengelakkan daripada mudah tersentuh pakaian yang mungkin membawa kepada lekasnya timbul gelora nafsu.


Beberapa hukum orang yang tidak berkhatan
1.    Orang yang tidak berkhatan, bila hendak mengerjakan sembahyanng atau hendak melakukan amal ibadat, wajib lebih dahulu membersihkan segala kekotoran yang ada dibawah kulitnya itu
2.    Orang yang tidak berkhatan, bila meninggal dunia dan sukar hendak membuka kuliltnya itu wajib dilakukan tayammum kepadanya sebagai penghormatan yang kurang sopan kepada si mati.
3.    Orang yang tidak berkhatan bila mandi wajib, wajib ia menyampaikan air ke bawah kulit yang tertutup itu


II.        Membuang bulu ketiak
Membuang dengan mencukur, menggunting atau mencabut bulu ketiak hukumnya sunat. Kata Imam An-Nawawi, yang afdal ialah mencabutnya, jika tahan sakit. [11]  Bagi mereka yang biasa mencukurnya, memadai dengan mencukurnya. Sunat dimulai dengan ketiak kanan. Sekurang-kurangnya disunatkan membuangnya dalam tempoh 40 hari sekali.


III.        Membuang bulu ari-ari
Mencukur atau menggunting bulu ari-ari juga hukumnya sunat. Utama bagi lelaki ialah mencukurnya. Manakala bagi perempuan ialah mencabutnya. Adalah makruh membiarkannya; lebih-lebih lagi jika dibiarkan sehingga 40 hari. Mengikut Imam Al-Gazzali, tidak patut dibiarkan melebihi 40 hari. [12]

Pendeknya mana-mana bulu seperti bulu telinga, hidung atau sebagainya tidak syorkan disimpan panjang kerana boleh menimbulkan rasa jijik orang-orang di sekeliling kita.


IV.        Memotong Kuku
Memotong kuku hukumnya sunat. Kuku tidak disyorkan dibiarkan panjang lebih-lebih lagi jika berdaki dibawahnya kerana berlawanan dengan semangat Islam yang sentiasa mengkehendaki umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas dan berdisplin. Nabi SAW pernah bersabda:
 
Ertinya: Wahai Abu Hurairah!, Potonglah kukumu kerana syaitan itu duduk di atas yang panjangnya itu.

Jika terdapat daki atau kekotoran dibawah kuku, maka kekotoran tersebut tidaklah menghalangi akan sahnya wuduk seseorang itu kerana ia mencegah sampainya air di situ; dan Islam memberi kelonggaran dalam hal ini. Nabi SAW pernah menyuruh orang memotong kuku dan menegur orang yang berkuku kotor tetapi tidak pernah menyuruh mereka mengulangi sembahyang itu. [13]

Cara-cara memotong kuku tangan
1.    Cara yang diamalkan oleh Ibnu Hajar ialah[14]
-       Dimulai dengan telunjuk kanan
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian jari manis
-       Kemudian jari kelingking
-       Kemudian ibu jari

Kemudian barulah memotong kuku tangan kiri
-       Dimulai dengan kelingking
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian jari telunjuk
-       Disudahi dengan ibu jari kiri

2.    Cara yang diamalkan oleh Syaikh Ramli dan ulama lain
-       Dimulai daripada jari kelingking tangan kanan
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian ibu jari
-       Kemudian jari manis
-       Disudahi dengan jari telunjuk

Selepas itu barulah pula memotong kuku tangan kiri dengan tertib seperti berikut:
-       Dimulai dengan ibu jari
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian jari kelingking
-       Kemudian jari telunjuk
-       Disudahi dengan jari manis

3.    Menurut Imam Ghazali, caranya ialah seperti berikut[15]
-       Dimulai dengan telunjuk kanan
-       Kemudian jari manis
-       Kemudian jari kelingking
-       Kemudian kelingking jari tangan kiri
-       Kemudian jari manis
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian jari tengah
-       Kemudian inu jari tangan kiri
-       Disudahi dengan ibu jari tangan kanan

Cara Memotong Kuku Kaki
Memotong kuku kaki dimulai dengan kelingking kaki kanan kemudian dipotong seturutnya dengan disudahi memotong kuku kelingking kaki kiri.

Hari Memotong Kuku
Berselisihan hadith yang menerangkan hari-hari dalam seminggu bagi memotong kuku. Ada yang menerangkan hari Jumaat dan ada pula hari Khamis. Menurut Al-Baihaqi, Rasulullah sallah2 suka menggunting misai dan kukunya pada hari Jumaat. Memotong kuku pada hari Khamis berdasarkan kepada beberapa hadith riwayat daripada beberapa orang guru dan merupakan amalan mereka. [16]


V.        Misai Dan Janggut
Antara hadith-hadith yang membicarakan tentang misai dan janggut ialah:
 
 Ertinya: Daripadda Ibnu Umar r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, “Buatlah berlainan dengan orang-orang musyrikin: lebatkan janggut dan pendekkan misai “Muttafaqun ‘Alaih. Bukhari menambah :Ibnu Umar, apabila naik haji atau umrah dipegangnya janggutnya dan mana-mana yang berlebihan dipotongnya”.

 
Ertinya: Daripada Zaid bin Arqam: bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa tidak mengambil daripada misainya maka tiadalah ia daripada golongan kami”


VI.        Misai
Daripada hadith di atas, para ulama berselisih faham mengenai misa, antara lain seperti berikut:
 
1.    Kebanyakan golongan salaf berpendapat misai hendaklah di dibuang dan dicukur
2.    Ada golongan yang melarang mencukur atau membuang misai
3.    Misai hendaklah diandam sehingga bibir mulut dan janganlah mencukurnya

1
Dari keterangan di atas nyata kepada kita, menggunting misai atau mengandamnya itu bertujuan supaya kelihatan kemas jangan sampai kelihatan berselekeh tidak terurus sehingga boleh menggangu kecantikan muka seseorang dan juga supaya tidak berlumuran dangan makanan ketika makan. Itulah tujuan disuruh mengguntingkan misai sebagai suatu arahan yang baik, bukannya suruhan wajib: dan inilah pendapat mazhab Syafi’i. [17]

Jadi bagi sesiapa yang menyimpan misai hendaklah sentiasa mengandamnya dengan kemas dengan memotong tepi-tepi misai sebelah atas dan sebelah bawahnya sehingga kelihatan merah bibir mulut. Janganlah dibiar misai tidak terurus sehingga menutupi merah bibir mulut. Tetapi tidak mengapa membiarkan panjang hujung misai sebagaimana yang dibuat oleh Saiyidina Umar r.a. Mengikut setengah pendapat ulama muta’akhirin, mencukur misai hukumnya sunat kerana ada hadith menerangkan yang demikian itu. [18]

Supaya sentiasa kemas dan bersih perkara-perkara yang tersebut di atas hendaklah dijaga mengikut arahan-arahan yang terlah diterangkan itu. Jangan sekali-kali dibiarkan tidak terurus melebihi 40 hari. Rasulullah SAW menerangkan :

 
Ertinya: Daripada Anas bin Malik katanya: Rasulullah SAW telah menetapkan waktu bagi kami menggunting misai, memotong kuku, mencukur bulu ari-ari dan mencabut bulu ketiak tidak dibiarkannya melebihi 40 hari [Riwayat Ibnu Majah, Ahmad, Turmizi, Nasa’I dan Abu Daud]


VII.        Menyimpan Janggut
Menyimpan janggut hukumnya sunat. Tetapi ulama berselisih tentang memotongnya. Ada yang mengatakan boleh memotongnya dan ada yang mengatakan tidak syorkan memotongnya. Ada mengatakan tidak mengapa memotong janggut yang lebih dari genggaman kerana setengah sahabat seperti Abdullah bin Umar bin Khattab r.a berbuat demikian. Tetapi Al-Hasan Al-Basri dan lain-lainnya lebih suka dibiarkan janggut dengan keadaannya berdasarkan sabda Rasulullah SAW : اإلحى اعفوا (biarkan janggut itu lebat). 

Dari hadith ini jumhur ulama berpendapat lebih utama membiarkan janggut dengan keadaaannya dengan tidak memotongnya. Inilah pendapat golongan Syari’i. Kata Qadhi ‘Iyah, makruh mencukur atau mengguntingnya. Kata Qurtubi: tidak harus mencukur, mencabut atau menggunting kelebatan janggut. [19]


Dalam hal ini kita bersetuju dengan pendapat Sayyid Sabiq bahawa hendaklah sederhana. Menyimpan janggut dan membiarkannya lebat adalah mendatangkan kehebatan. Jadi janganlah dipendekkan seakan-akan dicukur dan jangan pula dibiarkan terlalu panjang sehingga kelihatan hodoh dan tidak terurus. Bahkan hendaklah diambil jalan tengah kerana jalan tengah itulah yang sebaik-baiknya dalam segenap pekara. Menyimpan janggut ini juga menunjukkan sifat kelakian yang sempurna dan matang.[20]


Makruh Mengenai Janggut
Imam Al-Ghazali menerangkan ada 10 perkara yang mankruh mengenai janggut:[21]
1.    Menghitamkan janggut yang telah beruban adalah ditegah kerana menyerupai orang muda. Rasulullah SAW bersabda:
 

 Ertinya: Sebaik-baik orang muda kamu, orang yang berlagak menyerupai orang tua kamu dan sejahat-jahat orang tua kamu, orang yang berlagak menyerupai orang muda kamu.[22]

Baginda SAW juga menegah daripada mencelup dengan hitam sabda baginda SAW :
 
Ertinya: Mencelup hitam itu adalah celupan ahli neraka.


Mengikut lafaz yang lain :
 


Ertinya:  Mencelup hitam itu ialah celupan orang-orang kafir.[23]

 
 Ertinya: Aka nada di akhir zaman nanti golongan yang mencelup dengan hitam laksana uncang makanan merpati, mereka itu tidak mencium bau syurga.[24]

2.    Menguningkan janggut atau memerahkannya di kala berperang supaya kelihatan hebat dan gerun oleh musuh adalah harus. Jika tidak berperang, hanya untuk meniru-niru orang alim adalah perbuatan tercela. Tetapi kata setengah ulama sunat memerahkan janggut walaupun bukan untuk berperang berdasarkan hadith Rasulullah SAW :

 
 
Ertinya: mencelup kuning itu celupan orang Islam dan merah itu celupan orang mukmin. [25]

Sebab itulah terdapat ulama-ulama dahulu mencelup dengan warna merah dan kuning.

3.    Memutihkan janggut dengan belerang supaya kelihatan lebih tua untuk mendapat penghormatan dan memperlihatkan banyak ilmu, maka perbuatan ini adalah makruh. Sesungguhnya banyak ilmu ini bukanlah terletak pada umur atau pada janggut tetapi pada beberapa kebolehan yang diperolehinya dari daya fikiran dan pengajiannya. Imam Malik r.a pernah berkata “Telah pernak ku baca dalam setengah-setengah buku: janganlah kamu terpedaya oleh janggut, kerana kambing jantan juga ada mempunyai janggut”. Dan Amr bin Al-Ula pula berkata : “Apabila engkau lihat seorang lelaki yang tinggi, kecil badannya berjanggut lebat, maka engkau hukumlah dia itu orang bodoh walaupun dia itu Umaiyah bin Abd Syam”[26]

4.    Mencabut janggut yang beruban hukumnya makruh. Rasulullah SAW mencegah daripada mencabut uban dan bersabda المؤمن نور هو , ertinya :”uban itu adalah cahaya orang mukmin”. Oleh itu kerana uban itu cahaya dari Tuhan, maka bencikan uban bererti bencikan cahaya.

5.    Makruh mencabut janggut atau mencabut sebahagiannya secara main-main sahaja pun juga boleh menghodohkan potongan. Saiyidina Umar bin Al-Khattab dan Abi Laila Qadi Madinah pernah menolak kesaksian orang yang mencabut janggutnya.

6.    Menggunting janggut dengan bentuk persegi bagi menarik wanita dan menghiasi diri yang mana menurut kata Ka’abul Ahkbar yang bermaksud: “Akan ada diakhir zaman nanti orang-orang yang menggunting janggut mereka ala ekor merpati, membengkukkan sepatu laksana sabit, mereka itulah orang yang tidak berakhlak.

7.    Berlebihan memanjangkan janggut seperti lebih panjangkan jambang sehingga melampaui tulang dagu dan sampai ke pertengahan pipi, ini bukanlah sifat orang baik-baik.

8.    Menyisir janggut dengan tujuan bercantik-cantik supaya dipuji orang juga makruh. Begitu juga makruh membiarkan janggut tidak bersisir supaya orang menganggapnya Zahid, soleh, wara’ atau sebaliknya.

9.    Memandang kepada janggut yang hitam atau putih dengan perasaan ujub adalah merupakan sifat yang tercela. Bahkan tercela baik tentang janggut, tentang segala anggota badan malah pada semua perangai dan perbuatan.

VIII.        Menjaga Rambut
Rambut ialah merupakan perhiasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada lelaki dan perempuan. Menyimpan rambut hukumnya sunat kerana junjungan besar kita SAW berbuat demikian. Baginda menyimpan rambut sampai ke bahu dan kadang kala lebih pendek daripada itu, kemudian baginda mencukurnya.[27]


Ertinya: Adalah aku mandi bersama Rasulullah SAW daripada sebuah bejana dana adalah baginya rambut lebat merimbun dan kurang daripada panjang sampai ke bahu.

Disamping itu diharuskan juga bagi orang lelaki mendandan rambut walaupun dengan beberapa dandan, berdasarkan hadith:


Ertinya: Daripada


IX.        Mencelup Uban
Mencelup uban dengan inai, dengan warna merah, dengan warna kekuningan atau dengan warna perang adalah sunat menurut mazhab Syafi’I samada janggut atau rambut bagi lelaki dan perempuan. Mengenai mencelup uban ini hadith daripada Abi Hurairah r.a katanta Rasulullah SAW bersabda:

 
 Ertinya: Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mencelup rambut mereka itu, maka hendaklah kamu menyalahi mereka itu [Riwayat Al-Jama’ah]


Satu lagi hadith daripada Abi Zarrin r.a kataya: Rasulullah SAW bersabda:
 

Ertinya: Sebaik-baik bahan untuk kamu ubahkan warna uban ini ialah inai dan Al-katm[28] [Riwayat berlima]

Dari hadith-hadith di atas nyatalah disuruh mencelup uban dengan warna-warna yang telah diterangkan itu. Tetapi ada setengah pendapat mengatakan makruh mencelup uban. Diriwayatkan daripada sesetengah sahabat mengatakan lebih afdal tidak mencelup uban, tetapi ada pula yang mengatakan mencelupnya itu adalah lebih afdal.

Sesetengah sahabat mencelupnya dengan warna kuning, sesetengahnya pula dengan inai dan al-khatm, ada pula dengan z’afaran, segolongan mereka dengan hitam. [29] Kata Imam Nawawi, yang sahih bahkan yang betulnya haram: yakni mencelup dengan warna hitam.[30] Ada pula pendapat yang mengatakan hanya makruh. Ternyata perselisihan-perselisihan ini mengikut perbezaan keadaan dan kebiasaan masing-masing. Suruh dan tegah dalam hal ini bukanlah perkara wajib. Ada pendapat mengatakan harus perempuan bersuami mencelupkannya dengan warna hitam bagi kesukaan suami.

Perlu diingatkan dalam hal mencelup uban ini, sekali-kali janganlah menggunakan bahan-bahan yang boleh mencegah daripada sampainya air ke rambut kerana bila menggunakan bahan-bahan yang boleh mencegah daripada sampainya air ke rambut; dan bila air tidak sampai ke rambut, maka bila mandi wajib atau mengambil wudu’ tidaklah dikira sah kerana air tidak membasahi rambut yang berbalut dengan bahan-bahan pencelup yang seperti itu.


X.        Memakai bau-bauan
Memakai bau-bauan atau wangi-wangian hukumnya sunat, kerana boleh menyegarkan perasaan dan menimbulkan kegembiraan dan kecergasan badan. Mengenai ini hadith menerangkan:

Daripada Anas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:
 
 Ertinya: Diantara kesenangan-kesenangan dunia yang saya sukai ialah wanita dan bau-bauan dan dijadikan keterangan hatiku ketika di dalam sembahyang [Riwayat Ahmad dan Nasa’i]

Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:
Ertinya: Sesiapa yang berwangi-wangian, maka janganlah menolaknya, kerana ia ringan dibawa dan semerbak baunya [Riwayat Muslim, Nasa’I dan Abu Daud]

Memakai wangi-wangian bagi perempuan yang hendak ke masjid adalah ditegah. Kata Ibnu Daqiq, haram memakai bau-bauan bagi perempuan yang hendak keluar masjid kerana merupakan pergerakkannya yang membangkitkan nafsu lelaki.[31] Kata Muhammad Nasir A;-Din Al-Bani:

Jika haram ke atas perempuan yang hendak ke masjid maka apakah gerangan ke atas perempuan yang hendak ke pecan, ke kedai dan keluar ke jalan-jalan raya? Tentulah tidak syak lagi lebih diharamkan lagi lebih diharamkan lagi dan lebih besar dosanya. Dan Al-Haitami menyebut di dalam “Az-Zawajir” (2.:37) bahawa keluarnya perempuan dari rumah dengan memakai wangi-wangian dan berhias itu adalah dari jumlah dosa besar walaupun dengan seizing suaminya. [32]

Diantara hadith-hadith yang mencela perbuatan kaum perempuan memakai wang-wangian ialah:
Ertinya: Mana-mana perempuan memakai bau-bauan kemudian ia keluar lantas ia keluar lantas ia lalu di atas orang ramai supaya mereka itu mendapati baunya, maka dia adalah penzina dan setiap mata juga penzina [Riwayat Ahmad, Nasa’I, Al-Hakim daripada Abi Musa].

Ertinya: Apabila orang perempuan memakai bau-bauan maka dia lalu di atas orang ramai supaya mereka dapati baunya maka dia adalah penzina [Bukhari, Muslim, Abi Daud, Turmuzi, Nasa’I daripada Abi Musa]

Ertinya: Apabila seseorang perempuan itu memakai wangi-wangian selain daripada untuk suaminya, maka sesungguhnya itu adalah api neraka dan seburuk-buruk kecelaan [Riwayat Tabarani daripada Anas]

Ertinya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangi-wangian maka janganlah hadir bersama-sama kami bersembayang Isya [Riwayat Ahmad, Muslim, Abi Daud, Nasa’I daripada Abi Hurairah]

Ertinya: Apabila seseorang kamu (perempuan) hendaklah ke masjid, maka janganlah sekali-kali mendekatkan bau-bauan [Riwayat Ahmad daripada Zainab Ath Thaqafiyah]

Apabila orang perempuan keluar ke masjid maka hendaklah ia mandi daripada bau-bauan sebagaimana ia mandi junub.


[1] Sayyid Sabiq, Fiqhus Sunnah, Jilid 1, hlm 64
[2] Lihat Fiqhus Sunnah, Jilid 1, Bab Sunatul Fitrah, hlm 64-70
[3] An Nuur, 24: 2
[4] Al-Qadum bererti beliung. Boleh juga dimaksudkan suatu tempat di negeri Syam.
[5] Surah An-Nahl, 16: 123
[6] Menurut Sayyid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah, Jilid I, hlm 68, hadith-hadith yang menyuruh khatan perempuan semuanya lemah dan tidak satupun sah.
[7] Nailul Autar I, hlm 134
[8] Ibid
[9] Fiqhus Sunnah I, hlm 65
[10] Nailul Autar I, hlm 136
[11] Nailul Autar I, hlm 131
[12] Ihya’ II, hlm 250
[13] Ihya’ I, hlm 141
[14] Sabilul Muhtadin, hlm 56
[15] Ihya’ I, hlm 141
[16] Bahrul Mazi 19, hlm 172
[17] Ibid, hlm 173
[18] Sahilul Muhtadin, hlm 56
[19] Bahrul Mazi Jild 19, hlm 175
[20] Fiqhus Sunnah, Jilid 1, hlm 66
[21] Ihya’ 1, hlm 143
[22] Riwayat Tabarani dari hadith Wa’ilah dengan isnad yang daif
[23] Dikeluarkan oleh Tabarani dan Al-Hakim dari hadith Ibn Umar dengan lafaz “Al-Kafir” kata Ibnu Hatim, hadith munkar
[24] Riwayat Abi Daud dan Nasa’I daripada hadith Ibn Abbas dengan isnad yang baik (jaiyyid)
[25] Tabarani dan Al-Hakim dari Ibn Umar. Kata Ibnu Abi Hatim, hadith munkar
[26] Umaiyah bin Abd Syam ialah nenek Bani Umaiyah, ketua Quraisy yang terkemuka di Kota Makkah. Beliau ialah anak saudara kepada Bani Hasyim bin Muttalib, seorang panglima perang terkenal.
[27] Bahrul Mazi, Jilid 12, hlm 138
[28] Al-katm ialah sejenis tumbuhan yang mengeluarkan celupan kemerah-merahan
[29] Fiqhus Sunnah, I & II, hlm 69
[30] Nailul Autar 1, hlm 140
[31] Fiqhus Sunnah I, hlm 69
[32] Hijabul Mar-atil Muslimah, hlm 65
 

No comments:

Post a Comment