Pages

Tuesday, 31 July 2012

Agenda Utama Dasar Luar Amerika Syarikat Di Asia Barat Sepanjang Era Perang Dingin


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم



1.0       Pendahuluan

Apabila kita menyingkap kembali tabir sejarah konflik di abad kedua puluh, kita tidak akan dapat melupakan era Perang Dingin yang bermula sejak berakhir Perang Dunia Kedua di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Perang Dingin itu mendapat nama justeru kedua-dua pelaku di arena perhubungan antarabangsa itu takut untuk berperang bersemuka sebaliknya sering menggunakan proksi untuk menunjukkan taring masing-masing. Dingin adalah senario konflik, ketegangan dan persaingan yang wujud di antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union yang dipamerkan dalam gabungan tentera, propaganda, pengintipan, pembangunan senjata, perindustrian dan pembangunan teknologi kompetitif.

Menurut Jayum A Jawan Karisma (2003), dasar luar merupakan satu kesinambungan daripada dasar domestiknya[1]. Di mana ia merupakan refleksi kepada corak hubungan luar sesebuah negara. Terdapat dua corak hubungan yang dominan pada hari ini. Pertama hubungan ‘bilateral’ yang hanya melibatkan perjanjian antara dua negara manakala hubungan ‘multi bilateral’ pula merupakan satu bentuk kerjasama yang melibatkan sekumpulan negara tertentu[2].

Walaupun Amerika Syarikat dan Soviet Union telah bersekutu bersama menentang kuasa-kuasa Axis sepanjang Perang Dunia Kedua, kedua-dua negera tersebut tidak bersetuju dalam banyak hal, terutamanya bentuk dunia yang harus dicernakan bagi menghadapi iklim politik dunia pasca-perang. Sepanjang Perang Dingin dunia menyaksikan ketegangan antarabangsa seperti Berlin Blockade (1948–49), Perang Korea (1950–53), Krisis 1961 , Perang Vietnam (1959–1975), perang Rusia di Afghanistan (1979–89) dan Krisis Misil Cuba 1962 yang melonjakkan kebimbangan yang akan mengakibatkan Perang Dunia Ketiga.

Terdapat konsensus di kalangan ahli sejarah mengenai titik permulaan bagi Perang Dingin dan kebanyakan ahli sejarah menganggap ia bermula setelah tamat Perang Dunia Kedua, dan ada yang berpendapat ia bermula pada penghujung Perang Dunia Pertama, walaupun sebenarnya ketegangan antara Empayar Rusia dan Empayar British dan Amerika Syarikat telah dikesan pada pertengahan abad yang ke-19.

Pertembungan ideologi antara komunisme dan kapitalisme bermula pada 1917, apabila Soviet Rusia muncul hasil daripada Revolusi Rusia dan menjadi negara pertama komunis dunia yang menyebabkan hubungan di antara Soviet Rusia dan Amerika Syarikat tidak menentu untuk jangka masa yang panjang. Persidangan Yalta[3] yang berlangsung pada 4-11 Februari 1945 menemukan tiga pemimpin Bersekutu iaitu Joseph Stalin, Winston Churchill dan Franklin Roosevelt membincangkan penyusunan semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua dengan tujuan utama untuk mewujudkan negara-negara yang telah ditakluk dan dimusnahkan oleh Jerman. 

Persidangan Yalta bersetuju untuk membelah Jerman kepada wilayah Berlin Timur yang dikuasai Rusia semasa perang dan Berlin Barat wilayah yang berbeza, manakala Poland diberi kemerdekaan dan Yugoslavia juga diwujudkan. 



[Bendera Amerika Syarikat & Soviet Union]


2.0       Kronologi Perang Dingin

Perang dingin tercetus selepas tamatnya Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1949 dan berakhir pada tahun 1991 dengan runtuhnya entity Soviet Union di Eropah. Semasa perang dingin berlaku, seramai lima (5) orang Presiden Amerika Syarikat telah  menduduki Rumah Putih (White House) dalam merangka serta melaksanakan dasar luar Amerika Syarikat yang melibatkan hubungan dua hala dengan negara-negara lain di peringkat arena antarabangsa[4]. Kronologi Perang Dingin yang panjang yang melibatkan Amerika Syarikat dan Soviet Union:



1940an
1945: 5-11 Februari - Sidang Yalta – Permulaan Perang Dingin
1945: 6 Ogos - Amerika Syarikat pertama kali menggunakan bom atom
1945: 8 Ogos - Russia memasuki perang melawan Jepun
1945: 14 Ogos 14 – Jepun menyerah kalah tamat Perang Dunia Kedua
1946: Mac - Winston Churchill membuat ucapan "Iron Curtain"
1947: Mac - Truman mengisytiharkan peranan aktif dalam Perang Saudara Greek
1947: Jun – Pengisytiharan Rancangan Marshall
1948: Februari – Komunis mengambil alih Chechoslovakia
1948: 24 June - Pengepungan Berlin
1949: Julai - NATO termetrai
1949: 12 Mei - Pengepungan Berlin tamat
1949: September - Mao Zedong, pemimpin Komunis menguasi China
1949: September – Soviet meletupkan bom atom yang pertama


1950an
1950: Jun - Perang Korea bermula
1953: Julai - Perang Korea tamat
1954: Mac - KGB ditubuhkan
1954: CIA menolong penggulingan rejim di Iran dan Guatemala
1954: Julai -Vietnam berpecah di garis selari 17
1955: Mei – Perjanjian Warsaw ditubuhkan
1956: Oktober - November – Pemberontakan di Hungary dipatahkan Mesir mengawal Terusan Suezl; Amerika enggan menolong mengambil kembali
1957: Oktober 4 -Sputnik Rusia dilancarkan ke angkasa lepas
1958: November - Khrushchev meminta pengunduran tentera daripada Berlin
1959: Januari - Cuba diambilalih oleh Fidel Castro
1959: September - Khrushchev merawat Amerika Syarikat


1960an
1960: Mei - Soviet Rusia mendedahkan pesawat pengintip Amerika ditembak jatuh di wilayah Rusia
1960: November - John F. Kennedy dilantik Presiden Amerika Syarikat
1961: April - Penaklukan Bay Of Pigs
1961: Julai - Kennedy memohon 25% perbelanjaan untukketenteraan
1961: 13 Ogos - Sempadan Berlin ditutup
1961: 17 Ogos – Pembinaan Tembok Berlin
1962: - Penglibatan Amerika di Vietnam
1962: Oktober - Krisis Misil Cuba
1963: July - Nuclear Test Ban Treaty dimetrai
1963: November - Presiden Kennedy dibunuh di Dallas, Texas
1964: Ogos – Peristiwa Gulf of Tonkin
1965: April – Merin Amerika dihantar ke Republik Dominica untuk melawan Komunism
1965: Julai - Penghantaran 150,000 tentera Amerika ke Vietnam
1968: Januari - Korea Utara menawan U.S.S. Pueblo
1968: Ogos - Tentera Soviet memetahkan pemberontakan Czechoslovakian
1969: 20 Julai - Apollo 11 mendarat di bulan


1970an
1970: April - Presiden Nixon melebarkan perang Vietnam ke Cambodia
1972: Julai - SALT I ditandatangani
1973: Januari – Gencatan Senjata Amerika Syarikat dan Vietnam Utara
1973: September – Amerika menolong menumbangkan kerajaan Chile
1973: Oktober – Mesir dan Syria menyerang Israel;
Mesir mendapat pertolongan Soviet Rusia
1974: Ogos - President Nixon meletak jawatan
1975: 17 April-- Vietnam Utara mengalahkan Vietnam Selatan
1979: Julai - SALT II ditandatangani
1979: November - Shah Iran digulingkan; Krisis Tawanan Iran


1980an
1983: Presiden Reagan mencadangkan Strategic Defense Initiative
1983: Oktober – Tentera Amerika menggulingkan pemerintah Grenada
1985: Skandal Iran-Contra (senjata dijualkepada Iran, untung digunakan untuk menyokong Kontra di Nicaragua)
1985: Mikhail Gorbachev mengambilh alih kuasa di Soviet Union
1986: Oktober - Reagan dan Gorbachev membuat ketetapan memindahkan misil daripada Eropah
1986: November – Skandal Iran-Contra diumumkan kepada orang ramai
1989: Januari – Tentera Soviet troops berundur daripada Afghanistan
1989: Jun - China mematahkan tunjuk perasaan pro-demoktasi; Poland merdeka
1989: September - Hungary merdeka
1989: November – Runtuhnya Tembok Berlin
1989: Disember – Kerajaan komunis jatuh di Czechoslovakia, Bulgaria dan Rumania; Berakhirnya Empayar Soviet



1990an
1990: March - Lithuania merdeka
1990: 29 Mei 29 - Boris Yeltsin dilantik Presiden Russia
1990: 3 Oktober - Jerman disatukan semula
1991: April – Pakatan Warsaw dibubarkan
1991: Ogos - Berakhirnya entiti Soviet Union – Tamat Perang Dingin


3.0       Faktor-Faktor Tercetusnya Perang Dingin

3.1       Tidak Mematuhi Persetujuan Dalam Persidangan Yalta[5]

Stalin, Roosevelt dan Churchill telah bertemu di Yalta, Crimea untuk membincangkan penyelesaian terutamanya pada zaman selepas perang.  Persetujuan telah dicapai dan mereka bersetuju membahagikan wilayah Jerman kepada 4 bahagian (dibawah kuasa SU, AS Britain dan Perancis). United Nation juga telah ditubuhkan. Di Persidangan ini kuasa-kuasa barat telah mengakui kekuatan pengaruh SU hampir di seluruh negara bahagian Timur Eropah, terutamanya di Poland.

Namun Stalin dan Roosevelt telah bercanggah pendapat mengenai Poland. Sebenarnya Poland dan SU telah lama bermusuhan. ( Poland menjadi laluan kepada Jerman dalam melancarkan serangan mengejut terhadap SU pada tahun 1941) SU tidak mahu kejadian ini berulang dan mahu menutup laluan ini.

Rusia telah menduduki Poland dan mendirikan sebuah kerajaan Poland dalam buangan di London. Selepas kematian Roosevelt, Truman telah melaksanakan dasar yang tegas terhadap SU. Beliau telah meminta SU mengubahsuai perjanjian kerajaan Poland supaya disusun semula, namun SU enggan. AS kemudiannya telah menghentikan bantuan pinjaman dan juga ketenteraan menyebabkan tekanan ekonomi kepada SU. Hal ini menyebabkan hubungan mereka bertambah tegang.

AS telah menghentikan bantuan terhadap SU kerana keengganannya, sehingga pada tahun tersebut SU setuju merombak semula perjanjian Poland itu.


3.2       Perkembangan Pengaruh Komunis Di Eropah Barat

Zaman selepas tamatnya perang Dunia Ke-2 (PDII) merupakan satu jangka masa perkembangan pengaruh kuasa AS dan juga SU. AS berusaha mengembangkan idoelogi liberal dan demokrasi kapitalisnya manakala SU pula dengan ideologi komunisnya. Kedua-dua ideologi ini sangat bertentangan di antara satu sama lain.

Empayar AS tidak mengawal kebebasan rakyatnya, sebaliknya SU mengawal rakyatnya dengan ketat. Bertepatan dengan ideologi yang dibawa, SU lebih terdorong kepada cara peluasan pengaruh melalui penjajahan[6].

Perkembangan parti politik komunis di Perancis dan Itali dilihat oleh Stalin sebagai sesuatu yang baik. Di Eropah Barat pula Stalin berazam mengembangkan pengaruhnya secara paksa.

Penguasaan SU terhadap Eropah Barat terutamanya Greek dan Turki telah mengurangkan kekuatan pengaruh AS, dan ini memberi tekanan kepada usaha peluasan pengaruh AS. Kerjasama antara AS dan SU telah wujud pada tahun 1941 dengan terjalinnya Perikatan Agung antara AS, Britain dan SU dalam mengekang kemaraan pengaruh Fasisme Jerman iaitu untuk menjaga kepentingan masing-masing.

Mulanya AS telah berasa tergugat selepas Jerman menjalinkan perikatan dengan SU pada tahun 1939. Namun Jerman telah menyerang SU secara tiba-tiba pada tahun 1941. AS telah mengambil peluang ini untuk mengukuhkan pengaruh demokrasi kapitalisnya.



3.3       Prasangka Dominasi Kuasa Oleh Amerika Syarikat Dan Soviet Union

Sebagai reaksi terhadap ancaman kuasa barat, Rusia telah mengukuhkan cengkamannya terhadap negara-negara Eropah Timur. Sehingga selepas tahun 1947 kebanyakkan negara-negara di Eropah Timur adalah Komunis kecuali Czechoslovakia. Stalin telah melaksanakan satu dasar baru dan telah menolak pinjaman 1 juta Dollar US walaupun pada awalnya bersusah payah mendapatkan pinjaman tersebut daripada AS[7].

Hubungan SU dan AS telah terjejas selepas SU enggan menyertai Bank Antarabangsa dan juga IMF. Stalin telah melancarkan satu siri rancangan 5 tahun untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi Soviet dan untuk membesarkan angkatan tentera SU tanpa bantuan luar. Menjelang Mac 1946, dasar Rusia telah berubah dan mereka mula mendirikan kilang-kilang di Jerman dan mempunyai pakar-pakar  dalam penciptaan moden.

Pada Mac 1946, Winston Churchill telah menyampaikan ucapan yang kontroversi iaitu The Iron Curtain. Ucapan beliau adalah sebagai satu ingatan bahawa Stalin sedang berusaha meluaskan pengaruh komunisnya ke seluruh Eropah Timur.  Kedegilan Stalin untuk mengubah sempadan Poland dan kemunculan golongan pro- komunis di kalangan rakyat Poland di Lublin menyebabkan Churchill sedar akan situasi yang sedang berlaku.

Rusia dakwanya telah menutupi Eropah Timur dengan ‘pagar besi’. Namun tidak semua negarawan barat setuju dengan kata-kata Churchill ini. Proses memagari Eropah ini telah berlaku antara tahun 1945 hingga tahun 1947 yang menyebabkan satu demi satu Negara Eropah Timur telah terseret ke dalam lingkungan pengaruh komunisme SU.

Kerajaan pro-komunis telah didirikan Di Poland, Bulgaria, Romania, Hungary dan Albania. Para ahli politik bukan komunis telah dihapuskan dan parti petani telah disabotaj. Kerajaan-kerajaan campuran telah dilumpuhkan dengan keganasan, ugutan dan pilihan raya yang diselewengkan. Stalin pula menganggap bahawa ucapan Churchill tersebut merupakan satu panggilan kepada peperangan[8].


3.4       Persaingan Persenjataan

Sepanjang era Perang Dingin perlumbaan senjata nuklear di antara Amerika Syarikat, Soviet Union dan sekutu masing-masing menjadi agenda yang mewarnai sejarah ketegangan global. Senjata nuklear yang pertama telah dicipta oleh Amerika melalui Projek Manhattan sepanjang Perang Dunia Kedua untuk digunakan ke atas kuasa-kuasa Axis[9].

Rusia tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai eksperimen senjata nuklear Amerika sehingga Stalin telah diberitahu pada Persidangan Potsdam pada 24 Julai 1945 adalah satu petanda bahawa kecurigaan itu sentiasa wujud dan rasa cemberu mencemburui itu cuba dipendam oleh kedua-dua kuasa besar. Tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan Amerika Syarikat memonopoli pengetahuan nuklear dan pada pada mulanya uranium adalah bahan yang sukar untuk didapati sementara di belakang tabir Rusia terus berusaha dengan marah untuk membina senjata atomnya sendiri[10].

Perang Korea (1950-53) adalah saat Pering Dingin menjadi konflik global yang menyaksikan peranan yang dimainkan oleh dua kuasa besar setelah Korea dibebaskan oleh Jepun pada 1945. Amerika meletakkan tenteranya di Korea sehingga 1946 dan Korea dipecah dua di garisan selari 38. Sementara Korea Utara yang diperintah komunis memohon restu Rusia untuk menakluk Korea Selatan. Melihat Amerika tidak berani untuk terlibat dalam konflik di Korea lantas peluang untuk meneruskan konfrantasi Perang Dingin diteruskan dengan membantu Korea Utara dengan impiannya tanpa secara berdepan terus dengan Amerika.


Pada 25 Jun 1940 Korea Utara menyerang Korea Selatan dan dengan mudah menawan Korea Selatan dan Amerika bimbang lalu meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menyokong Korea Selatan dalam usahanya untuk menyekat komunisme tersebar luas di seluruh dunia. Pada 15 September Jeneral MacArthur memimpin ketumbukan PBB membuat pendaratan di Inchon yang melibatkan 300,000 orang tentera PBB di mana 260,000 adalah tentera Amerika.


3.5       Pelanggaran Perjanjian Tehran1946  Oleh Soviet Union

Roosevelt dan Stalin telah berjumpa kali pertama dalam persidangan Tehran dan Stalin telah mengemukakan apa yang dinyatakan dalam ‘Pelan Stalin’. - Stalin telah berusaha untuk mendapatkan persetujuaan Roosevelt dan Churcill supaya selepas perang, wilayah SU akan merangkumi Poland, Romania, Finland dan negeri-negeri Baltik. Tuntutan terhadap negeri Baltik dipersetujui oleh Roosevelt, namun beliau enggan membincangkan tuntutan terhadap wilayah lain. Menyebabkan Stalin mencurigai keikhlasan AS berunding.


3.6       Kedudukan Jerman Dan Kebimbangan Jerman Jatuh Ketangan Soviet Union

Sejarah konflik mewarnai Jerman yang difaraidkan setelah tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Rusia tidak bersetuju dengan Amerika dan Britain dengan ketetapan yang sewajarnya dilakukan terhadap Jerman semasa sidang Postdam (1945). Terdapat percanggahan pendapat justeru Amerika dan Britain mahukan Jerman dibangunkan semula ekonominya, tetapi Rusia yang telah mendapat hak ke atas 10% ke atas industri di bahagian barat Jerman, ia juga inginkan kawasan di sebelah timur.

Amerika memperkenalkan mata wang baru di Berlin dan wang yang lama membanjiri kawasan Soviet dan kepungan telah dibuat di antara kawasan Berlin dan kawasan barat dan Soviet telah bersedia dengan persediaan keperluan makanan. Sebanyak 380 penerbangan setiap hari telah dibuat oleh tentera Amerika sebagai salah satu propaganda untuk menjadikan keadaan bertambah buruk yang mungkin boleh mencetuskan peperangan yang besar. 

Tentera Amerika yang pada asalnya berhasrat untuk menggunakan kekerasan untuk ke Berlin terbantut kerana Truman memilih untuk menerbangkan semua keperluan tentera melalui udara dan pada 12 Mei 1949 Stalin membuka sempadan Berlin. Sempadan di antara Berlin Timur dan Berlin Barat sentiasa dibuka dan setiap hari penduduk kedua-dua entiti itu seberang menyeberang untuk urusan harian sehinggalah pada 4 Ogos pemimpin komunis di Moscow mengambil keputusan untuk menutup sempadan Berlin Timur dan Barat. Pada 12 Ogos 1961 pada jam 4.00 petangWalter Ulbricht, pemimpin Jerman Timur , menandatangani perintah untuk penutupan sempadan Berlin Timur dan Berlin Barat dan pada keesokan harinya pada tengah malam Ahad, tentera, polis dan "Kampfgruppen" mula merealisasikan pembinaan tembok Berlin. 

Tembok yang dibina itu memisahkam dua bandar dua warga negara selama 28 tahun yang memecahkan jalan, jalan keretapi, tanah perkuburan dan penduduk Berlin Timur tidak dibenarkan langsung berjalan ke Berlin Barat sehinggalah ia diruntuhkan pada 1989.


3.7       Doktrin Truman

Bagi menyekat pengaruh Komunis yang semakin berkembang, AS telah mengemukakan Doktrin Truman pada 12 Mac 1947 di Kongres. - Golongan pro-Komunis di Greece telah cuba meruntuhkan kerajaan Monarki yang disokong oleh Britain. Beliau telah menyampaikan ucapan dalamTruman Doctrine kerana timbulnya ketakutan bahawa SU akan mengisi kekosongan kuasa disebabkan oleh penarikan diri Britain daripada tanggungjawab terhadap Greece.

Komunis telah mendapat sokongan di Albania, Bulgaria dan Yugoslavia. Truman telah meminta kongres meluluskan bantuan keatas Greece dan Turki yang menghadapi perang saudara dalam membendung kemaraan Komunis. - Truman mengatakan bahawa perang tersebut didalangi oleh komunis yang hendak menguasai Eropah Barat, Asia Tenggara dan matlamat akhir mereka adalah untuk merampas Jerman. Kongres telah meluluskan 400 juta untuk membantu Greece dan Turki dari segi ekonomi dan ketenteraan[11].



4.0       Dasar Luar Pasca Perang Dunia Kedua Oleh Presiden Amerika Syarikat

4. 1      Pentadbiran Johnson (1963-1969)

Semasa pentadbiran Lyndon B. Johnson dasar luar A.S mula memihak sepenuhnya, tetapi tidak tanpa soal, pada Israel. Sebelum Perang Enam Hari pada tahun 1967, pentadbiran A.S. berusaha mengelak menunjukkan ia mempunyai ikatan ketenteraan dengan Israel.

Walaupun Pentadbiran A.S bersimpati dengan keperluan Israel untuk melindungi dirinya dalam perang tersebut, A.S. bimbang yang tindakan Israel akan melampaui batas dan berpotensi menyebabkan ketidakstabilan rantau Timur Tengah. Pengeboman Israel ke atas Jordan selepas Kejadian Samu turut membimbangkan A.S. disebabkan Jordan juga merupakan sekutu A.S. yang menerima dana sebanyak AS$500 juta.

Kebimbangan utama pentadbiran Johnson adalah sekiranya perang tercetus di rantau itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet juga akan terlibat. Perbincangan diplomatik dengan negara-negara di rantau itu dan dengan pihak Soviet, termasuk penggunaan Hotline pertama, tidak mampu mengelakkan peperangan. Apabila Israel melancarkan serangan awal terhadap kelengkapan tentera udara Mesir, Setiausaha Negara Dean Rusk amat kecewa kerana dia berpendapat bahawa penyelesaian diplomatik boleh dicapai.

Semasa peperangan, kapal perang dan pesawat udara Israel telah menyerang sebuah kapal risikan Tentera Laut Amerika Syarikat, iaitu USS Liberty di perairan antarabangsa, sekaligus membunuh 34 orang dan mencederakan 173. Insiden itu disifatkan sebagai satu kesilapan oleh Israel, tetapi telah disangkal oleh Setiausaha Pertahanan Clack Clifford, Pengarah CIA Richard Helms dan CNO Thomas Moorer.

Buat kali pertamanya, Amerika Syarikat gembira melihat suatu negara demokrasi iaitu Israel, berjaya melumpuhkan kuasa ketenteraan negara-negara Arab yang disokong oleh Kesatuan Soviet. Selepas peperangan itu, Washington mempunyai persepsi negara-negara Arab telah memilih untuk bersekongkol dengan Soviet. Dengan itu pada tahun 1968, dengan sokongan padu Kongres, Johnson telah meluluskan penjualan pesawat Phantom II ke Israel, dan bermulalah sokongan Amerika untuk peningkatan kemampuan kuasa ketenteraan Israel melebihi jiran-jirannya. Pada masa yang sama, A.S. masih terus membekalkan senjata ke Lubnan dan Arab Saudi, untuk mengimbangi penjualan senjata Soviet di rantau itu.


4. 2      Pentadbiran Nixon dan Ford (1969-1974)

4. 2. 1  Rancangan Rogers 1970

Pada 19 Jun 1970, Setiausaha Negara William P. Rogers mencadangkan Rancangan Rogers, yang memanggil untuk suatu gencatan senjata 90 hari dan zon bebas tentera pada kedua-dua belah terusan Suez. Ia merupakan suatu usaha untuk mencapai persetujuan dalam rangka Resolusi MKPBB 242[12], yang memanggil untuk pengunduran Israel dari kawasan-kawasan yang diduduki pada tahun 1967 dan pengiktirafan bersama kedaulatan dan kemerdekaan kedua-dua negara[13].


Pihak Mesir menyetujui rancangan Rogers akan tetapi rancangan ini gagal kerana ketiadaan sokongan dari Israel. Tiada perkara yang berlaku selepas Presiden Sadat dari Mesir pada tahun 1972 tiba-tiba membuang penasihat-penasihat Soviet dari negaranya dan menyatakan kesediaan beliau untuk berunding[14].


Walaupun bimbang serangan dari Mesir dan Syria, Perdana Menteri Golda Meir membuat keputusan untuk tidak melakukan serangan pertama disebabkan bimbang akan memulaukan Amerika Syarikat yang mana diperlukan bagi Israel membekalkan semula ketenteraaannya. Syria dan Mesir kemudiaannya menyerang, dan memulakan Perang Yom Kippur.


Keputusan untuk tidak menyerang dahulu membuahkan hasil. Sekiranya Israel memulakan serangan, menurut Setiausaha Negara Henry Kissinger, mereka tidak mungkin menerima "walau paku pun". A.S. melakukan operasi strategik dari udara untuk menghantar senjata dan bekalan ke Israel yang kadangkala disebut sebagai "operasi yang menyelamatkan Israel."


Sekali lagi, A.S. dan pihak Soviet bimbang akan tertarik dalam konflik Timur Tengah. Selepas pihak Soviet mengugut akan campur tangan untuk membantu Mesir, A.S. meningkatkan Keadaan Pertahanan (DEFCON) dari empat ke tiga, peringkat tertinggi sewaktu ketiadaan perperangan. Pihak Soviet kemudian mengundurkan dirinya, dan Mesir menarik balik permintaannya untuk bantuan.


Selepas tentera Mesir tersekat di seberang terusan Suez, Kissinger kemudian menyedari bahawa situasi ini merupakan peluang terbaik A.S. kerana Mesir bergantung kepada A.S. untuk menghalang Israel daripada menghapuskan ketenteraannya, yang kini tiada akses ke makanan dan minuman. Keadaan ini bolehlah menjadi titik rundingan untuk membenarkan Amerika Syarikat memeditasikan pertikaian dan memaksa Mesir keluar dari pengaruh Soviet. Kemudiannya Amerika Syarikat memaksa Israel untuk tidak memusnahkan ketenteraan Mesir yang tersekat itu. Dalam satu panggilan telefon dengan duta Israel Simcha Dinitz, Kissinger memberitahu duta itu yang kemusnahan ketenteraan Mesir merupakan satu "pilihan yang tidak wujud".


Selepas perperangan, Kissinger memaksa Israel untuk memberikan tanah sebagai tukaran kepada perdamaian, dan sekaligus menyumbang ke arah fasa pertama perdamaian Israel-Mesir. Sokongan Amerika terhadap Israel menyumbang ke sekatan OPEC 1973 keatasnya, yang kemudian dimansuhkan pada bulan Mac 1974.


4. 3      Pentadbiran Carter (1977-1981)

Tahun-tahun Jimmy Carter didefinasikan penglibatan aktif A.S. dalam proses rundingan damai Timur Tengah, dan sebagai akibat, menyebabkan sedikit sebanyak pergeseran dalam hubungan dua hala A.S.-Israel. Proses-proses di Kem David yang dimulai Carter dilihat oleh sesetengah pihak Israel sebagai memaksa rundingan damai dengan Mesir untuk berundur dan menyebabkan risiko demi perdamaian dengan Mesir. Sokongan Carter untuk tanah air Palestin dan untuk hak politik Palestin menyebabkan pergeseran dengan Israel. Sesetengah pula berpendapat bahawa teks terakhir persetujuan di Kem David adalah bukti kejayaan Menachem Begin dalam menghadkan keperluan Israel dalam berunding dengan pihak Palestin. [perlu lebih rujukan]

4. 4      Pentadbiran Reagan (1981-1989)

Penyokong-penyokong Israel menyuarakan kebimbangan mereka pada awal pentadbiran Ronald Reagan mengenai potensi permasalahan dalam hubungan Israel-Amerika Syarikat, sebahagiannya kerana beberapa pilihan wakilnya punyai hubungan atau perniagaan bersama dengan negara-negara Arab (Setiausaha-setiausaha Caspar Weinberger dan George P. Shultz, umpamanya, merupakan pegawai di Bechtel Corporation, yang mempunyai hubungan erat dengan dunia Arab, lihat lobi Arab di Amerika Syarikat.) Tetapi sokongan peribadi Reagan untuk Israel dan keserasian perspektifnya dengan Israel atas isu keganasan, kerjasama sekuriti, dan ancaman Soviet, membuahkan peningkatan dalam hubungan dua hala.

Pada tahun 1981, Weinberger dan Menteri Pertahanan Israel, Ariel Sharon menandatangani Persetujuan Kerjasama Strategik, menubuhkan rangka kerja untuk konsultasi dan kerjasama secara terus menerus untuk meningkatkan keselamatan dalam negeri kedua-dua negara. Pada bukan November 1983, kedua-dua belah pihak membentuk Kumpulan Bersama Ketenteraan Politik, yang bertemu dua kali setahun, untuk mengimplimentasiikan kebanyakan peruntukan persetujuan itu. Kerjasama ketenteraan udara dan laut bermula pada bulan Jun 1984, dan Amerika Syarikat telahpun membina fasiliti-fasiliti untuk menyimpan peralatan ketenteraan di Israel. Meskipun perang Lubnan 1982 melihat perbezaan ketara antara polisi-polisi Israel dan A.S., seperti penggunaan senjata pembekalan A.S. dalam perang itu dan penolakan oleh Israel terhadap cadangan perdamaian Reagan pada 1 September 1982, ia tidak sedikitpun mengubah pendirian Pentadbiran dalam sokongannya terhadap Israel dan penekanan yang diberikannya oleh Amerika Syarikat.

Hubungan erat A.S.-Israel terus bertambah keeratannya pada penggal kedua pentadbiran Reagan. Israel diberikan status "sekutu bukan NATO penting" pada tahun 1987 yang memberikan akses pada perkembagan sistem senjata Amerika dan peluang untuk mendapat tender dalam kontrak pertahanan A.S. Amerika Syarikat terus memberikan bantuan dana kepada Israel pada kadar AS$ 3 bilion setahun dan mengimplimentasikan perjanjian perdagangan bebas pada tahun 1985. Semenjak itu semua cukai dan duti kastam antara kedua-dua negara ini telah dihapuskan.

Pada tahun 1985 sokongan A.S. untuk rancangan penstabilan ekonomi Israel diberikan dalam bentuk gran $1.5 bilion untuk dua tahun dan nasihat pengeksportan ekonomi.

Pada bulan November 1985, Jonathan Pollard, pekerja perisikan laut A.S. dan isterinya didakwa menjual dokumen rahsia sulit pada Israel. Empat pegawai Israel juga didakwa atas tuduhan yang sama. Kerajaan Israel mendakwa bahawa insiden ini tidak rasmi. Pollard dihukum penjara seumur hidup dan isterinya pula disabitkan dengan dua penggal lima tahun berturut-turut. Orang Israel membantah bahawa Pollard telah diberikan hukuman yang keterlaluan, dan mendukung kesengsaraannya. Pollard diberikan kerakyatan Israel pada tahun 1996 dan pegawai Israel kadangkala membincangkan kesnya dengan pegawai A.S., walaupun tiada tindakan susulan timbul.

Penggal kedua Reagan berakhir dengan apa yang dikatakan oleh ramai orang Israel suatu yang tidak disukakan kerana Amerika Syarikat bertindak membuka dialog dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada bulan Disember 1988. Tetapi, meskipun dialog itu berlangsung, dan kes perisikan Pollard tidak selesai, dan penolakan inisiatif perdamaian Shultz pada musim bunga 1988, pertubuhan-pertubuhan pro-Israel di Amerika menyifatkan Pentadbiran Reagan dan Kongres ke-100 Amerika Syarikat sebagai "yang paling pro-Israel setakat ini" dan memuji hubungan dua hala yang secara amnya baik.

5.0       Kesimpulan

Kesimpulannya dasar luar merupakan satu usaha sesebuah negara dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara lain. Ia bertujuan untuk mewujudkan satu usaha sama dalam pelbagai aspek dan juga untuk keamanan serta kemakmuran sejagat. Pembentukan dasar luar biasanya tidak bersifat rigid dan sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan nasional sesebuah negara. Ia banyak bergantung kepada faktor-faktor ekonomi, sejarah, penduduk, kedudukan geografi dan kepimpinan negara.
Perang Dingin telah berlaku disebabkan oleh ketidakmampuan Amerika Syarikat dan Soviet Union yang menjadi 2 blok kuasa besar dunia dalam menyelesaikan pertentangan ideologi, politik dan ekonomi selepas Perang Dunia II. Walaupun terdapat usaha untuk meredakan ketegangan yang wujud, namun kebanyakan usaha adalah tidak berjaya mencapai kata sepakat kerana ingin menjaga kepentingan masing-masing sehingga Perang Dingin terus berlarutan hingga ianya tamat pada tahun 1991.







Rujukan:

1.      Asmady Idris, 2005.  Amerika Syarikat – Satu Kuasa Hegemoni Dunia, DBP, Kuala Lumpur.

2.      Jayum A Jawan , 2003. Malaysia Politics and Government, Karisma, Shah Alam.

3.      Friedman, Norman (2000). The Fifty Year War: Conflict and Strategy in the Cold War. Percetakan Institut Tentera Laut, Annapolis, MD. ISBN 1-55750-264-1.

4.      Patterson, Thomas G., et al (2000). American Foreign Relations, A History - Since 1865. Syarikat Houghton-Mifflin, New York, NY. ISBN 0-395-93887-2.

5.      Ramli Abdul Rahim, 2009. Menyingkap Era Perang Dingin 1946-1991, Majalah Perajurit.

6.      Shakila Yacob, 2005.  Amerika Syarikat Pembentukan Negara Bangsa, DBP, Kuala Lumpur.

7.      Suffian Mansor, 1999, "Yalta Conference and East Asia", (in Bahasa Malaysia),Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No. 7,  (Non-ISI/Non-SCOPUS Cited Publication)


[1] Rujuk Jayum A Jawan, Malaysia Politics and Government, Karisma, Shah Alam, 2003, hlm 205
[2] Ibid
[3] Rujuk nota kuliah - Persidangan Yalta melibatkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Soviet Union, Amerika Syarikat dan Britain untuk membicangkan isu-isu selepas perang dunia kedua serta melindungi kepentingan ekonomi.
[4] Rujuk Lenczowski, George (1990). American Presidents and the Middle East, 6, Duke University Press.
[5] Sila lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=persidangan&d=8
[6] Rujuk: Suffian Mansor, "Yalta Conference and East Asia", (in Bahasa Malaysia), Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No. 7, 1999. (Non-ISI/Non-SCOPUS Cited Publication)
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Sila lihat artikel “Perlumbaan Senjata” di http://articles.gourt.com/ms/Perang%20Dingin
[11] Rujuk artikel Perang Dingin: http://articles.gourt.com/ms/Perang%20Dingin
[12]Rujuk  “UN Transcription of session referring to Chapter VI prior to the introduction of the Resolution”. Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242 (S/RES/242) diterima sebulat suara oleh Majlis Keselamatan PBB pada 22 November 1967, selepas tamatnya Perang Enam Hari. Ia diterima di bawah Bab VI Piagam PBB. Resolusi ini didraf oleh duta British Lord Caradon dan merupakan antara lima draf yang dipertimbangkan.
[13] Sila rujuk “The Ceasefire/Standstill Proposal” 19 June 1970, http://domino.un.org/UNISPAL.nsf/db942872b9eae454852560f6005a76fb/3e33d676ae43229b85256e60007086fd!OpenDocument last visited 2007/6/11               
[14] Sila rujuk “The Camp David Accords: A Case of International Bargaining” Shibley Telhami, Columbia International Affaris Online, http://www.ciaonet.org/casestudy/tes01/index.html, last visited 2007/6/11

No comments:

Post a Comment