Pages

Monday, 11 June 2012

Kesalahan Murtad atau Kesalahan Keluar Agama? Insiden Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor Di Gereja Damansara Utama: Satu Ulasan Dari Perspektif Semasa



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Abstrak
Kertas kerja ini dibuat adalah bertujuan untuk mengulas kes-kes murtad yang berlaku dewasa ini daripada perspektif semasa. Kertas kerja ini juga cuba mengenalpasti apakah terdapat perbezaan kesalahan murtad dan kesalahan keluar agama dalam konteks perundangan di Malaysia. Tumpuan kajian ini ialah mengulas laporan-laporan akhbar, ahli akademik, para ulama dan juga pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat kenyataan berikutan kes-kes murtad dikalangan orang-orang Melayu. Ulasan di dalam kajian ini dibuat dari sudut kotemporari punca-punca berlakunya murtad, siapakah kelompok golongan yang mudah terpengaruh dengan penyebaran agama lain. Kertas kerja ini juga mengenengahkan cadangan-cadangan bagaimana cara untuk membendungnya dikalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia.  
  

1.0       Pengenalan
Menyorot kembali tarikh 29hb September 2001 yang penuh bersejarah yang mana Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun Dr. Mahathir) bertempat di Menara PGRM, Kuala Lumpur bersempena dengan Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Pengisytiharan itu dibuat adalah sebagai menyambut cabaran pihak parti pembangkang agar parti kerajaan yang memerintah berani secara terang-terangan untuk mengisytiharkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam di hadapan parti komponen yang ahlinya terdiri daripada bukan beragama Islam. Didalam ucaptama bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 itu juga turut menzahirkan bahawa walaupun terdapat pelbagai kaum yang mendiami Malaysia, namun parti komponen Barisan Nasional pimpinan beliau berjaya mewujudkan keharmonian rakyat selama 44 tahun kemerdekaan dengan memberikan hak-hak tertentu kepada semua kaum yang mendiami negara ini. Beliau juga turut menambah walaupun Malaysia merupakan sebuah negara Islam namun penganut agama lain adalah bebas untuk menganut agama mereka.[1]

Antara ucaptama beliau dalam persidangan itu ialah:

“Walaupun kita isytihar Islam sebagai agama rasmi, penganut agama lain bebas menganuti agama mereka. Ini adalah sejajar dengan ajaran Islam. Tidak ada paksaan dalam Islam. Dan Islam tidak suka kepada huru-hara yang mungkin berlaku jika undang-undang Islam cuba dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam. Jika kerana ini orang bukan Islam menganggap Malaysia sebagai negara sekular, ini adalah tafsiran mereka dan mereka bebas membuat tafsiran mereka.”[2]


Rentetan daripada pengisytiharan itu oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad secara jelasnya menobatkan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan negara Islam sejajar dengan Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama rasmi negara. Betapa penulis tidak dapat menafikan besarnya sumbangan Tun Dr. Mahathir Mohamad didalam mengagendakan Islam sebagai agama rasmi negara sehingga negara kita sentiasa menjadi penanda aras bagi negara Islam lain untuk belajar selok belok pengurusan contohnya bagaimana Malaysia mengamalkan sistem perbankkan Islam yang pertama di dunia, sistem kecekapan mengurus oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) ketika penguruskan jemaah haji untuk menunaikan ibadah haji di Makkah, pembangunan ekonomi Islam sehinggalah penglibatan Malaysia dalam perhubungan politik antarabangsa. Namun dewasa ini kita berdepan dengan cabaran orang-orang Islam yang murtad iaitu keluar daripada Islam.


1.1       Pernyataan Masalah
Pada 13hb Ogos 2011, masyarakat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama, Seksyen 13, Petaling Jaya. Di dalam serbuan itu, JAIS berjaya menghalang penyertaan 12 orang Melayu Islam daripada menyertai upacara Thanks Giving di gereja tersebut. Penulis tertarik untuk mengulas tentang insinden tersebut kerana salah satu faktornya ialah ianya berlaku ketika semua umat Islam sedang menyambut bulan Ramadhan yang penuh berakah. Ketika kejadian percubaan untuk memurtadkan 12 orang Islam yang terjadi pada majlis “Thanks Giving Dinner” yang diadakan di gereja Methodist Centre yang terletak Damansara Utama Methodist Centre (DUMC), Dewan 3, Kompleks Dream Centre, di mana pasukan penguat kuasa JAIS menyerbu premis gereja tersebut pada pukul 10 malam ekoran daripada laporan kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa anjuran gereja tersebut. Dengan serbuan itu, seramai 12 orang umat Islam yang terdiri dari 3 lelaki dan sembilan wanita berusia 20-an dan 40-an telah dicuba untuk dimurtadkan oleh gereja tersebut dengan alasan bahawa kehadiran mereka hanyalah untuk sama-sama merayakan sahabat yang menyambut hari yang dianggap suci oleh orang orang yang beragama Kristian itu.[3] Kes untuk mermutadkan orang-orang Islam bukanlah isu baru di Malaysia. Tetapi jikalau gejala ini tidak dibendung ianya dikhuatiri semakin berleluasa tatkala pada saat ini Malaysia sedang melalui proses transformasi untuk menjadi negara maju, penulis bimbang masyarakat tidak dapat seimbangkan diantara kemajuan dengan mempertahankan agama Islam daripada serangan-serangan dakwah agama lain yang menyebabkan penganut agama Islam bertukar akidahnya.   


1.2       Objektif Kajian
Objektif kajian yang ingin dicapai ialah:

                                                            i.            Mengenalpasti punca berlakunya gejala murtad di kalangan orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia;

                                                          ii.            Mengenalpasti adakah individu yang keluar daripada agama Islam itu boleh di kategorikan sebagai kesalahan keluar agama ataupun kelasahan murtad, dan

                                                        iii.            Mencadangkan beberapa kaedah bagi membendung gejala murtad oleh orang-orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia


1.3       SkopKajian
Kajian ini adalah tertumpu kepada insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja di Damansara Utama pada 3hb Ogos 2011. Walau bagaimana pun untuk pemahaman yang mendalam di dalam kajian ini, penulis juga ada merujuk kepada kes-kes murtad yang telah lepas untuk mengkaji faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala murtad walaupun telah termaktub di dalam Perlembagaan Agama Islam bahawa sesiapa yang murtad akan dihukum bunuh.    


1.3       Metodologi Kajian
Secara khususnya, kajian ini adalah berbentuk kajian perpustakaan. Di dalam kajian ini, penulis cuba menghuraikan apakah maksud murtad, punca-puncanya dan cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk membendung gejala murtad. Pemerhatian dan penelitian dibuat ke atas laporan-laporan akhbar, buku-buku rujukan dan juga kajian-kajian yang telah lepas dengan menggunakan teknik dokumentasi iaitu menggunakan cara pengumpulan data dengan melakukan susunan (sorting) dengan mengkategorikan isu yang dibincangkan untuk diteliti dan diulas. Sebagaimana yang disebut di atas, data-data yang telah disusun, penulis akan membuat penelitian dan pengolahan serta analisis perbandingan terlebih dahulu sebelum penulis membuat cadangan dan kesimpulan 



2.0       Pengertian Murtad Dalam Undang-Undang Islam
Murtad berasal dari perkataan ‘riddah’ yang bermaksud kembali.[4] Menurut istilah bahasa, ’murtad’ bermaksud kembali dari sesuatu kepada sesuatu. Manakala dari segi istilahnya ia merujuk kepada kembali dari agama Islam kepada agama lain sama ada dengan niat, perbuatan atau perkataan. Oleh itu murtad ialah orang yang kembali kepada kekufuran setelah menerima Islam.[5]

Menurut Haji Sa’id Haji Ibrahim, bekas Mufti Negeri Sabah telah mendifinasikan murtad ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebut oleh seseorang Islam yang mukallaf di mana perbuatan atau perkataan itu menyebabkan seseorang itu tadi keluar dari agama Islam. [6]

Pada pendapat penulis daripada beberapa takrifan diatas, murtad menurut syarak adalah berpaling dari Islam kepada kekufuran atau keluar daripada cahaya dan kebenaran Islam kepada kegelapan dan kekufuran. Murtad adalah perbuatan yang dimurkai Allah S.W.T dan ianya merupakan perbuatan jenayah terhadap agama Islam.

Di Malaysia, isu murtad mula menggemparkan negara apabila Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Haji Dr. Harussani Haji Zakaria memberitahu kini terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini. Bilangan tersebut termasuklah kira-kira 100,000 orang Islam Melayu yang telah mengisytiharkan diri mereka memeluk agama Kristian. Katanya lagi, 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan menunggu untuk murtad. Selebihnya tegas beliau, termasuk mereka yang memohon untuk menukar nama agama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain. “Ini tidak termasuk lagi individu-individu yang langsung tidak bersolat, tidak berpuasa dan menentang semua hukum Islam.” [7]

Di Malaysia, pada asasnya perlembagaan membenarkan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan memperuntukkan larangan penyebaran agama selain Islam kepada orang bukan Islam. Perlembagaan juga menjamin sesiapa untuk menguruskan hal ehwal agama mereka termasuk menubuhkan institusi untuk tujuan-tujuan keagamaan ataupun pemilikian harta. Ini menunjukkan secara umumnya perlembagaan Malaysia meletakkan hak kebebasan beragama. Namun demikian, hak ini ditafsirkan sesetengah pihak sebagai mutlak dan sesiapa sahaja berhak menukar agamanya pada bila-bila masa. Pentafsiran ini adalah tidak tepat kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing. [8]

Seseorang atau sesuatu kumpulan boleh menjadi murtad dengan mempersekutukan Allah sama ada melalui iktikad, ucapan ataupun perbuatan, mengingkari agama Islam atau satu rukun padanya atau mengingkari satu hukum Islam yang dapat diketahui secara jelas dan sahih dan orang yang mengiktikadkan bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah. Dalam jenayah murtad, terdapat dua unsur penting iaitu tindakan keluar daripada agama Islam7 seperti perbuatan yang boleh membawa syirik ialah sujud kepada selain dari Allah dan mempunyai niat melakukannya dengan sengaja. [9]

Masalah murtad sentiasa berlaku sepanjang sejarah beragama. Murtad pernah terjadi di zaman Rasulullah s.a.w., dan juga di zaman-zaman yang lain. Bahkan Abu Bakar r.a juga masyhur dengan kesungguhannya memerangi kaum yang riddah dengan usahanya membentuk 11 pasukan untuk memerangi nabi-nabi palsu dan orang-orang murtad yang semakin berleluasa sejak kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Cuma murtad yang ada di sepanjang zaman hanyalah masalah yang terpencil. Namun kebelakangan ini, ia sudah menjadi satu gejala, di mana ramai di kalangan umat Islam yang murtad. Gejala ini berlaku disebabkan kejahilan mereka tentang hakikat Islam yang sebenar. Mereka kurang mengenali Islam, bahkan ada yang langsung tidak memahami Islam. Orang yang betul-betul mengenali dan memahami Islam pasti tidak akan meninggalkan Islam, bahkan akan berjuang mempertahankannya. Namun kejahilan telah menimpa umat ini. Dan peluang inilah yang digunakan oleh orang bukan Islam untuk memurtadkan sebahagian umat Islam. [10]


2.1       Undang-Undang Berkaitan Murtad
Pada dasarnya, terdapat beberapa pandangan mengenai hukuman murtad dalam Islam dan ianya boleh dirumuskan kepada dua golongan iaitu:

                                                        i.            Hukuman Murtad adalah Hudud.
Golongan ini dipelopori oleh ulama tradisional seperti Mazhab Shafii, Maliki dan Hanbali di mana mereka berpendapat bahawa murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan  bertaubat.

Firman Allah s.w.t  di dalam Al-Quran:

وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ ڪَافِرٌ۬ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فِى ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأَخِرَةِ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Maksdunya: ".....Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya)”[11].

Ini ditambah lagi dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia." [12]

Di dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud:

"Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin.” [13]

Namun demikian, hukuman murtad hanya akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempoh untuk bertaubat yang diberikan seperti memberikan tempoh selama 3 hari untuk bertaubat. Namun demikian, terdapat beberapa pandangan mengenai tempoh masa untuk bertaubat yang diberikan.


                                                      ii.            Tiada Ketetapan Bentuk Hukuman Murtad.
Pendapat ini dipelopori oleh ulama kontemporari seperti Abd al-Mutaali al-Saidi, Ibrahim al-Nakhai, Muhammad Abduh, Mohamad Hashim Kamali dan lain-lain lagi. [14]

Pada dasarnya hukuman murtad bukanlah hudud tetapi hanya takzir. Golongan ini berpendapat umpamanya pandangan Abd al-Mutaali al-Saidi iaitu manusia diberikan kebebasan beragama mengikut pilihannya. Faktor yang menyebabkan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan hukuman bunuh pada kesalahan murtad bukanlah kerana kemurtadan mereka tetapi berfaktorkan pemberontakan menentang Islam. Terdapat juga kritikan ulama terhadap kesahihan dan darjat hadis ”sesiapa yang menukar agamanya hendaklah dibunuh” Hadis ini adalah hadis ahad dan tidak kuat untuk dijadikan hujah kepada sesuatu hukum menurut ilmu usul fiqh.[15]

Secara ringkasnya, kebanyakan ulama terdahulu berpegang teguh bahawa murtad dikenakan hukuman hudud manakala ada ulama kontemporari mengatakan tiada ketetapan mengenai hukuman murtad atau dalam erti kata lain ianya adalah takzir. Namun begitu, isu penentuan hukuman murtad bukanlah menjadi perkara utama yang hendak dibincangkan di dalam artikel ini. Perbincangan akan lebih menekankan tentang perpekstif undang-undang yang digunapakai di Malaysia.


2.2       Hak Kebebasan Beragama
Sebagai sebuah agama yang syumul dan suci Islam menjamin hak kebebasan beragama. Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan malahan Islam menyuruh untuk menghormati amalan agama lain. Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah s.w.t.di dalam Al-Quran:-

لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّ‌ۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama)yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.[16]


Para fuqaha telah lama membincangkan hak kebebasan agama ini dan jika diteliti terdapat pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Ada fuqaha berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih Islam agamanya maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam. Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya.

Di Malaysia, pada asasnya Perlembagaan membenarkan setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan memperuntukkan larangan penyebaran agama selain Islam kepada orang bukan Islam. Perlembagaan juga menjamin sesiapa untuk menguruskan hal ehwal agama mereka termasuk menubuhkan institusi untuk tujuan-tujuan keagamaan ataupun pemilikian harta. [17]

Ini menunjukkan secara umumnya Perlembagaan Malaysia meletakkan hak kebebasan beragama. Pada pendapat penulis, hak ini telah salah tafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai mutlak dan sesiapa sahaja boleh menukar agamanya pada bila-bila masa. Pentafsiran ini adalah tidak tepat kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing.


3.0       Kesalahan Murtad Atau Kesalahan Keluar Agama?
Di dalam perbahasan bagi tajuk kajian ini, penulis akan cuba menelusuri apakah terdapat perbezaan di antara kesalahan murtad dan kesalahan keluar agama. Ianya dihuraikan sebagaimana dibawah:

Di Malaysia, majoriti penduduknya berbangsa Melayu adalah menganut agama Islam. Ini bertepatan dengan istilah Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, Fasal 160 yang menyebut:

“Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, Lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan (a) lahir, sebelum hari merdeka, di persekutuan atau di Singapura, atau ibubapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari  Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut”. [18]

Bagi penulis, daripada Perlembagaan Persekutuan jelas menerangkan kedudukan orang Melayu sebagai Islam. Yakni bahawa seseorang yang dilahirkan sebagai bangsa Melayu sama ada di Malaysia atau pun di Singapura sebelum dan selepas merdeka, meraka ialah beragama Islam.

Dalam membincangkan undang-undang berkaitan murtad, terdapat persoalan besar yang perlu diselesaikan iaitu adakah terdapat peruntukan kesalahan murtad di bawah mana-mana enakmen atau akta di Malaysia. Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai murtad termasuk hukumannnya. Ini berikutan undang-undang jenayah Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah-mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia hanyalah merangkumi hukuman maksima 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau RM5,000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman.[19] Jelasnya, bidang kuasa jenayahnya adalah terhad dan hanya boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam sahaja.

Jenayah murtad tidak di sebut di dalam enakmen kesalahan jenayah Syariah di kebanyakan negeri di Malaysia. Namun demikian, terdapat peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di beberapa buah negeri. Tidak terdapat penggunaan istilah kesalahan murtad yang diperuntukkan oleh mana-mana enakmen jenayah syariah negeri-negeri melainkan undang-undang hudud, qisas dan takzir yang cuba dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu satu ketika dulu.

Pada pandangan penulis, di antara beberapa faktor yang menyebabkan penggunaan istilah keluar agama Islam dan bukan murtad adalah kerana hukuman murtad yang merupakan hukuman mati sekiranya disabitkan adalah melampaui bidangkuasa mahkamah syariah. Sebagai contoh, Melaka telah memperuntukkan kesalahan keluar dari agama Islam sebagai satu kesalahan dan bukan murtad. [20] Seksyen 66(1) Enakmen Kesalahan (Syariah) (Negeri Melaka) 1991 menyatakan bahawa apabila seseorang Islam dengan sengaja mengaku hendak keluar dari Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah boleh memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak. Jika seseorang telah bertaubat, maka taubatnya itu mestilah disahkan di Mahkamah dan kemudian barulah dia boleh dibebaskan. Jika pula seseorang itu bertaubat semasa dalam tahanan, Pegawai Penjaga hendaklah melaporkan perkara itu kepada mahkamah dan taubatnya juga perlu disahkan oleh Mahkamah. Seksyen 6 (1) pula memperuntukkan seseorang yang bersyubahat dibawah seksyen 66 adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM 5,000 (lima ribu ringgit) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-dua nya sekali.

Rumusan bagi bab ini, penulis berpendapat bahawa di Malaysia, pihak yang berwajib telah dengan kuasa yang ada padanya bertujuan untuk menangguhkan hukuman bunuh ke atas sesiapa yang beragama Islam yang memilih untuk menganut agama lain dengan mewujudkan enakmen-enakmen tertentu iaitu dengan memberi mereka peluang kembali kepada agama Islam dengan memberi bimbingan dalam nasihat dan bentuk kaunseling. Jelas sekali kerajaan bersikap toleran kepada mereka yang sememang wajar dihukum bunuh kerana murtad.   



4.0       Ulasan Kajian
Daripada laporan-laporan akhbar berkenaan dengan kes murtad, disini diperturunkan analisis penulis faktor-faktor yang menjadi penyumbang kepada 12 orang yang berjaya ditangkap dalam serbuan oleh JAIS di gereja Damanasara Utama, pada 13hb Ogos 2011 yang lalu. Ianya boleh dibahagikan kepada 2 sebab iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

                                            i.            Faktor-faktor  Dalaman
a.      Kurang didikan agama/jahil
Umat Islam di Malaysia mempunyai ruang yang cukup banyak untuk menimba ilmu agama. Walau bagaimanapun, peluang ini tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan muda dan cerdik pandai. Penekanan sistem pendidikan hari ini lebih menjurus kepada kesepaduan ilmu Sains dan Teknologi dengan meletakkan ilmu agama dalam kelas kedua. Dilihat sebagai kelemahan umat Islam kerana kegagalan memelihara keislaman dan mengerjakan segala perintah Allah SWT. Contohnya ramai kalangan remaja memandang mudah ibadah solat malah ada yang langsung tidak tahu mengerjakannya. Hal ini menyebabkan diri mereka terdedah melakukan lebih banyak dosa, melemahkan keislamannya dan meletakkan agamanya di tempat yang rendah. Keadaan inilah menyebabkan golongan remaja kita mudah terpesong akidahnya dan ada yang menjadi murtad. Akibat kejahilan dan juga tidak faham tentang hakikat ajaran Islam serta syariatnya menyebabkan nilai kehidupan manusia mundur ke belakang, lalu manusia mencari alternatif lain untuk memenuhi ruang lingkup kehidupan. Manusia tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka telah terjebak di dalam perangkap kehidupandan tidak tahu memilih yang mana satukah jalan yang sepatutnya mereka harungi. Akibat dari kejahilan juga menyebabkan mereka lebih cenderung memilih kekufuran daripada memilih keimanan dalam kehidupan. Selain itu juga, disebabkan oleh kecetekan ilmu dan iman, maka seseorang itu digolongkan dalam kategori jahil dari segi akidah. Ini akan menyebabkan umat Islam meragui dan tidak menyakini akan kekuasaan Allah SWT Ia juga akan mendorong seseorang itu taksub dan sukar menerima pandangan serta teguran daripada orang lain. Di samping menyebabkan umat Islam mundur dalam semua aspek kehidupan. Keadaan ini sukar diubah dalam masa yang singkat sebaliknya ia memerlukan proses pemulihan dan pemantauan yang berterusan.[21]

b.      Percintaan / Perkahwinan / Perceraian
Antara faktor lain yang menyebabkan murtad di kalangan umat Islam ialah percintaan. Terdapat remaja yang terjebak dalam amalan percintaan antara nonmuslim. Walaupun terdapat pendidikan agama yang secukupnya, akibat daripada masalah percintaan mereka terjebak dalam gejala murtad Adalah malang apabila mendapati remaja yang terlibat merupakan remaja yang cukup kasih sayang, terpelajar dan menutup aurat, bukannya remaja liar yang tiada arah dan tujuan. Sebagai contohnya kisah Aishah Bokhari yang kini sudah sepi dan semakin dilupakan. Keengganan teman lelakinya untuk memeluk agama Islam telah membawa kepada kemelut ini. Seterusnya gejala murtad juga berlaku disebabkan faktor perkahwinan, sama ada lelaki bukan Islam atau wanita bukan Islam ingin berkahwin dengan pasangan hidup mereka yang beragama islam Akibat perasaan cinta yang membara di dalam hati sanubari, seseorang itu sanggup menggadaikan maruah agama demi cinta sebegini. Misalnya kisah Lina Joy atau nama sebenarnya Azlina Jelani yang menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang pemuda India beragama Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau. Selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau memohon untuk mendaftarkan perkahwinannya, tetapi tidak dibenarkan kerana di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beliau seorang yang beragama Islam. Beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengn permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.[22]

Sesetengah kes murtad yang melibatkan saudara baru pula berpunca dari perkahwinan. Antaranya mahu berkahwin dengan gadis atau lelaki Islam. Sekiranya pasangan yang dipilihnya mempunyai latar belakang agama yang baik maka ia mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah kerana suami atau isterinya boleh membimbing pasangannya.[23]

Tetapi masalah mungkin timbul apabila pasangan baru itu gagal melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya. Kekecewaan dan masalah yang dihadapinya akan menyebabkan seseorang itu mudah hilang pertimbangan tidak terkecuali para saudara baru yang masih lagi terkapai-kapai mencari arah hidup sebagai seorang Islam. Walaupun dari segi niatnya tidak begitu sempurna tetapi pengislaman kerana faktor perkahwinan perlu diterima dengan hati terbuka dan disusuli dengan usaha-usaha pemantapan akidah. Selain itu, Zulkifli Nordin, seorang peguam bela, peguam cara dan peguam syarie, di pejabatnya di Kuala Lumpur turut menyeru Jabatan Agama Islam agar lebih bijak menangani kes-kes rumah tangga yang semakin serius. Banyak kes yang diajukankepada Zulkifli berkaitan dengan kes isteri memilih murtad sebagai jalan penyelesaian perceraian. Misalnya, apabila seseorang wanita melaporkan penderaan yang dilakukan oleh suaminya kepada Jabatan Agama Islam, seharusnya pagawai Jabatan Agama bertindak segera sebelum wanita sebegini mengambil tindakandrastik yang lain, antaranya ialah mereka memilih jalan untuk murtad agar ikatan perkahwinan ini terbubar.[24]


c.       Ibubapa
Gejala murtad juga berpunca daripada rumah di mana para ibu bapa tidak mendidik anak-anak mereka dengan didikan yang sempurna kerana zaman yang begitu menuntut ibu bapa bekerja menyebabkan pendidikan anak-anak tidak dapat dipenuhi sepenuhnya dan diserahkan kepadanya. Malahan mereka sebahagiannya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak mereka kepada orang gaji atau pembantu rumah. Sebahagiannya pula tidak mempunyai kemahiran dan mengasuh anak terutamanya mengenai jiwa remaja, mental dan perkembangan fizikal anakanak mereka. Ibu bapa tidak memahami cara didikan masa kini di mana remaja kini lebih cepat berubah disebabkan era kegemilangan teknologi maklumat yang serba canggih. Ini menyebabkan kurangnya kasih sayang menyebabkan hubungan kekeluargaan tidak intim dan menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang dan perhatian dari luar. Ibu bapa tidak memberi perhatian yang cukup kepada anak-anak mereka. Oleh yang demikian, para ibu bapa perlulah memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik anak-anak mereka ketika masih kecil lagi dengan kehidupan yang berlandaskan syariat Islam agar pengetahuan mereka mengenai agama kukuh bersemadi di hati mereka.


d.      Ekonomi Keluarga Dan Kemiskinan
Manusia yang dihimpit kesempitan hidup juga boleh mengakibatkannya menggadaikan agama demi meneruskan kehidupan. Malah tuntutan hidup di zaman materialistik seperti hari ini mendorong ramai orang Islam menjadi murtad. Antaranya kisah seorang gadis bernama Lisa (bukan nama sebenar) di Pulau Pinang yang memerlukan pekerjaan. Setelah puas mencari, akhirnya dia ditawarkan bekerja di kelab malam dan turut disediakan tempat tinggal. Kesan dari pergaulan bebas dan desakan hidup menyebabkan ramai di antara teman-temannya memilih murtad agar mereka memperolehi kemewahan hidup dalam tempoh yang cepat.[25]

Selain itu, kisah golongan ibu tunggal yang terjebak dengan gejala murtad di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu. Ada di antara mereka yang sudah memeluk agama lain tetapi masih kekal bertudung dan pergi ke masjid untuk mengabui mata masyarakat. Agak sukar untuk mengecam kelompok ini kerana mereka masih mengekalkan pemakaian tudung dan menjalankan aktiviti ibadah seperti orang Islam yang lain seperti pergi ke masjid dan sebagainya, sedangkan dalam masa yang sama, mereka memakai lambang salib pada leher mereka. Golongan ini dibantu oleh pihak agama lain dari segi perniagaan dan diberikan segala macam kemewahan. Selain itu, sekiranya mereka sudah membuat upacara menyerahkan diri kepada 'Tuhan', semakin banyak kemewahan yang akan mereka perolehi. [26]

Rasulullah s.a.w pernah menyatakan tentang hakikat hidup yang dibelenggu kemiskinan atau kefakiran merupakan suatu wabak yang boleh menyebabkan seseorang itu boleh menjadi kafir.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Hampir-hampir kefakiran itu boleh menyebabkan kekufuran.”[27]


                                          ii.            Faktor-faktor  Luaran

a.      Persekitaran
Taktik menyelewengkan akidah umat Islam kini kebanyakannya menggunakan kaedah yang licik serta sukar dikesan jika tidak diperhalusi dengan lebih mendalam. Golongan kufar ini menjadikan golongan miskin serta remaja sebagai sasaran, dengan golongan yang terdesak untuk menggunakan wang sebagai sasaran mereka. Misalnya, kisah Pn Asmah seorang ibu tunggal telah menerima bantuan bulanan kira RM 1,500 sebulan dengan dibayarkan sewa rumah sejumlah RM 500 sebulan oleh sebuah gereja di Kuala Lumpur. Pengakuan Pn Asmah ini membongkar wujudnya terpengaruh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dakwah sesat mereka dengan tawaran wang ringgit bertujuan untuk memesongkan akidah mereka. [28]


b.      Rakan Sebaya
Bagi golongan remaja, keterlibatan mereka dalam social persekitaran menyebabkan mereka gemar dan terpengaruh dengan rakan sebaya mereka. Keadaan ini mungkin disebabkann kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa di rumah. Akibatnya mereka mencari sesuatu yang boleh mengisi kekosongan hidup dan bersesuaian dengan minat mereka. Justeru unsur-unsur murtad berjaya mempengaruhi mereka melalui pemikiran, perbuatan dan sebagainya. Bahkan keretakan rumahtangga serta perceraian yang berlaku di kalangan ibu bapa menyebabkan anak-anak semakin liar seterusnya mencari ketenangan dan hiburan di luar rumah tanpa pemantauan.97 Dengan kata lain ibu bapa tidak mampu menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak.

c.       Gerakan Kristianisasi
Bagi Dr. Chandra Muzaffar pluralsime bermaksud kepelbagaian dan ini tidak menimbulkan masalah dalam Islam. Namun hal ini menjadi bahaya sekiranya menyamakan semua agama sebagai sama. Kini terdapat fahaman yang berkembang iaitu menganggap Islam sama seperti agama lain sedangkan kita wajib beriktiqad bahawa agama yang diterima Allah ialah Islam.

Selain itu Harakahdaily mendedahkan, terdapat gerakan memurtadkan remaja Islam sedang giat di Seremban 2 dengan usaha lebih agresif dan berani mendekati golongan sasar terutamanya relaja lingkungan usia 17 hingga 25 tahun. Pengerusi Jawatankuasa Surau Garden Homes, Azman Basra, mendakwa kewujudan kumpulan memurtadkan ini dikesan beroperasi di sebuah premis kedai dua tingkat berhampiran sebuah tokong Buddha di Bandar Seremban 2. Kumpulan ini menjadikan golongan remaja sebagai sasaran kerana bagi mereka kelompok remaja lebih mudah didekati berbanding golongan remaja yang lebih kuat pegangan akidahnya, kata Azman dalam satu pengumumannya di surau tersebut baru-baru ini.[29]



5.0       Cadangan
Hasil perbincangan diatas, penulis ingin mencadangkan beberapa langkah sebagai membendung gejala murtad:

Dicadangkan penambahan pusat pemulihan akidah di setiap negeri dan modul perlaksanaan pemulihan digubal oleh wakil dari semua pusat pemulihan akidah ini. Selain itu ianya perlu diperbaiki dari masa ke semasa. Lebih utama lagi adalah ianya akan menjadi amat baik jika terdapat strategi pencegahan pencemaran akidah seperti penubuhan jabatan atau unit untuk maksud sedemikian. Misalnya, Selangor dan Negeri Sembilan telah membuka langkah proaktif dengan menubuhkan satu Unit Pencegahan Penyelewengan Akidah dengan bermatlamatkan untuk memelihara dan mempertahankan akidah umat Islam. Penulis juga melihat kepada keperluan pentafsiran atau pentakrifan keluar agama Islam berdasarkan keadaan semasa dan masyarakat Malaysia dibuat oleh pihak berotoriti seperti Mufti, Jawatankuasa Fatwa Negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan. Ini akan membantu pihak mahkamah untuk memutuskan sesuatu perkara berkaitan dengan kesalahan keluar agama Islam ini.



6.0       Kesimpulan
Berdasarkan berbincangan di atas ianya menunjukkan terdapat beberapa kelemahan peruntukan undang-undang dan ketidakseragaman prosedur. Ini dapat dirumuskan seperti
berikut:-

Bagi Kesalahan Keluar Agama Islam dan hukuman, sememangnya hukuman murtad berdasarkan hudud tidak dilaksanakan di Malaysia. Oleh itu penggunaan kesalahan keluar agama Islam digunakan kepada sesiapa yang menukar agamanya. Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan keluar agama Islam adalah dalam bentuk perintah untuk menjalani pemulihan akidah dan kaunseling. Namun begitu, didapati dari aspek penguatkuasaan seperti menghantar ke pusat pemulihan akidah masih terdapatnya masalah. Setakat ini hanya ada satu pusat pemulihan akidah yang beroperasi sepenuhnya iaitu di Ulu Yam, Selangor manakala terdapat satu pusat yang sepatutnya beroperasi tetapi belum diwartakan iaitu di Jelebu Negeri Sembilan





Rujukan:

Buku:

Al-Quran & Terjemahan

Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (Jenayah) Pindaan 1984.

Bustani, Muhit al-Muhit. Maktabat Lubnan, Beirut, 1987

Haji Sa’id Haji Ibrahim, Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith, Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur, 1996

Muhammad Isa Selamat (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur: terbitan Darul Nu’man.

Perlembagaan Persekutuan (hingga 5hb Mac 2008). Kuala Lumpur : Terbitan International Law Book Services, 2008

Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Dar al-Fikr, Beirut, 1995

Sahih Bukhari


Jurnal/Kertas Ilmiah

Andra Amalia Sari Fakultas Hukumuniversitas Muhammadiyah Surakarta, “Putusan Fasakh Atas Cerai Gugat Kerana Suami Murtad”, 2009

Dr. Farahwahida bt. Mohd Yusof , P.M Aminuddin b. Ruskam, Tuan Hj. Azmi Shah b. Suratman, En. Mohd Nasir b. Ripin, Cik Nur Raihan binti Nordin, Cik Sharifah Munirah bt. Timmiati, Universiti Teknologi Malaysia, Kaedah Penyelesaian Dalam Menangani Pertukaran Agama Dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam Di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur”

Haji Abdullah bin Besida, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “ Jenayah Dalam Islam Satu Kajian Perlaksanaan Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor”, 1995

Haji Awang Shahrin Alimin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Murtad dan Cara Mengatasinya Di Sabah”, 1993

Musa bin Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, “Murtad dalam Islam” 1990

Zulkifli Hasan dan Norfadhilah Mohd Ali, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, “Kedudukan Murtad Menurut Perspektif Undang-Undang Di Malaysia”


Kertas Kerja:

Abdul Ghani Shamsuddin, “Gejala Murtad:  Pengertian, Implikasi dan  Langkah Pencegahan” – Kertas Kerja ini telah dibentangkan di dalam Seminar Pembinaan Ummah dan Membasmi Murtad pada 7hb Feb 2009 dengan kerjasama JAKIM, JAWI dan Yayasan Sofa Negeri Sembilan bertempat di Masjid Wilayah Kuala Lumpur


Akhbar & Majalah

Full text of Sultan of Selangor’s statement on church operation controversy, The Star, 11th October 2011

Harakahdaily. Julai 17, 2006

Sinar Harian, 23 Ogos 2011

Aninah Janang, Mastika (Disember 2006), Tolong Selamatkan Gadis-Gadis Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd.

Sahidan Jaafar, Mastika (November 2006), Kami Perjudikan Akidah Untuk beri Makan Anak-Anak!, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd.




[2] Ibid
[3] Sinar Harian, 23hb Ogos 2011
[4] Bustani, Muhit al-Muhit. Maktabat Lubnan, Beirut, ms 330
[5] Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Dar al-Fikr, Beirut, ms 300
[6] Haji Sa’id Haji Ibrahim, Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadith, ms 117
[7] www.harakahdaily.net. 14 Februari 2006. “Mufti Perak Dakwa 250,000 murtad di negara ini?
[8] Zulkifli Hasan dan Norfadhilah Mohd Ali, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, “Kedudukan Murtad Menurut Perspektif Undang-Undang Di Malaysia”, ms 2
[9] Ibid
[10] Dr. Farahwahida bt. Mohd Yusof , P.M Aminuddin b. Ruskam, Tuan Hj. Azmi Shah b. Suratman, En. Mohd Nasir b. Ripin, Cik Nur Raihan binti Nordin, Cik Sharifah Munirah bt. Timmiati, Universiti Teknologi Malaysia, “Kaedah Penyelesaian Dalam Menangani Pertukaran Agama Dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam Di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur”, ms 25
[11] Surah al-Baqarah : 217
[12] Riwayat Jamaah kecuali Muslim
[13] Riwayat Bukhari dan Muslim
[14] Mohamed Azam Mohamed Adil. (2005). Kebebasan Beragama dan Hukuman ke atas orang Murtad di Malaysia. Kuala Lumpur. Universiti Malaya. ms 172-173.
[15] Mohamad Hashim Kamali. (1997). Freedom of Expression in Islam. Cambridge: Islamic Text Society, ms 93.
[16] Al-Baqarah, ayat 256
[17] Rujuk Artikel 2, Perlembagaan Perseketuan
[18] Perlembagaan Persekutuan, ms 238
[19] Akta Bidang Kuasa Mahkamah Syariah (Jenayah) Pindaan 1984
[20] Di Perlis, satu Rang Undang-undang Perlindungan Aqidah Islam (Perlis) 2000 mengenakan hukuman rehabilitasi selama tidak lebih satu tahun sekiranya didapati cuba menukar agama Islam.

[21] Muhammad Isa Selamat (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur: terbitan Darul Nu’man. ms. 59
[22] Harakahdaily. Julai 17, 2006
[23] Muhammad Isa Selamat. (1998). Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur: terbitan Darul Nu’man. ms 57
[24] Aninah Janang. November 2006. Mastika: Ramalan Zulkifli Nordin Ternyata Benar. ms 52
[25] Aninah Janang, Mastika (Disember 2006), Tolong Selamatkan Gadis-Gadis Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd. ms 93.
[26] Sahidan Jaafar, Mastika (November 2006), Kami Perjudikan Akidah Untuk beri Makan Anak-Anak!, Kuala Lumpur, Utusan karya Sdn. Bhd. ms 40
[27] Riwayat al-Baihaqi

[28] Sinar Harian, 23 Ogos 2011
[29] Harakahdaily. Julai 17, 2006

No comments:

Post a Comment