Pages

Friday, 24 August 2018

Benarkah Kemunculah Hadis Palsu Bermula Sejak Zaman Nabi Muhammad s.aw?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

Soalan:

Ada pandangan yang mengatakan bahawa kemunculan hadis palsu telah bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadith : "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." adakah pandangan ini benar?





Pengenalan
Kata-kata yang direka oleh seseorang yang disandarkan kepada kepada junjungan mulia Rasulullah s.a.w merupakan hadis palsu ataupun maudhu. Ianya palsu kerana, kata-kata tersebut bukannya datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w, tetapi disandarkan kepada Nabi s.a.w untuk mencapai sesuatu hasrat dan cita-cita tertentu.  Terdapat juga dikalangan masyarakat yang salah faham terhadap makna (Faizal bin Ahmad Shah 2017) dan kata para sahabat, tabi’in atau ulama juga boleh menjadi hadis palsu yang bukan datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w. Namun, Persoalan tersebarnya hadis-hadis palsu adalah satu perkara yang menjadi cabaran kepada umat Islam masa kini mendepaninya dengan ilmu pengetahuan yang mantap. Isu utama mengapa hadis palsu ini muncul telah dibahaskan dan diperincikan oleh para ulama. Antara faktor utamanya ialah (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003):

a)  Kemuculan musuh-musuh Islam yang berdendam dan perasaan dengki yang tumbuh di hati pemimpin-pemimpin seperti kerajaan Qaisar dan Kisra ke atas pemerintah Islam dan umat Islam yang inginkan daulah Islamiyyah berpecah-belah. Taktik mencipta hadis palsu adalah bertujuan untuk melemahkan pemikiran dan merosakkan akidah umat Islam.

b)  Perpecahan dan perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam sendiri. Implikasi daripada peristiwa Majlis Tahkim di antara Saidida Ali r.a dengan Muawiyyah telah menyebabkan munculnya golongan Syiah dan Khawarij. Di mana, golongan Syiah yang terdiri daripada al-Rafidah telah mencipta hadis mengenai kelebihan ahl al-bayt dan merendahkan pada sahabat.

c) Fahaman Asabiyyah dan ketaksuban kepada kenegerian, keturunan dan suku puak juga mempengaruhi faktor kemunculan hadis palsu. Di mana lahirnya golongan Mawali satu kelompok golongan yang mempunyai rasa dengki ke atas golongan Arab kerana golongan Arab ini terlalu taksub dengan kelebihan bangsa mereka. Tambahan pula ramai dikalangan pegawai-pegawai yang dilantik menjadi adalah daripada golongan Arab oleh pemerintah Bani Umaiyyah menyebabkan golongan Mawali ini mencipta hadis-hadis palsu mengenai ketinggian taraf, puak dan bahasa mereka.

d)    Munculnya tukang-tukang cerita (al-Qasas) yang menokok tambah serta mereka-reka hadis palsu supaya dapat menarik minat orang ramai di dalam majlis-majlis dan halaqah yang diadakan oleh tukang-tukang cerita ini.

e)  Sifat kecenderungan untuk menggalakkan orang ramai untuk membuat kebaikan yang tercetus terutamanya dikalangan para ahli zuhud juga telah menyebabkan munculnya hadis palsu. Golongan ini telah mencipta hadis berkaitan dengan tarhib dan targhib. Hadis-hadis palsu ini dicipta dengan tanggapan supaya dapat menghampiri Allah s.w.t, berbakti kepada Islam untuk beribadat.

f)    Perselisihan dalam mazhab fiqh dan ilmu Kalam juga menjadi faktor mengapa hadis palsu muncul. Hadis-hadis palsu dibuat supaya boleh menguatkan hujah pandangan mazhab masing-masing. Ia banyak berlaku pada pemerintahan khalifah Abassiyyah

g)  Terdapat juga hadis-hadis palsu yang dicipta kerana hasrat ingin berdampingan dengan pemerintah. Umpamanya di dalam kisah Ghiyath bin Ibrahim dengan khalifah al-Mahdi. Disebabkan khalifah amat gemarkan burung merpati, Ghiyath telah menambah hadis asal “….. tiada perlumbaan kecuali pada memanah dan menunggang kuda”.. ditambah “dan burung yang bersayap”.

Kesemua faktor-faktor kemunculan hadis palsu yang diutarakan oleh para ulama tersebut di atas, adalah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Naumn, terdapat juga dikalangan sarjana Islam yang berpendapat bahawa hadis-hadis palsu telahpun muncul bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w dari Al Mughirah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.”

[HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4]

Keterangan hadis di atas ialah menjelaskan bahawa pendustaan ialah memberitahu sesuatu yang bercanggah dengan hakikatnya yang sebenar. Walaupun orang yang tidak sengaja membuat pendustaan tidak berdosa, tetapi berkemungkinan ia berdosa dengan memperbanyakkan kesilapan. Ini kerana, memperbanyakkan kesilapan adalah suatu kesalahan (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam 2007).

Menjawab soalan kuiz ini, pendapat yang mengatakan bahawa hadis-hadis palsu telahpun muncul bermula sejak zaman Nabi s.a.w berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w di atas adalah pendapat yang datangnya daripada Ahmad Amin (Ahmad Amin 1968). Di dalam buku yang ditulis olehnya yang bertajuk Fadjar Islam iaitu sebuah buku yang mengupas perkembangan fikiran dikalangan umat Islam sejak zaman permulaan dakwah Nabi Muhamamd s.a.w. hingga ke-era permerintahan kerajaan Umawy. Buku Fadjar Islam ini mempunyai 392 halaman di mana kandungannya mengandungi 6 bab iaitu bab 1: Bangsa Arab di masa Jahiliyyah, bab 2 : Agama Islam, bab 3 : Bangsa Parsi dan pengaruhnya, bab 4: Pengaruh Yunani Romawi, bab 5: Pemerintahan Kebangkitan Ilmu Keagamaan dan bab 6: Golongan-golongan Keagamaan. 

Berkenaan dengan pandangan beliau tentang kemunculan hadis palsu telah muncul sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lagi bersandarkan kepada hadis Rasullullah s.a.w "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." boleh dirujuk dihalaman 102 di mana beliau telah menulis:

“Nabi Muhammad melihat manusia sudah berjungkil balik kehilangan akal fikirannya sehingga tidak dapat menampung apa yang perlu difikirkan, dan tidak dapat memahami soal-soal yang sebenarnya sangat jelas dan terang. Cara berfikir manusia sudah terlampau rosak. Soal-soal teori dipandang oleh manusia sebagai hal yang penting dan mendesak sedangkan soal yang sebenarnya penting dan esensial dianggap sebagai soal yang diragukan sedangkan soal-soal yang jelas dan pasti malah dianggap sebagai soal yang pasti dan diyakini kebenarannya” (Ahmad Amin 1968).

Daripada perenggan di atas, penulis berpendapat bahawa beliau sebenarnya menggambarkan bahawa hancurnya seluruh aspek kehidupan masyarakat yang disebabkan kerana kekeliruan dalam bidang akidah dan pola pemikiran yang berpunca runtuhnya akhlak manusia. Oleh sebab itu, beliau mengemukakan pemalsuan hadis adalah bermula pada masa Rasulullah s.a.w lagi dengan membawa bukti hadis "sesiapa yang berdusta ke atas diriku maka tempahlah tempat duduknya di dalam neraka..." sebagai bukti hujah beliau.

Namun begitu, hujah beliau tidak dapat adalah lemah bahawa berlakunya pendustaan ke atas hadis-hadis Nabi s.a.w semasa hajat baginda s.a.w. Ini kerana dari aspek sejarah di mana berdasarkan maklumat sejarah, tiada seorang sahabatpun yang memalsukan satu kalimat baginda s.a.w. Sekiranya hal tersebut berlaku, sudah tentu para sahabat menerangkannya (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003).

Untuk menangkis pandangan dan hujah Ahmad Amin, para sarjana berusaha mengumpulkan dan mengkaji hadis-hadis yang berkaitan supaya masyarakat tidak terpesong dengan pandangan yang telah diberi oleh Ahmad Amin. Para sarjana telah memberi hujah antara lain berdasarkan kepada hadis sahih

عَنْ عبدالله بن عمر وضيالله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: بلغوا عني ولو آية وحدثوا عن بني إسر ائيل ولاحرج


            Maksudnya: Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat, dan ceritakanlah mengenai Bani Israil. Tiada sebarang kesempitan dosa”.
[Riwayat al-Bukhari]

Keterangan hadis di atas ialah menjelaskan tentang kewajipan menyampaikan ilmu. Ayat bermaksud nasihat atau pedoman yang membezakan perkara yang baik dan buruk. Nabi s.a.w telah menegah daripada menceritakan tentang Bani Israil ketika hukum hakam dan tapak agama belum belum kukuh, kerana dikhuatiri fitnah. Apabila tiada lagi perkara yang perlu dikhuatiri maka diizinkan agar boleh diambil iktibar (Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam 2007).

Ibn Hajar di dalam Jawiah Dakir dan Mohd Napiah Abdullah (Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah 2003) menjelaskab bahawa apa yang hendak disampaikan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis ini ialah:

i       Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat dan orangIslam supaya meriwayatkan hadisnya walaupun satu ayat

ii   Para sahabat dan orang Islam diberi keharusan menceritakan berkenaan dengan bani Israil yang diketahui benar

iii    Rasulullah s.a.w memberi amaran supaya para sahabat dan umat Islam tidak membuat pendustaan ke atas baginda kerana azab siksa kepada mereka yang mendustakan Nabi s.a.w ialah siksa api neraka

Rumusan daripada perbincangan di atas, baginda s.a.w bersabda sedemikian bukanlah menunjukkan bahawa pemalsuan hadis berlaku di zaman hayat baginda s.a.w masih ada. Ahli-ahli hadis dan sarjana Islam berpendapat bahawa pemalsuan hadis berlaku selepas wujudnya fitnah semasa kerajaan Islam di zaman khalifah Uthman bin Affan. Semenjak daripada itu, maka bermulalah perkembangan pemalsuan hadis pada abad ke-2 dan ke-3 hijrah hingga sekarang. Kesimpulan penulis ini disokong oleh hujah Dr Muhammad Arif pensyarah bagi subjek Kajian Hadis Masa Kini bahawa generasi awal sahabat telah meletakkan asas dalam berinteraksi dengan hadith setelah sumber syariat ini diancam dengan kemunculan hadith-hadith palsu. Sebelum itu, generasi sahabat tidak pernah melakukan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w dan saling menyampaikan kandungan hadith dikalangan sahabat dengan penuh amanah (Muhammad Arif Yahya 2016).



Rujukan
Ahmad Amin.  1968. Fadjar Islam. Jakarta: PT. Bulan Bintang.

Faizal bin Ahmad Shah.  2017. Penyelewengan Terhadap Makna Hadith Dan Kesannya Kepada Umat Islam. Penyelewengan Terhadap Makna Hadith Dan Kesannya Kepada Umat Islam, Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jawiah Dakir & Mohd Napiah Abdullah.  2003. Kajian Hadis Masa Kini. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad Arif Yahya.  2016. Manhaj Ahl al-Hadith : Peranan dan Sumbangannya dalam Ketamadunan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 283–290.

Zahazan Mohamed & Ahmad Hasan Mohd. Nazam.  2007. 300 Hadis Bimbingan : Ke arah mencari reda Allah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

 Zulkifli Mohd Yusoff, Ishak Hj Suliaman, Monika @ Monirah Abd Razak & Anwar Ridwan Zakaria. 2009. Khazanah al-Qur’an & al-Hadith Nusantara. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


Tuesday, 31 July 2018

Definisi Tasawuf Menurut Tokoh Moden


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين


Pengenalan
Persoalan pertama, apakah itu tasawuf? Kedua, apakah ciri-ciri umum jika didapati dalam mana-mana aliran falsafah yang boleh disifatkan sebagai tasawuf? Maka, artikel ini akan membentangkan takrif tasawuf dari dua aspek iaitu takrif dari segi bahasa dan istilah menurut tokoh-tokoh moden.

Takrif Dari Segi Bahasa
تعريف و معنى تصوف في معجم المعاني الجامع
1)      تصوَّفَ: (فعل)
تصوَّفَ يتصوَّف ، تصوُّفًا ، فهو مُتصوِّف
·      تصوَّف الشَّخصُ : صار صُوفيًّا واتبَّع سُلوكَ الصُّوفيّة وحالاتهم
·      تَصَوَّفَ الرَّجُلُ : لَبِسَ الصُّوفَ

2)    تصوُّف: (اسم)
مصدر تَصَوَّفَ
·      دَخَلَ الشَّيْخُ مَرْحَلَةَ التَّصَوُّفِ : التَّعَبُّدِ وَالتَّزَهُّدِ وَالابْتِعَادِ عَنْ مُخَالَطَةِ النَّاسِ
·      خِرْقةُ التَّصوُّف : ما يلبسه المريد من يد شيخه الذي يدخل في إرادته ويتوب على يده
·      التَّصوُّفُ : طريقة سلوكية قوامها التقشف والتحلي بالفضائل ، لتَزْكُوَ النفسُ وتسموَ الروح
·      علم التَّصوُّف : ( الفلسفة والتصوُّف ) مجموعة المبادئ التي يعتقدها المتصوِّفةُ والآداب التي يتأدّبون بها في مجتمعاتهم وخلواتهم

3)    صَوِفَ: (فعل)
·      صَوِفَ ، يَصْوَفُ ، مصدر صَوَفٌ
·      صَوِفَ الْحَيَوَانُ : كَثُرَ صُوفُهُ

4)    صَوَّفَ: (فعل)
·      صوَّفَ يصوِّف ، تصويفًا ، فهو مُصوِّف ، والمفعول مُصوَّف
·      صَوَّفَ الْخَرُوفُ : ظَهَرَ عَلَيْهِ الصُّوفُ
·      صَوَّفَ الْحَيَوَانُ : كَثُرَ صُوفُهُ
·      صَوَّفَ النَّبَاتُ أَوِ الْكَرْمُ : ظَهَرَ عَلَيْهِ مَا يُشْبِهُ الصُّوفَ
·      صَوَّفَ الرَّجُلَ : جَعَلَهُ مِنَ الصُوفِيَّةِ
·      صَوَّفَ الطَّعَامُ : تَعَفَّنَ وَظَهَرَتْ عَلَيْهِ الفُطْرِيّاتِ

تعريف و معنى تصوف في قاموس المعجم الوسيط.
1)    تَصَوَّفَ
تَصَوَّفَ فلانٌ : صَار من الصوفيَّة .
2)    التَّصوُّفُ
·      التَّصوُّفُ : طريقة سلوكية قوامها التقشف والتحلي بالفضائل ، لتَزْكُوَ النفسُ وتسموَ الروح .
·      و ( علم التصوف ) : مجموعة المبادئ التي يعتقدها المتصوَّفة ، والآداب التى يتأَدبون بها في مجتمعاتهم وخلواتهم .

تعريف و معنى تصوف في قاموس اللغة العربية المعاصر.
1)    تصوُّف
تصوُّف :-
أ‌-     مصدر تصوَّفَ
·      خِرْقةُ التَّصوُّف : ما يلبسه المريد من يد شيخه الذي يدخل في إرادته ويتوب على يده .

ب‌-  ( الفلسفة والتصوُّف ) طريقة في السّلوك تعتمد على التقشُّف ومحاسبة النفس ، والانصراف عن كلّ ما له علاقة بالجسد والتَّحلِّي بالفضائل ؛ تزكية للنَّفس وسعيًا إلى مرتبة الفناء في الله تعالى إيمانًا بالمعرفة المباشرة أو بالحقيقة الرُّوحيّة .
·      علم التَّصوُّف : ( الفلسفة والتصوُّف ) مجموعة المبادئ التي يعتقدها المتصوِّفةُ والآداب التي يتأدّبون بها في مجتمعاتهم وخلواتهم .

2)    تصوَّفَ
تصوَّفَ يتصوَّف ، تصوُّفًا ، فهو مُتصوِّف :-
·      تصوَّف الشَّخصُ
أ‌-      صار صُوفيًّا واتبَّع سُلوكَ الصُّوفيّة وحالاتهم .
ب‌-  لَبِس الصوفَ .

            Manakala takrif dari segi bahasa menurut Kamus Dewan ialah ajaran (usaha, jalan) untuk mengenal Tuhan dengan benar-benar dan mendekatkan diri dengan Tuhan (Kamus Dewan 2013).

            Manakala menurut Shamsul Mohd Nor (Shamsul Mohd Nor 1973), tasawuf itu diambil daripada perkataan Arab  صوف   yang bererti baju bulu yang dipakai oleh ahli-ahli sufi. Shamsul turut menyatakan bahawa terdapat juga pendapat lain mengenai takrif bahasa tasawuf iaitu ia timbul daripada perkataan   صوفي   iaitu gelaran bagi golongan yang bersuluk dan menyepikan diri daripada kemewahan dunia pada kurun ke-2 hijrah. Seterusnya Shamsul merujuk kepada takrif yang diberikan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitab Sirrul Asrar yang mana tasawuf  تصوف  itu diambil daripada empat huruf iaitu Ta’(ت)  , Sod (ص) , Waw  (و), dan Fa’ (ف) , iaitu:

            Ta’(ت)     bereri taubat (توبة), iaitu membersihkan diri zahir dan batin dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Sod (ص)   bererti sofa’un (صفاء) yang bererti bersih iaitu bersih hati dan rasa. Waw  (و) bereri wilayah  (ولاية) yang bererti mendapat petunjuk terus daripada Allah. Fa’ (ف) bererti Fana’ (فناء) yang bererti terhapus segala sifat makhluk dalam keagungan Tuhan Rabbul Izzati (Shamsul Mohd Nor 1973).
            Merujuk kepada takrif di atas, Yusri Abd. Karim (Yusri Abd. Karim 2011) memberi takrif tasawuf berdasarkan kepada sebuah hadith Rasululullah s.a.w :

ذَهَبَ صَفْوُ الدّنيَا وَبَقِيَ الكَدَرُ فَالْمَوْتُ اليَوْمَ تُحْفَةٌ لِكُلّ مُسْلِمٍ
            Maksudnya: Kemurnian dunia telah pergi, dan hanya berbakti kekeruhan, maka kematian hari ini adalah harapan berharga bagi seorang Muslim
            [Riwayat al-Daruqutni]

            Dalam hadith ini, disebutkan perkataan safwu al-dunya (صَفْوُ الدّنيَا). Kata safwu besar kemungkinan sebagai akar kepada kata tasawuf. Lalu kemudiannya antara landasan pokok dalam ajaran tasawuf ialah nilai-nilai yang terkandung dalam hadith ini, iaitu daripada Rasulullah s.a.w bahawa kematian adalah perbendaharaan yang ditunggu-tunggu dan paling berharga bagi seorang Muslim. Daripada pemahaman hadith ini, maka kemudiannya dikenali istilah tasawuf dari sudut bahasa (Yusri Abd. Karim 2011).          

            Prof. Dr. Haji Abdul Malik Bin Dr. Syekh Haji Abdul Karim (HAMKA) adalah salah seorang Ahli Tasawuf. Beliau telah menulis buku tasawuf, salah satunya Buku Tasawuf Moden. Beliau telah memberi erti Tasawuf dan asal katanya menjadi pertikaian ahli-ahli bahasa. Ada yang mengatakan perkataan itu diambil dari perkataan shafa’, ertinya suci bersih, ibarat kilat kaca. Ada setengahnya dari perkataan ‘shuf’ ertinya bulu binatang, kerana benci mereka kepada pakaian yang indah-indah, pakaian ‘orang dunia’ ini. Dan ada setengahnya diambil dari kaum shuffah, ialah golongan sahabat-sahabat Nabi yang menyisihkan dirinya di satu tempat terpencil seperti di Masjid Nabi. Kata setengahnya pula dari perkataan shufanah, ialah sebangsa kayu keras yang tumbuh di padang pasir tanah Arab (pokok zaitun). Tetapi setengah ahli bahasa dan riwayat, terutama pada zaman akhir ini mengatakan bahawa perkataan shufi itu bukanlah bahasa Arab, tetapi bahasa Yunani lama yang telah diarabkan. Asalnya theosofie, ertinya Ilmu Ketuhanan, kemudian diarabkan dan diucapkan dengan lidah orang Arab sehingga berubah menjadi Tasawuf (HAMKA 2017).

            Menurut pandangan Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, dari segi takrif bahasa tentang Tasawuf, beliau menerangkan bahawa Ahli Sufi telah memberikan takrif yang begitu banyak tentang Tasawuf, sehingga pernah dikatakan bahawa Tasawuf mempunyai lebih dari seribu takrif.  Salah seorang tokoh sufi pada kurun keempat telah memberikan takrif Tasawuf “Tasawuf ialah kejernihan dan penyaksian” pengertian membawa dua aspek atau dua unsur penting dalam Tasawuf iaitu, unsur dari segi wasilah (jalan) dan unsur dari segi ghayah (matlamat). Safa atau kejernihan melambangkan jalan atau wasilah, sementara musyahadah atau penyaksian melambangkan ghayah yang dicita-citakan oleh Ahli Tasawuf (Mohd. Sulaiman Hj. Yasin 1992).

Takrif Tasawuf Dari Segi Istilah
Perkataan tasawuf walaupun sudah tersebar luas tetapi pengertiannya yang berbeza-beza kerana ia merupakan fenomena umum dalam mana-mana agama, falsafah dan tamadun manusia dalam sudut berlainan. Menurut Yazid Hj Maarof & Mohamad Kamil Abd Majid, tasawuf pada umumnya merujuk kepada falsafah hidup dan cara tertentu dalam mengasingkan diri yang dilakukan oleh manusia untuk mencapai kesempurnaan akhlak dan makrifatnya dengan hakikatnya dengan hakikat dan kebahagian rohaninya (Yazid Haji Maarof & Mohamad Kamil Abd Majid 2016).

Tasawwuf menurut Kyai Haji Jamaluddin Kafie adalah satu wasilah atau medium yang perlu dilalui oleh seseorang mukmin untuk melalui proses upaya dalam rangka menghakikatkan syariat melalui jalan tarikat untuk mencapai makrifat. Beliau menjelaskan konsep tasawwuf dengan mendatangkan beberapa analogi. Pertama tasawwuf diibaratkan seperti tanaman, syariat diibaratkan seperti pokok yang ditanam, thariqat adalah proses menyiram, menjaga, menyuburkan tanaman tersebut supaya dapat menghasilkan buah yang baik yang diibaratkan hakikat. Hasil daripada menjaga dan memelihara tanaman tersebut, penjaganya akan dapat menikmati buah dari tanaman tersebut dan itulah makrifat. Kedua, seseorang yang melakukan perjalanan menaiki kenderaan diibaratkan seperti tasawwuf,  jalan raya yang perlu dilalui adalah syariat, jalan-jalan yang kecil adalah sebagai laluan yang akhirnya membawa perjalan tersebut ke destinasi hakikat. Dari situlahakanmeneruskan perjalanan ke tujuan terakhir iaitu makrifat. Ketiga, tasawwuf turut diibaratkan seperti sebiji telur, syariat pula adalah kulit telur, putih telur pula adalah thariqat, manakala hakikatnya adalah telur merah, dan sel nukleas pada telur merah adalah makrifat (K.H. Jamaluddin Kafie 2003).

Menurut Muhammad Zaki Ibrahim dalam bukunya Abjadiyah at-Tasawuf al-Islami menerusi buku terjemahan yang bertajuk Tasawuf Hitam Putih menjelaskan pengertian tasawuf iaitu membersihkan diri dari sesuatu perkara yang hina dan menghiasinya kembali dengan sesuatu yang baik untuk mencapai tingkat bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT atau mencapai makam tertinggi. Definisi yang diberikan oleh Muhammad Zaki dapat difahami bahawa tasawuf adalah sifat taqwa pada kedudukan yang tertinggi sama ada dari sudut zahir mahupun batin. Takwa merupakan akidah dan perbuatan yang menentukan sesuatu hubungan hamba dengan Allah SWT melalui ibadah yang sempurna dan perilaku yang baik (Muhammad Zaki Ibrahim 2004).

Tasawuf sebagaimana yang dijelaskan oleh Mulhadhi adalah satu cabang ilmu dalam Islam yang menekan tentang aspek spiritual dalam diri seseorang. Spiritual yang dimaksudkan disini ia dapat menekankan pelbagai perkara yang terkandung di dalamnya. Spiritual sangat berkait rapat dengan rohani berbanding Jasmani dalam kehidupan manusia. Di mana kehidupan ahli tasawuf pula lebih tertumpu soal kehidupan di akhirat berbanding kehidupan dunia yang sementara. Tasawuf lebih tertumpu ke pada aspek spiritual kerana ahli tasawuf yang dikenali sebagai sufi lebih berpegang pada keutamaan ‘spirit’ berbanding ‘jasad’ kerana dunia spirit lebih hakiki berbanding dunia jasad yang hanya bersifat sementara dan kehidupan manusia nanti akhirnya akan kembali kepada Allah SWT dan Allah itu juga adalah unsur spirit (Mulhaldi Katarnegara 2006).

            Menurut HAMKA (HAMKA 2017), dari mana pengambilan perkataan tasawuf itu, dari bahasa Arab ke Yunani, namun asal pengambilan itu sudah nyata bahawa yang dimaksudkan dengan kaum Tasawuf atau kaum shufi itu ialah kaum yang telah menyusun kumpulan menyisihkan diri dari orang ramai, dengan maksud membersihkan hati, laksana kilat kaca terhadap Tuhan atau memakai pakaian yang sederhana, jangan menyerupai pakaian orang dunia, biar hidup kelihatan kurus kering bagai kayu di padang pasir atau memperdalam penyelidikan tentang perhubungan makhluk dengan Penciptanya. HAMKA telah mengambil daripada Ibnu Khaldun ‘Tasawuf itu adalah semacam ilmu syar’iyah yang timbul kemudian di dalam agama. Asalnya ialah bertekun beribadat dan memutuskan pertalian dengan segala selain Allah, hanya menghadap Allah semata-mata. Menolak hiasan-hiasan dunia serta membenci perkara-perkara yang selalu memperdaya orang ramai, kelazatan harta benda dan kemegahan. Dan menyendiri menuju jalan Tuhan dalam khalwat dan ibadat’.

            HAMKA juga telah mengambil pengertian Tasawuf daripada Al-Junaid, “Tasawuf ialah keluar dari budi, perangai yang tercela dan masuk kepada budi, perangai yang terpuji”. Dari segi keterangan moden, erti kata-kata Al-Junaid adalah iaitu membersihkan jiwa, mendidik mempertinggikan darjat budi, menepiskan segala ketamakan dan kerakusan, memerangi syahwat yang terlepas dari keperluan untuk ketenangan diri (HAMKA 2017).

            Mohd Sulaiman Yasin menjelaskan istilah tasawuf atau penamaan tasawuf tidak ada pada zaman permulaan Islam. Tiadanya istilah umum atau nama Tasawuf pada zaman Rasul dan Sahabat tidaklah boleh dijadikan alasan atau bukti atas ketiadaan hakikat atau kandungan makna Tasawuf, seperti yang difahami dan diamalkan oleh ahli-ahli sufi. Di antara sebab mengapa nama atau istilah Tasawuf tidak ada pada zaman permulaan Islam, Mohd. Sulaiman Hj. Yasin telah mengambil dari Imam al-Qusyairi ialah kerana gelaran yang paling tinggi dan mulia yang diberikan kepada generasi Islam ialah gelaran Sahabat dan kemudiannya gelaran Thabi’in. tidak ada gelaran yang semulia dan setinggi gelaran Sahabat dan Thabi’in atau Pengikut Sahabat (Mohd. Sulaiman Hj. Yasin 1992).

            Zakaria Stapa (Zakaria Stapa 1966) menerangkan bahawa perkataan atau istilah Tasawuf dan kata terbitannya tidak ditemui dalam mana-mana bahagian dalam sumber Islam yang paling berautoritif iaitu al-Quran dan Hadis. Dalam membicarakan sumber yang diambil atau kata dasar daripada istilah Tasawuf dibentuk, maka diketemukan pada sepanjang sejarah perkembangan yang telah diketangahkan oleh berbagai-bagai pihak. Perkataan seumpama al-safa’ atau al-safw, al-sifat, al-saff, al-sufanah, sufat al-qafa, Sufah ibn Murr, al-suf dan sufia. Adalah jelas sekali bahawa emua perkataan di atas, kecuali perkataan al-suf adalah tidak berupaya, dari aspek etimologi dan semantiknya sesuai dan sah untuk dijadikan sumber ambilan sebenar kepada perkataan Tasawuf.

            Menurutnya lagi, terdapat golongan ahli sufi yang mendakwa bahawa Tasawuf telah muncul bersama-sama dengan kemunculan risalah Nabi Muhammad SAW itu sendiri, walaupun mereka juga pada waktu yang sama mengakui bahawa Tasawuf sebagai satu istilah yang muncul sedikit lewat. Kenyataan ini yang direkodkan oleh al-Sarraj dalam al-Luma’  boleh memberi sokongan kepada perkara yang sedang diperkatakan : “kita tidak pun mendengar nama al-sufiyyah (digunakan) pada masa (hidupnya) para sahabat Rasulullah SAW. Begitu juga sebentar selepas mereka (ungkapan) sufi telah tidak diberikan kepada siapa pun juga daripada kalangan para sahabat Rasulullah SAW”.

            Zakaria Stapa mengambil dari al-Sarraj, yang mana disebabkan kelambatan muncul istilah atau nama Tasawuf adalah disebabkan oleh istilah lain yang mana lebih membanggakan iaitu istilah al-Sahabah. Menurut beliau, dengan wujudnya panggilan lain yang lebih bermakna dalam menggambarkan kerapatan hubungan dengan Rasulullah SAW. Selain daripada itu, penulis mengambil kenyataan daripada Al-Suhrawardi dalam ‘Awarif’, di samping menyebut ungkapan al-sahabah telah membuat tambahan ungkapan al-Tabi’in sebagai penyebab kepada kelambatan kepada penggunaan perkataan Tasawuf. Sedangkan al-Qushairi pula, beliau telah membuat tambahan satu lagi generasi umat iaitu Atba’ al-Tabi’in. oleh kerana tambahan satu ungkapan dalam konteks ini, melibatkan satu generasi umat Islam, maka penentuan masa atau tempoh dalam penggunaan sebenar Tasawuf telah berlaku dalam masyarakat umat Islam (Zakaria Stapa 1966).

            Dalam memberi definisi tasawuf dari sudut istilah, Yusri Abd. Karim (Yusri Abd. Karim 2011) banyak merujuk kepada takrifan yang telah diberikan oleh ulama-ulama silam antaranya Imam al-Junaid al-Baghdadi yang menyatakan bahawa “tasawuf ialah keluar daripada setiap akhlak yang tercela dan masuk kepada setiap akhlak yang mulia”. Yusri Abd. Karim juga merujuk takrifan oleh Imam al-Qusyairi tentang tasawuf iaitulah “Allah telah menjadikan kaum sufi ini sebagai orang yang suci para wali-Nya”. Beliau juga ada merujuk kepada pendapat Imam Abu Ali al-Daqqaq iaitulah “Pendapat yang paling baik tentang definisi tasawuf ialah perkataan mereka yang menyebutkan bahawa tasawuf ialah suatu jalan yang tidak dapat dilalui kecuali oleh orang yang telah dibersihkan roh mereka oleh Allah daripada kotoran-kotoran”.

            Daripada beberapa penjelasan daripada ulama-ulama yang terdahulu, akhirnya Yusri Abd. Karim membuat kesimpulan tentang makna tasawuf dari sudut istilah ialah “pada dasarnya ajaran-ajaran tasawuf murni berdasarkan al-Qur’an dan al-hadith. Manakala ahli sufi pula merujuk kepada seseorang yang secara konsisten (istiqomah) yang mengerjakan dan berpegang teguh kepada syariat Allah, mengekang hawa nafsunya, makan, minum dan berpakaian dan hal-hal lainya. Dalam aspek dunia, seorang sufi hanya mengambil kadar yang secukupnya sahaja, memperbanyakkan amalan-amalan sunnah dan meninggalkan apa yang ditegah oleh agama (Yusri Abd. Karim 2011).

Kesimpulan
Demikianlah beberapa istilah daripada tasawuf dari sudut bahasa dan istilah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh sarjana moden dalam mentakrif tasawuf. Maka, boleh dirumuskan bahawa takrifan tasawuf adalah pelbagai dan masih tiada takrifan yang mutlak tentangnya. Namun begitu, artikel ini mentakrifkan tasawuf adalah perjalanan rohani yang dilalui oleh seseorang Muslim yang semestinya berlandaskan al-Qur’an dan as-Sunnah. Setiap perjalanan rohani seseorang itu, mestilah melalui proses penyucian hati melalui amalan yang tetapkan oleh syarak seperti berpuasa, membaca al-Qur’an, menghadiri majlis ilmu, berbuat baik kepada ahli keluarga, jiran dan masyarakat serta meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.



 Rujukan:

HAMKA.  2017. Tasawuf Moden. Batu Caves, Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

K.H. Jamaluddin Kafie.  2003. Tasawuf Kontemporer. Jakarta: Mutiara Al-Amien.

Kamus Arab Online https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/

Kamus Dewan.  2013. Kamus Dewan. Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Sulaiman Hj. Yasin.  1992. Mengenal Ilmu Tasawuf 2. Kuala Lumpur: JAKIM : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.

Muhammad Zaki Ibrahim.  2004. Tasawuf Hitam Putih (Abjadiyah at-Tasawuf). Umar Ibrahim, Yazid Muttaqin & Ahmad Iftah (eds.). Solo: Tiga Serangkai.

Mulhaldi Katarnegara.  2006. Menyelami Lubuk Tasawuf. Jakarta: Erlangga.

Shamsul Mohd Nor.  1973. Menyelami Samudera Tasawuf. Batu Caves, Selangor: Yamani Angle Sdn Bhd.

Yazid Haji Maarof & Mohamad Kamil Abd Majid.  2016. Panduan Tasawuf: Panduan Ajaran Islam Amali. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yusri Abd. Karim.  2011. Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi. Batu Caves, Selangor: Yamani Angle Sdn Bhd.


Zakaria Stapa.  1966. Tasawuf dan Empat Tokoh Sufi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.