Pages

Thursday, 5 December 2013

Sejarah Dan Tamadun Islam Di Andalusia

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين

1.0              Pendahuluan

Pada umumnya, tamadun manusia telah wujud semenjak Nabi Adam a.s dicipta oleh Allah SWT.  Dialog tentang peradaban manusia telah dirakamkan oleh Allah SWT sebagaimana yang telah ternukil di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

 A031

Maksudnya: Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".[1]

 A032
Maksudnya: Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".[2]

Perkara utama yang diberikan kepada Nabi Adam adalah ilmu pengetahuan yang tidak dapat ditandingi oleh ilmu para malaikat (al-Baqarah 2: 31-32). Ilmu inilah asas kecemerlangan ummah dan paksi kepada kekuatan Islam. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, satu ciri terpenting pembinaan tamadun manusia yang dicapai ketika itu ialah pembentukan Madinah sebagai pusat ilmu (Sabri Mohamad Sharif 2008) dan elemen perpaduan antara kaum yang wujud secara praktikal. Sejarah Islam memperlihatkan Madinah telah menjadi satu pusat yang penting dalam penyebaran ilmu ke segenap pelusuk yang boleh dicapai ketika itu. Ini termasuklah ke segenap daerah al-Jazirah, al-Sham, Iraq, Euthopia dan Mesir.[3]

Pencapaian masa lampau oleh umat Islam membanggakan dunia sehingga ke hari ini. Hampir 14 abad Islam menguasai pentas dunia. Pembangunan yang dicapai dalam aspek keilmuan, senibina, sains, teknologi dan sebagainya tidak dapat ditandingi pada waktu tersebut oleh sebarang kuasa luar. Ini menunjukkan bahawa pemerintah Islam tidak pernah melupakan aspek pembangunan, malah ia adalah salah satu dari aspek penting dalam pembinaan tamadun. [4]


1.1       Definisi Tamadun Dan Peradaban

Bagi memahami kejayaan dan pengertian kegemilangan sejarah Islam di Andalusi, ada baiknya bertolak dengan melihat pengertian tamadun itu sendiri. Antaranya ialah:

 

Dalam bahasa Arab, tamadun ialah “umran”, hadharah dan madunah. Dalam bahasa Inggeris ianya disebut “civilization” dan di dalam bahasa Melayu disebut kebudayaan, peradaban dan kemajuan. [5]

Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History mendefinisikan tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau menambah, tamadun juga ialah satu kumpulan pemikiran dari pelbagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral.[6]

Manakala Syed Naquib al-Attas dalam bukunya Islam Fahaman Agama Dan Asas Akhlak mendefinisikan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai taraf tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat. [7]

Pendapat yang diberikan oleh beberapa orang tokoh di atas dalam tulisan mereka lebih menjurus kepada pembangunan yang seimbang antara tuntutan di dunia dan juga tuntutan di akhirat. Maka agama memainkan peranan yang utama dalam membentuk sesuatu tamadun yang kuat dari sudut dalaman dan luarannya. Manakala perspektif tamadun dari kaca mata sarjana barat lebih terarah kepada pembangunan berbentuk material tanpa campur tangan agama. Hal ini disebabkan fahaman sekular yang telah merebak dan meresapi pemikiran kebanyakan sarjana barat yang mengetepikan urusan agama dalam soal-soal pembangunan dan agama sekadar amalan di gereja dan rumah ibadat sahaja.[8]

 

1.2       Sumber Tamadun Dan Peradaban Islam

Sumber utama didalam pembinaan tamadun dan peradaban Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber inilah tamadun dan peradaban Islam terbina samaada berbentuk material dan rohani. Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat manusia untuk mengurus muka bumi. Al-Quran telah menggariskan batas-batas tamadun Islam secara menyeluruh.[9]

2.0       Andalusia Sebelum Kedatangan Islam

Wilayah al-Andalus merupakan antara wilayah yang pernah dikuasai oleh kerajaan-kerajaan Islam dahulu dalam tempoh lebih 700 tahun. Ekspedisi ketenteraan yang diketuai oleh Musa b. Nusayr dan Tariq b. Ziyad telah menjadi titik permulaan kepada penyebaran agama Islam di kawasan Semenanjung Iberia. Penyebaran agama suci ini turut diperkukuhkan lagi dengan kewujudan pelbagai pemerintahan Islam di wilayah tersebut, bermula dari zaman Kerajaan Umawi dan diakhiri oleh Kerajaan Nasriyyah di Granada. Bagaimanapun, kedudukan kerajaan-kerajaan Islam di al-Andalus semakin merosot dan berakhir setelah tentera Kristian di bawah pimpinan Ferdinand dan Isabella berjaya menguasai seluruh al-Andalus pada tahun 1492M. [10]

Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim. [11]. Manakala menurut Mohd Nor Jusoh, Andalus atau disebut juga sebagai al-Andalus ialah istilah yang digunakan oleh ahli geografi Islam pada Abad Pertengahan. Yakni ia merujuk kepada wilayah pemerintahan Islam di Semenanjung Iberia yang meliputi negara Portugal dan Sepanyol pada hari ini.[12]

Kedudukan geografi Andalusia yang terletak dipersimpangan antara Barat dan Timur, dan merangkumi kawasan utara dan selatan Eropah. Perkataan asal Andalusia ini dikatakan berasal daripada perkataan “Vandalusia” yang bererti “Tanah Vandal”, iaitu satu suku bangsa Eropah yang mendiami rantau tersebut sekitar abad kelima Masihi. [13]Apabila penguasaan Vandal berakhir dan digantikan dengan suku kaum Visigoth, wilayah ini sentiasa berada dalam keadaan huru-hara tanpa undang-undang yang mampu menjamin keselamatan penduduknya. Seluruh Eropah pada waktu itu berhadapan dengan ‘zaman kegelapan’ (Dark Ages) dimana budaya intelektual yang diwarisi daripada Peradaban Greek dan Romawi semakin lenyap. [14]

2.1       Kedatangan Islam Di Andalusia

Suasana kehidupan penduduk Vandal menjadi kelam kabut dan keadaan masyarakat menjadi tidak terurus. Golongan petani dilayan seperti hamba. Kemiskinan, rasuah, kejahilan dan ketidakstabilan merupakan sebahagian daripada kehidupan harian.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah (911 Masihi) di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur. Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan. Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.[15]

Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad. Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh. Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya".[16]

Selepas dari itu, bermulalah satu era baru pemerintahan Islam daripada Bani Umaiyyah di Andalusia. Malah kedatangan Islam dianggap sebagai pembebas dari segala bentuk kejahilan yang melanda Eropah pada masa itu.

Peta 1 dibawah menunjukkan wilayah Andulusia yang dikuasai oleh tentera Islam pada tahun 711 Masihi.
Peta 1 : Kerajaan Islam Andalusia

Kita akan membincangkan tentang sumbangan utama kerajaan Islam Andalusia dan Granada pada bab 3.0 yakni Andalusia telah menjadi pusat intelektual yang termashyur didunia. Kemajuan bidang intelektual ini telah menjadi pemangkin kepada bidang-bidang lain dan ianya adalah bersendikan kepada al-Quran dan as-Sunnah.



3.0       Sumbangan Peradaban Islam Andalusia Terhadap Pembentukan Peradaban Eropah

Keagungan dan kejayaan sesebuah negara tidak dapat tidak dapat dipisahkan dari semangat perkembangan ilmu dan penyelidikan baru yang dicetuskan oleh Islam. Selama 8 abad (92-897H-711-1492M) orang-orang Islam menjadi perintis dan pelopor tamadun yang tersendiri di Andalus. Didorong oleh semangat cintakan ilmu, maka sarjana-sarjana Muslim mendaki setiap ketinggian intelektual dan mengatasi setiap halangan fizikal sehingga orang-orang Islam berjaya memberi sinar dan kemajuan kepada masyarakat Eropah yang ketika itu masih berada dalam kemiskinan dan kemerosotan baik dari sudut material mahupun spiritual. Tradisi mengkaji dengan bebas disamping menghargai fikiran manusia merupakan kejayaan paling manis dalam kehidupan intelektual orang-orang Islam. Lantaran itu kita dapati bumi Andalus ketika itu dipenuhi dengan institusi-institusi pengetahuan yang memperdebatkan idea-idea tanpa halangan dan mencari ilmu pengetahuan sebagai satu ibadah. Orang-orang Islam menjadi pemimpin dan guru dalam semua daya kreativiti dan aktiviti yang dilakukan sehingga Andalus menjadi simbol kekuatan dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch Of Europe” [17]

 


3.1       Perkembangan Intelektual

Selama hampir 800 tahun berada dibawah pemerintahan Islam, Andalusia menjadi satu sumber peradaban kepada Eropah. Sebagai negara yang bertamadun tinggi, kemajuan dicapai oleh umat Islam Andalusia dalam bidang seni, sastera dan sains tiada bandingannya di benua Eropah. Kemajuan yang dicapai oleh Andalusia telah menarik ramai pelajar-pelajar daripada Perancis, Jerman dan England untuk menuntut ilmu pengetahuan yang hanya terdapat diwilayah pemerintahan kerajaan Islam.

Perkembangan yang pesat telah berlaku terutamanya semasa pemerintahan Abdul Rahman al-Nasir (912-961 Masihi) dan penggantinya iaitu al-Hakam yang juga merupakan seorang sarjana biologi, falsafah dan ilmu-ilmu hukum.  [18]

Antara kemajuan dalam bidang ilmu yang telah dicapai ialah:

a.      Matematik
Matematik adalah bidang yang dilupai oleh peradaban Eropah pada zaman Medieval. Mereka langsung tidak berminat terhadap pencarian fakta-fakta saintifik. Tambahan pula masyaralat Eropah menerima tekanan daripada pihak gereja dengan menyekat perkembangan ilmu sains kerana ianya boleh menggugat kekuasaan gereja.

Peradaban Islam Andalusia memainkan peranan yang penting terhadap perluasan ilmu saintifik. Sumbangan kepada peradaban Eropah dalam bidang matematik dapat dilihat apabila munculnya ramai pakar-pakar dalam bidang ini seperti Aderald dan Morley dari Britain. Aderald telah belajar dengan orang-orang Islam Andalusia dan telah menterjemahkan karya al-Khuwarizmi yang menulis tentang teori geometri dalam matematik dan statistik.[19]

b.      Astronomi
Dalam bidang astronomi terdapat beberapa karya karangan Abu Ma’syar dan juga Kuwarizmi. Karya dua tokoh Islam ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Aderald of Bath dan John of Seville. Abu Ma’syar merupakah cendiawan Islam yang telah membetulkan akrya-karya Ptolemy dan menentukan ketepatan gerhana matahari. Manakala karya-karya al-Battani telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Alfonso X. Karya Ibn al-Zarqiyali juga telah diterjemahkan oleh ahli astronomi yang dipinjam daripada bahasa Arab iaiti al-Sumut dan Nadir.[20]

c.       Perubatan
Pengaruh sarjana Islam Andalusia dalam bidang sains dan perubatan di Eropah amat mengagumkan kerana kecemerlangan mereka mengatasi pencapaian ahli-ahli perubatan di Timur. Kemajuan telah dicapai dalam bidang anatomi dan fisiologi. Antara pakar perubatan yang memberi sumbangan kepada peradaban Eropah ialah Abu Qasim Khalaf bin Abbas Al-Zahrawi (Abucasis). Beliau telah mengarang yang lengkap satu karya yang dianggap sebagai ensiklopedia perubatan yang yang lengkap iaitu kitab al-Tasrfi. Kitab ini telah diterjemahkan ke beberapa bahasa Eropah.[21]

d.      Seni bina
Di Andalusia dan Granada, terdapat banyak seni bina yang melambangkan peradaban Islam. Seni bina ini telah menyumbangkan kepada peradaban Eropah apabila bentuk serta struktur binaan ini telah berkembang dengan pesat di Eropah. Antara binaan termasyhur di Andalusia terletak di Granada yang dibina semasa pemerintahan kerajaan Nasriyyah. Ianya lahir hasil asimilasi orang Islam dan bukan Islam pada abad ke 13 dan 14M. Contohnya rekaan seperti Alcazar di Sevile dan grereja Toledo. Reka bentuk sina binaanya adalah dipengaruhi oleh seni bina Kristian. Sementara itu di Granada, banyak seni binanya adalah dipengaruhi oleh seni bina Islam seperti Istana Al-Hambra yang melambangkan salah mercu tanda Islam di Andalusia. [22]




4.0       Keruntuhan Islam Andalusia[23]

Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal. Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya. Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran.

Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun. Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadi. Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut. Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar jizyah tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.

Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam menghidupkan Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud. Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.

Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, iaitu raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun. Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.

Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa perikemanusiaan. Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah masing-masing. Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar.

Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing. Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan.

Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang  eperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya. Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan bertukar menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan.





5.0       Kesimpulan

Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan  keilmuan, disamping perkembangan industri dan pertanian. Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir  8 abad itu kembali kepada Kristian. 

Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:

                    i.                        Perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin yang mentadbir wilayah. Ini dapat dilihat pada peringkat 

                  ii.                        Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dalam kalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh

                iii.                            Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.


Manakala kejayaan pemerintahan kerajaan Islam Andalusia yang patut kita contohi ialah:

                                i.            Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan , kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran  kreatif  dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi  kerana mereka menggalakkan suasana  intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.

                                i.            Kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri  memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat , dan  mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian dan industri lain tidak lagi dipandang enteng.

                              ii.            Lahirnya ilmuan seperti  Ibn Bajjah (1082-1138M), Ibn Zuhr (1091-1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendekiawan Muslim yang versatile , mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar member manfaat kepada pembangunan negara.


                            iii.            Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di  Andalusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dalam kalangan Negara-negara Eropah yang lain dan  mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah , seni bina, matematik , teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam digambarkan begitu ke hadapan dalam soal ini. Mereka dapat me-asimilisasi-kan  Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada pembangunan keseluruhan negara Barat yang di dominasi kaum Kristian.


                            iv.            Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh khalifah  Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh –contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan , kerjasama antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dalam kalangan rakyat yang ada.




Rujukan


Al-Quran & Terjemahan

Abdul Aziz bin Harjin. 15 Apri 2005. Islam di Andalus. Dipautan http://ctu551.blogspot.com/2008/04/islam-di-andalus-spanyol.html

Afifah Abu Yazid, Mohd Nizho Abdul Rahman, Ismail Ishak, Kamarudin Ahmad, Shukri Ahmad & Mohamad Khadafi Rofie. 2012. Tamadun Islam dan tamadun Asia. Selangor. Penerbit: Pearson Malaysia Sdn Bhd

Arnold Toynbee. 1972. A Study of history. London. Oxford University Press, Thames and Hudson Ltd

Bazli Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang disembunyikan.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm

Dr Mustafa Haji Daud. 1997. Al-Quran sumber tamadun Islam. Kuala Lumpur. Penerbit:  Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (JAKIM)

Ezad Azraai Jamsari, Noranizah Yusuf, Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, & Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2011. Sejarah kerajaan Islam di al-Andalus menurut buku sejarah umat Islam karya HAMKA. Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan & Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia

Mohd Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & Tamadun Asia. Selangor. Penerbit: Sarjana Media Sdn Bhd

Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010) 19-40. Selangor. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Naquib al-Attas. 1977.  Islam Fahaman Agama dan asas akhlak. Kuala Lumpur. Penerbit : ABIM







[1] Surah Al-Baqarah 2:31
[2] Surah Al-Baqarah 2:32
[3] Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010) 19-40. Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 20
[4] Ibid
[5] Mohd Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 12
[6] Arnold Toynbee. 1972. A Study of history. Oxford University Press, Thames and Hudson Ltd
[7] Syed Naquib al-Attas. 1977.  Islam Fahaman Agama dan asas akhlak. Penerbit : ABIM
[8] Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani sejarah umat Islam dalam membentuk masyarakat Hadhari yang gemilang abad ke 21. Jurnal Hadhari 2 (2) (2010) 19-40. Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 22
[9] Mohd Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 16. Lihat juga Dr Mustafa Haji Daud. 1997. Al-Quran sumber tamadun Islam.
[10] Ezad Azraai Jamsari, Noranizah Yusuf, Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, & Adibah Sulaiman @ Mohamad. 2011. Sejarah kerajaan Islam di al-Andalus menurut buku sejarah umat Islam karya HAMKA, hlm 127
[11] Bazli Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang disembunyikan?
[12] Mohd Nor Jusoh. 2012. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 431
[13] Ibid
[14] Ibid
[15] Bazli Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang disembunyikan?
[16] Ibid
[17] Dipetik dari artikel Islam di Andalus dipautan http://ctu551.blogspot.com/2008/04/islam-di-andalus-spanyol.html
[18] Mohd Nor Jusoh. Tamadun Islam & tamadun Asia, hlm 432
[19] Ibid
[20] Ibid, hlm 433
[21] Ibid
[22] Ibid, hlm 436
[23] Bazli Abdul Rahman. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012. Andalusia: sejarah Islam yang disembunyikan.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_01.htm

Sunday, 27 October 2013

Tadabbur Hadith : Kepentingan Tawakkal

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين ، سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين ، ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين




عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم:
(( لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا تُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا )).
 ]رواه أحمد والترمذي والنسائي وابن ماجه وابن حبان والحاكم, قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ [

Daripada ‘Umar bin Al-Khattab RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Jikalau sesungguhnya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana seekor burung diberi rezeki. Ia pergi pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.” [Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim, Kata Abu ‘Isa: Hadith Hasan Sahih]

Pengajaran hadith:
1.      Hadith ini adalah asas kepada sifat tawakkal, dan sesungguhnya  ia merupakan sebab yang paling utama untuk dikurniakan rezeki pada seseorang hamba. Firman Allah Ta’ala: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan memberikan padanya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberi rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), barangsiapa yang berserah diri bulat-bulat (bertawakkal) kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” [Al-Talak, ayat 2-3]

Dari Jabir bin Abdullah Ayat ini (di atas)  turun ke atas  A’uf bin Malik Al-Asyja’i. Beliau telah mengadu kepada Rasulullah bahawa anak lelakinya telah di tawan oleh orang musyrikin dan isterinya bersedih, lalu ia bertanya: Apakah yang patut dia lakukan? Jawab baginda: Bertaqwa dan bersabarlah dan aku perintahkan engkau dan isteri engkau agar selalu membaca :  لا حول ولا قوة إلا بالله. Lalu ia pulang kerumahnya dan berkata kepada isterinya: Rasulullah SAW telah menyuruh aku dan engkau memperbanyakkan ucapan لا حول ولا قوة إلا بالله   . Isterinya berkata: Itulah sebaik-baik apa yang diperintahkan kepada kita. Lalu kedua-duanya selalu mengucapkan zikir tersebut sehinggalah musuh melupai anaknya. Akhirnya anaknya pulang ke pangkuan ibubapanya. Maka setelah itu turunlah ayat ini (di atas).


2.      Kata Al-Qurtubiy: Nabi SAW telah membacakan ayat al-Qur’an di atas kepada Abu Zar, dan baginda bersabda: “Jikalau semua manusia berpegang dengan ayat ini, nescaya akan cukuplah bagi mereka.” Iaitu jikalau mereka bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya akan cukuplah bagi mereka dalam segala keperluan agama dan dunia mereka.

3.       Tawakkal bermaksud: Membenarkan dan membulatkan hati bahawa Allah ‘Azza wa Jalla sahajalah yang berkuasa dalam menyempurnakan keperluannya, dan menolak semua kemudharatan dalam urusan dunia dan akhiratnya.


4.      Kata Sahl bin Abdullah al-Tusturiy: Tawakkal adalah menyerahkan bulat-bulat segala urusan kepada Allah mengikut apa yang Dia sukai. Dikatakan juga tawakkal ialah sama ada sikit atau banyak, ia adalah sama sahaja bagi orang yang bertawakkal.

5.      Dalam hadith Ibnu ‘Abbas, daripada Nabi SAW: “Barangsiapa yang suka untuk menjadi lelaki yang paling kuat (di sisi Allah), maka hendaklah dia bertawakkal kepada Allah.” [Riwayat Ibnu Abi Dunia]


6.      Ketahuilah bahawa hakikat tawakkal tidak menafikan faktor usaha dalam mencari kurniaan dan rezeki yang Allah telah tetapkan kepada kita, kerana Allah Ta’ala memerintahkan kita untuk berusaha dan mencari kurniaan-Nya di samping  bertawakkal kepada-Nya. Firman Allah ta’ala yang maksudnya:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa Yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam Segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).  [Al-Jumuat :10]


7.      Amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba terbahagi kepada tiga:
a.       Ketaatan yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya, dan ianya merupakan sebab kepada selamatnya manusia daripada api neraka dan dapat masuk ke syurga. Amalan ini mesti di lakukan oleh setiap orang berserta tawakkal kepada Allah dan sentiasa memohon pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya tidak ada daya dan kekuatan melainkan daya dan kekuatan-Nya.

b.      Perkara yang menjadi adat dalam kehidupan dunia, dan Allah memerintahkan hamba-hambanya berusaha dan melakukannya seperti makan ketika lapar, minum ketika dahaga dan berteduh daripada panas. Barangsiapa yang cuai atau tidak melaksanakannya walaupun ia mampu sehingga memudharatkannya,  maka ia telah melakukan kesalahan dan berhak mendapat balasan yang setimpal. Tetapi sekiranya dengan meninggalkan amalan ini atau usaha, ia tidak memudharatkan, maka ia boleh ditinggalkan. Oleh itu sebahagian para salaf ada yang meninggalkan makan dan minum selama beberapa dan ia tidak memudharatkan mereka.  Abdullah bin Al-Zubair pernah berpuasa selama lapan hari. Abu Al-Jauza’ menyambung puasanya selama tujuh hari, kemudian ia memegang lengan seorang pemuda dan hampir-hampir mematahkannya. Ibrahim Al-Taymiy tinggal selama dua bulan tanpa ia memakan sesuatu pun kecuali meminum manisan. Hajjaj bin Al-Farafisah tinggal lebih sepuluh hari tanpa makanan dan minuman dan tidak tidur. Sayyidina Ali bin Abi Tolib –radiyallahu anhu-  biasa memakai pakaian sejuk di musim panas dan pakaian panas di musim sejuk dan Nabi SAW pernah berdoa untuknya agar Allah hilangkan daripadanya rasa sejuk dan rasa panas.

c.       Amalan adat  secara kebiasaan dalam urusan kehidupan dunia seperti berubat apabila sakit. Kadang-kadang manusia boleh melalui adat kebiasaan ini tanpa berusaha. Ulama juga berbeza pendapat tentang hukum orang yang ditimpa sakit, adakah ia wajib berusaha untuk berubat atau memadai dengan hanya bertawakkal sahaja kepada Allah? Pendapat Ahmad ialah sekiranya ia kuat maka afdal baginya bertawakkal sahaja. Ini berdasarkah satu hadith Rasulullah SAW: “Akan masuk syurga segolongan daripada umatku seramai 70,000 orang tanpa hisab.” Kemudian baginda bersabda:  “Mereka itulah orang yang tidak meramal perkara yang buruk, tidak berubat (dengan cara yang dilarang oleh agama) dan kepada Tuhan mereka bertawakkal.” [HR Muslim] Dalam riwayat Muslim, dalam bilangan 70,000 tersebut, setiap seorang daripada mereka akan membawa 70,000 orang lagi.


Pendapat kedua mesti berusaha untuk berubat kerana Nabi SAW sendiri berubat apabila sakit dan baginda tidak melakukan sesuatu melainkan yang terbaik.

8.      Kadang-kadang manusia diharamkan rezekinya atau sebahagian rezekinya kerana dosa yang dilakukannya, sebagaimana dalam hadith daripada Thauban, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya seseorang hamba itu akan diharamkan rezeki disebabkan dosa yang dia lakukan.” [Hadith Hasan – Riwayat Ahmad]

9.      Dalam hadith Jabir, sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap jiwa tidak akan mati sehinggalah disempurnakan rezekinya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan perelokkanlah dalam mencari (rezeki). Ambillah apa yang halal, dan tinggalkanlah apa yang haram.” [Riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan al-Baihaqi]


10.  ‘Umar berkata: Antara seorang hamba dengan rezekinya ada hijab (dinding). Maka sekiranya dia ada sifat qanaah (mencukupi) dan dirinya redha, maka rezeki itu akan datang kepadanya. Tetapi sekiranya dia tamak dan dia membuang hijab tersebut, maka rezekinya tidak akan bertambah.

11.  Kata sebahagian salaf: Tawakkal ialah rezeki-rezeki didatangkan kepada kamu tanpa penat dan tanpa susah.


12.  Kata Salim bin Abil Ja’d: Diceritakan bahawa ‘Isa – alayhissalam – berkata: Bekerjalah kerana Allah dan janganlah kamu bekerja kerana perut-perut kamu (merasa kenyang). Dan jaga-jagalah kamu daripada segala lebihan dunia, kerana lebihan dunia di sisi Allah adalah najis (dosa). Ini  burung di langit yang terbang pada waktu pagi dan petang tanpa rezeki bersamanya, ia tidak menanam dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi rezeki kepadanya. Sekiranya kamu berkata: Perut kami lebih besar daripada perut burung, maka lihatlah kepada binatang besar seperti lembu dan keldai. Ia mencari rezeki pada waktu pagi dan petang, ia juga tidak menanam dan tidak menuai, tetapi Allahlah yang memberi rezeki kepadanya. [Riwayat Ibnu Abi Dunia]

13.  Menurut riwayat daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Pada zaman dahulu ada seorang ahli ibadat yang beribadat di dalam gua, dan ada seekor burung gagak yang datang kepadanya setiap hari dengan membawa roti. Dia makan makanan tersebut hinggalah dia wafat.


14.  Barangsiapa yang kuat tawakkalnya kepada Allah serta keyakinan yang mantap terhadap Allah, maka ia akan masuk dalam kehidupannya tanpa bekalan. Ianya harus bagi sesiapa yang bersifat seperti ini. Contoh yang paling jelas dan tepat ialah Nabi Ibrahim – alayhissalam – ketika beliau meninggalkan Hajar dan anaknya Ismail di kawasan padang pasir yang tidak ada sebarang tanam-tanaman, hanya berbekalkan sebuah bekas daripada kulit yang diisi dengan kurma dan sebuah bekas air. Ketika Hajar mengikutinya, dia berkata: Kepada siapa engkau akan tinggalkan kami? Ibrahim berkata kepadanya: Kepada Allah. Hajar berkata: Aku redha terhadap Allah. Ibrahim melakukan seperti ini berdasarkan perintah Allah dan wahyunya.

15.  Kata Al-Mawarzi: Telah dikatakan kepada Abu Abdullah: Apakah yang dikatakan kebenaran tawakkal kepada Allah? Jawabnya: Iaitu seseorang bertawakkal kepada Allah dan tidak ada dalam hatinya kebergantungan dan harapan kepada seorangpun dari manusia untuk memberi sesuatu kepadanya. Jika itu berlaku maka Allah akan memberi rezeki kepadanya dan dia adalah orang yang benar-benar bertawakkal.

16.  Ahmad bin Al-Husain meriwayatkan daripada Ahmad bahawa ia ditanya tentang seorang lelaki yang keluar ke Makkah tanpa sebarang bekalan. Lalu jawab beliau: Sekiranya engkau mampu maka tidak mengapa tapi sekiranya engkau tidak mampu maka hendaklah dengan bekalan dan kenderaan. Abu Abdullah telah melakukan haji dengan hanya berbekal 14 dirham sahaja.


17.  Nabi Ibrahim –alayhissalam-  ketika akan  di campak ke dalam api ia di tawarkan oleh Jibril: Adakah kamu mempunyai apa-apa hajat? Maka jawab Ibrahim: Adapun kepada engkau, aku tiada hajat.

18.  Daripada Ibnu ‘Abbas, katanya: Perkataan terakhir yang diucapkan oleh Ibrahim – alayhissalam – ketika beliau akan dicampakkan ke dalam api ialah:


حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
   
  “Cukuplah bagiku Allah, dan Dia-lah sebaik-baik pelindung.”  
                   

19.  Sabda Nabi SAW: “Seorang Mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mu’min yang lemah. Dan dalam setiap sesuatu ada kebaikannya. Oleh itu berusahalah kepada apa yang memberi manfaat kepada engkau, mintalah bantuan kepada Allah dan janganlah kamu menjadi lemah. Maka sekiranya ada sesuatu menimpa engkau, maka jangan sekali-kali engkau berkata: Jikalau aku lakukan begini begini… Tetapi katalah: Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia kehendaki pasti akan berlaku. Kerana sesungguhnya perkataan ‘jikalau’ itu membuka ruang kepada syaitan.” [HR Muslim]

20.  Sesungguhnya orang yang sebenar-benar tawakkal ialah orang yang mengetahui dan yakin bahawa Allah telah menjamin kepada setiap hamba-Nya rezeki yang mencukupi. Rezeki telah dibahagikan kepada setiap orang sama ada baik atau jahat, Mu’min atau kafir. Firman Allah Ta’ala:


وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ
“Dan tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang 
menanggung rezekinya …” [Surah Hud: 6]


وَكَأَيِّن مِّن دَابَّةٍ لَّا تَحْمِلُ رِزْقَهَا اللَّـهُ يَرْزُقُهَا وَإِيَّاكُمْ 

 “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu…” [Surah al-‘Ankabuut: 60]

21.  Selama mana seorang hamba itu hidup, rezekinya akan dijamin oleh Allah dan Allah akan mempermudahkannya sama ada dia berusaha atau tanpa usaha. Kata Muthanna al-Anbariy: Janganlah kamu memberi tumpuan kepada apa yang dijamin, tetapi berilah tumpuan kepada Penjamin itu sendiri.

22.  Ketahuilah sesungguhnya hasil daripada tawakkal ialah redha dengan takdir Allah. Barangsiapa yang menyerahkan urusannya kepada Allah dan redha kepada apa yang ditakdirkan ke atasnya, maka dia telah benar-benar bertawakkal. Oleh itu al-Hasan, al-Fudhayl dan selain mereka menghuraikan makna tawakkal kepada Allah ialah: Redha.


23.  Kata Ibnu Abi Dunia: Kata sebahagian para cendekiawan: Tawakkal ada tiga peringkat:
a.       Tidak mengadu atau mengeluh.
b.      Redha.
c.       Cinta/sayang.
Tidak mengadu adalah kesabaran. Redha ialah hati tenang dengan apa yang diberikan oleh Allah ke atasnya, dan ini adalah lebih tinggi daripada sabar. Cinta pula ialah seronok dan gembira dengan apa yang ditakdirkan Allah ke atasnya.
Darjat yang pertama adalah untuk orang-orang yang zuhud. Yang kedua adalah untuk golongan al-Sadiqin. Dan yang ketiga adalah untuk para Rasul.


24.  Kata ‘Umar bin ‘Abdul Aziz: Aku telah berada di pagi hari dan aku tidak gembira melainkan di tempat qada’ dan qadar.